Bab 8 Cinta berputik di hati

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


Pintu bilik diketuk lagi. Hati yang baru sejuk kembali panas. Ikutkan kemarahan, Raja Muhamad ingin menghalau semua dayang dan pengawal yang bertunggu di luar. Dia mahu bermewah dengan kekosongan masa tanpa gangguan. Ingin puas melayan perasaan sambil merenung kain putih pembalut tangan.

Aneh badan ini. Masa kian menjauh. Akan tetapi kesannya terhadap ingatan kekal sama. Itu luahan hati Raja Muhamad setiap kali terimbas peristiwa di Kota Melaka siang tadi, namun jantung kekal kencang memalu dada.

"Masuk!"

Suara sengaja dikeraskan. Hasrat Raja Muhamad memberi amaran kepada pengganggu terbantut tatkala kepala Raja Husin terjengol.

"Adinda telah sediakan air mandian buat kekanda. Adinda tunggu di serambi tenggara di atas. Jangan lama-lama bersiap. Cuaca sejuk malam ini. Air mandian cepat dingin."

Raja Muhamad menyahut dengan dengusan kuat.
Ah! Kenapalah menyibuk di waktu ini adinda?

Malas-malas Raja Muhamad bangkit dari katil dan menyalin pakaian. Kain putih diusap penuh lembut sebelum dibuka lalu disimpan dalam peti kecil berukir bunga teratai.

Benar kata-kata Raja Husin. Elok Raja Muhamad membuka baju, tiupan angin dingin dari Selat Melaka menerjah serata badannya. Meremang sebentar bulu roma sementara badan tenggelam dalam air hangat. Raja Husin turut membuka pakaian dan memasuki kolam kayu di sebelah kekandanya. Kedua-dua anak raja itu tenggelam dalam nikmat air herba.

"Hmm, rasanya kekanda berpesan air mandian bunga mawar semalam."

Raja Husin memejam mata dan menjawab, "Sengaja adinda pilih daun-daun kayu. Badan cepat segar. Luka dan lebam kekanda cepat pulih."

Raja Muhamad mencemik. Tangan yang terendam di dalam air diangkat ke permukaan. Garis luka di situ masih merah. "Apalah dikisah kesan luka di tubuh berbanding kesan cinta di hati."

Mata Raja Husin terbuka sungguh luas mendengar ungkapan cinta kekandanya. Air mandian berkocak saat dia mengalih badan menghadap Raja Muhamad.

"Kekanda sudah jatuh cinta? Siapa gerangan gadis bertuah bakal berkongsi panca persada dengan kekanda?"

"Rahsia. Sebagaimana adinda yang banyak berahsia dengan kekanda. Mahu buat pertukaran? Satu rahsia adinda dengan satu rahsia kekanda?"

Raja Muhamad menutup mata, membiarkan ingatan indah kembali membuai diri. Tubuh enak bersandar pada dinding kolam kecil itu. Dia masih tidak mendengar adindanya menyahut.

Raja Husin melangut ke angkasa. Gugusan bintang bersepah di lautan langit. Angin malam mengulit rambut dan wajah, mendamaikan kalbu dan minda. Kekandanya sungguh bijak mengatur percaturan. Oleh itu dia harus setapak lebih bijaksana, mengelak langkahnya dari dihidu.

Raja Muhamad menarik nafas panjang mencari tenang. Perlahan-lahan udara dihembus keluar menerusi mulut. Bagai menarik rambut dari dalam tepung. Rambut jangan putus tepung jangan berserak. Itulah pepatah yang dipegang dalam mencampuri urusan adinda-adindanya. Dia tidak akan menghalang. Namun tidak juga membiarkannya mereka begitu sahaja.

"Biar apa pun rencana adinda, berwaspadalah. Letakkan akalmu di hadapan mata sebelum perasaan. Jaga nama baik dan maruah ayahanda. Buang jauh-jauh sifat terburu-buru itu."

Tangan Raja Muhamad mencapai kepala Raja Husin. Diusap-usapnya lembut agar hati adindanya mudah sejuk dan terbuka untuk bercerita tanpa paksaan. Ternyata soalan yang Raja Husin ajukan selepas itu tidak jauh menyimpang dari andaiannya.

"Kekanda tahu di mana Rabung Gangsa? "

Persoalan Raja Husin menangkap perhatian Raja Muhamad. Dia membuka mata. Wajah Raja Husin ditatap lama sebelum menjawab. "Hm, tahu. Kenapa ?"

Kening Raja Husin bertaut rapat ketika menyoal lagi. "Kenapa adinda tidak pernah dengar tempat itu ada di Melaka?"

Bergerak-gerak halkum Raja Muhamad menelan air liur. Ditahannya kebimbangan dengan palitan senyuman. Dia perlu memperhalusi segala tindak tanduk, agar niatnya kelihatan kabur di mata Raja Husin. "Adinda mahu lihat Rabung Gangsa? Mari kekanda tunjukkan."

"Di saat ini?" Terpinga-pinga Raja Husin melihat Raja Muhamad bingkas bangun dan mengenakan jubah di tubuh.

"Iya, seandainya adinda masih ingin tahu. Jumpa kekanda di pintu besar belakang istana sebentar lagi."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro