BAB 2 Rencana rahsia

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Pertemuan untuk melaksanakan rencana rahsia yang diatur bersama-sama paman semakin hampir. Bidasari mencapai sepersalinan lengkap milik ayah dari dalam gobok lalu dilipas kemas di dalam kantung kain batik. Semua barang keperluan telah tersedia termasuklah sebilah keris pusaka milik keluarga arwah ibunya.

Bidasari menarik nafas panjang sebelum melangkah keluar dari kamar menuju ke pintu utama. Hanya beberapa langkah sahaja, rencananya pasti akan berjaya jika suara garau ayah tidak berkumandang seisi rumah.

"Bidasari! Mahu ke mana kamu? Bukankah sudah gelap isi buana di luar sana?"

Serta merta langkah Bidasari terhenti. Perlahan-lahan kepalanya berpaling ke sisi. Ayahnya masih memaku mata menanti jawapan. Dari lisan mahupun bahasa tubuh Bidasari; berpatah semula ke kamar. Tak sengaja matanya menangkap sesuatu yang amat menarik.

Ada kitab baru di tangan ayah? Tulisan siapa? Hati Bidasari mendesah ingin tahu. Luaran kitab nampak asing di matanya. Akan tetapi itu bukanlah keutamaan buat masa ini meskipun keasyikkannya terhadap ilmu dan kitab tiada tolok bandingan. Ada permasalahan bangsa dan negara yang perlu dia selesaikan malam itu. Sudah tentu tanpa pengetahuan ayahnya.

Bidasari merapati Pak Rasul. Soalan meluncur laju dari mulut. "Kitab pasal apa ayah? Pertanyaan sebegitu bertujuan mengalih perhatian ayahnya dalam masa yang sama memenuhi lonjakan hati Bidasari. Bibir sang ayah mengukir senyum. Dia tahu sangat keasyikan satu-satu anak gadisnya itu.

"Kajian tentang alam semesta. Bagaimana terang dan gelapnya bulan dan kaitan dengan kejadian alam. Pasang dan surut air laut, gelora dan tenang muara. Malah menjadi panduan bagi ahli falak bagi penentuan kitaran hari dalam sebulan."

Punggung Bidadari telah berlabuh di sisi ayahnya tanpa dia sedari. Ilmu baru!

"Karangan siapa? Orang kita? Atau kitab yang bersandarkan ilmu bangsa lain?"

Pak Rasul ketawa kecil. Dagu anaknya disentuh lembut.

"Jika mahu tahu lebih banyak lagi, duduk lama-lama di sini. Mari mentelaah bersama-sama ayah."

Bidasari menolak pelawaan dengan lembut. "Sari ada janji dengan Paman malam ini. Mahu bicara hal penting kata Paman."

Pak Rasul meletakkan kitab ke riba. Dicari anak mata Bidasari dalam kesamaran cahaya dian di hadapan mereka. "Ada-ada sahaja Paman kamu itu. Tidak cukup siang, malam pun dia mahu berkelek dengan anak aku. Bilang sama Paman kamu, suruh anaknya Si Siantan itu cari jodoh cepat-cepat. Biar segera bermenantu. Ini tidak, anak aku juga yang dikejarnya."

Hati Pak Rasul cepat panas apabila adik arwah isterinya sering mendapat perhatian Bidasari.

Habislah aku. Hati Bidasari mendecit amaran. Bidasari tahu sangat bahawa ayahnya dan paman tidak sebulu. Jika dilayan, sampai ke pagi dia akan betapa di situ mendengar omelan ayah tentang Paman. Oleh yang sedemikian, dalam gerak pantas, tangan tua itu Bidasari kucup laju. Ciuman Bidasari singgah di kepala Pak Rasul sebelum dia bergegas bangun lalu menuju ke pintu.

"Sari harus pergi sekarang. Mungkin Sari akan bermalam di rumah Paman."

Kedua-dua belah kaki Bidasari telah menuruni tangga rumah ketika ayah berteriak kuat, "Apa? Bermalam di rumah Paman? Paman kamu benar-benar mahu merebut kamu dari aku ya?"

Bidasari pura-pura tidak mendengar kata-kata Pak Rasul . Dia pasti ayahnya akan menghalang jika diminta izin terlebih dahulu. Atau akan tidak sedarkan diri jika mengetahui rancangannya yang sebenar. Dari jauh Bidasari melaung, "Ayah jaga diri ya. Makan dan minum sudah Sari sediakan di bawah tudung saji di dapur."

Bidasari menarik kain batik agar menyelubungi seluruh kepala. Biarpun jelas bahaya yang menanti, keterujaan mengatasi bimbangnya.

Dari dalam kamar Raja Husin, agak lama mata besar Malim menatap putera kesayangannya. Tak mampu dia menahan senyuman biarpun dari awal lagi Raja Husin telah memberi amaran keras.

"Tuanku nampak lebih jelita daripada ibu hamba."

Ikhlas pujian diberi meskipun jelingan tajam yang Malim terima sebagai balasan. Suara Raja Husin keras keluar dari celahan gigi-gigi yang berlaga.

"Kau jangan lupa Malim. Ada keris yang terselit ditubuhku di sebalik baju ini."

Raja Husin mengetap gigi lagi sebelum keluhan berat dilepaskan untuk entah kali ke berapa semenjak baju kurung labuh pesak gantung itu mulai tersarung di tubuh. Mahu sahaja dia kerat lapan lidah Malim tatkala mendengar hilai ketawa halus daripada pembantunya itu ketika menolong dia mengenakan pakaian tadi.

Kini, telah masuk kali yang ke sepuluh dia berlegar mengelilingi katil. Teragak-agak mahu melangkah keluar kamar. Bagaimana jika rancangannya gagal? Apa pandangan dayang dan pengawal istana seandainya dia tertangkap berpakaian sebegini? Mahu pengsan ayahanda jika berada di hadapan Raja Husin sekarang. Terasa pahit air liurnya yang ditelan laju.

Malim masih setia menanti di birai pintu. Sesekali kepalanya menjenguk keluar memerhati pergerakan pengawal istana.

"Jikalau tuanku ragu-ragu, kita batalkan sahaja rencana ini." Lembut suara Malim seakan-akan memujuk.

"Ini perkara penting Malim. Berkait rapat dengan jatuh bangunnya kegemilangan bangsaku serta kerajaan Melaka ini. Masakan beta berupaya bertolak ansur?"

Kata-kata yang diujar kepada Malim sebenarnya diaju buat diri Raja Husin juga. Dia mengumpul semula semangat yang kian menghilang. Biar apapun yang bakal terjadi, sebesar manapun kesukaran dan bahaya yang terpaksa dia tempuhi malam ini, Raja Husin tak akan mengalah. Akhirnya Raja Husin mengangguk seraya berkata kepada Malim, "Ayuh, mari kita pergi."

Terencat pergerakan Raja Husin dihalang dengan tangan Malim di muka pintu. Dalam teragak-agak, Malim luahkan juga suara hati. "Bolehkah tuanku berjanji dengan patik sebelum kita keluar?"

Anak mata Malim dipandang tepat. Raja Husin boleh merasakan kesabarannya semakin nipis.
"Ada apa lagi Malim?"

"Boleh Paduka janji... agar menjaga baju ibu patik sebaiknya? Baju ini pemberian pertama ayah kepada ibu." Masih terbayang-bayang tangannya yang terketar-ketar tatkala Malim menyembunyikan baju kesayangan ibunya itu ke dalam bungkusan. Rancangan malam itu telah difikir masak-masak setelah dia meneliti kawalan keselamatan istana. Dari pemerhatian Malim, jarang sekali dayang istana atau gadis yang keluar atau masuk ke istana di soal siasat dengan teliti oleh para pengawal. Malah dia pernah melihat pagar besar istana dibuka seluasnya hanya dengan satu kenyitan daripada si gadis.

Raja Husin dengar acuh tak acuh. Banyak perkara lain lagi yang lebih besar ertinya daripada sepasang baju di dalam hidupnya. Pipi gebu Malim memenuhi kedua tapak tangan Raja Husin.

"Malim, dengar sini. Kalau baju ini diapa-apakan, beta berjanji akan menggantikan seratus persalinan baru yang jauh lebih baik daripada baju ini untuk ibu kamu."

Malim mengganggukkan kepala. Wajahnya masih suram. "Menjunjung kasih, tuanku. Akan tetapi patik mahu tuanku tahu bahawa kenangan yang indah tidak akan bisa dapat mengatasi seratus perkara baru yang tidak bermakna dalam hidup kita."

"Apa-apa sahajalah Malim. Mari pergi. Kita akan terlepas nanti andai masih bertangguh."

Raja Husin menarik tangan Malim keluar kamar. Mereka menuju balai tengah seterusnya ke pintu besar istana. Menyembunyikan wajah di dalam kain kerudung, tidak putus-putus Raja Husin memanjatkan doa agar Tuhan melindungi mereka berdua malam ini. 

Langkah kaki mereka terhenti di pintu utama istana. Pengawal bertugas merenung gadis yang dilihatnya dari atas sehingga ke bawah. Garang mewarnai nada suara pengawal istana ketika dia bertanya,"Siapa kamu? Mahu ke mana?"

Malim pamerkan wajah manis dan menjawab, "Dayang baru."

Pengawal menempelak Malim. "Bukan kamu. Aku bertanya kepada dia! Siapa tuan hamba? Sila tunjukkan wajah!"

Tubuh Malim mula bermandi peluh manakala Raja Husin yang berdiri rapat di sisi Malim menarik nafas sedalamnya sebelum menyahut dalam nada suara yang paling halus dan lembut, "Hamba Lelasari."

Pengawal masih tidak berpuas hati. Ditenungnya wajah Malim semula. "Kenapa kamu tersengih-sengih? Ada apa-apa yang menggelikan hati kamu?"

Lekas-lekas Malim menggelengkan kepala dan menjawab, "Merdu suara dia."

Tak sedar siku Raja Husin laju menujah rusuk Malim. Berkerut sebentar wajah Malim. Pengawal melangkah berdiri berhadapan Raja Husin dan memberi arahan, "Perlihatkan aku wajah kamu!"

Titis dingin mulai merenik di dahi Raja Husin. Ternyata rancangannya bakal berakhir di sini sahaja. Malim menggamit pengawal supaya mendekatimya. Dibisiknya sesuatu kepada pengawal. Serta merta pengawal tunduk lantas membuka pintu utama. Lekas-lekas Malim dan Raja Husin mengatur langkah laju beredar dari perkarangan istana. Setelah jauh dari Kota Melaka, Raja Husin menukar pakaian di belakang perdu pohon besar. Sambil itu sempat juga Raja Husin bertanya, "Apa yang kau bisikkan kepada pengawal tadi, Malim?"

"Oh! Perihal tadi ya. Patik bagitahu pengawal, ini gadis istimewa Paduka Raja Husin."

Malim ketawa mengenangkan peristiwa tadi. Tidak disangka, tipu muslihatnya berjaya. Raja Husin menghulurkan baju samaran kepada Malim.

"Gadis istimewa? Ada-ada sahajalah kau ini Malim." 

Bertentangan dengan ayahandanya yang terkenal dengan kehebatan memenangi serta disenangi semua wanita, Raja Husin tidak pernah ambil pusing tentang perempuan. Hatinya tidak tertarik dengan mana-mana gadis samada di dalam istana mahupun di luar istana. Fikirannya hanya dipenuhi dengan ilmu-ilmu yang dipelajari daripada para cendekiawan, alim ulama' dan kitab. Masanya banyak dihabiskan di kutubkhanah ataupun bilik bacaan Diraja. Hatinya bagaikan meletup dengan keterujaan sekiranya terjumpa pengetahuan baru. Lebih baik bercinta dengan ilmu daripada gadis. Sudah pasti ilmu akan menuntunnya ke lembah makmur dan mulia. Sedangkan gadis mungkin akan membawa fikirannya menerawang entah ke mana-mana.

Raja Husin perasan garisan melengkung yang sungguh lebar di bibir Malim. "Hmm... tak habis-habis lagi kau nak mempersendakan beta, Malim?"

Dalam menggeleng Malim masih tersenyum. "Patik gembira Paduka, kerana kita berdua tak banyak bezanya."

"Apa maksud kamu?" Berubah nada suara Raja Husin. Masakan Malim sudah lupa akan kedudukan dirinya.

"Persalinan orang-orang biasa yang tuanku pakai ini tidak membezakan darjat kita. Jikalau patik kena tangkap dengan orang jahat, sudah tentu tuanku pun tertangkap sama."

Laju Raja Husin menghayun tangan ke kepala Malim. Agak kuat sehingga Malim tertunduk ke bawah. Hilang terus senyuman Malim. Kepala digosoknya kuat.

"Awas bicaramu Malim. Sesungguhnya kata-kata yang terbit dari mulut itu adalah suatu doa. Lalu ke mana haluan kita seterusnya, Malim?"

Perlahan sahaja Malim menyahut. "Bukit Bertam."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro