BAB 9: ROTAN TUNGGAL

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PERSAINGAN

Geram betul Zarif melihat perangai Johari. Asyik-asyik datang ke Post Bukit Tunggal. Tak ada kerjakah mamat tu? gumamnya. 

Ada sahaja buah tangan yang dibawanya. Ikan, sayur dan ada kalanya, ikan bilis pun ada. Tok Batin Andak pun seronok melayan mamat tu. Lepas Johari datang, mesti Adila akan masuk ke dalam hutan bersamanya. Walaupun Raymond ikut serta, Zarif tetap sakit hati jika Adila pergi senyap-senyap tanpa mengajaknya. Mentang-mentanglah mamat itu pandai bercakap tentang fauna dan flora. Selamba sahaja mamat itu tolong menggalas backpack Adila. Itupun Zarif sakit hati melihatnya.

Bila Adila balik dan membuka Macbook, Zarif akan duduk di hadapan menungkat dagu. Sesekali Adila mengangkat muka dan menjelingnya. Perangai Zarif yang macam remaja angau itu buat Tok Batin Andak tersenyum simpul. Kadang-kadang Tok Batin ajak Zarif mengambil madu tualang di hutan supaya dia tidak mengganggu Adila.

Mana boleh asyik duduk merenung Adila. Zina mata tu.

"Jom cari rotan, Zarif," kata Tok Batin Andak satu pagi ketika Adila masuk hutan dengan Johari. Dia lihat muka Zarif cemberut sahaja sebab ditinggalkan. Sekarang Tok Batin Andak tidak panggil 'Tuan' lagi sejak Zarif membuat deklarasi semasa memancing dahulu.

"Hah?"

Setahu Zarif Orang Bukit jarang menggunakan rotan, kerana kesukaran mencari bahan itu. Mereka ganti dengan buluh dan akar kayu sahaja. Tetapi kali ini dia ajak cari rotan pula.

Mereka pergi ke hulu sungai. Di sana boleh didapati rotan hutan. Entah rotan apa dicari Tok Batin Andak.

Rotan liar sudah jadi barang sukar didapati.

Akhirnya mereka berhenti. Rotan tunggal. Itulah yang dicari. Tetapi Tok Batin Andak hanya mengambil bahagian hujung yang halus sepanjang 1 meter. Lepas dapat satu dia mereka cari lagi yang sama. Dapat 8 batang.

"Andak nak pukul siapa ni?" gurau Zarif.

Tok Batin Andak hanya tersengih. Diikatnya rotan 8 batang itu dan disuruhnya Zarif bawa. Dia sendiri berlenggang sahaja.

"Baik-baik bawa macam kamu bawa nyawa kamu. Jangan sampai patah," pesan Tok Batin Andak.

Pelik Andak ni.

Tapi diikutkan sahaja arahan orang tua itu.

Mereka berjalan kembali menuju ke Post Bukit Tunggal.

Baik-baik bawa macam kamu bawa nyawa kamu. Apa maksud Andak? desis Zarif.

Sebaik sahaja sampai di perkampungan Orang Bukit, Tok Batin Andak serah rotan itu kepada isterinya. Terus sahaja Mak Andak membawanya pergi. Tok Batin Andak berpaling ke arah Zarif yang masih tercengang-cengang. Dia letak kedua tangannya di bahu Zarif. Mukanya sedikit mendongak kerana Zarif lebih tinggi daripadanya. Anak matanya tajam merenung Zarif.

"Kamu betul-betul suka Adila?" soalnya.

Soalan itu pernah ditanya semasa mereka pergi memancing beberapa hari lepas.

"Saya ... Er ... Ya ... Saya suka dia."

"Dalam sebulan kamu bawa dia balik ke sini, aku kahwinkan kamu berdua," kata Tok Batin Andak.

"Betul ke Andak?"

"Kahwin ikut adat, tak boleh sentuh sampai kahwin ikut agama," kata Tok Batin Andak. "Sekarang kita sudah jadi orang Islam."

Ingat juga dia yang dia beragama Islam, walaupun fardu 'ainnya ke laut. Apa bezanya dengan kau Zarif?, fikir Zarif.

"Setuju?" Soalan Tok Batin Andak mengejutkannya.

Pantas dia menjawab. "Setuju."

"Ingat! Adila Ketua Adat kami."

"Saya faham."

"Ingat! Kamu janji akan bawa dia ke sini bila kami ada mesyuarat adat."

"Saya janji."

Tok Batin Andak tepuk bahu Zarif beberapa kali. Dia menarik nafas panjang. Lepas itu dia menuju ke sungai dan terus terjun dengan baju-bajunya sekali.

Zarif turut menarik nafas. Terasa berpusu-pusu oksigen masuk memenuhi rongga hidung, terus ke paru-parunya. Dia rasa lega.

Malam itu Zarif baring sambil matanya merenung atap pondok yang dihuninya. Esok dia akan balik ke dunia tamadun. Dunia yang dihuninya bagi sebahagian besar usinya yang hampir menjenguk ke 33 tahun itu. Dunia manusia dengki-mendengki, khianat-mengkhianati dan tikam-menikam. Tak sempat elak, mati kataklah. Lebih dahsyat mati jiwa.

Tetapi dia harus kembali ke dunia itu, kerana di sana perjuangan yang masih belum selesai sedang menanti.

Dia akan tinggalkan Adila di sini, dan itu membuatnya hatinya diburu kebimbangan.

Dia sudah berterus terang dengan Tok Batin Andak. Tetapi belum lagi dengan Adila, walaupun sudah banyak isyarat yang dia hantar. Dulu dia yakin. Tetapi kini keyakinan itu tergugat dengan kemunculan Johari. Tentu Johari akan menemankan Adila ke mana-mana ceruk hutan yang Adila hendak pergi.

"Adila dengan Johari ada apa-apa ke?" soalnya malam kelmarin, sebaik sahaja Adila menutup komputer. Soalan cepu emas itu muncul setelah hampir duduk dua jam dia melangut di hadapan Adila.

"Apa-apa tu apa?" Adila menyoal kembali, seperti acuh tak acuh.

Zarif mengangkat sebelah bahunya. Adila menjeling Zarif dan kemudian ketawa agak panjang.

"Kenapa ketawa?"

Dilihatnya wajah Zarif. Polos. "Abang Zarif ni dah kenapa?"

"Yelah ... Adila nampak semakin rapat dengan budak tu. Hampir setiap hari dia datang..."

"Dia kan pegawai perhutanan.."

"So?

Zarif memang tidak suka penguatkuasa hutan. Hubungannya dengan penguatkuasa hutan tidak pernah baik, kerana sering menyusahkannya setiap kali dia membuat sekatan pembalakan.

"Adila minta kerjasama dia bawa masuk hutan ... Kawasan yang Raymond tak mahu bawa."

"Kenapa Raymond tak mahu?"

"Takut terserempak dengan pembalak haram yang sering kali ganas," balas Adila. "Tetapi dengan penguatkuasa, diorang takut."

"Takut ke dah kow-tow," sindir Zarif.

"Abang Zarif ni ... Tak baik buruk sangka. Johari tu budak sangat. Takkan dah pandai kow-tow dengan pembalak haram?"

"Budak apa nya? He is a man."

"Muda dari Adila lagi. Just 25 year old."

"So what? Nabi was 25. Siti Khadijah was 40 when they were married."

Adila jeling lagi. "Ke situ pula Abang Zarif ni."

"Orang lelaki kalau baik sangat dengan orang perempuan, mesti ada udang di sebalik batu. Abang cakap ini sebab abang lelaki."

Adila silang tangan di dadanya. Mata Zarif direnung. "So Abang Zarif ada udang di sebalik batu berbaik dengan Adila?"

"Ya ... Tapi ini udang baik."

Adila terus pecah ketawa. Kali ini lama dia ketawa sampai merembes air matanya.

"Tak tahu pula ada udang jahat ..." kata Adila sambil menyeka air matanya dengan belakang hujung jari telunjuknya. 

Comel.

"Adila sengaja ketawakan abang, sebab nak bagi sakit hati kan?'

"Sudahlah Abang Zarif ... Jangan nak membawang sangat. Pedih dah mata Adila ni."

Adila sudah memasukkan MacBook miliknya ke dalam beg. Bahan-bahan di atas meja dikemas.

Mata kau pedih Adila? Aku? Bukan setakat mata yang pedih. Hati pun pedih, Zarif protes dalam hati.

Melihat wajah Zarif yang mencuka itu, Adila mengalih cerita tentang kegiatan Orang bukit sepanjang ingatannya semasa kecil. Banyak yang sudah berubah. Daripada cerita kehidupan orang Bukit sampai kepada cerita tentang masalah alam sekitar, tentang penerokaan hutan, pertanian lestari dan kegilaan kepada durian kunyit.

"Sama macam di Kampung Seri Bahagia," kata Zarif.

"Kampung apa?" soal Adila.

"Seri Bahagia."

"Oh! ... Itu Kampung Daddy."

"What? Small World."

"Tetapi sebab Daddy kerja di Jabatan Hidupan Liar, kami tak tinggal di situ."

"Tinggal di mana?"

"Selalu dalam hutan atau tepi hutan."

"Di situ Daddy bertemu ibu Adila." Zarif menghabiskan cerita.

"Ya!" Ada nada sedih di hujung suara Adila.

"So, Adila kenal ... Cikgu Zahari?"

"Oh! Kenal sangat. Dia yang urus Adila sampai dapat belajar di US, walaupun masa tu Adila baru tingkatan dua."

"Sebab Adila Genius."

"Abang Zarif tau erk?"

"Maklumat dihujung jari. Hari tu abang turun ke Kuala. Di sana dapat jaringan internet."

"Patut ada satu hari tu abang tak ada."

"Missed me?"

"Jangan nak perasan."

Zarif ketawa. Biarlah nak kata aku perasan pun.

"Tetapi kehidupan genius ni lonely tau."

"Bukan glamer ke?"

"Mana-mana Adila pergi, akan jumpa orang tua. Adila takut nanti Adila fikir macam orang tua saja," jawab Adila, polos.

"Hahaha!"

"Abang Zarif gelakkan Adila ya." Dia ambil satu ranting kering yang jatuh daripada pokok dan pura-pura memukul Zarif. Bibirnya diketap supaya nampak garang.

"Aduh sakitnya. Kalau hari-hari macam ini boleh mati abang." Zarif pura-pura mengaduh kesakitan. Tangan Adila terus ditangkapnya. Sekali lagi mata mereka saling berpanahan. Zarif melepaskan pegangan tangannya. Betul dia tiada didikan agama. Tetapi dia tahu dalam Islam tidak boleh berpegangan antara lelaki dan perempuan yang boleh berkahwin.

Terus Adila mengalih topik bicara. "Kenapa abang tak cerita dengan Adila?"

"Cerita apa?"

"Nama penuh abang."

"Penting sangat ke?"

"Yang Mulia Raja Zarif Azhad bin Raja Hadwan Shah."

"Mana Adila tahu?"

"Ada satu surat dari Kerajaan kepada Andak. Surat itu pasal tuntutan hak tanah nenek moyang. Bawah surat tu ada s.k. YM Raja Zarif Azhad bin Raja Hadwan Shah. Ampun Tuanku."

Zarif ketawa.

"Adila nak ucap terima kasih kepada abang kerana banyak menolong Andak. Suku kami ni kira nak extinct dah. Tinggal kami dalam 100 orang ini saja. Itupun di sini ada 40 orang. Selebihnya bertaburan di sempadan negeri lain. Ada yang sudah tinggal di bandar, hidup macam orang Melayu," jelas Adila dengan panjang lebar.

Adila salah seorang daripada mereka. Adakah bila sudah jadi Melayu, mereka bertemu tamaddun? Tidak juga. Melayu pun ramai yang hidup tanpa pegangan. Jadi mat rempit, pengedar dadah, mabuk, rasuah, merompak, bla ... bla ... Fikiran itu melintas dalam minda Adila.

"Itu duit NGO," jelas Zarif.

"Tapi abang Presiden NGO itu. Terima kasih sebab buat tandas dan tempat mandi yang ada privasi untuk perempuan."

"Abang buat sebab tempat ini orang yang buat kursus motivasi atau jungle tracking selalu singgah di sini."

"Betul. Itu kira bantu bagi pendapatan untuk saudara mara Adila di sini."

Esoknya, sebelum pulang, Tok Batin Andak mandikan Zarif. Itu mandi untuk menghalau semua penunggu hutan daripada mengikut Zarif, berdasarkan kepercayaan nenek moyang mereka kepada semangat hutan rimba. Tetapi adat mandi itu telah di'Islamkan' oleh Mustafa dengan bacaan Al-Fatihah dan permohonan doa kepada Allah. Orang Bukit sangat suci hati dan ikhlas dalam menerima ajaran.

Lepas mandi dan bersiap untuk pergi Zarif menitipkan pesanan kepada Adila supaya jangan terlalu rapat dengan Johari.

Adila ketawa sahaja.

"Lagipun dia tak serupa dengan Marcus Chang," kata Adila.

Hah? Siapa pula Marcus Chang ni? Zarif tertanya-tanya.

Adila lambai tangan sebagai tanda 'Selamat Jalan'. Namun jauh di sudut hati Adila, terasa kehilangan apabila kereta Zarif semakin jauh meninggalkan perkampungan Orang Bukit itu.

*****

💜

*Gambar atas bunga rotan warna 'ungu' iaitu warna 'kekasih' bagi Orang Bukit. Rotan Tunggal ialah rotan yang tumbuh sendiri, bukan bersama-sama dengan rumpunnya*

*Biar batang kayu yang hanyut entah ke mana itu reput. Jangan hati turut hanyut dan reput*


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro