Bab 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                     SELESAI gosok gigi, Ezran melangkah keluar dari bilik air dengan berpakaian baju satin berwarna biru. Manakala Datin Shima sudah sedia menunggunya di katil siap tersenyum lebar. Namun, tidak lama kemudian wajah itu berkerut apabila melihat riak wajah Ezran yang masam mencuka.

Baru dia perasan, sejak petang tadi Ezran berpewatakan pelik. Langsung tidak mahu bercakap. Bila ditanya, dia akan jawab tiada apa-apa. Nampak benar ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

Kemudian, Ezran melabuh punggung di sebelah maknya. Memusing menghadap orang tua itu dengan muka monyok.

"Kenapa muka masam aje ni huh? Anak mama tak pernah jadi macam ni. Sakit ke?" Soal Datin Shima berbaur kerisauan. Adakala dahi lelaki itu disentuh sekejap. Memeriksa sama ada panas atau tidak. Namun biasa sahaja.

"Tak demam pun. Haih... kamu ni, jangan buat mak risau boleh tak? Sinilah. Mak sapukan bedak sebelum tidur. Dah gosok gigikan?"

Ezran angguk kepala.

"Bagus." Puji Datin Shima. Dia kemudiannya mencapai sebotol bedak di atas meja, dituang sedikit ke telapak tangan sebelum disapu rata ke wajah anak lelakinya itu. Setiap malam dia akan buat seperti ini. Melayani Ezran seperti budak 10 tahun. Kalau tak buat, memang Ezran takkan sapu sendiri bedak dimuka.

Ezran hanya diam membiarkan saja. Jauh disudut pemikirannya sedang memikirkan apa yang Datin Shima dan Dato'Hanif bincangkan di dapur tadi. Entah mengapa, susah sangat untuk dia lupakan perkara itu. Makin disimpan, makin buatkan jiwanya rasa sesak. Tidak mahu tidak, dia harus luahkan juga.

"Mak..." Panggil Ezran, meleret.

"Apa dia?" Soal Datin Shima, selesai menyapu bedak dimuka, dia mencapai losen pula. Sebelah tangan Ezran ditarik sebelum disapukan losen di situ.

"Mak dengan ayah memang takkan benarkan abang kahwin ke?" Soal Ezran, akhirnya terpacul keluar juga soalan itu daripada bibirnya.

Semerta menghentikan perbuatan Datin Shima. Dia tergamam. Perlahan kepala diangkat memandang wajah anak lelakinya.

"Ezran... kita dah pernah cakap pasal benda nikan minggu lepas?"

"Tapi abang nak jawapan." kata Ezran. Membuatkan Datin Shima mengeluh buat sesaat. Tangan Ezran dilepaskan. Penutup losen ditutup.

Wajah anak lelakinya itu ditatap dengan riak wajah kesal. Berat untuk dia menjawab soalan Ezran. Akan tetapi dia harus berlaku jujur. Sampai bila hendak membiarkan Ezran tertanya-tanya tentang semua itu?

"Ya. Selagi abang tak boleh berdikari selagi itu abang tak dibenarkan kahwin."
Ujar Datin Shima. Berat.

Ezran mengatup mata sesaat. Nafas ditarik perlahan lalu dihembus sebelum dia kembali berbicara.

"Tapi kenapa? Macam mana mak tahu yang abang tak boleh berdikari kalau mak dengan ayah tak pernah biarkan abang buat semua benda sendiri. Abang boleh ajar orang jadi pandai, jadi takkan abang tak boleh ajar diri abang sendiri jadi pandai macam mereka?"

"Ini bukan soal pandai ke tidak, Ezran... abang tengoklah diri abang macam mana? Semua mak yang buatkan. Kamu ingat ada ke perempuan yang boleh buat semua ni? Boleh terima kekurangan kamu?"

"Tapi mak tak pernah bagi peluang pada abang untuk kenal mana-mana perempuan sekalipun..." rungut Ezran.

Datin Shima angguk kepala. Benar! Memang dia tidak pernah sesekali biarkan Ezram berkenalan dengan mana-mana wanita. Oleh kerana dia sendiri tahu apa niat mereka mendekati anak lelakinya.

"Ya. Betul. Sebab semua perempuan yang nak dekat dengan abang tidak ikhlas. Mereka nak harta, bukan Ezran. Bukan senang nak cari perempuan yang boleh terima kekurangan seseorang zaman sekarang. Kalau ada, dah lama mak kahwinkan Ezran."

"Habis macam mana pula dengan Abang Zahrin? Dia boleh dapat apa yang dia nak, tapi kenapa Ezran tak dapat?"

"Sebab dia tak macam abang. Dia tahu nak berdikari. Dia tahu nak jaga diri. Sudahlah, abang... jangan nak berangan nak kahwin. Benda tu bukannya satu permainan. Permintaan Ezran tu berat sangat mak dengan ayah nak tunaikan. Semua tu tanggungjawab tahu tak?"

"Tapi, mak..."

"Abang, cukup. Kalau mak kata tak boleh, maknanya tak boleh. Ezran takkan boleh berdikari sampai bila-bila. Isteri tu bukannya anak patung. Kamu boleh beli, main dan lepastu campak merata-rata. Kamu kena belai dia, jaga dia, sayang dia... dan mak yakin, Ezran tak mampu buat semua tu lagi." Ujar Datin Shima begitu tegas.

Dia tidak mahu Ezran memikirkan bahawa dunia perkahwinan ini senang seperti yang ditayang pada televisyen. Ianya penuh dugaan dan ujian yang harus ditempuh. Untuk seseorang yang istimewa seperti Ezran, dia yakin Ezran tidak cukup kuat untuk menempuh semua itu.

Langsung Datin Shima bangkit dari katil.

"Dah pukul 10. Tidur. Jangan fikir pasal kahwin lagi. Selamat malam." Ucap Datin Shima, kemudian berlalu Keluar daripada bilik tidur itu.

Hilang sahaja kelibat maknya, Ezran mendecik kecil. Tidak puas hati. Mengapa susah benar orang tuanya hendak percaya bahawa dia mampu berdikari dan mampu menjadi seorang suami?

Bagaimana dia harus yakinkan mereka agaknya?

"Aku kena buat sesuatu ni..." omong Ezran seorang diri. Dia menoleh ke arah telefon canggih yang berada di atas meja. Merenung sambil otak ligat memikirkan rancangan.

Aha!

Bagaikan ada mentol ditepi kepala menyala secara tiba-tiba. Dia dapat idea. Pantas telefon canggih itu dicapai, jari-jemari pantas menekan papan kekunci mencari sesuatu. Tekan situ, tekan sini dan...

"Siap!" Jerit Ezran. Pantas dia menutup mulut saat tersedar suaranya agak kuat. Risau jika Datin Shima dengar yang dia masih belum tidur. Tentu bakal kena marah.

Perlahan-lahan telefon diletakkan ke ruang sebelah katil yang kosong sebelum dia merebahkan diri. Lampu tidur disisi katil ditutup. Kain selimut ditarik menutupi hingga ke paras dada.

"Aku akan cari sendiri calon isteri untuk aku esok..."












                              TELUR ayam dipecahkan ke dalam mangkuk. Diletakkan secubit garam dan lada putih, dikacau lalu dituang ke dalam pan yang sudah panas diatas dapur. Digaul-gaul sehingga menjadi omelet sebelum dituang ke atas pinggan kaca. Siap. Datin Shima menutup api dapur.

Pinggan omelet itu dibawa ke meja. Diletakkan pinggan itu ditempat duduk Ezran. Manakala Dato' Hanif sudah menjamah roti yang disapukan jem strawberi.

"Abang! Meh turun bawah sarapan pagi! Mak masakkan makanan kesukaan abang. Cepat! Panas-panas lagi ni!" Jerit Datin Shima, agak kuat. Cukup untuk memanggil Ezran yang berada ditingkat dua untuk turun ke bawah menjamu sarapan pagi bersama mereka.

Kerusi yang berada di sebelah Dato'Hanif ditarik sebelum Datin Shima melabuh punggung di situ. Roti dicapai bersama jem. Dia pun terasa lapar juga.

"Kenapa tiba-tiba masak makanan kesukaan dia? Selalunya bagi dia makan roti juga pagi-pagi ni." Tegur Dato' Hanif. Dia memandang isterinya yang sedang menyapu jem pada roti.

"Saya rasa serbasalah dengan dia semalam."

"Serbasalah kenapa?" Soal Dato' Hanif, bingung. Dia meletakkan roti yang telah dimakan separuh itu ke pinggan, mencapai pula air kopi O panas yang berada di sebelah kanan lalu dihirup perlahan.

"Dia tanya pasal kahwin tu lagi. Tapi saya cakap tak boleh. Terus muka dia berubah. Itu yang saya rasa bersalah tu..."

"Lama-lama nanti dia fahamlah kenapa kita buat macam ni pada dia. Demi kebaikan dia juga." Ujar Dato' Hanif setelah selesai menghirup air kopi.

Datin Shima mengangguk kepala tanda sokong.

"Itulah. Eh? Saya baru sedar, Zahrin tak balik sejak keluar dari petang semalamkan?" Tegurnya. Sempat anak mata melirik ke segenap ruang mencari kelibat anak sulungnya. Tiada.

"Budak tu kalau dah keluar memang payah nak balik. Dah berbuih mulut ni nak tegur dia. Yang itu, bila disuruh kahwin banyak pula alasannya!" Sinis Dato' Hanif. Dia meletakkan cawan air kopi itu ke atas meja semula. Geram pula dengan sikap si Zahrin itu.

"Abang pun satu. Berkeraslah sedikit dengan si Zahrin tu. Lama-lama nanti kepala kita pula yang dipijaknya. Dia tu makin lama, dah makin berani bawa anak dara orang keluar jalan-jalan tau. Bukannya saya tak dengar buah mulut orang berkata pasal dia."

"Awak nak saya berkeras macam mana lagi? Dia balik rumah pun jarang, macam mana saya nak tegur?"

"Tak adalah... saya cuma takut, dah terbiasa bawa anak dara orang kehulur-kehilir nanti terbiasa buat benda lain pula. Karang ada yang sampai berdendam, habis keluarga kita diporak-perandakan." Ujar Datin Shima. Mulalah fikirannya berfikiran negatif. Orang dah kalau berdendam, macam-macam perkara gila yang mereka boleh lakukan.

"Ish, apa pula cakap macam itu? Tahulah si Zahrin tu halal, haram. Diakan dah besar?" Sampuk Dato' Hanif.

Datin Shima tidak membalas apa-apa. Biarpun anaknya sudah besar panjang, dia tetap risau. Zahrin mungkin tahu halal dan haram, tetapi nafsu itu yang susah hendak dijaga. Syaitan takkan pernah berhenti menghasut manusia yang berada dimuka bumi ini untuk berbuat jahat. Sekecil-kecil zina, boleh berubah menjadi besar.

Itu yang dia takutkan.

Asyik fikirkan tentang Zahrin, baru dia sedar Ezran masih belum turun ke tingkat bawah. Selalunya budak itu paling laju kalau bab makan.

"Aik, tak turun lagi si budak ni? Takkan tidur lagi kut?"

"Biarlah dia. Kejap lagi turunlah tu." Celah Dato' Hanif.

"Eh, mana boleh. Dah pukul berapa ni? Abang makanlah dulu. Saya nak pergi tengok Ezran dekat atas." Pinta Fatin Shima sebelum bangkit dari tempat duduk. Dia langsung melangkah menuju ke tingkat atas. Membiarkan suaminya menjamah sarapan terlebih dahulu.

"Ezran! Kamu tak nak makan ke? Takkan merajuk dengan mak kut?" Tegur Datin Shima sambil melangkah menuju ke bilik Ezran yang berada di sebelah kiri, hujung.

Sampai sahaja dihadapan bilik itu, pintu pun diketuk.

"Abang, buka pintu ni. Mak dah masak sarapan pagi. Cepat turun makan." Panggil Datin Shima. Dia senyap buat beberapa minit, menantikan sahutan.

Bahkan, senyap sahaja.

"Ezran?" Panggilnya lagi.

Tetap tiada sahutan.

Entah mengapa jantung ini tiba-tiba sahaja berdegup laju. Jiwa rasa tak tenteram. Dia tunduk melihat tombol pintu yang dirasakan tak berkunci, lalu tombol itupun dipulas lalu ditolak laju.

Kosong. Bilik kelihatan kemas dan teratur. Terus Datin Shima berlari ke arah bilik air yang sedia ada di dalam bilik itu, manalah tahu Ezran menggunakan tandas. Malangnya, tiada.

Dia jadi makin gelisah. Ke mana pula Ezran pergi?

Anak mata melingas ke sekeliling bilik. Tercari-cari sesuatu. Pasti ada nota yang diselitkan dimana-mana. Aha! Itu dia. Di kepala katil. Tanpa menunggu lama, Datin Shima terus berlari mendapatkan nota kecil yang ditampal disitu.

"Abang keluar sekejap. Abang janji akan cari calon yang sesuai untuk abang."

Terbeliak biji mata Datin Shima saat membacanya. Sejak bila pula anaknya pandai keluar senyap-senyap ni? Laju datin Shima bergerak ke meja kerja pula. Mencapai satu tabung berbentuk kereta untuk melihat isi duit yang disimpan disitu.

Kosong.

Sah!

Ezran dah bawa semua duit itu pergi bersama.

"ABANG!!!" Jerit Datin Shima, kuat sehingga bergema ke seluruh rumah tiga tingkat itu. Dia terus berlari keluar dari bilik, menuju ke tingkat bawah untuk memberitahu perkara itu kepada suaminya.

"UHUK!"

Tercekik Dato' Hanif tatkala mendengar jeritan itu. Pantas dia mencapai air kopi O untuk melegakan tekak akibat tercekik roti ditengah-tengah kerongkongnya. Fuh! Lega. Nasib tak mati.

"Apa kena dengan awak ni, Shima?" Soal Dato' Hanif sedikit keras.

Tercungap-cungap Datin Shima apabila sudah tiba di meja makan. Nota ditangan ditunjukkan. Allah, penatnya lari tadi!

"Ezran... Ezran..."

"Ezran kenapa?"

"Ezran... Dia... Di... Dia..."

"Cakap tu biar sebaris boleh tak? Ezran kenapa?!" Soal Dato' Hanif, automatik bangkit dari kerusi. Dia pun turut gelisah apabila melihat isterinya begitu.

"Ezran dah keluar rumah!"

"Apa dia?!" Terkejut bukan kepalang Dato' Hanif dibuatnya. Ya Tuhan, itu masalah besar! Ezran itu mungkin tahu cara keluar, tapi cara balik dia tak tahu. Aduhai, kenapalah dia buat perangai pagi-pagi ni?

"Takkan sekuriti dekat luar tak perasan dia keluar?" Soal Dato' Hanif.

"Manalah saya nak tahu. Entah-entah dia panjat pagar tu waktu Khai tengah tidur." Jawab Datin Shima.

Masing-masing sudah memicit kepala. Bagaimana sekarang? Dimana mereka harus mencari Ezran? Kalau apa-apa jadi pada anak lelakinya, memang mereka takkan tenteram!

"Panggil Khai. Kita suruh dia start enjin kereta cari Ezran." Arah Dato'Hanif. 

Datin Shima pantas mengangguk kepala. Sokong. Langsung mereka berlari ke luar rumah menuju ke pondok sekuriti. Meminta bantuan lelaki muda itu untuk mencari Ezran.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro