BAB 8: KEIKHLASAN

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

GAME

Zarif tidak akan dapat melupakan petang yang amat indah itu. Raymond mengajak dia dan Adila berlumba menghanyutkan diri dari hulu sungai sehingga ke Post Bukit Tunggal. Zarif tidak faham bagaimana caranya, tetapi dia setuju sahaja. Main air, mana boleh dia tolak. Lebih-lebih lagi main air dengan Adila. Tak kisah, walaupun Raymond dan Tok Batin Andak turut serta. Jamil menjadi hakim, kerana ia satu pertandingan. Bagi masyarakat itu, ia pertandingan kekuatan mengawal keadaan. Biasanya diadakan untuk memilih menantu. Siapa yang menang akan diambil untuk memiliki gadis yang menjadi rebutan. Tetapi tradisi itu kini hanya sebagai permainan selepas menuai padi bukit.

Tetapi pada kali ini mereka pinda permainan itu. Jejaka akan cuba menangkap gadis yang menjadi rebutan. Zarif dan Raymond akan berebut Adila. Awal-awal lagi Zarif tahu dia akan kalah. Tetapi dia tak akan serahkan Adila kepada orang lain, walaupun dalam permainan. Walaupun Raymond, saudara susuan Adila memang tak boleh jadi suami pun.

Lawan tetap lawan.

Tiba ke serumpun pisang hutan, Raymond memotong 5 batang yang besar. Pisang jantan, katanya. Maknanya pisang itu tidak akan berbuah. Setiap orang akan menggunakan batang pisang itu sebagai kenderaan untuk hanyut ke hilir. Jangan sampai jatuh daripada batang pisang itu. Tetapi mereka boleh menghalang lawan dengan menyimbahnya. Tujuannya supaya lawan hilang fokus, atau tersangkut pada batu-batu besar di sungai yang boleh melambatkan gerakan menghanyutkan diri. Pesaing tidak boleh menendang atau menolak. Adila diberi peluang bermula dahulu untuk menjarakkan diri.

Zarif terasa dia benar-benar underdog. Sudah pasti Raymond memiliki pengalaman bermain, sedangkan inilah pertama kali dia mencuba menjadi Orang Bukit.

Adila yang badan kecil dan ringan, sudah jauh di hadapan. Tidak mungkin Raymond atau Zarif mampu menangkapnya. Tok Batin Andak dan Jamil ketawa kuat. Gadis yang jadi rebutan  melarikan diri!

Zarif terasa tercabar. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk menunggang batang pisang yang licin. Dalam usianya menjelang 33 tahun, kelakuannya sudah mirip budak 13 tahun. Bukan lagi seorang peguam yang sering berlagak pandai. Raymond sedar Zarif sangat serius untuk menangkap Adila. Lalu dia memperlahankan dayungannya dan membiarkan Zarif mendahuluinya.

Setibanya mereka di Post Bukit Tunggal, Adila sudah sampai dahulu dan dia berjoget-joget di dalam air mengejek mereka. Tiba-tiba kakinya terpijak batu yang licin. Dia terjatuh dan tenggelam. Secepat kilat Zarif melepaskan batang pisang yang ditunggangnya dan menangkap Adila. Tangannya melingkar di pinggang Adila.

"Are you okay?"

Adila mengangguk. Dia batuk-batuk kerana tertelan air. Zarif menepuk-nepuk belakangnya.

Adila menolak Zarif, dan sekali lagi dia hilang kawalan dan hampir terjatuh. Mujur belakangnya ditahan Zarif. Kali ini mereka memang benar-benar berpelukan, kerana Adila sendiri yang memaut pinggang Zarif, untuk mengimbangi dirinya. Mata saling merenung.

"Ehem!" Kedengaran suara Tok Batin Andak, memecah keheningan suasana. 

"Adila okey?" Sekali lagi Zarif menyoal, untuk menutup kesipuan.

Perlahan-lahan mereka melepaskan tangan masing-masing. 

Mereka berjalan meranduk air ke tebing sungai tanpa berkata apa-apa.

"Raymond! Jamil! ... Tarik batang pisang tu naik!" Tok Batin Andak mengarahkan anak-anaknya. Dia pun tidak mahu memanjangkan kesipuan Zarif.

Batang pisang akan disiat untuk dijadikan tali. Isinya atau umbut pisang itu boleh jadi makanan. Orang Bukit tidak membazirkan sumber hutan.

Zarif mendapatkan Adila yang duduk memeluk lutut di tepi tebing sambil memerhatikan Raymond dan Jamil. Ketika melihat Zarif melabuhkan punggung di sebelahnya, Adila membetul-betul baju-T yang basah dan melekat di badannya. Dia berpaling dan melemparkan senyuman ke arah Zarif yang asyik merenungnya. 

"Why?" soal Zarif.

"Apa yang why?" soal balik Adila.

"Kenapa Adila sengaja lari jauh dari abang?"

Kening Adila berkerut, "Abang Zarif ni sensitif sangat. It's just a game!"

Zarif mengeluh.

"Everything about you is not a game to me," balas Zarif. 

Ia seperti satu lontaran ungkapan cinta. Tetapi tidak sampai ke situ. Dia sendiri takut untuk menyampaikannya. Lantas, dia bangun untuk membantu menaikkan batang pisang dari dalam sungai. Mereka susun batang-batang pisang itu di tepi tebing. Kerja melerai dan mengelar batang pisang akan dibuat oleh pihak perempuan Orang Bukit.

Adila pandang sosok tubuh Zarif dengan perasaan bercampur-campur. Dia dapat merasa perhatian Zarif kepadanya bukan sebagai kawan biasa. Tetapi, setelah kematian rakan sepermainan roller skatenya, Victor Alejandro, Adila tidak pasti dia bersedia menempuh risiko baharu. 

Kelmarin dia dan Zarif membakar lebihan rokok yang masih ada dalam simpanan lelaki itu. Adila harap kali ini Zarif benar-benar dapat membuang tabiat buruknya. Membuangnya demi dirinya. Bukan kerana Adila. Lepas membakar rokok, mereka bakar ubi keledek. Orang Bukit seperti tahu sahaja membiarkan mereka berdua berbual.

"Do you know that smokers are poor kissers?" soal Adila.

"Really?"

"Yes. Daddy doesn't smoke. He smells delicious all day long!" jawab Adila dengan senyuman yang menyebabkan lesung pipitnya timbul.

Ingat apa tadi ... Ingat dia dah ada boy-friend yang bukan kaki rokok, bisik hati Zarif.

*****

AMARAN

Pagi esoknya Tok Batin Andak ajak Zarif memancing. Mulanya Zarif menolak kerana dia mahu ikut Adila masuk ke hutan. Masa dah singkat. Kenapa harus jauhkan dia daripada Adila? Tetapi dirasanya Tok Batin Andak bukan hendak memancing sangat, tetapi mungkin mahu bercakap dengannya tanpa Adila. Dia pun bersetuju.

Tok Batin Andak, dia dan Jamil menyelusuri sungai menghala ke hulu. Di sana, kata Tok Batin Andak ada lubuk pelbagai ikan. Kira-kira satu jam perjalanan, mereka sampai ke tempat yang dituju. Zarif bukan kaki pancing. Bagaimana nak pegang Joran pun dia tidak tahu. Dia tiada minat dan tiada kesabaran. Tetapi disebabkan Tok Batin Andak, dia turutkan saja.

Sebagai orang asal dan penunggu hutan, Tok Batin Andak boleh memancing ikut suka dia. Berbeza dengan pelancong yang memerlukan permit untuk memasuki hutan simpan.

"Aku nak cari kelah untuk Adila," kata Tok Batin Andak.

"Andak memang sayang dia ya?"

"Sudah tentu. Dia anak adik aku. Dia tiada saudara lain. Orang Bukit sahaja."

"Saudara sebelah ayahnya?"

"Ada di pulau dekat Australia."

Patut tiada cerita tentang Mustafa.

"Adila lahir tak cukup umur. Adik aku meninggal. Aku yang jaga dia, berganti-ganti dengan Mustafa. Masa tu bini aku sibuk jaga Raymond." Gaya bercerita Tok Batin Andak penuh penghayatan tentang masa yang telah berlalu.

"Bini aku bagi susu pada Adila. Kira Adila tu anak kami juga ... Sampai umur masuk sekolah, Mustafa ambil untuk bagi pelajaran." Suara Tok Batin Andak sedikit serak mengimbau zaman lampau. "Aku tak ada anak perempuan. Rasa macam nak mati masa dia diambil Mustafa."

Jamil berjalan meninggalkan mereka ke posisi lain. Mungkin hendak memberi peluang ayahnya bercakap secara peribadi dengan Zarif.

Orang Bukit mendidik anak mereka supaya tidak menyampuk cakap orang tua dan tidak curi-curi mendengar orang tua bersembang. Macam orang Melayu juga. Tetapi ramai anak-anak Melayu sekarang tidak menghargai nilai ini lagi.

"Tapi mujur setiap cuti sekolah, Mustafa bawa Adila ke sini untuk main, sampai dihantar ke Amerika."

Patutlah Adila sangat biasa dengan kawasan ini sampai boleh berlari dengan laju di dalam hutan.

"Dia budak pandai yang banyak soalan."

Sudah tentu banyak soalan. Bukankah Adila budak genius?

"Susah nak jaga dia."

Seolah-olah Tok Batin Andak sedang memberinya amaran.

"Adila saja anak perempuan aku. Biar aku mati tak apa, asal Adila selamat."

Amaran semakin keras.

"Andak tak suka saya rapat dengan Adila ke?" Akhirnya Zarif beranikan hati bertanya. 

Dia mahu kepastian. Mahu jawapan yang tepat dan jujur.

"Bukan ... Bukan ... Aku takut Tuan main-mainkan dia. Tuan kan orang berpangkat."

Hairan. Ramai yang cuba mendekatinya kerana pangkatnya. Ini ada pula yang mahu menjauhinya atas perkara yang sama. Itukah maksud Andak?

Zarif diam. Dia bukan budak remaja. Tetapi saat ini jiwanya macam jiwa remaja. Gelodak jiwanya langsung tidak sama dengan perasaannya kepada Puspa. Perasaannya amat berbeza. Di sebalik itu dia takut ia hanya nafsu ... Atau hanya sementara ... Sebab terpukau.

"Andak, kenapa Andak tidak mahu panggil saya Zarif?" 

Rasa rimas setiap kali dipanggil Tuan, sedangkan usia Tok Batin Andak layak dipanggil ayah. Panggilan itu seperti batas yang menghalang mereka menjadi keluarga.

Tok Batin merenungnya tajam. Tiada jawapan diberi.

Tenang Zarif! Kau peguam! Kau dah biasa dengan intimidasi lawan.

Joran Tok Batin Andak bergerak-gerak. Percakapan yang serius itu berhenti kerana usaha menaikkan ikan sebarau yang agak besar.

"Waah! Boleh makan dua tiga rumah!" kata Jamil yang jarang berkata-kata itu. 

Maklumlah anak bungsu. Senyumannya melebar dari telinga ke telinga. Lepas memasukkan ikan ke dalam bekas, Tok Batin kembali melontar gewang.

Kedengaran bunyi burung-burung kecil dan lotong yang berteriak bersahut-sahutan.

"Aku mahu Adila itu bahagia menjadi pemimpin kami," kata Tok Batin Andak.

Zarif tidak dapat menerima sepatah perkataan terakhir Tok Batin Andak, jika itu mewajibkan dia berpisah dengan Adila Fairuz. Jika Adila menerimanya, dia percaya mampu memberi kebahagiaan. Zarif dapat keyakinan baharu.

"Saya ikhlas dengan Adila, Andak."

Mata Tok Batin Andak mencerlung ke arahnya. "Ikhlas macam mana?"

Entah dari mana datangnya kekuatan, laju sahaja Zarif melafazkan pengakuan. "Saya ... Saya nak ambil dia jadi isteri saya yang sah."

Tok Batin Andak teringat kata-kata Daddy Adila ketika mahu mengambil adiknya sebagai isteri. Semacam ada persamaan di antara mereka berdua. "Macam mana nak uruskan hal Adila sebagai pemimpin kami? Sejak Adila lahir, kami tiada Ketua adat. Yang ada sekarang, sepupu aku, hanya pemangku."

"Kita boleh buat jadual untuk Adila datang ke sini setiap kali ada mesyuarat Majlis Adat," cadang Zarif.

"Kamu sanggup bawa dia ke sini?" 

Dari 'Tuan' sudah berubah menjadi 'kamu.' Bagi Zarif ia satu perkembangan yang baik. Satu tembok telah diruntuhkan.

"Sanggup Andak. Saya janji."

"Kamu dah cakap dengan dia?"

"Belum ... Nanti balik ke Cyberjaya saya tanya dia dan minta izin Daddy dia."

Tok Batin Andak tepuk-tepuk belakang Zarif. Matanya kembali ke jorannya.

"Kamu dah dapat kelah Jamil?" laungnya. 

Maknanya amaran sudah selesai.

"Ada ayah. Tapi tak berapa besar." Jawab si anak.

Tok Batin Andak melemparkan senyuman kepada Zarif ketika melihat wajahnya masih tegang.

*****

 🐠🐠🐠

*Ikan kelah merah*

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro