Bab 6

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

AZFAR KHAIRI memandu laju Mercedesnya. Panas berbahang seharian berada di rumah. Kebelakangan ini dia tak suka habiskan masa di rumah pada hari rehat. Rumahnya bukan lagi syurga seperti dahulu. Sekarang rumah itu amat melemaskan. Cuma hari ini dia terpaksa. Sebab hendak memaklumkan kepada Amyza tentang rancangannya. Lagi ditangguh perkara ini, lagi menyeksa batinnya. Dia ingin menyelesaikan secepat mungkin. Dia ingin merasa ketenangan dan bahagia semula dengan perempuan yang dia ada perasaan dan cinta. Bukan dengan perempuan yang tidak ada sebarang rasa apabila bersama.

Lega dapat berterus terang dengan Amyza. Apa yang Amyza rasa sekarang ini, dia tak ingin nak ambil tahu. Peduli apa dia. Marah ke, sedih ke, kecewa ke, biarkan dia... Mungkin nanti-nanti dia akan dapat terima kenyataan. Normallah kan bagi perempauan yang akan terima madu. Mana ada perempuan yang boleh tersengih-sengih suka. Mesti havoc-havoc dulu sebelum dia diam dan akur dengan kehendak suami.

Tak salah kan dia beristeri lebih daripada satu? Dari segi kewangan, tak payah cakap, semua orang tahu dia mampu. CEO syarikat antarabangsa, gaji dibayar dalam USD, empat orang isteri dia boleh sara tau! Malah gundik-gundik sekalipun dia mampu sara. Cuma dia tak mahu buat benda tidak halal. Walau dia jarang sembahyang lima waktu, dalam bab-bab ini dia tak buat.

Kereta dipandu memasuki kawasan sebuah restoran Sunda terkenal. Diparkir kereta di pekarangan restoran tersebut. Sudah dua tahun dia berulang-alik makan di sini. Sedap makanannya, kena dengan selera dia. Sejak Amyza semakin malas ke dapur, dia mula mencari-cari tempat yang sesuai untuk mengalas perut. Dia suka makanan di sini. Suka sangat. Makanan Sunda terbaik yang dia pernah rasa.

Tiba-tiba tersungging senyum di bibir Khairi. Bukan makanan di sini saja yang dia suka sebenarnya. Tuan punya restoran pun dia suka. Maksudnya suka yang terlebih-lebih, bukan suka yang biasa-biasa. Dia tidak dapat menahan perasaan ini. Sumpah, bukan dia sengaja. Perasaan ini datang tanpa diundang.

Hari-hari jumpa, hari-hari berbalas senyum, hari-hari bertegur sapa, lama-lama hati terpaut. Lama-lama perasaan yang layu terasa hidup kembali. Dia bukan gatal. Tidak miang sebagaimana tuduhan Amyza. Dia cuma lelaki. Dan lelaki tetap lelaki. Harus mendapat perhatian sewajarnya daripada seorang wanita. Yang menjadi lelaki sahaja akan faham perasaan lelaki. Sebab itu kebanyakan lelaki menyokong poligami.

Secara logiknya, dia sendiri tidak percaya jatuh hati kepada Dewi. Dia lelaki sosial, suka kepada perempuan-perempuan cantik dan berpakaian seksi. Lihat sajalah Amyza, sekalipun dia tidak pernah menyuruh isterinya menutup aurat. Lagi terdedah, lagi dia suka. Tetapi Dewi lain. Dia gadis berhijab. Entah kenapa dia nampak Dewi sangat manis dalam pakaian begitu. Agaknya umur yang menghampiri empat siri ini sedang mempengaruhi cita rasanya.

Ah... Dewi...

Khairi keluar dari kereta menuju ke pintu masuk restoran.

"Selamat siang, pak! Silakan masuk."

Dia disambut dengan senyum ramah oleh seorang pelayan lelaki yang mengenakan pakaian tradisional Sunda. Pelanggan istimewa di restoran, mestilah layanan yang diberikan super duper. Cowok Buk Dewi tu, cari nahas kalau layan gitu-gitu aje. Hampir kesemua pekerja di sini tahu siapakah lelaki ini pada bos mereka. Bagusnya masing-masing pandai tutup mulut. Tahu-tahu sendiri saja, tidak perlu canang sana sini. Sebab itu bos besar, papa Dewi tidak tahu apa-apa pasal anak daranya yang sudah pasang teman lelaki.

Khairi mengangguk lalu dia pergi ke meja kegemarannya. Setiap kali datang, dia akan duduk di meja itu jika tidak ada orang lain. Dah kena cap sebagai tempat kegemarannya. Dewi pun suka duduk di situ sambil buat kerja. Selepas berkenalan, Dewi sendiri yang menjadi pelayan dia yang cerewet makan itu. Sabar saja Dewi melayan kerenah dia. Tak sangka penyudahannya dengan manusia kerek inilah Dewi terpaut. Suami orang pula tu. Bangga Khairi sekejap dengan dirinya. Dialah lelaki bertuah yang bakal memiliki Dewi Citra yang cantik luar dan dalam. Wajah dan keperibadian Dewi memberikan rasa lain dalam jiwanya. Rasa tenang dan selesa.

DEWI tengah berbincang dengan pekerja-pekerjanya mengenai urusan restoran. Sebagai pengurus restoran keluarga, banyak perkara yang perlu dia lihat. Semua aspek perlu diambil berat. Akaun, bekalan bahan mentah, operasi, pemasaran... Semuanya berputar di dalam otaknya setiap hari. Tidak mudah untuk menerajui restoran warisan keluarga yang diamanahkan untuknya. Papa dan mama Dewi sudah berusia, jadi mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti kerohanian. Kepada Dewilah mereka menaruh harapan untuk memajukan restoran.

Seorang pekerja wanita mencuit bahu Dewi dan menunjuk ke arah Khairi. Tersenyum-senyum pekerja tersebut. Dewi pura-pura serius di hadapan pekerja walaupun wajahnya merah apabila terpandangkan Mas Khairinya. Oh... Dia sudah sampai, bisik hati Dewi.

"Kita meetingnya agak cepat ya. Jadi jika ada yang kurang kita email-emailan saja. Supplier kelmarin dikirim semua bahan-bahannya, ya?" soal Dewi. Langsung buru-buru ingin menamatkan perbincangan mereka. Tak sabar untuk bertemu buah hati yang sedang menunggu di hujung sana.

"Sudah, buk," jawab seorang pekerja yang bertugas di bahagian stor bekalan.

"Itu sudah fresh semua, kan? Jangan sampai kita dapat bahan enggak fresh semua, ya?"

Pekerja stor tadi angguk-angguk. Itu juga yang ditekankan bosnya hari-hari. Bisa jadi manusia paling bodoh jika masih belum mengerti.

"Mas Khairi, buk," bisik pekerja lain. Takut bosnya tidak perasan akan kedatangan pelanggan istimewa merangkap jejaka kesayangan.

"Udah-udah, nanti emailan, ya." Dewi menamatkan perbincangan tersebut.

"Pantes aja kamu buru-buru banget. Mahu pergi kencan, ya?" usik seorang pekerja yang punya pangkat tinggi.

Pekerja bawahan tak beranilah untuk berkata demikian kepada bos. Pekerja yang sedikit senior, kurang jurang sedikit. Sementelah, Dewi pun tidak beri muka sangat dengan perkara-perkara melibatkan hal peribadinya. Dia ketua yang serius sewaktu bekerja.

Dewi mengerdip mata kepada pegawainya itu.

"Enggak... Enggak. Kali ini enggak lama. Pokoknya sebelum mama dan papaku sampe sini, semuanya beres!"

Dewi bela diri. Malu juga apabila ditegur begitu. Jujur sekali pekerja yang ini, fikirnya. Dia pun perlu juga pada janji temu. Jika tidak, bila akan kahwin jika tidak punya teman lelaki? Takkan selama-lama hidupnya mahu dihabiskan di restoran ini?

"Pergilah. Enggak perlu khuatirkan kami," balas pekerja wanita yang mencuit Dewi sebentar tadi. Cukup memahami.

"Thank you semua, ya." Dewi mula atur langkah.

"Git, minumannya buat Mas Khairi." Sempat lagi Dewi mengarahkan pekerjanya membuat minuman untuk pria pujaannya. Minuman kegemaran tentunya. Dua tahun lebih mengenali, pasti dia sudah tahu segala-galanya tentang Khairi. Luar dan dalam. Tidak ada rahsia, tiada yang tersembunyi.

"HAI mas..." Segelas minuman diletakkan di atas meja di hadapan Khairi.

Senyum Khairi melebar saat Dewi menghampirinya. Hilang segala resah gelisah yang melanda jiwa. Hilang sudah rasa marah dan geram kepada Amyza. Yang ada di depan mata cukup menenang serta menghiburkan.

"Hai..." Matanya merenung wajah Dewi.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam... Sibuk?"

Mesra suara Khairi di pendengaran Dewi. Ton suara yang sudah jarang dikeluarkan untuk Amyza.

"Lumayan." Segelas minuman diletakkan di atas meja di hadapan Khairi.

"Terima kasih."

Khairi minum dengan rasa nikmat. Terasa kehangatan kasih sayang Si Dewi. Setiap kali datang, dia tak pernah lupa bawakan air untuknya. Jauh berbeza dengan cara Amyza. Nak minum kopi, buatlah sendiri! Kopi segera Kapal Api, Java Latte yang senang dibancuh itupun Amyza tak nak tolong buatkan. Kedekut sungguh kudrat Amyza untuk suami. Bukannya susah pun, kopi, gula, susu semua sudah dicampur di dalam satu peket. Itupun berkira. Entah apa yang dia buat sangat di rumah sehingga hendak melayan suami sedikitpun malas. Khairi bukannya apa, cuma perlukan perhatian dan kasih sayang yang lebih sikit aje. Lelakilah katakan...

"Mas bilang tadi ada sesuatu yang penting mahu dibicarakan, apa itu?"

Khairi sisip minuman dahulu sebelum menjawab. "Saya sudah bersedia untuk bertemu papa dan mama kamu."

Dewi telan air liur. "Mas Khairi..."

"Izinkan saya untuk halalkan perhubungan kita, Dewi. Jujurnya saya sudah tidak sabar lagi untuk menikahi kamu. Jika boleh saya mahu secepat yang mungkin."

Dewi menatap Khairi. Sesungguhnya dia gementar dan seram sejuk. Terbayang-bayang penerimaan papa dan mamanya nanti apabila tahu hal yang sebenar. Hah... Tawakal sajalah. Sudah terlanjur jatuh cinta, mahu diapakan lagi, kan. Teruskan saja. Pasrah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro