BAB 1 Naskhah

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


"Sudah bersedia adinda?" Pertanyaan diaju penuh sinis. Malah hujungnya diakhiri dengan gelak tawa Raja Muhamad.

Tidak menoleh, Raja Husin sekadar menggangguk. Tubuhnya di posisi bersiaga. Segala tumpuan dan tenaga telah dipusatkan. Dengan sedikit membongkok ke hadapan, Raja Husin memasang tekad. Dia pasti kemenangan akan berpihak kepadanya kali ini. Sekilas, ingatannya berlari mengingati kesalahan pada pusingan pertama tadi. Hilang imbangan tubuh sewaktu meniti batang balak telah melambatkan kelajuan sekaligus menjauhkan kedudukan dari pesaingnya sehingga menemui kekalahan.

Sejurus Raja Muhamad memberi isyarat, kawasan dusun Diraja bergema dengan teriakan pengawal. "Mula!"

Segala tenaga dikerah agar larian bertambah pantas. Dalam jarak kurang dari 200 kaki, Raja Husin menangkap kelibat kain perca merah pada hujung batang anak panah di dalam bergetar. Lima kain merah menandakan lima sasaran sedang menanti. Sasaran yang pasti ditembusi anak panahnya tanpa satupun tersasar!

Tatkala busur dan bergetar dicapai, Raja Husin sempat melirik ke sisi. Raja Muhamad juga telah selesai melalui cabaran pertama beberapa langkah di belakangnya. Bergetar disangkut ke bahunya. Halangan Raja Husin cuma pada sebatang balak di hadapan. Dia mulai memecut agar tatkala kaki diinjak pada bongkah melengkung tersebut, daya tolakan membantu badannya memecut atas kayu.

'Berjaya!' Hati Raja Husin keriangan sehingga terkeluar ketawa kuat dari ulas bibirnya. Para kayu di sisi kuda hanya dijejaki dengan hujung kaki. Dia bagaikan terbang ke atas pelana sebelum mengerah binatang sasa itu berlari kencang. Raja Husin arif benar akan lawannya yang handal mengendali kuda. Tetapi dia juga kenal kekuatan diri sendiri. Tak satupun sasaran pernah terlepas sia-sia dari bidikan busurnya.

Derap kaki kuda yang dipacu Raja Muhammad semakin kencang. Kini, sebelah menyebelah mereka bersaing menghampiri barisan pokok belimbing yang ditanam berderetan. Sasaran terlebih dahulu disembunyikan di situ. Di celah-celah dahan dan daun-daun hijau yang merimbun, kain merah diikat kemas pada tangkai buah belimbing yang ranum. Hanya lima belas biji sahaja yang bertanda.

Mata kedua-dua anak raja itu galak mengimbas semua pohon di kiri dan kanan laluan. Raja Husin dan Raja Muhammad tekad memburu sasaran.

Supp! Bedebuk!
Bidikan dilepaskan dari tangan Raja Husin. Sebiji belimbing dengan ikatan kain merah terpotong dari tangkainya.

Bedebuk!
Bidikan kedua Raja Husin juga mengena.

Raja Muhammad juga telah mendapat peluang. Sasaran pertama dan kedua tepat menembusi isinya. Kini, masing-masing berkejaran ke sasaran ketiga.

Tuah menanti buat Raja Husin. Dia telah menjumpai sasaran ketiga. Pantas busur diregang sebelum anak panah dilepaskan.

Tersasar!
Silau cahaya dari celah belukar mengganggu tumpuan. Pandangan segera dialih ke tepi. Kelihatan dua tangan digapai tinggi. Tatkala muncul kepala yang sedang menjenguk keluar dari situ, Raja Husin sudah mengenal pasti si pembuat angkara.
Sial!

Raja Muhammad ketawa. Anak panahnya menjumpai sasaran ketiga dan keempat. Dia semakin menghampiri garis penamat sedangkan Raja Husin berterusan dihujani silauan sehingga kesemua anak panahnya tersasan. Bidikan terakhirnya laju menerjah ke tubuh Panglima Hitam yang berdiri memerhati dari jauh. Mudah sahaja dia mematahkan tujahan dengan hentaman tombak yang diambil dari pengawal di sisinya.

Deraian ketawa dari mulut Raja Muhammad masih tak berhenti tatkala kakinya memijak tanah. Terbahak-bahak dia ketawa. Perilaku adindanya sebentar tadi amat bertentangan dengan omongan besarnya sebelum pertarungan bermula.

Raja Husin menyerahkan tali kekang kuda kepada pengawal sebelum turun menyertai kekandanya. Apa yang berlaku memang menjengkelkan akan tetapi dia tetap sedia menerima apa sahaja akibat kekalahan. Pertarungan tetap pertarungan. Dia tidak gentar menerima cabaran apatah lagi kekalahan. Menang atau kalah tidak banyak bezanya. Paling teruk dia akan didenda atau diperlakukan sesuka hati laksana budak suruhan.

"Hmm... kali ini kekanda mahu bersiram dengan taburan bunga mawar pula. Tujuh mawar yang berlainan jenisnya. Dah melekat bau herba di badan kekanda."

Raja Muhammad menepuk-nepuk belakang bahu Raja Husin. Senyuman masih berbaki di bibirnya.

"Lagi pula manalah tahu kalau-kalau berkat air tangan adinda nanti, jodoh kekanda cepat datang."

Raja Husin cuba bermanis muka. Minggu lepas, tiga hari dia berpenat lelah menyediakan air siraman herba kekandanya, balasan di atas kekalahan pertaruhan mereka. Dan kini, mandi bunga pula? Wajah-wajah dayang dan inang istana mendekati ingatannya satu persatu. Mangsa mulut manisnya nanti. Akan tetapi satu wajah yang sedia untuk dibaham sebentar lagi mulai memenuhi fikiran Raja Husin. Tanpa dia sedari, tangan telah mengepal erat.

Raja Husin membongkokkan tubuh. Sengaja diperlihatkan wajah yang sakit kepada kekandanya. Alasan yang mudah untuk menamatkan pertemuan mereka.

"Aduh! Memulas pula perut adinda."

Sambil mengatur langkah ke belakang, Raja Husin memohon beredar.

"Kita bicara semula ya Kanda. Apa sahaja kemahuan kekanda, akan adinda penuhi. Dinda mohon undur diri."

"Adinda! Tunggu!" Raja Muhammad tidak termakan umpan. Akan tetapi Raja Husin telahpun berpaling dan berlari meninggalkannya.

Panglima Hitam merapati Raja Muhammad, menggeleng-geleng memerhati lagak Raja Husin.

"Banyak sungguh helahnya."
Raja Muhammad ketawa sambil mengusap lembut kuda kesayangannya. Dia kenal sangat perilaku adindanya itu. Sukar ditelah akan tetapi mudah dipujuk dan dibawa berunding. Meskipun selaku Raja Muda Besar Melaka, ruang masa baginya semakin sempit, itu bukan alasan untuk tidak mengambil tahu urusan adinda-adindanya terutama sekali Raja Husin. Mereka akrab semenjak kecil. Meskipun lahir dari rahim yang berbeza, mereka berkongsi nasab yang sama dari susur galur pemerintah agung kerajaan Melaka.

"Adinda Raja Husin banyak menyimpan rahsia sejak akhir-akhir ini. Beta amat khuatirkan keselamatannya."

Renungan redup Raja Muhammad cukup dimengertikan oleh Panglima Hitam.

"Hamba akan menghantar orang-orang hamba mengintipnya. Usahlah Paduka tuanku bimbang."

Tangan Raja Muhammad berlabuh ke bahu Panglima Hitam. Bersama ukiran senyuman, dia mengangguk perlahan.

Di tepi tembok kota Melaka, Malim tersengih-sengih menanti Raja Husin. Serpihan cermin di tangannya berkilau melempias sinar suria petang.

Hati Raja Husin sungguh membara di saat ini. Wajah manis Malim tidak berupaya meredakan kemarahannya. Sebaik sahaja Malim menghampiri Raja Husin, sebuah tendangan menyambut kehadirannya. Malin terpelanting ke dalam belukar.

Wajah manis bertukar kelat. Malim mengerang kesakitan sambil memeluk perut. Nafasnya terasa tersekat dek kekejangan otot di situ.

"Ampunkan... Patik... tuanku."

Raja Husin melarikan tangan ke rambut sembari menahan amarah. Dia kenal sangat dengan orang suruhannya itu. Cekap tetapi adakalanya bahlol. Setia tetapi mudah sangat berkalih-kalih hatinya. Boleh diharap tetapi kurang berfikir panjang.

"Baik kau bawa berita baik kali ini, Malim. Jika tidak, beta akan pastikan tubuhmu berendam dalam Selat Melaka dua hari dua malam lamanya."

Terbongkok-bongkok Malim bergegas menghadap Raja Husin. Dengan wajah mencerut, Malim memberikan alasan.

"Hamba ini hanya menurut perintah. Tuanku juga yang berpesan tempohari, seandainya hamba telah berjumpa jawapan, bersegera menemui tuanku tanpa berlengah."

Membulat mata Raja Husin mendengar jawapan Malim. Kini, dirinya pula disandarkan alasan.

"Bila beta pernah bertitah sedemikian? Perihal apa yang mustahak begitu sekali sehingga tak sempat-sempat kamu menanti urusan beta selesai tadi?" bentak Raja Husin.

"Eh! Masakan tuanku sudah lupa ..."
Termalu- malu Malim pandang Raja Husin. Di kala ini, Raja Husin rasa seperti mahu menyinggah sepenumbuk dua pula tepat di muka Malim.

"Ala... di dalam kamar beradu Paduka... semasa hanya tinggal kita berdua. Tuanku datang merapati patik, lalu berbisik di telinga patik."

Raja Husin menghalakan tapak tangannya ke arah Malim. Berombak dadanya menyaksikan kelaku Malim.

"Sudah! Sudah! Apa yang kamu merepek ini Malim!"

"Tadi tuanku bertanya, sudah dijawab marah-marah pula," gumam Malim.

"Apa Malim? Ulang semula apa yang kamu ujarkan tadi?"

Memang kali ini Raja Husin telah hilang sabar. Selepas ini akan diutarakan kepada kekandanya agar dijadikan Malim sahaja sasaran anak panah mereka menggantikan buah belimbing.

Malim memuncungkan bibir dan menjawab, "Tidak ada apa-apa Paduka. Marilah kita pulang sahaja ke istana. Hamba urutkan seluruh tubuh tuanku dengan minyak akar kayu, mahu?"

'Pulang ke istana? Urut badan? Lekas benar Malim mengalih tumpuan,' getus hati Raja Husin. Baginda yang telah terdidik dengan pelbagai ilmu dan kepandaian dari usia mentah lagi tidak terjejas langsung dengan kata-kata Malim. Malah Raja Husin tahu sangat, dengan Malim dia harus mengalah dengan perasaannya sendiri.

"Apa berita penting yang kamu bawa?"

Malim masih teragak-agak menjawab. Lama direnungnya tanah merah yang berlopak. Hanya sepatah kata yang keluar dari bibir Malim, " Naskhah."

Kali ini jawapan Malim benar-benar mengundang keterujaan Raja Husin. Kedua bahu Malim dipegang erat.

"Kamu telah temui jawapannya? Bila? Di mana?"

Malim membalas renungan putera rajanya.

"Kita kena keluar dari istana malam ini juga tuanku. Andai terlepas peluang kali ini, patik bimbang kita tidak akan dapat menemuinya langsung selepas ini."

Raja Husin berlegar-legar kegusaran. Aduhai! Mendesak benar sedangkan alasan yang boleh digunapakai tiada. Mahu meminta pertolongan kekandanya bimbang pula Raja Muhammad berupaya menghidu rancangannya.

"Masa untuk bersantap bersama-sama ayahanda sudah hampir. Mustahil kita dapat keluar dari istana sekarang. Kamu ada sebarang ikhtiar, Malim?"

Malim menggaru-garu kepala. Dari riak wajahnya Raja Husin tahu Malim telah bersedia dengan perancangan rapi. Cuma... Ah! Kalau boleh dia tidak ingin tahupun rencana Malim.

"Sebentar ya, tuanku."

Malim berlari anak ke semak lalu mencapai bungkusan kain. Setelah itu Malim hanya memberi renungan. Bungkusan masih erat terkepit celah tubuh.

"Patik... Patik... khuatir... tuanku murka."

Cuak sungguh Raja Husin mendengar kata-kata Malim. Apa sangat hal yang bisa membuat dia murka. Dipejam matanya rapat-rapat dengan harapan anggapan buruk segera pergi. Separuh hati dia gagahkan diri membuka mata dan cuba memaniskan muka di hadapan Malim.

"Biar beta lihat dahulu apa yang kamu rancangkan."

Raja Husin menyentap bungkusan kain Malim. Perlahan-lahan Malim berundur ke belakang menuju belukar.

Nafas dihela sedalam-dalamnya sebelum Raja Husin membuka bungkusan tersebut. Namun semua itu hanyalah sia-sia belaka. Kuat sungguh tempikan suara Raja Husin tatkala baginda melihat isi bungkusan Malim.

"Maliiiiim!"


* Raja Husin ibni Raja Abdullah dimasyhurkan dengan gelara rasmi Sultan Alaudin Riayat Syah, pemerintah Kesultanan Melaka ke 8.

*Sultan Muhammad Syah ibni Sultan Mansur Syah merupakan Sultan Pahang yang pertama.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro