BAB 42

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

HAZIQ memandang sekeliling bangunan SMK Seri Meranti. Sekarang ini, Cikgu Afzal dan Cikgu Akmal membawa para atlet untuk menyaksikan liga pendebatan pada peringkat akhir setelah mereka dimaklumkan bahawa ada dua kumpulan dari SMK Seri Bergawan layak masuk ke dalam pusingan tersebut.

Semalam Haziq berjaya membawa pulang piala untuk acara olahraganya. Tipulah kalau dia tidak rasa bangga dengan percapaian tersebut. Walaupun kasutnya telah rosak akibat rancangan jahat Hilman itu, tetapi hal itu tidak mematahkan semangatnya. Semalam juga, Hilman terpaksa berhadapan dengan Cikgu Afzal. Teruk juga bekas kawannya itu dimarah oleh Cikgu Afzal. Dia amat terhutang budi dengan Haikal sekarang ini. Kalau tidak disebabkan dia, mungkin kaki Haziq akan tercedera. Nasib baik sebelum Haziq memakai kasutnya, Haikal terus sahaja menunjukkan video Hilman tersebut. 

"Kita dah sampai!" kata Cikgu Afzal. Kebetulan hanya lapan orang sahaja yang mahu menonton perlawanan debat ini. Hilman pula sudah pulang ke rumahnya. Haziq hanya memandang papan tanda sekolah itu dengan perasaan berdebar. Ya... memang dia risau. Risau apabila berjumpa Rafiq.  Tetapi lama-kelamaan Haziq menarik nafasnya perlahan. Dia cuba menenangkan diri. Dia hanya datang ke sini untuk berjumpa dengan Siti Safea sahaja.






SUDAH tiba masanya untuk liga pendebatan untuk peringkat akhir. Untuk pusingan akhir ini, liga pendebatan akan diadakan di atas pentas yang besar. Sejujurnya, Siti Safea amat gementar juga. Hari ini dia akan berdebat di hadapan ratusan penonton. Ada juga tetamu khas dari golongan VVIP turut menyaksikan liga pendebatan tersebut.

Semua peserta yang terlibat sudah berkumpul di belakang pentas. Mereka hanya menunggu arahan dari pengurus pentas sahaja. Dia menjeling sekilas ke arah Nazirul dan Ravi. Riak muka mereka tenang sahaja. Ada juga beberapa ahli jawatankuasa cenderamata yang sedang sibuk menyusun segala hadiah dan piala.

Ada juga beberapa pendebat dari sekolah yang lain sedang membaca nota-nota mereka. Siti Safea semakin berdebar. Kalau dia tidak melakukan debat pada peringkat akhir ini dengan terbaik, mesti pihak sekolah akan kecewa. Dia tidak mahu hal sebegitu terjadi tetapi harapan untuk menang hanya 50 peratus sahaja.

Kelihatan  Cikgu Akmar dan beberapa pendebat yang lain sedan menuju ke arah Nazirul, Ravi dan Siti Safea. Siti Safea tahu apabila melihat riak wajah Cikgu Akmar, dia pun berdebar juga. Lagi-lagi, pasukannya itu merupakan pendebat yang baharu.

"Cikgu saja pergi belakang pentas ni sebab nak tengok kamu semua. Cikgu berdebar sebenarnya," kata Cikgu Akmar sambil matanya melihat Siti Safea, Ravi dan Nazirul.

"Saya pun berdebar, cikgu," jawab Siti Safea. Nazirul dan Ravi hanya mengangguk setuju. Cikgu Akmar hanya tergelak kecil. Dia faham perasaan yang di alami oleh anak muridnya. Lagi-lagi kumpulan mereka ini baru pertama kali masuk liga pendebatan. Alih-alih mereka layak masuk ke dalam peringkat akhir. Itu memang hal yang sangat membanggakan.

"Lupa pulak cikgu nak bagitahu. Atlet and olahraga sekolah kita dah sampai. Mereka pun bagi datang bagi sokongan untuk kamu semua. Tadi Cikgu Afzal call saya tadi," bagitahu Cikgu Akmar.

Semua pendebat SMK Seri bergawan berada begitu teruja kecuali Siti Safea. Kalau ada atlet-atlet itu, maknanya mesti Haziq Arfan akan ada sekali. Tiba-tiba sahaja hatinya berasa risau. Azrin terus sahaja menghampiri Siti Safea. Dalam kepalanya pun berfikir hal yang sama juga. Entah kenapa dia tidak mahu Siti Safea berjumpa dengan Haziq Arfan. Dia tahu Siti Safea memang tidak sukakan bekas kawannya itu. Tetapi dia sangat takut jika Siti Safea ada perasaan kepada Haziq. Dia tidak mahu Siti Safea terluka lagi.

"Saf..." panggil Azrin perlahan. Siti Safea terus sahaja menoleh lalu dia tersenyum. Azrin hanya membalas senyuman sahaja.  Sempat lagi Siti Safea melihat sekeliling, Cikgu Akmar sedang sibuk menyembang bersama Ravi dan Nazirul. Beberapa pendebat yang lain ada juga yang sedang berswafoto.

"Sekarang kau rasa macam mana? Bila dah final ni?" tanya Azrin ingin tahu.

"Saya... rasa berdebar. Saya... takut kalau kumpulan saya tak dapat jadi juara," adu Siti Safea. Jelas nada kerisauan dalam percakapannya. Azrin hanya tergelak kecil. Memang begitulah perasaannya semasa dia berdebat di pusingan akhir buat pertama kalinya.

"Kumpulan kau dah buat yang terbaik. Cikgu Akmar kan dah cakap, kalau kumpulan kau jadi naib juara pun... kumpulan kau dah bagus. Sekarang... kau tahu kan kemampuan diri kau tu dah sampai tahap mana? Jangan insecure sangat," ujar Azrin lembut.

Siti Safea hanya mengangguk laju. Terngiang-ngiang kejadian semalam. Dia pula berasa segan kerana mendesak Azrin semalam untuk menarik diri dari pendebatan tersebut. Betullah kata Cikgu Akmar, percaya pada diri kerana tiada siapapun yang boleh mengubah nasib diri itu melainkan diri kita sendiri.

Azrin terus sahaja mengeluarkan telefon pintar dari poket seluarnya. Sebenarnya, dia mahu berswafoto bersama Siti Safea tetapi dia takut pula kalau gadis itu akan menolak permintaannya. Tiada pilihan lain lagi melainkan dia bertanya kepada tuan badannya sendiri.

"Erm... Saf, aku na... nak selfie dengan kau, boleh? Aku saja je nak buat gambar kenang-kenangan," pinta Azrin dengan sedikit tergagap-gagap.

Siti Safea tergamam seketika. Tidak pernah satu orang lelaki pun yang mengajaknya berswafoto bersama. Entah kenapa dia berasa berdebar-debar. Azrin pula sudah risau apabila melihat Siti Safea yang diam terlalu lama.

"Okey. Tapi... jangan rapat sangat." Jawapan ringkas Siti Safea tersebut membuatkan Azrin menarik nafas lega. Azrin terus sahaja menekan ikon 'Kamera' lalu dia menghampiri Siti Safea. Jarak mereka tidak terlalu rapat. Azrin terus sahaja mengangkat telefon pintarnya. Mereka berdua menunjukkan dua jari tanda 'peace' sambil tersenyum di hadapan kamera.

Beberapa foto telah diambil oleh Azrin. Pelbagai gaya semasa mereka bergambar. Ada juga Azrin sengaja menangkap gambar buruk Siti Safea dan menyebabkan gadis itu geram dengan sikap suka berguraunya.


HAZIQ ARFAN melilau mencari bayangan Siti Safea. Sekarang ini, dia sudah duduk di atas kerusi penonton yang telah tersedia di dalam dewan tersebut bersama atlet yang lain. Dia mahu keluar dari dewan tersebut untuk mencari gadis itu tetapi disebabkan laluannya terlampau sempit dan takut menganggu penonton yang lain, Haziq hanya membatalkan hasratnya sahaja.

"Kau kenapa ni? Macam kera kena belacan," kata Haikal sambil memndang pelik ke arah Haziq yang duduk di sebelahnya. Haziq terus sahaja menggarukan keningnya sambil tersengih-sengih.

"Kau nak jumpa budak nerd tu ke? Tak payah la. Dia pun tengah sibuk dengan debat. Tak ada masa dia nak layan kau," ujar Haikal dengan selamba sambil bermain dengan telefon pintarnya.

Haziq Arfan terkedu. Kata-kata Haikal itu ada benarnya juga walaupun nada suara kawannya itu berbaur sinis. Kalau dia berjumpa dengan Siti Safea, mana mungkin gadis itu mahu melayannya. Akhirnya, Haziq hanya mengeluh kasar sahaja.

"Aku nak pergi toilet kejap," ujar Haziq lalu dia berdiri dari kerusinya. Haikal hanya mengangguk sahaja. Sejujurnya, mendengar ucapan-ucapan ini membuatkan Haziq begitu bosan dan mengantuk sekali.


HAZIQ melangkah masuk ke dalam tandas. Sedang dia mahu membasuh tangannya di sinki, tiba-tiba matanya terlihat musuh pasukan debatnya Yang dahulu iaitu Rafiq dengan seorang lelaki yang sedang menuju ke tandas. Haziq terkedu. Tanpa berfikir panjang, dia terus masuk ke dalam ruangan tandas kosong yang berhampiran dengannya. Pintu pula dikunci.

Terdengar derapan tapak kaki yang semakin menghampiri. Entah kenapa jantung Haziq mula berdebar. Dia dapat merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena sahaja. Dia amat kenal dengan Rafiq itu. Lelaki itu bukannya boleh dipercayai. Ada sahaja perancangan kotor yang dia lakukan asalkan pasukan debatnya menang dalam perlawanan debat itu.

"Kau nak apa lagi ni? Lagi berapa minit debat final menengah rendah nak mula. Aku tak ada masa la nak layan kau," ujar lekaki itu. Terdengar lelaki itu mendengus kasar.

"Aku bayar kau. Lagipun kau dengan aku kan sepupu. Takkan nak tolong keluarga kau sendiri pun berkira. Kau jadi ketua hakim untuk debat lepas ni, kan? Aku minta tolong kau sikit je. Tukar markah untuk pasukan SMK Seri Menanti. Aku nak SMK Seri Bergawan tu kalah."

Haziq terus sahaja membulatkan matanya kerana terkejut. Tak sangka perangai Rafiq tidak juga berubah. Masih lagi menggunakan cara yang paling kotor untuk memburu sebuah kemenangan untuk sekolahnya. Haziq terus sahaja mengetap bibir. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia keluar dari bilik tandas ini dan menumbuk muka Rafiq. Tetapi, Haziq tidak akan buat begitu kerana buat masa sekarang ini itu adalah satu tindakan yang amat bodoh.

"Tak... tak. Kau jangan nak buat gila, Fiq. Aku baru tahun ni jadi ketua hakim. Aku tak nak calarkan maruah aku sebab buat kerja-kerja bodoh macam ni. Aku tak nak subahat. Kalau kantoi, aku juga yang kena gantung kerja. Aku juga yang susah. Kau nak bagi aku banyak duit pun, aku tetap tak nak buat."

Seusai berkata begitu, terdengar derapan kaki keluar dari tandas tersebut. Haziq terus sahaja membuka pintu tandas sedikit. Kelihatan Rafiq sedang menrengus marah sambil mencarut. Haziq tersenyum sinis. Nampaknya, rancangan kotor budak itu tidak berjaya.

"Perangai kau dari dulu sampai sekarang... tak pernah nak berubah, kan?" Haziq berkata sinis sambil matanya menatap tajam ke arah Rafiq. Rafiq pula terus sahaja berpaling ke arah suara itu. Dia terus sahaja membulatkan matanya kerana terkejut.

"Kau buat apa kat sini?" tanya Rafiq pula.

Haziq hanya tersenyum sinis. Kalau ikutkan hatinya, sudah lama dia membelasah Rafiq sehingga lunyai tetapi dia tidak mahu untuk berbuat demikian kerana tindakannya itu boleh merosakkan maruah dirinya dan SMK Seri Bergawan.

"Kau lemah la, bro. Benda macam ni pun nak menipu. Cakap je la kau takut dengan pasukan sekolah aku. Kalau kau tak cuak, tak ada kau buat macam ni. Bila-bila masa je aku akan bagi bukti tu kat pihak penganjur. Biar sekolah kau pula yang digantung penyertaan nanti," ujar Haziq sambil melangkah keluar dari tandas. Sejujurnya, dia tidak ada apa-apa bukti. Tetapi Haziq sengaja berkata demikian kerana dia mahu mengertak Rafiq sahaja.

Rafiq pula sudah meramas rambutnya. Dia sungguh stres. Apa lagi rancangan yang dia mahu lakukan sekarang ini? Dalam diam, dia menyumpah seranah Haziq yang sudah keluar dari tandas tersebut.


ShaDhia

Bersambung...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro