12:30 (BAB 3)

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Riuh bunyi gelak tawa kanak-kanak sedang bermandi-manda di tali air berdekatan bendang sawah kampung mereka. Inaya duduk melunjurkan kaki ke bawah dari atas benteng sambil dia kunyah keropok sira yang dia beli di kedai tadi.

Termenung jauh mengenangkan duitnya bernilai tiga ribu ringgit pergi begitu sahaja. Penat lelah dan keringat untuk dapatkan tiga ribu ringgit itu bukannya mudah. Entahlah dia mampu ikhlas atau tidak dengan duit yang sudah dia beri pada ayahnya itu.

Semoga duit yang diberi itu membuatkan dia lebih dipeduli oleh orang dalam rumah itu. Dia mahu juga jadi seperti Ayuni dan Faiza. Apa yang mereka mahu mesti mereka dapat. Baru aje minggu lepas ayah dan ibu belikan mereka telefon bimbit seorang satu. Inaya pun nak satu tapi kalau dia beli, maka duit untuk dia buat bilik pun berkurang.

Lihat Inaya yang cemburu dengan kakak dan adiknya, Mak Ngah Huda beri telefon lamanya jenama Samsung. Gembira bukan kepalang Inaya dapat bermain telefon touchscreen buat kali pertama. Tapi Mak Ngah Huda ada beritahu, telefon itu dah cukup lama, mungkin ada banyak masalah. Inaya tidak kisah. Dia dapat pegang telefon mewah itu pun dia sudah rasa bersyukur.

"Woi, Inaya! Kau buat apa sini?" Ralit mengunyah keropok, Inaya tiba-tiba disapa seseorang. Toleh ke belakang dia lihat Anas, Fadli dan Hazwan dengan tuala tersangkut di leher masing-masing datang ke arahnya.

Mereka bertiga anak-anak muda kampung. Selalu Inaya nampak lepak dan bermain bola bersama. Dia cuma rapat dengan Anas. Fadli dan Hazwan pula bersekolah di sekolah asrama penuh, jadi mereka jarang ada di kampung.

"Kau ni! Aku tanya kau duk melopong apa pula?" Rambut Inaya ditarik Anas.

"Ish! Suka hati akulah nak duduk mana." Inaya paling pantang orang sentuh rambutnya. Tapi si Anas itu paling suka kacau rambut dia. Dia selalu tanya Inaya kenapa rambut Inaya warna lain sedikit. Siap tuduh Inaya warna rambut. Padahal rambut Inaya memang semula jadi sedikit blonde dan coklat.

Rambut ayah berwarna hitam. Jadi Inaya fikir, warna rambutnya mungkin menurun daripada ibunya. Wanita yang tak pernah dia tahu siapa. Dan dia tidak pernah mahu ambil tahu siapa. Baginya ibunya cuma seorang iaitu Puan Zahra. Kasar manapun layanan wanita itu padanya, dialah yang besarkan Inaya. Itu yang Inaya fikir.

"Kami turun mandi dulu." Fadli menepuk bahu Anas sebelum dia dan Hazwan turun menuju ke tempat budak-budak kampung sedang mandi. Sempat Fadli pandang muka Inaya sejenak sebelum dia lorek senyum tipis.

Inaya terkebil-kebil. Tadi Fadli senyum pada dia ke? Dia salah tengok kut.

Dengan seluar tiga suku, Anas duduk di sebelah Inaya. "Termenung jauh ni mesti ada sebab kan? Ada apa-apa jadi ke?" Anas mula nak mengorek. Dia dan Inaya rapat. Sangat rapat sampai dia tahu segala rahsia yang tersimpan di dalam rumah Inaya.

Bagi Inaya, kadang-kadang Anas jadi tempat dia mengadu. Lelaki itu selalu peka dengan riak wajah dan mood Inaya setiap hari. Kalau ada benda tak kena, mesti Anas orang paling awal yang bertanya. Kadang Inaya hairan, apalah yang ada pada dia sampai Anas selalu peduli padanya.

Saat orang lain malu berkawan dengan Inaya, Anas pula dengan selamba mengaku Inaya kawan baiknya. Tapi dia jugalah punca Inaya digantung sekolah dulu.Tak guna punya kawan.

"Aku nak bagi kau duit. Rokok tu alasan je. Sorry, Inaya sebab dah buat kau kena gantung sama. Sorry!" Masih Inaya ingat alasan bodoh Anas. Macamlah tak ada cara lain nak bagi Inaya duit. Belilah nasi bungkus ke, roti ke apa. Ini, dia suruh Inaya beli rokok! Inaya pun satu. Lurus! Ikutkan aje demi duit.

"Woi Inaya! Kau ni! Aku ada dekat sebelah kau boleh termenung lagi? Kau tak nampak aku ke?" Geram pula Anas tengok muka datar Inaya.

"Ya. Aku tengah serabut ni." Inaya mendengus.

"Serabut kenapa? Patutlah aku chat kau tak balas. Ada masalah ke?" Wajah Anas berubah sedikit gusar.

"Kau tahu Ayuni dapat sambung belajar universiti?" Anas diam sejenak. Mata terkebil-kebil.

"Eh, ye ke?"

"Kau satu kelas dengan dia. Takkan tak tahu?"

"Kau ingat aku ada masa ke nak ambil tahu pasal semua orang dalam kelas aku tu?"

"Pastu menyibuk pasal aku." Inaya putar bola mata.

"Sebab kau penting."

Sejenak Inaya terdiam. Pandangan dihala terus ke depan. Tidak berani berpaling memandang Anas di sebelah. Detak jantungnya sangat laju sampai dia teguk air liur sendiri.

Lihat Inaya yang terdiam. Anas ketawa kecil. "Jadi, apa kaitan muka kusut kau dengan Ayuni nak sambung study?" sambung Anas lagi.

Inaya garu sisi leher yang tidak gatal. "Ayah aku pinjam duit aku untuk kemasukan Ayuni."

Tersentak Anas mendengar cerita Inaya. Matanya sedikit membulat besar. "Duit yang kau simpan untuk buat bilik tu?"

"Shhh! Diam-diamlah! Nanti orang dengar." Inaya tampar bahu Anas.

"Tak. Apa bodoh sangat ayah kau ni, Inaya?" Anas tak habis fikir. Macam mana sanggup seorang ayah pinjam duit hasil kerja keras anak lain untuk anak yang lain! Ayah dia bukannya sedang nazak atau sakit. Masih kuat dan ada banyak tanah dan kebun. Ayah Inaya dulu bekas tentera, duit pencen pun ada. Apa yang tak cukup sampai ambil duit Inaya?

"Ayah aku tak cukup duitlah. Tak baik kau cakap ayah aku bodoh. Dia tu lah yang besarkan aku..." Inaya tunduk sedikit kecil hati mendengar perkataan bodoh keluar dari mulut Anas terhadap ayahnya.

"Berapa dia ambil?" soal Anas sedikit dingin.

"Tiga ribu ringgit..."

"Gila! Habis duit kau?" Dua tangan Anas naik meraup rambutnya sendiri.

"Ada lagi dua ribu. Nantilah aku kumpul balik nak buat bilik." Inaya senyum kelat. Ikhlas atau tak, duit itu tak akan kembali juga. Biarlah, semoga Ayuni guna dengan baik sampai dia boleh berbakti pada ayah dan ibu nanti.

"Aku tak fahamlah orang macam kau ni, Inaya. Sampai dah tahap macam tu, kau tak marah? Kau boleh reda aje? Kalau aku dah mengamuk. Kau dah kerja macam-macam nak dapat duit tu. Maaf kalau aku cakap. Aku harap kau sedar, ayah dan ibu kau pilih kasih!" Anas hambur emosinya.

"Sudahlah, Anas. Aku cerita je tentang masalah aku. Aku tak nak dengar kau cakap buruk-buruk pasal keluarga aku." Inaya pandang Anas dan serentak itu dia lempar senyum manis.

Sejenak Anas terkedu. Lantas dia berdehem.

"Aku lupa nak tanya kau. Kau dapat offer masuk universiti tak?" soal Inaya. Mengubah topik.

"Aku? Dapat cumanya..." Anas mengeluh.

"Kenapa pula?" Inaya terkebil-kebil.

"Aku tak minat kos yang aku dapat. Lagipun, aku nak jadi polis. Aku nak jadi macam ayah aku..."

Inaya senyum sahaja. Sejak dulu Anas memang bercita-cita nak jadi polis. Dia asyik cerita angannya nak jadi macam ayahnya. Untung dia ada cita-cita dan dia mampu dapatkan apa yang dia ingin. Sedangkan Inaya, dia tak ada cita-cita. Dia cuma mahu cari duit. Kalau nanti dia sambung belajar, mana dia nak cari duit untuk tampung kos belajar.

"Mungkin buat masa sekarang, aku sambung tingkatan enam dulu. Kalau dapat offer PDRM, aku terima!"

"Semoga kau dapat apa yang kau nak, Anas. Aku akan selalu sokong kau dari belakang." Inaya kalih pandang ke arah budak-budak yang sedang bersuka ria mandi di tali air. Pandangannya berubah redup dan bibirnya masih statik tersenyum tipis. Menyembunyi duka di hati.

Anas perhati wajah Inaya dari sisi dengan hujung mata.  "Nanti kalau aku dah berjaya, kau jangan risau. Aku akan make sure tak ada sesiapa tindas kau lagi. Aku akan lindungi kau."

"Tak payah nak mengarut! Cukup kau belajar sungguh-sungguh dan berjaya jadi apa yang kau nak. Biar nanti aku bangga ada kawan anggota polis segak macam kau."

"Aku segak ke?"

"Bukan sekarang. Nanti kau pakai uniform polis. Hish! Perasan betul."

"Eleh... Cakap jelah aku segak!"

"Kau jangan perasan boleh tak?!" Inaya terus menoleh memandang Anas. Baru dia ingin menampar bahu lelaki itu, raut wajahnya berubah melihat empat orang gadis kampung sedang melintasi kawasan sawah itu dengan pakaian sukan. Mungkin sedang berjoging.

Ayuni turut ada dalam kalangan mereka.

Lihat raut wajah Inaya yang berubah, dia turut toleh ke belakang memandang gadis-gadis itu.

"Amboi, Anas. Dating kat sini?" Tasha kawan baik Ayuni memerli.

Raut wajah Anas turut berubah. "Kau orang buat apa joging? Buat penat je, berat badan tak turun-turun juga." Anas balas mengejek lantas di tertawa kecil.

"Mulut kau ni!"

Anas sambung ketawa. Sempat dia kerling memandang Ayuni yang memandang ke arah Inaya yang tunduk sahaja di situ. Sombong.

"Kami joging bukan nak kurus. Nak jaga kesihatan. Bukan macam kau tu, dating je kerjanya. Berdosa tau!" Dush! Diperli lagi. Panas muka Inaya ditembak berkali-kali. Padahal dia di situ sendirian tadi. Bukannya nak dating.

"Tak baik sangka buruk kat orang, Tasha. Aku datang sini dengan Fad dan Hazwan tu ha. Inaya dah duduk sini dari tadi. Aku datang tegur je." Selamba Anas menjelaskan salah faham.

Dengar sahaja penjelasan Anas, wajah Tasha berubah sedikit malu. Itulah! Laju sangat menuduh orang.

"Jomlah." Ayuni mematikan perbualan mereka.

"Elok-elok sikit joging tu. Terbakar lemak nanti!" Anas mengusik lagi.

"Tak lawak!"

Lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Inaya pula diam di sebelah memerhati susuk-susuk empat gadis itu.

Untung jadi Anas. Hidupnya tak sulit. Dia nakal, dia kuat menyakat dan dia selalu disukai semua orang. Buatlah apapun, tak ada orang yang benci dia.

Itu yang buat Inaya terfikir. Kenapa lelaki ini masih mahu rapat dengannya?



ANAS betul-betul bertuah. Selepas tamat pengajian Ijazah, rezeki yang dia inginkan datang kepadanya. Dia dapat tawaran menjadi anggota polis. Maka bermulalah kehidupannya di PULAPOL.

Sejak lelaki itu tiada, Inaya pula yang sunyi. Dia asyik terfikir apa yang Anas buat di sana. Biasanya sewaktu Anas melanjutkan pengajian di universiti mereka selalu chat ataupun Anas selalu menelefon bertanya khabar. Tapi sekarang nak chat macam selalu, di sana tak boleh bawa telefon bimbit. Maka termenunglah Inaya menunggu berita daripada lelaki itu.

Inaya pula selepas habis SPM, dia bekerja dengan Mak Ngah Huda sahaja. Keputusan peperiksaannya bagus, dia dapat 4A, 3B, 1C. Dia ada dapat tawaran universiti juga.

Saat surat dan keputusan ditunjuk pada ayah dan ibu, ayah mengeluh dan berkata, "Mana ayah nak cari duit kau nak sambung belajar. Kau nak belajar boleh, pakailah duit kau tu."

Sedangkan duit Inaya sudah tak banyak. Dia fikir dia boleh kumpul duitnya kembali tapi tidak. Hampir setiap bulan ayah pinjam duitnya untuk bagi kepada Ayuni di IPTA. Bukan Inaya tak boleh berkeras, tapi dia kasihan bila ayah cakap; apa lah Ayuni nak makan hari ini. Dan sebab itu daripada dua ribu duitnya tinggal lapan ratus sahaja.

Dengan sisa simpanan yang dia ada, Inaya memutuskan untuk belajar kemahiran di GIATMARA. Dia ambil kos kulinari. Itu sahaja kos yang ada dan sesuai dengannya. Sepanjang enam bulan dia berulang sahaja menggunakan motor buruk Pak Ngah Waiz untuk ke kolej.

Selepas habis pengajian, Inaya bekerja pula di pekan. Sebuah gerai makan. Pergi pagi, balik maghrib. Duit yang dia ada pun tak boleh simpan banyak. Ayah selalu minta untuk bagi kepada Ayuni dan Faiza yang menyambung pengajian. Sekarang Ayuni sudah tamat belajar peringkat ijazahnya. Sedang menganggur di rumah. Katanya sedang menunggu tawaran kerja.

Itupun ayah dan ibu tak membebel. Bila Inaya duduk di rumah seperti itu, rehat sekejap pun dah kena bebel. Terpaksalah dia sibuk-sibukkan diri biar orang nampak dia selalu sibuk.

Hari itu, Inaya pulang lebih awal. Inaya tunggang motosikal terus ke rumah Mak Ngah Huda. Dia parkir motosikalnya di situ. Baru sahaja dia tanggal helmet di kepala...

"Inaya." Inaya tersentak. Toleh sahaja ke belakang matanya membulat luas melihat susuk seorang lelaki yang berdiri di belakang. Entah bila dia muncul di situ.

"Anas!" Hampir menjerit Inaya dek keterujaan.

"Anas dah tunggu kamu dari tadi, Inaya." Mak Ngah Huda lorek senyum nakal di beranda rumah.

"Bila balik?" Inaya nampak kalut sampai suaranya sedikit bergetar. Debar.

"Dapat cuti sekejap je ni sebab ada urusan. Dua hari je. Esok dah kena balik sana."

"Rambut kau." Inaya tergelak sambil dia tekup mulutnya. Botak!

Mak Ngah Huda geleng kepala dengan senyum tipis lantas dia masuk ke dalam rumah memberi ruang anak-anak muda itu mahu bercakap.

"Bila kau bertudung? Ke tempat kerja kau kena pakai tudung?" Akhirnya dua orang itu melepak di bangku simen di laman rumah Mak Ngah Huda.

"Aku baru aje bertudung. Rasanya bulan lepas. Mak ngah yang nasihat."

"Oh... cantik." Anas senyum tipis.

"Kau ni dah kenapa? Lain macam. Geli pula aku." Inaya ketawa lagi. Membuang gugup dan janggal di antara mereka.

"Kau tak rindu aku ke?" soal Anas tiba-tiba.

"Rindu? Hmmm bagi aku fikir dulu." Inaya ketuk dagu dengan jari telunjuk.

"Ish betul-betul lah." Anas kecilkan mata.

"Rindu tu mungkin adalah sikit. Tapi tak ada sampai tahap parah. Kenapa? Kau rindu aku?"

"Ya. Aku rindu kau." Anas tunduk.

"Kelakar lah kau ni." Tiba-tiba Inaya ketawa. Mukanya merah bukan kerana banyak ketawa tapi jantungnya terlalu laju berdetak saat itu.

"Boleh tak kita serius sekejap?" Suara Anas berubah buat Inaya berhenti ketawa lantas mengatup mulutnya.

"Okey."

"Aku rindu kau."

Inaya ramas jari sendiri. "Dan?"

"Aku rasa aku cintakan kau, Inaya."

Dup! Mata Inaya membulat besar. Tangannya terus naik menekup mulut. Seriuslah? Anas sukakan dia! Cintakan dia?

"Kau jangan main-main, Anas. Tak kelakar pun." Datar suara Inaya membalas.

"Aku tak main-main. Aku serius... Aku... Aku rasa aku sukakan kau."

Inaya terdiam. Dia pandang Anas dengan raut wajah yang tak percaya. Tak menyesalkah Anas dengan perasaannya?

"Anas, aku nak kau fikir masak-masak. Aku ni tak ada sesiapa. Walaupun aku ada keluarga, kau tahu sendiri aku ni tak macam orang lain. Kalau aku kahwin pun, aku tak ada wali yang sah. Aku ni mungkin boleh jadi aib untuk kau. Aku tak nak kemudian hari kau menyesal," ujar Inaya.

"Aku dah pernah cakap dulu. Aku nak jaga kau dan aku nak lindungi kau, Inaya."

Berkaca mata Inaya memandang Anas, kemudian dia menunduk. "Kau yakin dengan perasaan kau, Anas?"

"Aku yakin. Bagi aku, tak ada apa yang kurang daripada kau, Inaya. Setiap kali aku teringatkan kau. Aku rasa kagum. Sebab tu aku terus datang sini nak terus-terang." Anas menarik nafas panjang.

"Kau terima aku?"

Inaya senyum mengesat air matanya. "Aku terima..."

_____________
12:30
65+k patah perkataan
Harga biasa : RM17

UNTUK PEMBELIAN :
Neesa : 011-24120155
LS : 010-2028160

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro