BAB 3

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


ANNUR hanya memerhatikan beberapa orang pelanggan yang sedang menikmati keseronokan dan menari terkinja-kinja di dalam kelab malam Lalita Rose itu. Pancaran-pancaran cahaya dari lampu sorot membuatkan matanya kadang-kadang sedikit silau. Beginilah kehidupannya sejak dua tahun yang lalu. Pada waktu siang, dia akan bekerja sebagai pengawal keselamatan. Pada waktu malam hari hujung minggu pula dia akan bekerja sebagai pelayan bar. Annur tidak ada pilihan lain lagi. Dia mesti mencari wang untuk menampung kehidupannya. Lagipun sejak peristiwa hitam tersebut membuatkan jiwanya semakin kental dan bertekad untuk mengubah nasibnya sendiri.

"Nur!" panggil seseorang. Annur tersentak lalu dia memandang ke arah gerangan yang memanggilnya itu. Kelihatan sahabatnya iaitu, Raisya sedang terkocoh-kocoh berlari ke arahnya. Annur mengerutkan keningnya. Riak wajah Raisya seperti cemas sahaja.

"Kau kenapa ni?" tanya Annur. Gelas yang berada di hadapannya diambil lalu disusun satu persatu.

"Madam Sarah panggil kau. Dia nak kau jadi pelayan untuk VVIP malam ni. Aku tahu kau tak nak. Tapi madam macam paksa aku jugak suruh kau jadi pelayan malam ni," adu Raisya dengan nada serba salah. Dia amat faham bahawa rakannya itu tidak mahu bekerja sebagai pelayan di bahagian VVIP. Kerja itu memang agak berisiko lagi-lagi apabila seorang perempuan bekerja di bahagian tersebut. Kebanyakkan tetamu yang berada di bahagian tersebut adalah golongan orang-orang kaya dan usahawan yang lanjut usia. Kadang-kadang nafsu serakah mereka seperti tidak berpenghujung sampaikan ada beberapa pelayan bar yang terpaksa merelakan tubuh mereka untuk dicabul kerana takut dibuang kerja atau sudah ditawarkan wang yang banyak.

Annur mengetap bibirnya. Dia mendengus kasar. Ada kalanya perangai Madam Sarah sangat menjengkelkan. Mentang-mentanglah dia pengurus di situ, tidak bermakna perempuan tua itu bebas untuk mengeluarkan apa-apa arahan yang boleh mengancam keselamatan para pekerjanya. Kalau dia laporkan benda ini kepada Ah Wei, iaitu bos besar dalam kelab malam ini, mesti Madam Sarah akan ditegur atau dimarahi kerana Ah Wei pun masih lagi ada sikap tolak ansur kepada pekerjanya.

"Kenapa aku pulak? Aku tak nak la. Aku lebih rela jaga kaunter bar dari jaga tempat VVIP jahanam tu. Ramai lagi pelayan lain yang free, kenapa aku jugak yang kena?" keluh Annur. Raisya hanya mengangkat bahunya sahaja tanda tidak tahu.

"Aku dapat tahu jugak, malam ni business partner Ah Wei yang penting tu datang ke kelab. Sebab tu aku rasa Madam Sarah minta kau jaga bahagian VVIP tu. Lagipun kau buat kerja laju, kan?" tanya Raisya sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi.

Annur mengerutkan keningnya. Sudah beberapa bulan dia bekerja sebagai pelayan bar di Lalita Rose ini. Dia juga ada mendengar desas desus mengatakan 'business partner' Ah Wei ini adalah seorang lelaki yang muda dan tampan. Tidak pernah pula dia lihat kemunculan lelaki itu. Ada juga mengatakan nama kelab Lalita Rose ini direka sempena syarikat lelaki itu. Annur tidak tahu sejauh mana kesahihan berita itu. Tetapi apa yang dia tahu, lelaki yang digembar gemburkan itu sangat penting untuk Lalita Rose.

"Aku... aku takut la. Kalau apa-apa jadi, macam mana? Kalau VVIP tu nak cabul aku ke apa? Siapa nak bertanggungjawab?" tanya Annur bertubi-tubi. Bekerja di bahagian VVIP tersebut seperti masuk ke kandang harimau sahaja. Sangat berisiko.

"Aku rasa tak ada apa-apa kut yang jadi. Sebab... Ah Wei ada sekali dalam bilik VVIP tu. Aku tak rasa Ah Wei akan biarkan kes macam tu berlaku depan mata dia," ujar Raisya sambil menepuk bahu Annur perlahan menenangkan perasaan gundah gulana sahabat baiknya itu.

Annur mengangguk perlahan. Ada benarnya kata Raisya itu. Lagipun, Ah Wei tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi mengenai kes VVIP itu. Tiada seorang pun yang berani mengadu tentang kes tersebut kepada Ah Wei. Itu pun Madam Sarah yang beria-ria menghalang semua pekerjanya untuk buat tindakan tersebut. Agak mencurigakan sebenarnya.

"Haih... Yalah. Nanti masa aku tak ada, kau ganti tempat aku sekejap. Tolong sekali potongkan lemon dalam peti ais tu. Aku lupa nak potong semalam." Sempat lagi Annur menitipkan pesan. Telefon yang berada di atas meja bar diambil. Raisya pula hanya mengangguk akur sahaja.

"Good luck, bestie!"

Annur hanya tergelak kecil. Walaupun begitu, hatinya sudah berdebar-debar. Annur meletakkan tangan di dada kirinya. Dapat rasa degupan jantungnya dengan jelas. Dia harap tiada apa-apa buruk yang berlaku nanti.




*****




ANNUR meletakkan beberapa botol air berkarbonat di atas dulang. Seusai itu, dia mengambil beberapa skop ais batu lalu diletakkan di dalam baldi kecil aluminium. Sekarang ini, Annur berada di dalam satu bilik pantri khusus untuk bahagian VVIP tersebut. Segala stok makanan dan minuman disediakan di dalam bilik ini.

Annur sempat lagi membetulkan rambut hitamnya supaya kelihatan rapi. Seluar hitam dan baju kemejanya dibetulkan supaya penampilannya tampak lebih kemas. Seusai itu, Annur menjenguk sedikit ke luar pintu. Sofa VVIP tersebut masih lagi kosong.

'Mana pulak dia orang ni? Cepat la sikit datang tu. Aku dah malas nak kerja kat sini lama-lama,' getus wanita itu dalam hati. Annur terus sahaja mundar mandir sambil bermain-main dengan jarinya.

"Nur! You yang jaga malam ni?" tanya seseorang. Terus sahaja Annur tersentak dan berpaling melihat gerangan yang menegurnya. Kelihatan Ah Wei yang lengkap memakai kemeja berwarna hitam sedang melangkah ke arahnya.

"Ya, bos. Madam Sarah yang arahkan saya."

Kelihatan mata Ah Wei semakin mengecil dan keningnya berkerut seribu. Itu bukan arahan yang disampaikan kepada Madam Sarah. Dia tidak mengarahkan Annur untuk menjaga bahagian VVIP malam ini. Sesuka hati sahaja wanita itu melanggar arahannya. Ah Wei mengeluh perlahan. Tetamu istimewanya sudah tiba di bilik tersebut. Sudah tidak ada masa lagi untuk berjumpa dengan Madam Sarah.

"Actually, Bukan you yang bertugas kat bahagian VVIP malam ni. I suruh madam Sarah panggilkan si Angel tu. Tapi nak buat macam mana. He's here. Dia dah sampai pun. You boleh angkat air tu ke bilik V111."

Annur hanya mengangguk akur sahaja. Tetamu tersebut sudah tiba. Takut pula rasanya. Ah Wei pula sudah berlalu pergi. Tanpa sebarang kata, Annur terus sahaja mengangkat dulang tersebut dengan penuh berhati-hati lalu membuntuti langkah Ah Wei.

Percaya atau tidak, ini merupakan pertama kali Annur menjejakkan kaki di bahagian VVIP ini. Annur tidak menyangka dekorasi  yang terhias dalam bahagian tersebut sangat cantik dan eksklusif. Ada juga Annur melihat beberapa orang kenamaan dan artis-artis terkenal yang berpelukan dan bercumbuan. Terus sahaja Annur mengalihkan pandangan. Sangat menjijikkan.

Beberapa minit kemudian, Annur sudah sampai ke tempat yang dituju. Bilik V111 ini merupakan bilik yang paling eksklusif. Hanya orang tertentu sahaja yang boleh masuk. Semasa dia melangkah masuk ke dalam bilik ini, ada dua orang pengawal bersut hitam yang berdiri di sisi pintu sambil memeluk tubuh. Mukanya kelihatan bengis sahaja.

Ah Wei memberikan isyarat kepada Annur untuk meletakkan dulang minuman tersebut di atas meja kayu mahogani. Memang etika setiap pelayan untuk membantu klien menuangkan air minuman ke dalam gelas kecil.

Annur sempat lagi menjeling sekilas ke arah tetamu yang berada di ruangan tersebut. Annur menelan sedikit liurnya. Kenapa semua orang yang yang berada di ruangan ini memandang tajam ke arahnya? Ada beberapa orang yang memakai tatu berbentuk bunga mawar membuatkan Annur semakin gerun. Seperti kumpulan kongsi gelap sahaja. Jangan pula malam ini dia diapa-apakan.

Seusai selesai melakukan tugasnya, Annur segera mengambil dulang. Kepalanya ditudukkan sedikit sebagai tanda hormat. Dalam kalut untuk pergi ke arah pintu, Annur tidak perasan ada seseorang yang berdiri betul di belakangnya dan membuatkan  kepala Annur terhantuk di dada orang itu agak kuat. Dulang pula sudah selamat jatuh ke lantai.

"Aduh!"

Annur sudah mengaduh kesakitan. Keras juga badan orang ini seperti batang besi sahaja. Orang tersebut berdehem perlahan. Annur mengetap bibir. Ketika itu wajahnya menekur ke lantai. Baru pertama kali, tetapi sudah membuat onar. Annur tidak ada pilihan lain lagi selain meminta maaf. Dia dapat merasakan orang tersebut sedang memandang tajam ke arahnya. Sungguh berdebar!

Gadis itu mendongak perlahan-lahan untuk melihat wajah tersebut. Annur tergamam. Mulutnya ternganga sedikit. Jantungnya berdetak laju. Ini kan bos besar BR Holding, Tuan Aariz Nadwa. Buat apa bosnya datang ke sini? Ataupun 'business partner' yang digembar gemburkan itu... mungkin Tuan Aariz sendiri?

"Pau..."

Walaupun bisikan itu perlahan, tetapi gadis itu dapat mendengarnya jelas. Annur tergamam. Gelaran 'pau' itu mengingatkannya kepada seseorang. Seseorang 'penyelamat' yang teristimewa pada waktu ketika dahulu kerana badannya gempal dan pipinya tembam. Kenapa... lelaki ini memanggilnya sebegitu? Annur tidak tahu jawapan itu.


ShaDhia

Bersambung...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro