BAB 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

10 tahun yang lalu...

"BAGILAH balik buku aku tu! Kau orang ni apasal cari pasal dengan aku!" tengking seorang gadis berbadan gempal sambil cuba merampas buku. Dia sudah tidak tahan lagi. Ada seorang lelaki sedang tersengih-sengih sinis sambil mengacah-acah buku latihan tersebut betul-betul di hadapan Annur. Ada juga seorang pelajar lelaki berambut botak dan tiga orang pelajar perempuan sedang ketawa mengejek.

Annur rasa mahu menangis sahaja sekarang. Tatkala ini mereka berada di kawasan belakang bangunan sekolah. Sudah tentunya kawasan tersebut sunyi. Tiada siapa yang boleh menolong dirinya melainkan dia terpaksa mempertahan dirinya sendiri ataupun pasrah sahaja.

"Kau nak buku ni? Serius kau nak buku ni? Ha... Ambillah. Nah! Ambil buku kau ni!" ujar pelajar lelaki tersebut sambil mengacah-acah buku itu sambil menyeringai di hadapan muka Annur. Annur cuba merampas tetapi lelaki tersebut cekap untuk melarikan buku tersebut. Disebabkan badannya sedikit gempal, jadi pergerakkan Annur sedikit terbatas dan staminanya tidak cukup kuat sehingga termengah-mengah.

"Tengok! Badak sumbu dah mengah. Lembab badak ni," ejek pelajar lelaki tersebut lalu tersenyum sinis. Tangannya pula menunjuk-nunjuk ke arah Annur yang masih lagi membetulkan nafasnya. Dia tunak memandang buku yang berada di pegangan lelaki tersebut. Buku itu merupakan buku latihan untuk subjek Bahasa Inggeris. Sudahlah ada beberapa kerja sekolah yang perlu dia selesaikan. Annur berharap sangat buku latihannya itu  tidak dirosakkan oleh pembuli-pembuli ini. Biarlah kotor sekalipun tetapi jangan terkoyak atau basah. Kalau kotor akibat dibaling ke tanah atau ke rumput, masih boleh diselamatkan lagi.

"Bagilah balik! Kau apahal, hah? Apa masalah kau orang ni? Aku salah apa sampai kau orang buat aku macam ni? Aku tak pernah kacau kau orang la! Boleh tak kau jangan ganggu aku! Bagilah balik buku aku tu!" jerit Annur. Dia sudah cuba menahan sabar. Matanya tunak memandang lima orang pelajar tersebut silih berganti. Rasa mahu melempang muka mereka sehingga pengsan. Dia sudah muak dengan semua ini. Annur tahu, dek badannya yang gempal dan tidak cantik menyebabkan dirinya menjadi sasaran keapda pembuli-pembuli bodoh tersebut.

"Uuuu... gajah marah siot. Apik, cer kau campak buku tu ke longkang," ujar seorang pelajar perempuan sambil menunjukkan longkang besar yang tidak jauh dari tempat mereka berada. Mata Annur sudah terbelalak. Annur mula melangkah ke arah pelajar lelaki yang bernama Apik itu tetapi ada dua orang pelajar perempuan yang lain menolak Annur sehingga terjatuh  ke tanah. Tangannya pula sudah dipegang kejap. Annur cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri tetapi pegangan pelajar-pelajar perempuan tersebut sangat kejap. Ada juga yang menarik tudungnya sehingga ternampak anak rambutnya.

Budak lelaki yang bernama Apik tersebut tanpa rasa bersalah terus sahaja mencampakkan buku latihan Annur ke longkang sambil tersenyum sinis. Baru sahaja Annur mahu menjerit tetapi tiba-tiba dia merasakan ada air mengalir di bahagian kepalanya. Annur mendongak ke atas. Ternyata seorang pelajar perempuan yang bertocang dua sedang menuangkan air sirap di atas kepalanya dan menyebabkan tudung dan baju sekoahnya sudah bertukar merah. Bahkan pelajar perempuan itu juga menunjal kepala Annur sehingga gadis gempal itu tersembam ke tanah.

"Dah la mak bapak dah mampus. Woi, badak! Lain kali kau jangan nak kerek dengan aku. Kau ingat aku tak tahu ke tadi, kau pergi jumpa pengetua. Kau mengadu kat orang tua tu yang kita orang buat kereta  dia calar!" tengking pelajar lelaki bernama Apik itu sambil mencengkam dagu Annur dengan kuat sehingga gadis itu meringis kesakitan.

"Hoi gemuk! Kau belum kenal aku siapa? Sekali kau dah buat taik dengan kita orang... aku... akan... buat kau merana. Kau jangan main-main dengan aku," ujar Apik sambil tersenyum sinis. Kepala Annur ditunjal dengan kuat. Dua orang budak perempuan tersebut hanya tergelak sinis sambil menolak Annur buat kali keduanya. Air botol yang kosong terus dicampak tepat ke kepala Annur sehingga gadis tersebut meringis kesakitan.

Air mata Annur tidak dapat ditahan lagi. Matanya mengekori kumpulan pembuli tersebut berlalu pergi meninggalkannya sambil gelak kegembiraan. Dia melihat baju sekolahnya yang sudah comot. Air matanya dikesat kasar. Bajunya sudah kotor akibat terkena tanah.

Kenapa? Kenapa dia tidak boleh mempertahankan dirinya? Kenapa dia tidak melawan budak-budak bodoh itu tadi? Dan kesilapan paling besar ialah, kenapa dia melaporkan salah laku mereka kepada pengetua? Padahal dia boleh sahaja tidak mencampuri urusan mereka. Bukankah itu lebih baik? Akhirnya, dirinya juga merana. Annur mengutuk kebodohannya. Dia sungguh menyesal sekarang ini. Dek tindakan bodohnya, Annur pasti dia akan menjadi sasaran kepada pembuli tersebut. Apa yang lebih malang sekali, tiada siapa pun yang boleh menolong dirinya kerana Amnur tahu tiada siapa yang sudi menolong perempuan gemuk sepertinya.

"Ni buku kau."

Annur tersentak. Terus lamunannya hilang begitu sahaja. Annur mendongak ke atas untuk melihat gerangan tersebut. Kelihatan ada seorang lelaki tinggi lampai sedang menghulurkan buku tulis kepada dirinya.

Annur pula tergamam. Matanya membulat. Ya... Dia kenal lelaki ini. Tak silap namanya Aariz. Dia tidak tahu nama penuhnya apa kerana di sekolah ramai memanggilnya dengan panggilan Aariz atau 'senior beku'. Lelaki ini juga merupakan seniornya yang sangat terkenal di sekolah. Bukan sahaja aktif dari segi akademik dan sukan tetapi sikap bekunya membuatkan ramai pelajar perempuan akan tergila-gilakannya. Sudahlah bermata biru. Siapa yang tidak cair?

Annur terus mengusap air matanya kasar. Rasa segan pula apabila seniornya itu melihat mukanya yang sedikit comot. Annur terus sahaja mengambil buku latihannya lalu bangun perlahan-lahan. Pandangan tajam Aariz itu membuatkan Annur sedikit berdebar.

"Terima kasih," ujar Annur perlahan.

"Kau sepatutnya lawan budak-budak tadi tu. Jangan jadi lemah. Jangan biarkan dia orang pijak maruah kau," kata Aariz dengan nada dingin. Sebenarnya, Aariz sudah lama memerhatikan kejadian buli tersebut. Dia hanya melihat dari jauh sahaja. Ingatkan gadis gempal ini mampu untuk melawan tetapi sangkaannya meleset. Sangat lemah!

Kalau ikutkan hatinya, sudah lama Aariz pergi dari situ sahaja dan tidak menolong gadis gempal itu kerana itu bukan urusannya. Tetapi apabila melihat gadis gempal itu menangis membuatkan hatinya sedikit rasa simpati. Sebab itulah dia sanggup turun ke dalam longkang besar itu senyap-senyap untuk mengambil buku latihan tersebut. Lagipun ini baru pertama kali dia berjumpa dengan gadis gempal ini. Selama ini, dia tidak perasan pula.

"Sa... saya takut. La... lagipun se... semua salah saya. Sebab tu dia orang marah kat saya," jawab Annur sambil matanya masih lagi menekur ke tanah. Dia dapat dengar keluhan kasar dari Aariz dengan jelas. Mesti lelaki itu tidak terima alasan lemah seperti itu. Padahal itu memang kebenarannya.

"Lemah."

Annur hanya diam sahaja. Dia tidak tahu mahu membalas apa. Biarlah lelaki itu anggap dirinya lemah atau perempuan mengada-ngada. Dia tidak mahu untuk mencetuskan pergaduhan lagi.

Annur mahu pulang ke rumahnya. Dia tidak mahu lewat untuk pulang ke rumah. Pasti Nek Limah risau. Belum sempat Annur mahu mengambil beg sekolahnya, tiba-tiba Aariz mengambil beg sekolahnya dahulu. Annur terperanjat.

"A... awak nak buat apa dengan beg saya?" tanya Annur dengan nada suara terketar-ketar. Pelbagai fikiran negatif yang menjengah di benaknya sekarang ini. Atau Senior Aariz ini juga mahu membuli dirinya juga?

"Aku hantar kau balik. Rumah kau kat mana?" tanya Aariz dingin.

Annur menggaru keningnya. Dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu. Sudahlah Aariz tolong menyelamatkan buku latihannya. Rasa segan pula. Dia sanggup jalan kaki sahaja.

"Tak... tak apa. Saya boleh balik sendiri. Saya tak nak menyusahkan..."

Belum sempat Annur menghabiskan ayatnya, Aariz terus sahaja memotong percakapan, "Itu arahan. Bukan permintaan. Aku tak suruh kau balik sendiri."

Annur tergamam. Dia tidak ada pilihan lain lagi. Mesti ada pelajar yang akan buat spekulasi jika ada orang ternampak dirinya dan Aariz berdua-duaan. Rasa mahu lari sahaja. Tetapi sekarang ini beg sekolahnya pula ada di pegangan Aariz.

Aariz pula tersenyum dalam diam. Entah kenapa rasa lucu pula melihat gadis gempal itu masam begitu. Sudahlah tudung sekolahnya tidak betul. Pipinya pula tembam seperti kuih pau yang gebu. Dia dapat rasakan gadis itu seperti takut-takut dengannya.

"Ka... kalau... macam tu... o... okey." Annur memberikan persetujuan. Sebenarnya terpaksa sahaja. Annur terus membuntuti langkah Aariz untuk pergi ke pagar utama sekolah. Dan beg sekolahnya masih lagi Aariz yang pegang. Sudah banyak kali Annur meminta beg sekolahnya tetapi Aariz hanya mengendahkannya. Rajin sangat!

Aariz dan Annur tidak tahu ini merupakan pertemuan pertama mereka yang mengubah takdir pada masa hadapan mereka nanti.

ShaDhia

Bersambung...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro