BAB 44

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

USAI tamat pertemuan Syuhada bersama-sama pengetua, dia membawa anaknya makan di salah satu restoran di daerah Puchong itu. Tubuh disandarkan pada kerusi. Lama dia merenung anaknya yang menunduk. Perbualan antara guru besar tadi diulang dalam kepala. Nafas dihela perlahan.

Dia memesan makanan tengah hari untuk mereka bedua terlebih dahulu. Selesai membuat pesanan, dia betulkan duduk.

"Syah," serunya lembut.

Perlahan-lahan kepala anak itu naik. Jelas dari anak matanya dia takut-takut hendak membalas pandangan si ibu.

"Syah... Ibu nak tanya ni..."

Dia hanya bergumam. Jari dimainkan spontan.

"Kenapa Syah buat semua ni?" Lembut Syuhada menyoal. Dua minggu lepas dia tiada bersama anaknya jadi, dia tidak tahu menahu tentang keadaan anaknya itu. Masalah apa anak ini lalui, dia tiada di sisi.

Syahadat menggeleng, enggan memberi jawapan. Sudahnya, Syuhada diamkan diri. Teringat kembali perbualannya dengan pengetua sekolah.

Perkembangan anaknya kian merosot. Keputusan peperiksaan jatuh merundum. Di dalam kelas, anaknya menjadi tidak aktif. Mulutnya berat untuk bertutur.

"Lepas makan kita balik," putus syuhada setelah anaknya mengelak daripada membincangkan hal ini.

Syuhada terdetik. Mungkin ini semua hikmah atas segala kejadian yang menimpanya. Dia sudah melepaskan jawatan sebagai guru sekolah. Mungkin, sudah tiba masanya dia meluangkan waktu bersama Syahadat. Mendidik sendiri dan menjaga kebajikan anaknya. Tidak perlu meminta bantuan Afiq dan Bella lagi. Memang sejak bernikah dia kurang meminta pertolongan merpati itu tetapi ada kalanya dia perlu juga bantuan mereka.

Kini, dia harus menjalankan tugas sebagai seorang isteri dan ibu sebaik mungkin.

Makanan yang mereka pesan kini terhidang di depan mata. Syuhada perasan anaknya makan seperti hendak tak hendak. Seleranya turut terbantut melihat perubahan anaknya.

"Syah tak nak makan ke? Kalau tak nak, ibu suruh dia orang bungkus."

Syahadat garu kepala. Keputusan tidak diberi. Sebaliknya dia meletakkan sudu ke pinggan. Tubuh disandarkan. Syuhada yang faham gerak badan anaknya terus memanggil pelayan untuk membungkus makanan mereka.

"Cikgu?"

Syuhada tersentak. Lekas dia berpaling. Alangkah terkejut dia melihat Amri berdiri di sisi meja mereka.

"Cikgu. Ya Allah... Risau saya tau!"

Syuhada masih bungkam. Kaget dengan kehadiran Amri. Tanpa dia sedari, tubuhnya menggeletar sedikit. Anak mata menoleh kiri dan kanan mencari sesuatu.

"Cikgu pergi mana? Izuan call saya kata Aizat heret cikgu balik sini. Cikgu okey tak? Saya call tapi tak dapat."

Dahi Amri berkerut melihat bahasa tubuh Syuhada. Anak matanya terlihat Syahadat yang duduk bertentangan. Nampaknya, Syuhada dan Syahadat sudah kembali disatukan. Aizat pula bagaimana?

"Cikgu..."

Amri mati kata bilamana pelayan datang dengan bungkusan makanan. Syuhada langsung membayar. Dia sekadar pemerhati. Kepalanya masih berfikir. Banyak persoalan yang ingin diaju pada Syuhada.

"Jom balik, Syah."

Amri jadi terpinga-pinga. Tanpa kata, wanita itu pergi. Segera Amri menyaingi langkah.

"Awak nak apa lagi, Amri? Saya nak cepat."

"Tak. Kenapa cikgu macam mengelak daripada bertembung dengan saya? Aizat ke puncanya?" Serkap Amri.

"Awak tahukan suami saya macam mana. Kenapa awak nak tanya lagi?"

"Tapi cikgu... Hal Farhan belum selesai lagi." Tukas Amri enggan mengalah.

"Cukuplah Amri. Saya tak tahan untuk berjauhan lagi dengan Syah. Saya serik."

"Takkan cikgu nak give up?"

"Kalau saya kata ya?" Duga Syuhada geram. Seketika matanya melilau pandangan ke sekeliling. Takut andai kelibat Aizat muncul.

Amri tampak gamam. "Cikgu..."

"Cikgu dah lupakan arwah? Kenapa cikgu berubah macam ni? Apa Aizat buat dengan cikgu?" Nadanya kedengaran kesal.

Syuhada tidak marahkan Amri. Langsung tidak. Amri tidak tahu apa yang dia alami. Perasaannya sepanjang berkenalan dengan Aizat sangatlah kacau. Lelaki itu seperti membawa malapetaka yang dia tidak jangka. Dari hidupnya aman, kini kembali huru hara.

"Dia tak buat apa-apa dengan saya. Saya yang mengalah. Saya dah penat, Amri." Luah Syuhada. Dia mengeluh. Hendak bercerita tentang Aizat, dia sendiri tidak sudi buka mulut. Satu lagi, dia masih isteri Aizat. Menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga aib dan maruah suami.

"Kita nak hampir selesai, cikgu. Takkan cikgu tak nak tuntut bela arwah suami cikgu?"

"Amri... Selagi saya ambil berat hal Farhan, selagi tu Aizat akan marahkan saya. Saya isteri Aizat bukan Farhan. Bukan tanggungjawab saya nak ambil tahu hal dia. Dan patutnya saya lupakan arwah."

Begetar suaranya hendak menutur kata-kata yang menyakitkan hati. Bukan setakat Amri, dia juga sakit mendengar ayatnya sendiri. Lupakan Farhan? Allahu... Dia tidak mampu.

"Jangan mengalah cikgu. Saya..."

"Syuhada!"

Baik Syuhada mahupun Amri, dua-dua terkejut. Serentak mereka berpaling ke arah suara. Wajah Syuhada pucat. Kaki menggeletar. Tangan menggengam jemari Syahadat kian erat. Kejadian yang dia tak ingin berlaku sudah berlaku. Takut-takut dia hendak bertentangan mata dengan dia.

"Kau buat apa dekat sini? Aku suruh kau pergi sekolah, bukan dating dengan lelaki lain!" Sergah Aizat. Tanpa dihiraukan Amri, isterinya dihambur dahulu. Berbulu matanya melihat dua manusia ini bertemu. Pantang dia bagi keluar, pasti bertemu mereka ini!

"Bro. Kau dah salah faham." Amri menyentuh bahu Aizat. Tidak sanggup melihat Aizat bertengkar di tempat umum.

"Salah faham apa benda? Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri!"

Aizat menepis tangan Amri. Ditolak tubuh Amri ke belakang, menjauhi isterinya.

"Aizat!" Syuhada tarik lengan suaminya.

"Apa? Kenapa back up dia? Siapa suami kau? Aku ke dia?"

"Sudahlah. Kita orang bertembung aje."

"Aku tak percayalah. Dari dulu kau berdua jumpa belakang aku. Sekarang ni nak berdalih pula," tempelaknya. Rengusan dilepaskan.

"Saya cakap benda betullah."

"Alasan." Pangkah Aizat. Langsung tidak menerima asbab Syuhada. Baginya, mereka hanya berpura-pura bertembung padahal mereka sudah berjanji.

"Aizat, kau cakap biar baik sikit. Itu isteri kau, bukan kawan."

"Suka hati akulah nak cakap macam mana dengan bini aku!" Aizat berpaling menghadap Amri semula. Wajah itu dipandang kecik besar.

Amri sengih mengejek.

"Kau jangan ingat langit selalu cerah. Kau ingat aku tak tahu apa kau buat belakang Syuhada?"

Kali ini, Syuhada yang berkerut dahi. Melihat Amri dan Aizat berlawan mata, dia tahu ada hal yang dirahsiakan daripada.

"Maksud kau?"

"Kau nak aku dedahkan sekarang ke? Depan Syuhada? Aku rasa nanti kau yang kena maki dengan dia."

Aizat terdiam. Dengan berani dia melawan renungan mata Amri. Seketika dia berdecit, seperti terperasan sesuatu.

Lengan Syuhada terus ditarik. Langsung ditinggalkan Amri. Suara Syuhada yang merayu minta dilepaskan tidak dihiraukan.

.

.

TIBA saja di rumah, Syuhada segera mengejar langkah suaminya yang laju ingin memboloskan diri ke dalam rumah.

“Abang! Abang!” Dek kerana letih panggilannya tidak bersahut, Syuhada menarik lengan Aizat menghadapnya.

“Apa? Abang penatlah. Abang nak rehat!” dalihnya.

“Apa maksud Amri?” Pertanyaan Syuhada menyentak Aizat. Langsung, dia berdengus. Kaki kembali mencorak langkah sebelum Syuhada terlebih dahulu menghalang laluan suami.

“Apa lagi Syuhada? Abang penat nak rehat!”

“Syu tanya, apa maksud Amri?” Dilontarkan semula soalan yang sama. Keinginan ingin mengetahui makna di balik kata Amri membuak-buak.

“Manalah abang tahu. Tepi.”

“Kenapa abang nak rehat? Abang tak kerja ke?”

Aizat mengeluh. Pelipis diurut seketika.

“Sekarang waktu rehatlah. Abang nak rehat kat rumah. Nanti dah habis rehat, abang pergilah kerja balik. Sudah, tepi.” Arahnya lagi, kali ini lebih tegas. Ditolak kasar tubuh Syuhada dan melangkah masuk ke rumah.

Syuhada menghantar suaminya dengan pandangan mata sebelum lelaki itu hilang di balik dinding.

Syuhada mengeluh. Dia tak puas hati. Apa makna Amri dan kenapa suaminya nampak terkejut dengan ayat Amri?

“Ibu.”

Syuhada tersedar dari lamunan. Syahadat yang berdiri di hadapannya dipandang.

“Syah minta maaf.” Tiga patah perkataan sebelum anak itu lari naik ke bilik.

Langsung tidak menoleh kembali ke arah Syuhada.

"Syah..." Gumam Syuhada. Wajah diraup. Ya Tuhan, apa yang harus dia buat lagi? Kenapa hidupnya penuh selirat?

.

.

"IBU..."

Syahadat menghampiri Syuhada yang baru selesai masak menu malam. Wajah anak itu muram ditundukkan.

"Iya Syah? Syah nak apa-apa? Ni kenapa tak mandi lagi?" Syuhada pegang bahu Syahadat lalu dipimpin ke ruang tamu. Didudukkan anaknya sebelum tempat kosong di sebelah dilabuhkan duduk.

Keluhan terlepas di bibir anak kecil itu. Dia mengerli ke arah ibu sebelum bibirnya terjuih ke hadapan. Tanpa sedar, mata mulai basah.

"Boleh ke kalau kita pergi dari sini?"

Syuhada terpempan. Hilang diksi. Tidak tahu jawapan yang boleh diberi.

"Syah tak nak tinggal sini. Syah nak tinggal rumah ibu." Syahadat peluk tubuh.

"Tapi ni kan rumah papa. Kita kena tinggal dengan papa."

"Syah ingat bila ada papa baru, hidup Syah akan happy. Tapi tak. Syah sedih. Syah nampak papa tak bagi ibu balik. Papa tak bagi ibu ambil Syah. Papa jahat. Papa tak sayang Syah dengan ibu." Luah Syahadat yang sudah teresak. Lengan naik mengesat pipi yang basah.

Keberanian yang dikumpul dilepaskan. Tak tahan rasanya Syahadat duduk di neraka ini. Dia tak sanggup lagi lihat Syuhada terseksa. Dia nampak Syuhada ditolak oleh Aizat di perkarangan sekolah hinggakan berlumuran darah.

Syahadat nampak Aizat dengan Syuhada bertegang urat.

Syahadat nampak Syuhada merayu bagai orang gila mahukan dia tetapi Aizat mengherdik syurganya.

Sebagai seorang anak kecil, itu sangat meruntuhkan emosinya. Tiada siapa lagi pernah buat ibunya seperti itu.

Perbuatan Aizat tak mampu dia maafkan!

"Syah..."

Hujung mata Syuhada berpasir. Lantas tubuh Syahadat didakap dan dihadiapkan kucupan kudus di atas kepala anak. Nafasnya sesak.

Anaknya bukan kecil lagi. Dia dah boleh faham perkara yang berlaku.

"Ibu tak sedih ke? Papa jahat dengan ibu. Kita pergi dari sinilah, ibu. Kita pergi jauh-jauh." Saran Syahadat bersungguh. Tubuh Syuhada yang terasa susut menyebakkan dia lagi.

"Rumah kita dekat sini sayang, dengan papa. Kita tak boleh keluar sembarangan, tanpa izin papa. Nanti papa risau." Pujuk Syuhada walhal kalau ikutkan separuh hatinya, memang dia ingin bawa Syahadat lari dari neraka ini.

Disebabkan kes mayat Farhan diculik, masalahnya melarat hingga ke sekarang.

"Syah tak sukaaa.... Ibu, jomlah keluarrr..." Rengek Syahadat. Bertali arus air mata tumpah. Bahu terhincut-hincut.

Syahadat kalah dengan emosi. Sangka dia mampulah disorok dari pengetahuan Syuhada, namun gagal. Berhari-hari dia lagak kuat, hari ini dia tumpas. Dia dah tak sanggup.

"Sabarlah sayang... Ini semua hanya sementara. Kita kena banyak doa pada Allah untuk jaga keluarga kecil kita."

"Syah rindu papa. Maksud Syah, papa papa. Farhan Umar. Bila kita nak lawat dia lagi?" Soal Syahadat dalam pelukan. Terkenang dia akan arwah ayah kandungnya. Rindunya dia nak tonton video-video lelaki itu. Mahu ketawa melihat telatah Farhan yang selamba. Rindu nak bersihkan kubur Farhan. Rindu nak kirim doa.

Nafas Syuhada lepas berat.

Farhan... Hati saya memang tak boleh lari daripada awak. We miss you a lot.

"Nantilah sayang... Bukan sekarang."

"Kenapa?"

"Sebab..." Lidah Syuhada kelu. Ayat apa yang sesuai? Dia tak mahu lagi burukkan Aizat. Cukuplah apa yang Syahadat tahu. Itu pun dah cukup menyesakkan dada.

"Nantilah."

Syahadat bagaikan faham hanya bergumam. Pelukan dilepaskan. Jemari Syuhada dicapai lalu diusap.

"Syah minta maaf sebab Syah ponteng sekolah."

"Ibu tahu Syah takkan buat tanpa sebab. Anak ibu anak yang baik."

"Syah tak suka bila cikgu buka topik ayah. Homework yang Syah tak buat tu semua pasal ayah. Syah tak suka." Akhirnya Syahadat buka cerita.

Terdiam Syuhada jadinya. Jadi, semuanya kerana Syahadat mahu tunjuk protes? Tak sangka perbalahan bersama Aizat menjejaskan pelajaran Syahadat.

"Tasha dengan Marsha ada tanya Syah tapi Syah diam. Syah tak nak susahkan mereka. Kadang-kadang Syah cemburu tengok uncle Afiq dengan aunty Bella datang jemput Tasha dengan Marsha. Senyum je. Bila kak Zati ambil Syah, Syah kena marah-marah dalam kereta. Otak Syah sakit, ibu." Adunya. Bibir mencebik sedih. Tangan naik memicit kepala.

Lagilah nak sayu Syuhada mendengarnya. Teruknya anaknya perlu lalui. Pipi kecil itu diusap. Dihadiahkan kucupan pada dahi lelaki itu.

"Ibu minta maaf, sayang. Kalau papa bagi ibu ambil Syah, dah lama ibu datang ambil Syah."

Syahadat geleng kepala. "Bukan salah ibu. Papa yang tak bagi ibu datang jumpa Syah."

"Taklah... Papa risau keselamatan kita aje."

"Ibu tipu."

Mudah aje si kecil itu patahkan alasan Syuhada. Dia benar-benar sudah nampak dunia Syuhada dan Aizat yang dilanda taufan beliung.

"Ibu makin kurus. Ibu kurang makan. Ibu selalu sakit."

"Ibu pun manusia, sayang."

"Mesti papa buat ibu, kan?"

"Ya Allah Syah, bukanlah sayang..." Nafi Syuhada. Sesak dadanya hendak menungkas bicara Syahadat. Semuanya tepat sekali dengan batang hidungnya.

"Syah tak patut jumpa papa dekat Pahang." Syahadat mula mengendurkan suara. Terkenang pertemuan pertama mereka. Bukan main teruja dia memeluk Aizat. Sangka dia, inilah kebahagiaan tetapi ini penderitaan. Lebih perit, ibunya merana sama. Syahadat tak boleh tahan.

"Tak baik cakap macam tu. Papa tu papa Syah tau."

"Tahu..."

"Kita doa yang baik-baik aje untuk papa. Moga Allah lembutkan hati papa untuk sayang Syah dengan ibu semula."

Syahadat hanya mengangguk kecil.

"Nak makan dulu tak? Atau nak mengaji sebelum Maghrib?"

"Makan. Syah rindu masakan ibu. Papa tak pandai masak, Syah tak suka."

"Ei, tak baik cakap papa macam tu." Hidung Syahadat dicuit.

"Betullah. Kalau Syah tipu, nanti Syah berdosa. Syah jujur aje." Syahadat tayang sengih.

.

.

.

.

Saya nak hug Syah :(

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro