Part 31

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Setelah garisan fajar sidik muncul di langit, Raja Husin dan Paduka Mimat memulakan perjudian nyawa mereka. Kepada Bidasari dan Malim, putera itu berpesan, "Jangan sekali-kali kamu berdua turun ke bawah sana. Aku mahu kamu memerhati dan berkawal dari sini sahaja. Seandainya terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini, lekas larikan diri dan minta bantuan. Jangan bertindak sendirian."

Jika semalam, lengan Bidasari dipaut Raja Husin, kali ini lengan Raja Husin pula ditangkap Bidasari sebelum dia menuruti Paduka Mimat yang telah mula menuruni cerun.

"Syah, tolong... berhati-hati." Bagaikan ada batu besar yang menghempap dada Bidasari. Tangan lelaki itu begitu sukar hendak dilepaskan. 

Raja Husin menelah perasaan Bidasari dengan mudah. Lengan Bidasari digosok perlahan-lahan agar si gadis mudah melepaskan pemergiannya.

"Doakan keselamatanku."

Mengangguk, Bidasari tahan segala getar kebimbangan. Belakang Raja Husin dipandang sayu sehingga hilang di mata. Setelah itu gerak-geri lelaki itu diekori dari jauh melalui corong teropong kontot Malim.

"Kau mahir menggunakan alat itu?"

Bidasari memandang busur di sisi Malim. 

Malim tersengih-sengih seraya berkata, "Kalau yang datang melawan itu pantasnya bak kura-kura, hamba boleh panah."

Tanpa memohon izin, Bidasari mencapai busur dan anak panah lalu bergerak ke tempat lain. Di sudut yang lebih jelas kelihatan kedudukan Raja Husin dan Paduka Mimat. Malim mengekori rapat. Melihat Bidasari mula meregang busur dan melaraskan ketepatan anak panah, Malim lepaskan keluhan.

"Musuh terlalu jauh di bawah sana, Badai. Tak terjangkau dek anak panah kamu."

Paduka Mimat menambat tali dengan kemas di batang pohon. Perlahan-lahan, tebing curam dituruni sehingga ke bawah lalu diikuti dengan Raja Husin. Dari tempat persembunyian mereka, kelihatan dua pengawal di pusat kawalan utama sedang bersandar pada tiang pondok sambil tersengguk-sengguk. Anak-anak Raja itu menggunakan kekuatan tangan sepenuhnya. Dua anak panah telah bersedia untuk diluncurkan dari celah busur. Satu persatu bidikan dilancarkan daripada mereka. Kedua-duanya tepat mengenai sasaran. Musuh tumbang tanpa bersuara bilamana panah menembusi tengah dada.

Setelah itu Raja Husin dan Paduka Mimat mengintai pula pengawal di pondok kawalan kedua.

"Adinda pilih kanan atau kiri?" Raja Husin berbisik.

"Kanan," balas Paduka Mimat.

Serentak, anak-anak panah melayang laju ke udara dan kedua-duanya tersusuk di dada orang yang sama. Terbelalak mata pengawal yang masih hidup melihat rakan yang rebah ke tanah. Pasti musuh sudah menghampiri. Pantas tangannya mencapai terompet kulit kerang yang tergantung pada tali yang melingkari tengkuk.

Jantung bergetar laju melihat terompet berada di mulut musuh. Dengan pantas Raja Husin meregang busur untuk membuat bidikan kedua. Ternyata dia terlewat. Musuh rebah tanpa sempat memberi amaran bahaya. Sebatang anak panah datang melayang dari jauh lalu tercacak  belakang musuh.

Paduka Mimat menarik nafas panjang. Kesilapan cuba diselindungkan dengan  berseloroh.

"Hurm.. tadi itu namanya 'tidak sengaja'"

Bagai tak menyesali kesalahan yang dibuat, Paduka Mimat ketawa kecil. Lelaki itu mendongak.

"Pasti ini bukan kerjanya Si Malim. Aku kagum dengan gadis itu. Dia amat sepadan dengan kekanda."

Sambil berlari meredah denai, Raja Husin menjawab kasar. Hati berasa panas. Sikap tidak berhati-hati Paduka Mimat bakal mengundang malang.

"Sepadan? Kanda setuju. Mungkin kekanda patut gantikan adinda dengan gadis itu."

"Hah! Adinda meragui." Paduka Mimat telah tahu rahsia hati kekandanya. Mustahil Raja Husin mahu membahayakan nyawa gadis tersebut. 

Raja Husin sempat menangkap balasan kata-kata Paduka Mimat sebelum larian mereka terhenti serentak dengan empat pengawal yang melewati denai yang sama. Nama Paduka Mimat terkeluar dari celahan gigi yang diketap rapat.

"Adinda tersalah kira masa pertukaran mereka kah?"

"Barangkali. Err... Ini juga termasuk 'tak sengaja'."

Rasa nak dihunus sahaja pedang  ke dada Paduka Mimat dengan jawapan acuh-tak acuhnya itu. Tiba-tiba seorang pengawal rebah. Anak panah Bidasari terlekat pada perutnya. Raja Husin tidak menunggu lama. Pedang dihayun mensasarkan batang tengkuk musuh. Musuh yang berpakaian hitam  menyambut tetakan Raja Husin. Pedang berlaga pedang. Mereka sama-sama beradu kekuatan mempertaruhkan nyawa.

Kedengaran sambaran bilah pedang di belakang lawan Raja Husin. Sebaik sahaja musuh terjatuh, Paduka Mimat tersengih-sengih muncul di situ. Dua musuh juga tumbang di hujung pedangnya. Kehebatan Paduka Mimat bermain pedang sukar di atasi. Mana tidaknya. Dia dilatih oleh Laksamana Ming, pengiring khas bonda Hang Li Po dari kecil lagi.

"Kekanda boleh balas jasa adinda di kemudian hari," bisik Paduka Mimat.

"Setelah bertimpa-timpa kelaku 'tak sengajamu'!" Raja Husin mendengus kasar. Mata dijegil ke arah Paduka Mimat meskipun Raja Husin tahu sedikitpun tak berbekas di dalam hati adindanya.

"Adinda masih banyak berhutang dengan kekanda."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro