Bab 7

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PADA hari yang sama, Dewi menjemput Khairi ke rumah keluarganya. Dengan yakin Khairi melangkah masuk ke sebuah rumah tradisional yang tampak elegan dan mewah. Sekelilingnya dipenuhi dengan pohon-pohon kehijauan. Damai sekali. Sedamai orang di sebelahnya. Khairi jeling ke arah Dewi. Buah hatinya banyak berdiam sejak di dalam kereta lagi. Mungkin gementar dengan pertemuan ini. Secara tiba-tiba, kan... Apapun yang terjadi, Khairi nekad untuk memperisteri Dewi.

Khairi dijemput duduk di ruang tamu. Rahmat Sunardi... Ops, Bapak Rahmat Sunardi, itulah nama papa Dewi. Mana boleh Khairi tidak tahu. Orang tengah bercinta punya keinginan untuk tahu semua hal mengenai buah hati. Kalau boleh yang tersembunyi di dalam baju pun nak tahu. Isy... Yang tu lagilah teringin tahu. Dah nama pun lelaki! Orang lelaki nafsunya hanya satu. Jadi keinginan itu sangat tinggi. Khairi segera kawal otot muka supaya jangan tersengih tak tentu hala di hadapan bakal bapa mentua.

Tangan bakal bapa mentua disalam dengan hormat oleh Khairi. Bohonglah kalau tak gementar. Semacho-macho lelaki, mesti ada gugup apabila kali pertama jumpa bakal mentua. Tambah-tambah dirinya lelaki second-hand, kemungkinan untuk ditolak pasti ada.

"Papa, ini Khairi. Dewi udah kasi tau tentang Khairi sama mama sebelumnya."

Bapak Rahmat memandang isterinya. Tidak percaya yang Ibu Fatimah boleh merahsiakan perkara sepenting ini daripadanya.

"Mama sudah tahu?"

Ibu Fatimah terlebih dahulu senyum dan menggenggam tangan Dewi yang duduk di sebelahnya. Memberi semangat kepada satu-satu anak perempuannya mencari bahagia supaya jangan takut.

"Ya... Tapi kita kan perempuan. Makanya biarlah para lelaki dulu yang memulai. Mama enggak mau anak mama kayak perempuan yang ngejar-ngejar lelaki."

Lembut suara Ibu Fatimah menjawab pertanyaan suaminya. Sememangnya dia seorang isteri yang sangat taat kepada Rahmat. Pada usia mereka yang mencecah lima puluhan dan sudah berpuluh-puluh tahun mendirikan rumah tangga, kasih sayang dan rasa hormat tidak pernah pudar. Bahagia yang beginilah dia mahu Dewi rasa. Kasih dan cinta sampai hari tua, bukan sekadar sementara. Dia juga mahu Dewi mendapat suami seperti Bapak Rahmat, yang setia kepadanya walau sikapnya ada masa terlalai.

"Perempuan yang melamar lelaki itu enggak salah. Lihat aja Saidatina Khadijah yang melamar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Mereka bernikah dan bahagia sampai akhir hayatnya."

Rahmat pandang Khairi. Dia senyum.

Dup-dap dup-dap juga dada Khairi dibuatnya. Senyuman Bapak Rahmat seperti satu perlian untuk dia. Bernikah dan bahagia sampai akhir hayat. Dan dia? Baru sembilan tahun menikahi Amyza, sudah mencari yang lain. Belumpun cukup sepuluh tahun, apatah lagi sampai mati!

"Baiklah, Nak Khairi... Kamu udah di sini sekarang, jelaskan apa keperluanmu?"

Khairi berdehem sekali. Betulkan anak tekak. Go Khairi... Go. Jangan takut. Awak lelaki. Berhak kahwin empat!

"Terima kasih kerana Bapak Rahmat dan Ibu Fatimah mau menerima kedatangan saya walaupun sedikit mendadak. Saya datang dengan harapan yang tinggi untuk melamar anak bapak untuk saya jadikan isteri yang sah."

Khairi berpaling ke arah Dewi. Lega. Teramat sangat. Dia senyum tipis.

"Bapak Rahmat, saya tulus mencintai Dewi."

Tanpa malu-malu Khairi mengaku. Nak malu apakan, dah memang benar hatinya memang terpaut dan sayang kepada Dewi. Anak Bapak Rahmat bisa memberikan dia suatu perasaan lain. Berbeza perasaan yang dia dapat daripada Amyza.

"Dewi bagaikan permata yang berkilau dalam kehidupan saya yang berlumpur ini."

Amboi... Ayat Khairi, tak menahan! Bodek sakan hingga sanggup kata diri sendiri belemoih (kotor).

Hurm... Selalunya lelaki begitukah? Sebelum dapat, sampai ke bulan bintang puji-pujian yang diberi. Dah dapat?

Tidak! Khairi tidak begitu. Kes dia dengan Amyza... Isterinya yang salah! Amyza yang buatkan kasihnya pudar. Dia bukan sengaja gatal-gatal untuk suka perempuan lain.

"Saya jatuh cinta pada ilmu, iman dan juga peribadi yang ada pada Dewi dan saya yakin Dewi boleh menjadi ibu yang baik kepada anak-anak kami," sambung Khairi lagi.

Dahsyat mukadimah kau, Khairi... Sampai anak-anak kami tu! Habis yang Hanna tu tak baik ke dijaga oleh Amyza? Tiba-tiba ada lintasan di kepala Khairi. Ya, dia tak nafikan Amyza menjaga Hanna dengan baik. Tetapi dia nakkan anak yang soleh. Ramai anak bukan seorang sahaja. Ramai!

"Saya tidak mahu tangguhkan hal yang sangat dituntut agama ni, pak. Jika tidak ada halangan saya mahu dipercepatkan."

Kalau boleh malam ini dia mahu nikah. Yang ini Khairi hanya boleh sambung dalam hati sahaja. Mana bisa begitu mendadak? Mahu cap lima jari Bapak Rahmat melayang ke muka. Ingat Dewi tu kucing betina ke apa?

Bapak Rahmat mendengar dengan teliti. Kepalanya terangguk-angguk beberapa kali. Faham? Fahamlah kut. Perasaan orang muda-muda. Eloklah kalau nak dipercepatkan. Sebagai seorang bapa, dia pun suka yang amat. Percaya? Percaya juga... Tetapi tidaklah seratus peratus. Masih ada perkara yang harus diteliti. Dia hanya punya anak perempuan seorang.

"Hmmm... Bapak faham. Dan bapak yakin kamu berdua mesti sudah membicarakan hal ini."

Khairi dan Dewi saling berpandangan dan mengangguk. Betullah sudah berbincang. Bila? Yang nyata pagi tadi. Sebelum-sebelum ini pun ada juga, cuma tidak ada jalan penyelesaian. Terganggu dengan masalah Amyza. Sebab itu hari ini ekspres buat semua. Puas hati.

Bapak Rahmat berdehem. Tak sabar-sabar anak dan bakal menantunya, telahnya dalam hati.

"Ada hal lain yang kamu diskusi tentang niat kamu ini?"

Hati seorang bapa. Bapak Rahmat merasa seperti ada sesuatu yang tidak beres. Sebab itu dia menyoal lagi. Biar puas hatinya untuk hari ini.

Khairi pandang Dewi sekali lagi. Dewi serius. Terpulang kepada Khairi untuk berterus-terang atau tidak. Itu keputusan Khairi sebagai lelaki.

"Ada satu hal lagi yang saya belum beritahu bapak dan ibu. Saya mau jujur tentang masalah ini."

"Apa dia, nak?"

Dewi diserang debar yang kronik.

"Saya sudah punya isteri dan seorang anak."

Bapak Rahmat dan Ibu Fatimah berpandangan sama sendiri. Dia orang tayang wajah terkejut. Pucat wajah Ibu Fatimah. Kedua-duanya lepas tu memandang wajah Dewi. Sungguh tidak percaya yang anak mereka berpacaran dengan suami orang. Patutlah hati Bapak Rahmat rasa semacam, dup dap dup dap tak sedap hati sejak tadi. Dapat merasa ada benda yang tidak kena.

"Kamu sudah berkahwin?"

Ibu Fatimah mahu kepastian. Kurang yakin dengan apa yang dia dengar sebentar tadi. Masih mengharapkan yang dia salah dengar dan Khairi di hadapannya masih lelaki solo.

Khairi mengangguk.

"Kamu tahu tentang ini Dewi?"

Ibu Fatimah masih tidak puas hati. Dia serang Dewi pula. Susahnya untuk terima semua ini.

Dewi kecut. Wajahnya berubah habis. Namun dia berusaha keras mengawal diri dan wajah supaya tidak ketara cacat di mata papa dan mamanya. Habislah jika papa dan mama tidak restu.

"Tau kok ma. Mas Khairi udah cerita dari awal."

Ketara wajah gelisah yang ditunjukkan Bapak Rahmat dan Ibu Fatimah. Puas menunggu Dewi perkenalkan pacar untuk dinikahi, sekali jumpa... suami orang.

"Kamu tidak keberatan menjadi isteri kedua?"

Dewi bungkam dengan soalan papanya. Diam sejenak. Ambil masa untuk tenangkan diri.

"Kami akan bicarakan hal ini nanti. Sekarang Mas Khairi mau minta izin dulu sama papa dan mama untuk menikahi Dewi. Itu aja kan Mas?" dalihnya kemudian.

Khairi menyokong dengan mengangguk-angguk kepalanya yang satu itu. Banyak benar aktiviti angguk kepala hari ini.

"Isteri kamu tahu tentang Dewi dan niat kamu untuk menikahinya?"

Ibu Fatimah menyerang Khairi pula.

Emosi dia terlebih sedikit berbanding Bapak Rahmat. Maklum bab kahwin banyak ni kaum perempuan lagi sensitif. Tidak kira di negara manapun, hati perempuan tetap hati orang perempuan. Jarang yang boleh terima terus bab-bab kongsi suami.

Khairi telan liur. Cemas... Cemas.

"Ya, bu. Saya sudah maklumkan dia. Bapak dan ibu jangan khuatir tentang isteri saya. Saya tahu bagaimana uruskan dia."

Dalam hati Khairi puji diri sendiri. Bravo, bravo bro. Yalah tu, bravolah sangat! Balik nanti entah apalah cerita dengan Amyza. Entah-entah habis barang rumah Amyza lempar. Lantak dialah! Pecah barang nanti dia buang saja, beli yang baru. Jika kain bajunya dibuang Amyza ke laman rumah, dia tak akan marah. Dia angkat terus ke rumah Bapak Rahmat. Hehehe.

Dia dah tak kesah pasal Amyza. Hendak tak hendak, Amyza kena turuti kehendaknya. Kuasa veto di tangan dia! Lemparlah sebanyak mana barang pun, jeritlah sampai keluar anak tekak sekalipun, dia tetap akan mengahwini Dewi.

Khairi senyum ke arah Dewi. Tunjuk berani. Haih, darah Hang Jebat kuat di dalam tubuhnya. Mestilah berani.

Ibu Fatimah memerhati dengan rasa tidak selesa.

Bapak Rahmat memandang dengan ekor mata. Tidak senang Dewi yang dididik dengan sempurna, mestikah jatuh hati dengan suami orang?

Ya... Dia tidak menghalang poligami dan dibolehkan dalam Islam. Tetapi untuk Dewi, ah... Tak wajar sekali anak perempuannya berkongsi kasih dengan wanita lain. Seperti tidak cukup pria di bumi Indonesia ini. Dewi permata hati dia dan isteri. Dia berhak mendapat bahagia seluas-luasnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro