12:30 (BAB 4)

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

HABIS sahaja latihan PULAPOL, Anas terus dihantar bertugas agak jauh di Gua Musang, Kelantan. Bercinta jarak jauh lagi mereka.

Inaya pula sudah berhenti kerja di gerai makan lama dan bekerja di sebuah restoran mewah di pekan. Itupun berkat Anas yang bantu. Anas cakap Fadli kawannya nak buka restoran makanan barat di pekan. Terus Anas minta Fadli ambil Inaya sebagai pekerja. Siap recommend katanya Inaya pandai masak.

Ingat soal itu, Inaya geleng kepala. Ada-ada sahaja lelaki itu. Tapi berkat bantuan Anas kehidupan Inaya sekarang rasa lebih nyaman dan ringan. Dulu dia banyak bekerja. Sekarang dia kerja ala kadar sahaja. Sejak Ayuni dapat bekerja sebagai guru, beban kewangannya sudah berkurang. Inaya dah mampu kumpul duit lagi.

Tambahan pula kerja di restoran Fadli ada shift. Biasanya Inaya akan ambil shift pagi sampai petang. 10 pagi hingga 4 petang. Petang itu bolehlah dia berehat di rumah.

Sekarang Inaya sudah tidak peduli soal bilik lagi. Dia cuma mahu mengumpul duit untuk ke peringkat seterusnya dalam hubungan dia dan Anas. Dia mahu halalkan hubungan dia dan Anas yang sudah dua tahun. Lambat atau cepat, mereka akan kahwin juga. Sebelum saat itu tiba, Inaya simpan duit awal-awal. Dia tak mahu menyusahkan Anas nanti.

Lagipun kalau nak buat majlis kahwin, dia tak rasa ayahnya sanggup mengeluarkan duit.

Ingat soal itu, Inaya mengeluh sambil dia sarung apron pada tubuhnya.

"Awal pagi dah mengeluh, Inaya. Rindu Anas ke?" Tersentak Inaya mendengar satu suara garau menyapanya.

"Eh, Encik Fad!" Mata Inaya membulat. Biasanya Fad tak ada kat di restoran. Segala urusan restoran Inayalah yang urus. Daripada pengambilan pekerja, urusan supplier dan stock, Inaya lah yang buat semua itu.

"Apa encik-encik ni. Tak suka lah saya." Fad peluk tubuh sambil bersandar pada dinding memerhati Inaya.

"Staff lain panggil Encik Fad, takkan saya nak panggil Fad pula," balas Inaya. Fad ni suka betul sok-sok rapat dengan dia. Padahal mereka tak pernah rapat pun dulu. Berkat Anas sahaja dia kenal Fad.

"Awak tu saya dah anggap kawan. Tak payahlah panggil encik bagai." Inaya mengalah. Fadli seorang bekas lawyer di Selangor. Kalau ada angan nak bergaduh mulut dengan dia, lupakan jelah. Tak akan menang.

"Bila awak balik?" soal Inaya mengubah topik. Dia masuk awal hari ini sebab dialah yang pergi ke pasar pagi mencari bahan segar. Sekarang Inaya siap dah ada kereta sendiri. Fadli yang suruh Inaya beli kereta. Siap dia bayarkan muka untuk Inaya.

Katanya nak mudahkan urusan kerja Inaya. Majikan baik satu anugerah. Bersyukur dia dapat bos baik macam Fadli.

"Baru je. Saya balik dengan partner saya."

"Uwu, girlfriend ke?" Inaya senyum nakal.

"Partner saya, Inaya. Partner restoran ni." Fadli tergelak kecil.

"Hah? Partner? Saya tak faham."

"Restoran ni bukan saya seorang je bosnya. Ini business partnership. Partner saya yang keluar banyak modal untuk restoran ini. Dia arkitek. Dulu tak selalu ada sebab dia kerja oversea. Sekarang dah balik Malaysia. Kerja kat Malaysia. Restoran ni pun dia yang designkan. Sebab itulah restoran ini aje nampak unik dan lain daripada yang lain dalam banyak-banyak bangunan kat pekan kita ni," terang Fadli satu-satu.

"Lah! Rupanya saya ada dua bos? Dan bos saya sorang lagi tu arkitek. Fuh!" Soal Inaya sedikit terkejut.

"Ya. Nanti tengah hari dia datang kut."

"Okey. Nanti dia datang Encik Fad bagitau saya, eh? Takut saya tak perasan pula bos saya sendiri."

Fad menyungging senyum serong. "Awak akan kenal dia, Inaya."

Inaya angguk sahaja sebelum dia lihat Fadli pergi. Dia akan kenal nanti? Arkitek? Hmm... Rasa tak sabar pula nak tengok bos dia yang seorang itu. Dah tua ke? Atau muda lagi? Agak-agak dulu dia kerja oversea kat mana?

Ah curious betul!



SEKEJAP  sahaja Inaya  memikirkan tentang  majikan keduanya. Masuk sahaja tengah hari, dia sudah lupa. Pelanggan pula ramai seperti biasa, jadi dia tidak sempat mahu berfikir tentang hal itu.

Inaya duduk di bahagian dapur. Ada empat orang kitchen crew iaitu Inaya sebagai chef leader, dua orang chef serta seorang pelajar praktikal.

Ruang dapur agak besar. Ya lah, restoran itu pun dua tingkat. Itu pun pernah juga kadang-kadang bila hari cuti umum sampai tak cukup meja. Dan waktu itu juga Inaya terpaksa kerja dari pukul 10 pagi sampai tengah malam.

"Kak Inaya!" Ralit Inaya memasak, tiba-tiba ada pelayan menerjah masuk ke ruang dapur. Terus Inaya tegak kepala.

"Ya?"

"Ada customer panggil chef. Dalam carbonara dia ada rambut."

"Rambut?" Inaya terkejut. Macam mana boleh ada rambut?

"Dia marah tu, Kak Inaya. Saya takutlah."

"Encik Fad ada?" soal Inaya sambil dia tanggalkan apron pada tubuh.

"Encik Fad keluar kejap tadi. Macam mana ni?" Fisya tak senang duduk. Dia muda lagi. Sah-sahlah gugup nak hadap kesalahan macam itu.

"Tak apa lah. Biar akak keluar, Yusri tolong sambung," ujar Inaya pada seorang rakan chefnya.

"Okey."

Keluar sahaja dari dapur, Inaya mengikuti Fisya ke arah meja pelanggan itu. Di dalam kepala sudah menyusun ayat yang sesuai untuk diberikan kepada pelanggan itu. Yang penting minta maaf dulu!

Di meja makan itu ada seorang lelaki sudah menunggu dengan tubuh membelakanginya. Inaya tarik nafas lantas dia teguk air liur.

"Maaf, encik. Ada masalah apa ya?" Penuh santun Inaya menyapa.

"Siapa yang masakkan carbonara ni?" Inaya amati betul-betul wajah lelaki di hadapannya. Alangkah terkejutnya dia sampai tak terkata melihat gerangan pemilik suara garau itu. Muka tak berperasaan, wajahnya tenang tapi menyakitkan hati.

Dia tak silap orang lagi.

Nadhir Luzman!

Sebesar-besar dunia ini, kenapa mesti lelaki ini?!

"Dengar tak?"

"Ya?" Inaya terkebil-kebil.

"Siapa masak carbonara ni?" soal Nadhir lagi.

Inaya diam sejenak. Kesian pula nak cakap si Ebby tu yang buat. Sudahlah budak tu pendiam dan manja. Kena marah dengan customer mahu teresak-esak dia nanti.

"Saya." Tak apalah. Kesalahan Ebby nanti biar dia yang marah. Sekarang biar dia sahaja yang hadap kemarahan pelanggan seorang ini.

Nadhir pandang rambut di pinggannya dan dia pandang wajah Inaya. Setelah itu dia sungging senyum sinis.

"Tak cukup pengotor, nak menipu juga?" soal Nadhir datar.

"Apa maksud..."

"Nadhir!" Belum sempat Inaya habiskan ayat, tiba-tiba muncul Fadli menjadi penyelamat suasana. Inaya akhirnya menghembus nafas lega walaupun situasi itu belum tentu menyelamatkan dia.

"Apa hal ni?"

"Fad, kau tengok dia orang serve carbonara siap ada salad rambut pada aku. Kau rasa?

"Rambut?" Fadli kerut dahi melihat rambut dalam pinggan Nadhir.

"Macam mana boleh ada rambut, Inaya? Selama ni tak pernah jadi macam ni pun?" soal Fadli pada Inaya pula.

"Maaf. Mungkin terlepas pandang tadi."

"Awak tahu tak Nadhir ni siapa?" Fadli soal perlahan di telinga Inaya. Inaya pula dengan wajah polos memandang Nadhir kemudian dia pandang Fadli kembali.

"Tahu. Kami pernah satu sekolah dulu."

"Tak. Bukan yang tu."

"Habis tu?"

"Dia bos kedua yang saya cakapkan tu!"

Serentak itu dunia Inaya rasa mahu berhenti dan berakhir begitu sahaja. Mahu terkeluar biji mata kerana terlampau tergamam dengan apa yang dia dengar dari mulut Fadli.

"Dia... dia bos?"

"Yes."

Habislah kau, Inaya!



HARI itu terasa begitu panjang. Mana taknya, bos kedua yang kerek itu ada seharian di restoran. Serba tak kena Inaya dibuatnya. Nasib baiklah Fadli ada bersama. Jikalau tidak, mati akal Inaya mahu melayan bos baru itu.

Walaupun dia pernah kenal Nadhir kerana mereka pernah sekolah bersama, situasi sekarang tak sama seperti dahulu. Dulu kalau dia buat kesalahan, Nadhir cuma mengambil namanya untuk pihak sekolah tentukan hukuman. Sekarang kalau dia buat kesalahan, silap hari bulan surat diberhentikan kerja melayang ke mukanya.

Tak suka macam mana pun dia pada Nadhir, dia tak boleh hilang kerjanya sekarang. Ini kerja yang dicari Anas buatnya. Ini juga satu-satunya kerja yang buat dia rasa lebih nyaman dan selesa. Lagipula, dia harus kumpul duit untuk berkahwin.

Aduhai kau, Inaya. Baru sehari Nadhir munculkan diri, sudah jauh fikiran buruk kau melayang.

Remote kereta ditekan. Menyala sekejap lampu signal Axia silver itu. Bahu yang lenguh dipukul-pukul sebelum dia buka pintu bahagian belakang kereta untuk memasukkan beg pakaiannya. Sebelum pulang kerja, Inaya akan masuk bilik persalinan dahulu untuk menukar pakaian. Dia tidak mahu membawa bau dapur masuk ke dalam keretanya. Cerewet!

Baru sahaja dia hempas pintu kereta dan ingin membuka pintu kereta di bahagian pemandu, dia dengar bunyi gelak tawa dua jejaka. Toleh kepala dia lihat Nadhir dan Fadli sedang berborak sambil berjalan ke arah kereta masing-masing. Belum balik lagi dua orang ni?

"Dah nak balik, Inaya?" sapa Fadli.

Inaya lempar senyum terlebih dahulu lantas dia angguk kepala. "Shift saya dah tamat, encik."

"Sudah berapa kali saya cakap jangan panggil encik."

Inaya garu kening. Dia tak lupa tapi terlalu janggal dengan renungan Nadhir. Dia tak boleh buat salah depan bekas pengawas poyo itu.

"Maaf."

"Kalau free jomlah lepak dulu. Nadhir cakap dia banyak cerita. Kau orang kan pernah sekolah sama-sama, mesti banyak gosip nak share," ajak Fadli.

"Kami tak ada serapat tu sampai nak share gosip." Nadhir mencelah. Sedikit tidak senang dengan ajakan Fadli.

"Betul tu. Lagipun saya dah ada janji. Sorry." Inaya sengih menayang barisan gigi tersusun cantik.

"Janji?" Fadli menyipi mata.

"Jangan cakap dating dengan Anas? Dia ada balik?" Fadli sambung soalannya.

Inaya ketawa kecil dan dia mengangguk-angguk kepalanya. "Ya. Semalam dia balik."

"Bertuah punya, Anas! Balik bukannya nak bagitahu aku!" Fadli cekak pinggang.

"Bercinta juga kau orang, ya? Tak sangka tapi tak pelik."

Kata-kata Nadhir buat senyum Inaya mati. Terkebil-kebil matanya menatap wajah tenang tak berperasaan lelaki itu.

"Kat sekolah selalu buat masalah sama-sama. Macam belangkas yang tahu cari masalah aje. Kau orang memang serasi." Ini bukannya pujian malah satu perlian pedas yang sengaja memanaskan hati Inaya.

Apa masalah jantan ni sebenarnya?!

"Kalau dah jodoh nak buat macam mana. Oh ya, Inaya. Ada khabar baik ke? Saya tengok awak bersungguh betul kumpul duit." Fadli menukar topik. Tak mahu kejanggalan merosak suasana mereka.

Inaya senyum kelat. Dia jeling Nadhir sekilas dan dia maniskan senyum saat menatap wajah Fadli. "Khabar manis apa tu?"

"Dah ada plan nak nikah dengan Anas ke?" soal Fadli berterus-terang.

"Oh..." Inaya ketawa kecil lagi.

"Insya-Allah. Saya pun tak mahu bercinta lama-lama. Tak elok," jawab Inaya dengan nada tenang.

"Hmm... Kalau awak kahwin maknanya awak akan ikut Anas ke Kelantan lah ya?" Fadli peluk tubuh dan sebelah tangan naik mengusap dagu. Jenuhlah nak cari pengganti Inaya lepas ni.

"Plannya macam tu lah. Takkan saya nak berjauh dengan suami saya pula. Saya nak cari kerja kat sana."

"Aduhai susahlah nak cari chef macam awak nanti..."

"Apa yang susah? Dekat kampung kita tu ramai yang pandai masak," balas Inaya selamba.

"Tapi tak ramai yang ada sijil masak macam awak."

"Ehem! Ehem!" Ralit Fadli dan Inaya berborak, tak sedar Nadhir yang sudah bosan menjadi pendengar.

"Kau rasa macam mana, Nadhir? Inaya ni satu-satunya chef terbaik kita, tau." Fadli aju soalan pula kepada Nadhir.

"Drama lah kau ni. Ramai lagi chef berbakat daripada dia."

Wajah Inaya mengendur. Lelaki ini elok jahit aje mulut tu. Buka mulut mesti ada hati terluka. Memang tak bertapis dan suka menyakitkan hati orang! Dendam apalah yang dia ada pada Inaya. Asyik-asyik ayat pedas aje yang keluar. Huh!

"Betul tu! Em... Saya dah lewat ni. Saya minta diri dulu." Inaya tunduk sedikit wajah meminta diri.

"Okay! Hati-hati drive. Selamat berdating!"

Merah wajah Inaya diusik Fadli. Cepat-cepat dia masuk ke dalam perut kereta saat matanya sempat singgah menangkap renungan jengkel Nadhir. Haih, berapa lamalah dia kena hadap perangai minta kaki lelaki itu.

Kalau hari-hari macam ni, jenuhlah dia nak bertahan kerja di tempat itu.

_____________
12:30
65+k patah perkataan
Harga biasa : RM17

UNTUK PEMBELIAN :
Neesa : 011-24120155
LS : 010-2028160

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro