BAB 32

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"HARI ni Cikgu Akmar akan ada untuk tengok latihan kau orang semua. Aku harap kau orang semua buat yang terbaik. Minggu depan, pertandingan dah mula. Kalau ikut pendapat aku, aku tak yakin dengan percapaian kau orang setakat ni. Banyak kena betulkan," ujar Rina dengan tegas aambil memeluk tubuhnya. Matanya menikam tajam ke arah pelajar satu persatu.

Pelajar yang berada di bilik debat tersebut sudah mula kerisauan. Ada yang sudah meneguk air liurnya perlahan. Ada yang menggenggam kejap kedua-dua tangannya untuk mengurangkan rasa gemuruh. Hari ini baru pertama kali Cikgu Akmar memantau latihan mereka secara dekat. Dengar cerita juga, Cikgu Akmar sangatlah jujur apabila memberi teguran dan kadang-kadang boleh menyentapkan orang lain.

Dalam diam, Rina mengira kesemua peserta yang berada di dalam bilik itu. Dia mengerutkan dahinya. Jumlah peserta tidak cukup dari bilangan yang sepatutnya. Tangan Rina diletakkan di atas ragu. Ada seorang sahaja lagi yang belum sampai.

"Siapa lagi yang tak sampai ni? Saya kira tak cukup sorang."

Semua pelajar melihat sekeliling mereka. Ada yang mengangkat bahu tanda tidak tahu. Ada yang tidak memberikan respons apa-apa. Tiba-tiba ada seseorang yang mengangkat tangan.  .

"Kenapa, Nazirul?" tanya Rina.

"Safea belum sampai lagi. Maybe dia ada kelas lagi."

Rina merengus perlahan. Masalah betul dengan perempuan rabun itu. Mesti saja ada yang tidak kena. Sekarang ini mereka sedang mengejar masa. Kalau Cikgu Akmar tahu ada peserta yang terlewat, mesti Cikgu Akmar akan marah Azrin dan dirinya sekali.

"Masalah betul la dia tu. Kan saya dah cakap kat grup semalam. Pukul 12 tepat kena sampai ke sini. Apahal tak dengar cakap, hah?" Rina lantang bersuara. Semua pelajar hanya berkutik diam. Ada yang menunduk sahaja. Muka Rina yang bengis itu membuatkan semua pelajar kecut perut.

Nazirul pula hanya mengetap bibir. Agaknya Rina tidak faham. Dia tahu Siti Safea ada kelas sekarang ini. Tadi pun, dia hampir terlewat. Sepertinya Rina tidak fahan situasi mereka sekarang ini. Kalau ikutkan hati, dia mahu sahaja membela Siti Safea tapi pada masa yang sama juga, dia tidak mahu memburukkan lagi keadaan.

"Semua dah sampai ke?" tanya seseorang.

Serentak mereka menoleh ke arah pintu. Kelihatan Azrin sedang membetulkan lengan baju pengawasnya. Rina hanya menjulingkan mata ke atas. Dia masih geram lagi dengan Siti Safea. Langkahnya terus menghampiri Azrin yang sedang menuju ke meja.

"Awek kau je yang tak sampai sekarang ni. Memang tak berdisiplin," selar Rina sambil memuncungkan bibir tanda menyampah.

Azrin pula terus memandang Rina sambil mengerutkan dahi. Kertas yang berada di tangan, diletakkan di atas meja semula. Azrin tidak faham. Apa pula yang perempuan ini mengarut?

"Apa kau cakap ni? Awek mana?" tanya Azrin.

Rina mendengus kasar. Sempat lagi dia menjeling sekilas ke arah pelajar yang sedang ralit bersembang dengan kawan-kawan mereka. Wajah Azrin ditatap semula.

"Awek kau la. Siti Safea tu. Macam ni ke wakil sekolah yang kita nak hantar nanti? Disiplin tak ada. Pengurusan masa memang dah out. Ni kalau Cikgu Akmar tahu… bukan dia kena marah, tapi kita." Perkataan 'kita' ditekan supaya Azrin benar-benar faham bahawa Siti Safea itu memang menyusahkan.

Azrin menggeleng perlahan. Kadang-kadang, dia ada juga perasan seolah-olah Rina selalu sahaja ingin mencari salah Siti Safea. Walhal, gadis itu tidak pernah mencari pasal atau berbuat jahat. Tetapi Azrin hanya membiarkan sahaja. Selagi Rina tidak melakukan perkara yang bukan-bukan, dia masih lagi boleh bertenang.

"Salah kau juga. Yang kau set masa pukul 12 macam ni, dah kenapa? Kau tahu kan… kelas tak habis lagi. Aku pun terkejar-kejar dari tadi. Nasib baik cikgu Math aku tak ada hari ni." Seusai berkata begitu, Azrin mengambil helaian kertasnya semula. Malas mahu mahu melayan perempuan itu. Asyik serba tidak kena langsung.

Rina mendengus kasar. Dia memang sudah agak Azrin akan membela Siti Safea. Apa yang istimewa perempuan rabun itu pun dia tidak tahu. Sedangkan selama ini, dia yang banyak membantu Azrin. Bukan perempuan rabun itu.

"Menyampah la aku cakap dengan kau ni. Kalau dengan budak tu… semua je betul kat kau. Aku je yang salah." Seusai berkata begitu, Rina terus sahaja keluar dari bilik tersebut. Betulkan tudung di tandas lagi baik dari bertikam lidah dengan Azrin.








"TERIMA kasih, cikgu."

Cikgu Siti hanya mengangguk kepala sahaja. Lalu dia pun melangkah keluar dari kelas tersebut. Siti Safea terkocoh-kocoh mengemas alat tulis dan buku-buku. Buat kesekian kali dia melihat jam tangan. Jarum pendek sudah menunjukkan angka 12. Alamak! Dia sudah terlambat untuk pergi latihan debat. Sudahlah hari ini Cikgu Akmar ada memantau latihan mereka.

"Eh! Kau nak pergi mana? Gelabah semacam je?" tanya Aqilah sambil menepuk bahu Siti Safea dengan perlahan.

"Aku ada latihan debat sekarang. Aku dah lambat ni," jawab Siti Safea. Buku yang terakhir dimasukkan ke dalam beg. Aqilah mengerutkan dahinya.

"Biar betul! Masa macam ni ada latihan. Kenapa tak buat lepas habis waktu sekolah? Bukannya ada tusyen petang ni? Siapa punya idea ni?" marah Aqilah. Siti Safea hanya menjongketkan bahunya. Dia hanya ikut arahan senior sahaja.

"Aku pergi dulu. Kelas Sains nanti… kalau ada apa-apa nota, kau bagi kat Whatsapp," pesan Siti Safea. Aqilah hanya mengangguk sahaja.

Siti Safea terkocoh-kocoh melangkah keluar dari kelasnya. Jam tangan dikerling sekilas. Dia sudah terlewat lima minit. Siti Safea sudah berdebar-debar. Pastinya selepas ini, dia akan dimarahi oleh senior. Sama ada Azrin ataupun Rina. Kenapalah hari ini dia bernasib malang.

Kakinya dihayun dengan laju. Jarak antara kelas dan bilik debat tidaklah terlalu jauh. Orang sekeliling tidak diendahkan. Apabila berjumpa dengan para guru, dia hanya memberikan senyuman sebagai tanda hormat. Selalunya, Siti Safea akan menyapa dengan memberi salam.

"Saf!" panggil seseorang.

Langkah Siti Safea terhenti. Dia mendengus perlahan. Kenapa masa begini ada orang yang memanggil? Tidak nampakah sekarang ini dia sedang sibuk?

Siti Safea menoleh ke belakang. Dia terkaku. Kelihatan Haziq Arfan sedang tersenyum ke arahnya. Jantung Siti Safea sudah berdebar-debar. Mata Haziq Arfan yang cantik itu membuatkan dirinya terleka seketika. Siti Safea cuba untuk mengawal diri. Dia tidak mahu dirinya kalah lagi dengan lelaki ini.

"Aku nak cakap sikit. Kau ada masa tak sekarang?" tanya Haziq Arfan. Matanya tunak memandang ke arah wajah Siti Safea. Menyampah dengan muka berjerawat gadis itu? Mungkin dulu, ya. Sekarang dia sudah insaf. Dia tidak mahu berperangai jijik seperti itu. Dia hanya perlukan kemaafan dari gadis itu.

"Saya ada hal. Saya sibuk." Ringkas sahaja Siti Safea memberi jawapan. Nada suaranya beriak selamba padahal hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.

"Oh… tapi aku nak cakap sekejap je. Boleh tak?"

Siti Safea hanya mengeluh perlahan. Tak pernah pula lelaki ini merayu seperti itu. Kalau ikutkan hati, sudah lama dia mengangkat kaki sahaja. Malas mahu melayan lelaki yang pernah menghinanya.

"Okey. 10 saat dari sekarang." Siti Safea mengangkat tangannya dan ibu jarinya dilipat diikuti dengan jari terlunjuknya sebagai penanda bahawa setiap saat dan detik sudah pun berlalu.

"Aku nak minta maaf. I'm sorry what I have done. Please forgive me, Saf. Aku tahu aku memang bodoh tak percayakan kau dulu. Aku rasa bersalah. Aku betul-betul minta maaf." Seusai berkata begitu, Haziq Arfan menghembuskan nafasnya perlahan. Mata Haziq Arfan yang menunduk terus sahaja menatap wajah Siti Safea.

Pada masa yang sama, Siti Safea terbungkam. Perasaan marahnya semakin meluap-luap. Setelah apa yang dilakukan, senang-senang sahaja dia mahu meminta maaf. Tetapi, Siti Safea malas mahu memanjangkan cerita.  Sekarang ini latihan debat lebih penting dari Haziq Arfan.

"Dah habis cakap? Saya dah lambat nak pergi training debat. Kalau itu saja awak nak cakap, baik tak payah la. Saya banyak kerja."

Belum sempat Siti Safea mahu melangkah pergi, Haziq Arfan terus sahaja memegang lengan baju kurung Siti Safea. Dia harus berusaha. Dia tahu Siti Safea sangat membencikan dirinya sekarang ini.

Gadis itu terkejut lalu merentap tangannya. Suka hati dia sahaja mahu memegang baju anak dara orang. Haziq Arfan yang tersedar terus sahaja meraup mukanya. Dia tidak sengaja.

"Sorry… aku… tak maksud nak…"

"Ish! Pergilah sana! Suka hati je nak pegang baju orang!" marah Siti Safea. Dia tidak betah lama-lama di situ. Akhirnya Siti Safea meninggalkan Haziq Arfan yang sepertinya kesal dengan tindakan tersebut. Lama-kelamaan, senyuman manis terbit di bibir Haziq Arfan. Dia hanya melihat tubuh Siti Safea yang sedang menjauh.

"Macam kucing. Comel…"











SITI SAFEA membetulkan nafasnya. Dia melihat jam tangannya sekilas. Sudah lebih 15 minit dia sudah terlewat. Banyak kasut yang tersusun di luar bilik debat itu. Mesti kesemua peserta sudah pun sampai. Habislah dia kali ini.

Dengan lafaz bismillah, memulas tombol pintu. Pintu terbuka luas. Siti Safea sudah gementar. Perkara pertama yang dia lihat adalah pandangan Rina yang begitu tajam seolah-olah gadis itu sedang membuat kesalahan yang amat besar.  Begitu juga dengan Cikgu Akmar.

"Kenapa lambat?" tanya Cikgu Akmar.

Siti Safea meneguk liurnya perlahan. Walaupun nada suara Cikgu Akmar tenang melontarkan soalan tetapi ada ketegasan di situ dan membuatkan Siti Safea kecut perut.

"Saya ada kelas tadi." Siti Safea berkata perlahan sambil menundukkan wajahnya sedikit. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan Cikgu Akmar.

"Nama siapa?" tanya Cikgu Akmar lagi.

"Siti Safea."

"Pendebat bercakap memang tunduk kepala ke? Saya ada kat depan awak, Siti Safea. Bukan kat lantai," tegur Cikgu Akmar.

Siti Safea tersentak lalu terus mendongak kepalanya ke atas semula seraya berkata, "Saya minta maaf, cikgu."

"Azrin, lain kali nak cari wakil pendebat sekolah... bukan yang macam ni. Disiplin tak ada. Confident diri tak ada. I'm so dissapointed."

Siti Safea terbungkam. Rasa air matanya mahu mengalir. Walaupun Cikgu Akmar berkata ayat tersebut dengan tenang, tetapi kata-kata itu tetap menggores hatinya. Dia hanya mampu bersabar.



"Kalau nak masuk debat ni kan, Saf… kau kena kuat. Jangan cepat koyak. Cikgu Akmar yang aku kenal nampak je lembut. Tapi bila dia dah marah. Kata-kata dia tu memang sentap. Kau kena kuat."




Tengiang kata-kata Azrin pada minggu lepas. Memang betul kata lelaki itu. Cikgu Akmar bersifat tegas dalam lemah lembutnya. Mata Siti Safea tertancap ke arah Azrin. Azrin hanya tersenyum kecil. Mulutnya digerakkan seperti mahu berkata sesuatu terhadap Siti Safea.

'Sabar, Saf.'










Bersambung…

ShaDhia…













Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro