Part 32

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Kapal dilabuhkan di pinggir tebing. Jambatan gantung merentang dari kapal ke daratan, laluan memunggah barang. Pengawal terakhir di tepi tebing dalam lingkungan 150 kaki jauhnya dari kapal. Merekalah yang akan memeriksa setiap manusia dan barang-barang yang turun dan naik dari kapal.

"Kiri atau kanan?"
Kali ini Paduka Mimat meminta pilihan. Mahu menjawab sahaja Raja Husin sudah rasa cuak. Sengaja Raja Husin tekankan nada suara ketika menjawab, "Kiri!"

Dalam gerakan pantas, kedua-dua adik beradik itu sama-sama melepaskan batang tajam dari busur ke arah pengawal. Tepat mengenai sasaran. Kedua-dua pengawal serta merta tersembam ke tanah.

Setelah meneliti sekeliling buat ke sekian kali, Raja Husin mendahului Paduka Mimat berlari sambil mendongak. Sebaik sahaja wajah pengawal yang muncul di haluan jelas di mata, busurnya beraksi lagi. Bak sambaran angin kencang anak panah Raja Husin menujah tubuh musuh. Sekelio mata pengawal hilang di pandangan. Paduka Mimat yang berlarian di belakang Raja Husin turut memanah. Dua rakan yang menyedari kehilangan rakan mereka menerima nasib yang sama di hujung anak panah Paduka Mimat.

Raja Husin amat lega dengan keadaan sepi kapal. Kakinya sedang memijak jambatan untuk meniti ke kapal ketika satu suara menegur, "Masakan semudah itu kubu musuh digempur. Tidakkah tuan hamba berasa aneh?"

Dari celah kegelapan bayang pokok, pendekar berbaju hitam muncul berpeluk tubuh. Suaranya disambut hilai ketawa kuncu-kuncunya yang berdiri di belakang.

"Panglima Belang Merah."

Paduka Mimat mengecam lelaki berkening lebat. Nama itu cukup masyhur di pelabuhan. Setiap permintaannya pasti akan dipatuhi oleh sesiapa sahaja yang melabuhkan sauh di Selat Melaka. Dan lelaki itulah yang dia nampak di air terjun dahulu mengepalai pendekar berbaju hitam.

"Ada apa urusanmu di sini? Sehingga tak sabar-sabar menanti matahari menyambut hari."

Raja Husin mula mencongak. Lapan belas pendekar yang perlu dilenyapkan bukanlah jumlah yang banyak. Raja Husin hanya khuatirkan lelaki yang mengepalai musuh. Dia yakin gerangan yang bergelar Panglima Belang Merah itu bukan calang-calang orangnya. Tiada gentar bertandang pada wajah lelaki sasa itu.

"Hamba cuma mahu melihat-lihat. Melayan keinginan hati. Di sini bukan tempat kapal biasa menyinggah."

Suara setenang mungkin dilontarkan. Ekor mata Raja Husin menyaksikan pegangan pedang Paduka Mimat telah beralih arah dengan sisi tajam ke hadapan. Malah sebelah tangan Paduka Mimat mula bergerak perlahan ke pinggang menghampiri hulu keris. Adindanya telah bersiaga. Maka, ke atas dialah jalan harus dicari agar peluang terbuka untuk satu pertarungan yang memungkin kemenangan di pihak mereka. Sepantas mungkin! Sebelum semua anak kapal terjaga dan keluar menyembelih mereka.

Pendekar-pendekar serba hitam mula mengepung. Lelaki itu mengeluarkan pedang dari sarungnya.

"Bala lalu dibawa singgah! Aku pasti niat kamu lebih dari sekadar melihat-lihat. Siapa kamu? Orang-orang Datuk Syahbandar Melaka?"

Kini, pedang telah dihalakan kepada Raja Husin dan Paduka Mimat. Raja Husin yakin, biar apapun alasannya pertarungan tetap akan berlaku. Telinganya menangkap desingan pedang-pedang dikeluarkan dari sarung.

Raja Husin melangkah beberapa tapak ke hadapan. Dia mahu memecahkan kumpulan lawan. Tangannya juga telah kejap memegang kepala pedang.

"Tekaan yang bagus. Tetapi tersalah orang."

Meletus ketawa Panglima Belang Merah. Dia meregangkan badan dan kepala. Kedudukannya bersiap sedia

"Jikalau sedemikian, mungkin aku patut biarkan pedang ini  meneka siapa gerangan tuan hamba."

Sebaik sahaja berakhir kata-kata itu, Panglima Belang Merah dan orang-orangnya serentak menyerang. Melintuk-liuk Raja Husin dan Paduka Mimat cuba mengelak mata tajam yang dilayangkan kepada mereka. Beberapa sepakan ditujah ke perut musuh. Dua pendekar hitam terperosok ke celah belukar. Dari ekor mata Raja Husin, tiga musuh bergelimpangan dihiris pedang Paduka Mimat.

Panglima Belang Merah masih mampu tersenyum. Sedikit berlari kakinya menghentak ke bumi lalu melayangkan tubuh tinggi. Tetakan pedangnya padu dengan daya yang bersatu dengan tujahan tubuh. Raja Husin sedar dia sudak tidak mampu mengelak. Kedua tangan memegang hulu pedang sekuat mungkin untuk menahan jurus serangan Panglima Belang Merah sebelum tubuhnya ditolak ke tepi. Paduka Mimat mengambil alih kedudukan Raja Husin lalu dan menyambut serangan sepenuh tenaga. Percikan api jelas kelihatan dari dua mata pedang yang berlaga dan bergeser sehingga ke hulu.

Kini kedua-dua lawan menggunakan kekuatan tubuh. Batang pedang yang amat tajam tinggal beberapa jengkal dari wajah mereka. Panglima Belang Merah mula menguasai pertarungan. Tubuh Paduka Mimat semakin terdorong ke belakang meskipun tapak kakinya teguh menyokong badan. Lama-kelamaan pedangnya semakin terdorong ke belakang sehingga memungkinkan bilah tajam Paduka Mimat memakan bahu tuannya sendiri. Paduka Mimat berundur ke belakang sambil menahan kepedihan. Darah likat mengalir laju dari celah koyakan bajunya.

Raja Husin tergesa-gesa menumpaskan dua musuh yang sedang menyerangnya. Musuh terlepas sasaran, pedang Raja Husin laju menghiris bahagian hadapan lelaki itu. Berkalih arah, Raja Husin menunduk lalu menujah hujung senjatanya merobek perut pendekar berbaju hitam yang kedua.

Kini perhatiannya tertumpu kepada Paduka Mimat. Tubuh telahpun memesong ke arah adindanya. Satu lagi sambaran pedang orang-orang Panglima Belang Merah dari belakang menghiris betis Paduka Mimat. Paduka Mimat terduduk di tanah dengan mata tajam senjata Pendekar Belang Merah laju sedang menujah batang tengkuk adindanya.

"Jangan apa-apakan dia! Aku menyerah diri."

Pedang di tangan segera dilepaskan ke tanah. Luas bukaan mata Raja Husin menyaksikan senjata tajam musuh mula menghiris kulit tengkuk adindanya. Raja Hussain tunduk ke tanah dan merayu.

"Tolonglah, jangan diapa-apakan dia. Hamba merayu. Ambillah hamba sebagai cagaran."

Dengan pantas, batang tengkuk Raja Husin pula menjadi galang ganti. Paduka Mimat memandang kekandanya dengan hati yang luluh. Kepedihan yang menjalar di luka tidak seberapa berbanding kepedihan di jiwa melihat kekandanya yang telah menyerah kepada takdir.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro