bab 5

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                       “CAK!" Sergah Eva dari belakang, bahu Aliya ditepuknya. Sengaja ingin membuat budak kecil yang sedang melukis itu terkejut. Namun, Aliya langsung tak menunjukkan sebarang reaksi. Bibirnya mencebik. Mata hanya tumpu pada kertas lukisan. Langsung tidak menoleh memandang muka Eva.

Eva buat-buat kerut kening. Dia melabuh punggung di sebelah Aliya. Kepala ditundukkan sedikit. Ingin melihat wajah yang muram itu. Langsung, Aliya berpaling ke lain. Membawa sekali kertas lukisannya menjauhi Eva.

"Alaa... janganlah merajuk dengan mama." pujuk Eva. Lengan Aliya digoncang-goncang perlahan.

Tetap budak kecil itu tidak memberi respon.

"Yalah. Mama minta maaf pasal semalam. Mama tahu, mama tak sepatutnya pentingkan diri. Tapi Aliya kena faham mama juga. Apa yang mama buat sekarang demi kebaikan Liya."

"Kebaikan apa? Kebaikan supaya terus kena ejek?" Soal Aliya.

Eva pantas menggeleng kepala menafikannya.

"Apa pula macam itu? Eh, Liya tahu tak dalam surat khabar tu banyak sangat kes bapak dia dera anak. Liya tak takut ke? Nanti kalau Aliya buat salah, terus kena pukul. Mama pun tak pernah pukul Liya tau!"

"Habis kawan-kawan Liya, ayah mereka semua baik aje?"

Eva terdiam sejenak. Memikirkan jawapan.

"Err..."

"Mama cakap macam tu supaya Aliya tak minta ayah, kan? Nampaknya mama memang tak kesah pun Aliya kena ejek dekat sekolah..." keluh Aliya begitu kecewa. Dia mengemas pensil warna yang bersepah diatas meja, konon-konon ingin bangun pergi masuk ke dalam bilik.

Tatkala Eva sudah terpinga-pinga. Lekas dia menarik tangan budak kecil itu agar duduk semula.

"Eh, Liya janganlah pergi! Mama tak habis cakap lagi..." rungut Eva.

Aliya hanya diam.

"Okay, mama janji dengan Aliya. Mama takkan biarkan Aliya kena ejek lagi." Ujar Eva, siap mengangkat tangan tanda sumpah sebagai janjinya kepada Aliya. Namun, budak kecil itu mendengus kecil. Dia memusing memandang wajah Eva.

"Dengan cara macam mana? Mama nak buat macam sebelum ni? Pindahkan Aliya ke tadika yang baru?" Soal Aliya, terlebih dahulu meneka perancangan ibunya. Ini bukannya kali pertama terjadi. Tetapi dah berkali-kali dia diejek oleh kanak-kanak yang lain selepas itu ditukarkan ke tadika yang baharu. Alih-alih, disitu pun kena ejek juga.

Eva tersengih menampakkan gigi putihnya. Tak sangka Aliya dah tahu.

"Aliya dah cakapkan, Liya tak nak tukar tadika tapi nak ayah! Liya nak ayah!" Protes Aliya.

Ev mengetap bibir. Pemintaan Aliya kali ini benar-benar menguji amarahnya. Dia sudah cuba untuk berlembut, tapi mengapa budak kecil ini masih tak faham-faham? Dia tak perlukan lelaki untuk menjaga mereka berdua!

"Liya, Liya ingat permintaan Liya ni macam minta mainan ke huh? Tak habis-habis ayah! Ayah! Ayah! Bapak sebenar Aliya pun entah ke mana hala, inikan pula nak bapak yang lain? Silap hari bulan, Aliya pun jadi mangsa diaorang! Lepastu pergi macam Iris pergi!!!" Bentak Eva, turun naik nafasnya mengikut dada yang berombak. Tanpa sedar kata-katanya sudah keterlaluan. Apa yang tidak patut dicakap sudah pun terlepas dari mulutnya.

Eva tergamam. Apa benda yang dia mengarut ini? Rasa nak ketuk kepala sendiri pun ada!

Melihat mata Aliya mula berkaca, Eva makin rasa bersalah.

"Aliya..."

"Jadi betullah Aliya anak haram macam yang Naufal cakap?"

"Tak! Tak Aliya!" Laju Eva menafikannya. Kepala turut sama menggeleng. Ditarik kedua-dua bahu Aliya agar betul-betul menghadap ke arahnya. Kepala Aliya tertunduk ke bawah penuh kecewa. Ya Tuhan, kenapa dia perlu berkata begitu di hadapan Aliya?

"Mama minta maaf. Mama tak patut cakap macam itu..."

"Habis kenapa mama susah sangat nak tunaikan permintaan Liya? Setiap kali atok dengan nenek cakap pasal ni pun, mama marah diaorang. Kalau mama Iris ada, mesti dia dah tunaikan apa yang Liya nak... mesti dia tak nak tengok Liya kena ejek macam ni..." Luah Aliya.

Eva angguk kepala. Dia tidak menafikan perkara itu. Memang Iris pernah mencuba sedaya upaya untuk tuntut tanggungjawab mereka yang merogolnya untuk berkahwin. Malang sekali, seorang pun tidak mahu mengaku salah. Masing-masing pentingkan diri!

Tahu seronok sahaja tetapi bila disuruh bertanggungjawab, semuanya lari!

"Ya. Aliya betul. Mama Iris memang takkan biarkan Liya rasa macam ni..."

"Jadi kenapa mama Iris tak tinggalkan ayah untuk Liya?" Soal Aliya, dia mahu jawapan.

Namun berat sekali untuk Eva menjawabnya. Bibir diketap kuat. Cuba menahan diri daripada menangis.

"Sebab diaorang tak layak jadi bapak Liya. Aliya akan lebih malu, kalau ada bapak macam mereka. Tapi mama janji! Mama takkan biar Aliya kena ejek kali ni. Bukan dengan cara pindahkan Aliya lagi, tapi mama akan cuba cara lain. Tapi tolong bagi mama masa..."

"Mama janji?"

Eva angguk kepala. Terpaksa.

Aliya terus memeluk tubuh ibunya. Dia akan pegang janji itu seerat yang mungkin. Lambat-lambat Eva membalas pelukan.

"Terima kasih, mama." Ucap Aliya, kemudian pelukan dileraikan. Lukisan yang berada diatas meja dicapainya lalu dihalakan pada Eva.

"Tengok. Aliya lukis!"

Eva menunduk memandang lukisan yang ditunjukkan. Lukisan yang menunjukkan sebuah keluarga yang lengkap seperti yang kanak-kanak lain inginkan. Dia tak mampu berkata apa-apa. Mengapa Aliya tidak sepertinya? Yang membenci lelaki, yang tidak perlukan kasih sayang daripada kaum tersebut.

Mengapa mereka mempunyai keinginan yang berbeza?

Namun Eva paksakan bibir untuk terus tersenyum. Biarpun nampak palsu.

"Cantik." Puji Eva. Dia mengambil lukisan itu lalu diletakkan ke tepi.

"Jom, kita keluar nak? Pergi shopping? Beli buku lukisan yang baru?" Cadang Eva. Mengubah topik baru. Pantas budak kecil itu mengangguk kepala tanda setuju. Helaian buku lukisannya pun dah nak habis diconteng.

"Liya mandi dulu. Lepastu kita keluar."

"Baik, mama." Aliya akur.















                          TEKSI berwarna merah itu berhenti sebaik sahaja tiba di hadapan sebuah bangunan Mall yang besar. Kepala Ezran menjenguk sedikit disebalik cermin penumpang, melihat anak-anak muda yang lalu-lalang di sekitar kawasan itu. Ada juga beberapa pelancong asing yang mengambil gambar di hadapan air pancut yang besar ditengah rounderbout. Ramai sungguh orang disini. Ada yang keluar bersama pasangan, ada juga bersama keluarga dan rakan-rakan yang lain.

"Ha, dik... Inilah tempat yang ramai orang pun. Kamu kata nak tempat perempuan selalu pergikan?" Kata Pak Cik pemandu itu.

Ezran angguk kepala.

"Tapi betul ke tempat ni ramai perempuan?"

"Haih? Kamu tak nampak ke berapa ramai perempuan kat situ?"

Ya. Memang ramai perempuan pun. Tapi entah mengapa dia rasa seperti ini bukan tempat yang sesuai untuk dia mencari calon isteri. Tapi ke mana lagi kawasan yang harus dia pergi jika bukan di sini? Turun ajelah.

"Kalau macam itu, berapa harganya?" Soal Ezran, beg duit dikeluarkan dari beg galas yang dibawa. Dia mengira berapa wang yang ada. Takut tak cukup. Tanpa sedar mata si pemandu teksi itu melihat dari cermin pandang belakang.

Tertelan air liur pemandu teksi itu tatkala melihat wang yang begitu banyak. 'Pasti kaya budak ni!'

"Ehem! Tak mahal pun... dalam dua ratus macam itu aje." Bohongnya tanpa menoleh memandang Ezran. Tangan mengetuk-ngetuk stereng sementara menunggu lelaki itu sedang mengira duit. 'Lihat muka macam tak betul sahaja, pasti dia percaya apa yang aku cakap tadi.' Omelnya di dalam hati.

"Nah, dua ratus." Ezran menghulurkan wang sebanyak dua ratus ringgit.

Tersenyum lebar pemandu teksi itu mengambilnya. Dah agak! Pasti dapat. Mudah kena tipu betul.

"Terima kasih."

"Saya pergi dulu ya, pak cik. Assalamualaikum." Ucap Ezran sebelum berlalu keluar dari perut kereta. Tak sempat nak lambai tangan, pacuan empat roda itu telah bergerak pergi dengan laju.

Kini, dia tinggal seorang diri. Tubuh memusing ke belakang, melihat bangunan Mall yang tinggi itu.

"Macam mana nak cari perempuan ek?" Soalnya kepada diri sendiri. Kepala yang tidak gatal digaru sebentar. Telefon! Dia perlukan telefon. Lantas, telefon canggih yang dibawa dikeluarkan dari kocek seluar. Aplikasi Google dibuka, mencari cara-cara untuk melamar wanita menjadi isterinya.

"Cakap sudikah awak menjadi isteri saya?" Dia membaca ayat yang tertera tulis di blog cinta itu. Kepala diangguk. Faham. Telefon kembali disimpan. Beg galas yang senget diperbetulkan.

Tarik nafas lalu dihembus. Diulang perbuatan itu berkali-kali hingga dia terasa yakin. Dan barulah kaki mula mengatur langkah masuk ke dalam Mall itu.

Anak mata turut bergerak melalui mencari calon yang sesuai. Semuanya nampak berpasangan. Tak adakah yang duduk seorang diri?

Aha! Itu dia. Di bahagian cafe. Kaki laju melangkah menuju ke arah seorang wanita yang sedang menghirup kopi sambil mata tumpu melihat telefon. Dia nampak macam berseorangan.

"Err... Assalamualaikum." Ezran memberi salam.

"Waalaikumsalam. Nak minta derma ke? Sorry, saya tak ada cash." Balas wanita itu acuh tak acuh tanpa menoleh memandang lelaki itu. Malas hendak melayan orang asing yang tiba-tiba datang menegur.

Lantas Ezran menggeleng kepala menafikannya.

"Eh, tak. Sa... Saya bukan nak minta derma."

Kening wanita itu berkerut. Dia mengangkat muka memandang Ezran.

"Habis tu?"

"Err... aw... Awak sudi tak jadi isteri saya?" Soal Ezran, berterus-terang tanpa ada belok-belok.

Terbeliak biji mata wanita itu mendengarnya. Gila ke apa mamat ni? Langsung wanita itu bangun dari tempat duduk, mengambil air kopinya sebelum berlalu pergi begitu sahaja. Sempat dia menjeling penuh sinis kearah lelaki tak dikenali itu. Potong mood betul!

Kening Ezran berkerut. Dia menggaru kepala.

"Aku salah cakap ke?" soalnya kepada diri sendiri. Nampaknya percubaan pertama gagal. Dia pergi mencari wanita yang lain pula.

Di bahagian tempat menunggu. Ada seorang wanita bertudung sedang duduk disitu sambil membaca novel. Mungkin percubaan keduanya bakal berjaya.

"Err... hai." Tegur Ezran. Siap melambai tangan.

Mengalihkan perhatian wanita itu daripada tunduk membaca buku.

"Ya?"

"Err... awak nak jadi isteri saya tak?"

"Huh? Kau merepek apa ni? Eeii... gila ke apa?" Wanita itu terus menggalas beg sandangnya. Dia bangkit dari kerusi, ingin pergi. Melihat lelaki berbaju T shirt merah keluar dari kedai pakaian itu, terus wanita itu berlari mendapatnya. Lengan lelaki itu dipeluk erat.

"Bang, ada lelaki tu dia ajak jadi isterilah.  Macam tak betul aje!"

"Huh? Ajak awak jadi isteri? Kau dah kenapa, bro nak mengorat isteri orang?" Soal lelaki itu agak kasar. Siap menolak bahunya hingga terundur sedikit ke belakang.

"So... Sorry. Saya tak ada niat pun nak ambil isteri awak." Tertunduk-tunduk Ezran meminta maaf. Takut dipukul. Cepat-cepat dia berlari pergi daripada situ. Apabila jaraknya sudah jauh, barulah dia perlahankan larian.

Bibirnya mengeluh kecil.

"Tanya pun nak marah ke?" Rungutnya, perlahan. Hampir sahaja berlaku pergaduhan tadi. Kalau mak tahu, pasti teruk kena ceramah nanti!

Kring! Kring!

Bunyi loceng aiskrim mengalihkan perhatian Ezran. Langkahnya terhenti. Dia menoleh ke tepi, melihat sebuah kedai aiskrim Turki yang sedang membuat persembahan. Ramai juga orang berkumpul disitu. Pasti menarik untuk ditonton. Langsung kaki bergerak ke arah sana.

Dia berhenti di sebelah budak perempuan yang sedang memakan aiskrim. Menonton persembahan tangkap-menangkap itu begitu teruja. Macam best sahaja! Pantas dia mengeluarkan beg duit dari beg galasnya. Ingin membeli aiskrim yang sama.

Dia pun mahu mencuba permainan itu.

Namun, niatnya terbatal seketika saat melihat budak perempuan disebelahnya yang memakan aiskrim begitu comot. Habis dress yang dipakai terkena cairan aiskrim itu. Ini kalau maknya nampak, dia sudah marah kerana membiarkan baju kotor.

"Awak!" Panggil Ezran.

Budak kecil itu mendongak memandangnya sambil menjilat aiskrim.

"Comot. Kat sini." Kata Ezran, sambil menunjuk-nunjuk ke arah bawah bibirnya. Konon ada kesan aiskrim disitu.

Lantas budak perempuan itu pun mengesat bibirnya. Ditempat yang salah.

Ezran geleng kepala.

"Bukan dekat situ. Dekat sinilah." Ezran mendekat. Dia duduk mencangkung menyamakan ketinggian. Tanpa berfikir panjang, bawah bibir budak kecil itupun dilap mengguna ibu jarinya.

Terkejut kedua orang tua budak perempuan itu tatkala melihat anak mereka disentuh. Terus tubuh Ezran ditolak kasar menjauhinya sehingga jatuh terjelepok ke lantai.

"Hoi, kau dah gila ke?! Tolong! Ada orang pedophile dekat sini!!!" Jerit perempuan itu, kuat sehingga mengalihkan perhatian mata-mata yang berada situ. Persembahan aiskrim turut terhenti sekelip mata.

Semua orang yang berada disitu memandangnya dengan pandangan begitu sinis. Ezran pantas menggeleng kepala. Semua ini salah faham! Dia tiada niat untuk menyentuh budak kecil itu.

"Ta... Tak... budak tu comot, saya cuma nak lap aje..."

"Berani kau sentuh anak aku?! Kau bangun sekarang!!!" Dengan kasar, kolar bajunya dicengkam oleh lelaki berbadan tegap itu. Ditarik memaksa dia untuk berdiri. Tak sempat Ezran hendak membuka mulut, satu tumbukan dilayang ke mukanya kuat hingga terpusing jatuh menyembah ke lantai.

"Arghh..." Ezran mengerang kesakitan. Terketar-ketar sebelah tangannya naik menyentuh bibir, apabila dia tunduk melihat ke jari. Ada setompok darah melekat disitu. Dia tergamam.

Seumur hidupnya, dia tak pernah dipukul. Apatah lagi terluka seperti ini. Benarlah kata Dato' Hanif dan Datin Shima, dia tidak pandai berdikari. Dia tak sepatutnya keluar dari rumah dan berada sini.

Dia harus pulang! Ini bukan tempat yang sesuai.

"Sa... Saya nak balik! Saya nak balik!" Terus Ezran bangun dari pembaringan ingin berlari pergi daripada tempat itu. Air mata sudah mengalir keluar kerana takut. Namun, tak sampai beberapa langkah bajunya sudah ditarik oleh lelaki tadi.

"Hei, kau nak pergi mana huh? Oh kau nak lari pulak ya?! Jantan gatal macam kau ni memang patut kena ajar cukup-cukup! Dengan budak pun kau bernafsu ke huh?!"

"Tak... Saya tak niat pun. Sumpah! Tolonglah... Saya nak balik. Saya nak jumpa mak saya. Sesiapa tolonglah... Saya tak buat salah pun. Jangan pukul saya lagi..." Rayu Ezran, dia memandang semua yang mengelilingi tempat itu cuba meminta bantuan sesiapa sahaja agar menghentikan perbuatan lelaki itu. Malang sekali, tiada seorang pun yang sudi menolongnya. Malah lebih memandang jijik kepadanya seperti sampah.

Tanpa sebarang isyarat,sekali lagi penumbuk dilayang ke arah Ezran. Tepat mengena ke perut sehingga terbongkok tubuhnya menahan senak. Langsung tak memberinya peluang untuk bercakap, kemudian tendangan pula singgah ke tempat yang sama.

Sakit. Sehingga Ezran tak mampu lagi untuk berdiri. Dia terus terbaring di atas lantai. Terbatuk-batuk memuntahkan darah.

"Cu...cukup..." Rayu Ezran.

Bahkan tidak dipedulikan. Lelaki itu terus menendang perutnya berkali-kali sehingga puas.

"Rasakan! Pedophile macam kau memang patut kena ajar!" Hambur lelaki itu.



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro