Bab 6

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

                BUKU mewarna dibelek-belek, tidak minat. Aliya letakkan balik ke tempat asal. Dia mencari buku yang lain. Hampir lima minit juga dia hendak membuat pilihan. Semuanya nampak tak menarik. Tatkala Eva masih sabar menunggu. Berpeluk tubuh sambil memerhati. Manakala dua orang pengawalnya menunggu di luar kedai.

Tiba-tiba telefon canggihnya berdering. Langsung Eva keluarkan telefon itu dari beg berjenama channel yang digalas pada bahu. Dia lihat sekejap nama yang tertera diskrin sebelum panggilan itu diangkat.

"Liya pilihlah dulu. Mama nak jawab call sekejap." Ujar Eva, Aliya sekadar mengangguk kepala. Kemudian, Eva pun melangkah keluar dari kedai buku itu. Mencari ruang privasi untuk mereka berbual sebentar.

"Ish, semuanya dah beli... bosanlah." Rungut Aliya. Dia mengeluh kecil. Kepala menoleh ke kiri dan kanan, mencari jika ada buku lukisan atau mewarna yang lebih menarik. Namun tiada. Bibirnya mencebik.

Lantas, Aliya melangkah keluar dari kedai. Sekejap dia melihat ke arah dua orang pengawalnya yang sedang berbual, sebelum anak mata beralih ke arah sebelah kanan. Rasa-rasanya ada lagi kedai buku di sana. Tanpa berfikir panjang, dia terus berjalan seorang diri. Beg Dora yang digalas diperbetulkan sedikit.

Sambil kaki melangkah, anak mata turut bergerak melihat kedai-kedai disepanjang laluan.

Tatkala melihat orang ramai berkerumun di hadapan kedai aiskrim Turki itu, langkah Aliya terhenti buat sejenak. Keningnya berkerut. Apatah lagi apabila mendengar ada suara orang mengerang kesakitan, lagilah buatkan dia tertanya-tanya apa yang telah terjadi di sana. Ada persembahankah?

"Macam best je!"

Langsung dia berlari anak menuju ke situ. Ditolak-tolak sedikit tubuh tinggi yang menghalang jalannya. Dia mahu lihat dengan jarak yang lebih dekat.

"Beri laluan! Beri laluan! Pak cik tepi sikit!" Kata Aliya dengan suara comelnya,  setelah menyelit masuk sedikit demi sedikit akhirnya dia sampai ke depan.

"Tolong... Cukup..." Suara itu merayu dengan begitu lemah.

Aliya tergamam. Persembahan apa yang dia lihat ini? Dilantai sudah penuh dengan darah. Bahkan, muka lelaki yang sedang terbaring di atas lantai itu juga pucat dengan kesan lebam akibat ditumbuk. Tubuhnya juga dalam posisi melengkung, dengan tangan menyentuh perut. Jelas menahan senak kerana ditendang berkali-kali disitu.

Aliya dongak memandang setiap wajah orang awam yang mengelilingi tempat itu. Mengapa tiada seorang pun yang keluar untuk menolong?

"Ini hadiah terakhir aku untuk kau!"

"Jangan!!!" Tanpa berfikir panjang, Aliya terus beranikan diri berlari mendapatkan lelaki yang sedang terbaring itu. Semerta mematikan tindakannya yang hendak menendang buat kali terakhir.

Mukanya berkerut.

"Siapa pulak budak ni? Anak siapa ni?!" Soal orang itu, garau. Anak mata melingas ke setiap wajah yang mengelilingi mereka. Masing-masing menoleh sesama sendiri mencari siapa si penjaga kepada budak perempuan itu. Tiada yang mengaku.

"Kenapa Pak cik pukul dia? Tak baiklah. Berdosa!" Marah Aliya. Dia cuba membantu  lelaki yang sedang terbaring itu, agar kembali bangun. Namun, dia terlalu lemah untuk berdiri. Hanya mampu untuk duduk sambil memegang perut.

Jujur, Ezran tak mampu menahan tangisannya lagi. Air mata mengalir dengan laju. Setelah beberapa minit, akhirnya ada juga yang keluar membantunya biarpun seorang budak kecil. Dia bersyukur.

"Tolong saya... saya tak buat salah apa pun... sumpah..." Rayu Ezran, lemah.

"Syhhh...sudah. Jangan menangis. Liya ada tisu!" Beg Dora itu dibawa ke depan. Zip ditarik mengeluarkan tisu poket yang dibawa sebelum dilap pada air mata yang mengalir itu.

"Hei, kau budak kecil jangan nak campur urusan orang tualah! Ke tepi!" Tengking lelaki itu. Menghalau.

Bahkan Aliya masih lagi tidak berganjak walau setapak. Malah dipeluk tubuh Ezran tanda tidak akan sesekali membiarkan lelaki itu menyakitinya lagi.

"Liya tak benarkan pak cik pukul dia!" Jerit Aliya. Siap tayang muka terpaling garang yang dia ada.

"Ish, degil betullah budak ni!" Terus lelaki itu bergerak mendekati mereka berdua. Ezran sudah geleng kepala. Jangan ditarik budak kecil itu pergi daripadanya. Dia tidak mahu dipukul lagi!

Namun, tak sempat hujung jari hendak menyentuh tiba-tiba...

"Jangan sentuh kulit budak perempuan tu!" Suara wanita itu mencelah, jelas berbaur amaran. Semerta menghentikan perbuatannya. Segala kekecohan yang berlaku sekejap tadi berhenti sekelip mata seolah-olah ada satu kuasa yang telah muncul dan mematikan suasana itu. Laju kepala menoleh ke belakang.

Melilau anak mata mencari siempunya suara yang berani memberi amaran. Dan  disebelah kanannya, orang-orang mula bergerak berpisah kepada dua bahagian. Pengawal berpakaian serba hitam itu lekas melakukan tanggungjawabnya. Menolak-nolak tubuh yang degil untuk bergerak ke tepi. Mengosongkan laluan ditengah-tengah.

Tuk! Tuk!

Disebalik suasana yang senyap itu, bunyi kasut tumit tinggi mengena lantai. Melangkah setapak demi setapak ke hadapan.

Tenang dan serius.

Berhenti.

Anak mata Eva beralih seketika ke arah Aliya yang sedang memeluk lelaki tak dikenali itu.

"Liya, lepaskan lelaki tu." Arah Eva dengan nada suara mendatar. Tegas. Perlahan-lahan Aliya menjauhkan diri. Menurut arahan ibunya.

Kemudian, Eva menoleh memandang lelaki berbadan tegap itu pula.

"Kenapa buat kecoh dekat sini? Kau fikir ni gelanggang gusti ke nak pukul orang sampai macam itu sekali?" Soal Eva.

"Eh, kau tak tahu apa-apalah! Mamat ni yang sentuh anak aku. Dia cuba nak buat sesuatu yang tak elok tadi!" Bentaknya.

Eva diam tidak berkata apa. Sebaliknya menunduk melihat ke arah lelaki yang berwajah pucat penuh lebam itu, masih lagi sedang menangis. Aliya pula masih cuba untuk memujuk. Siap tepuk-tepuk lagi bahu lelaki itu. Lihat pada perwatakannya, lelaki itu tidak nampak normal seperti orang biasa. Takkanlah dia cuba nak apa-apakan anak mereka?

Apa-apa pun, dia tidak boleh mendengar suara dari sebelah pihak sahaja.

"Betul ke apa yang lelaki ni cakap? Kau cuba nak sentuh anak diaorang?" Soal Eva, dia mahu mendengar sendiri penjelasan daripada lelaki itu.

Perlahan Ezran menggeleng kepala. Dia mendongak, merenung tepat ke mata Eva penuh kejujuran.

"Sa... Saya cuma nak lap kesan comot aiskrim dekat bawah bibir budak itu aje. Le... Lepas tu. Dia pukul saya. Sumpah! Saya... Saya tak buat benda tak elok..."

"Hei, kau jangan nak tipulah!" Jerkah lelaki berbadan tegap itu. Dia hampir sahaja menyerang, bahkan Eva lebih pantas bertindak menarik bahu lelaki itu berundur semula sebelum dilayangkan tapak tangannya tepat mengena muka.

PAP!

Kuat bunyi yang terhasil. Sehingga terteleng kepala lelaki itu ke tepi. Dia tergamam.

Semua orang disitu juga terkejut melihat tindakan berani Eva menampar lelaki berbadan tegap itu.

"Berani kau tampar muka aku? Kau ni memang cari nahas betul!" Terketar-ketar giginya menahan geram. Diangkat sebelah tangan ingin membalas tamparan Eva, namun dua orang pengawal peribadi itu lebih pantas bertindak. Menyilang kedua belah tangannya ke belakang agar tidak boleh melakukan apa-apa.

Dia mendengus penuh tak puas hati.

"Tak dengar ke apa dia cakap tadi? Dia cuma tolong lapkan kesan comot dekat bibir anak kau. Dah kalau mak bapak dia sendiri sengkek sangat nak beli tisu untuk lapkan bibir anak sendiri! Tu! Tengok anak kau!" Dicengkam rahang lelaki itu sebelum dipaksa menoleh ke arah anak perempuannya yang berada di pelukan sang isteri. Dress yang dipakai habis kotor terkena aiskrim. Comot sungguh!

"Kau yang tak jaga anak kau elok-elok, lepastu nak salahkan orang lain huh?" Soal Eva begitu sinis.

Lelaki itu kematian kata. Isterinya turut tertunduk malu.

"Bagi dompet kau." Pinta Eva. Siap menghulur sebelah tangan. Selamba.

Kening lelaki itu berkerut. Untuk apa pula Eva meminta dompetnya?

"Huh?"

Eva memberi isyarat mata kepada pengawal yang berdiri di sebelah lelaki itu. Lantas, dia pun menyeluk tangan ke dalam poket seluar lelaki itu, mengeluarkan beg dompet berwarna coklat sebelum diserahkan kepada Eva.

"Hei, kau nak buat apa tu?! Itu duit akulah!"

Eva buat-buat tak dengar. Dompet milik lelaki itu dibuka, dia mengambil beberapa wang bernilai 100 ringgit yang ada sebelum dompet itu dicampak ke lantai.

"Ini. Duit untuk rawat kos luka dia masa dekat hospital nanti." Kata Eva, menayang duit itu betul-betul di hadapan mukanya sebelum dia melangkah ke arah Ezran yang masih duduk di atas lantai.

"Nah!" Duit dihulur.

Kening Ezran berkerut.

"Itu bukan duit saya..."

"Ambil aje. Dia yang pukul awak tanpa sebab yang kukuh. Itu dah dikira menuduh tanpa bukti. Lebih baik bayar di sini daripada bayar saman." Ujar Eva.

Teragak-agak tangan Ezran mengambil duit itu. Betulkah tak apa ni? Wajah lelaki yang memukulnya itu dipandang. Jelas sedang merenung tajam ke arah Eva penuh tidak puas hati.

Kemudian, Eva pusing ke belakang. Menghadkan lelaki itu semula.

"Minta maaf pada dia sekarang." arah Eva. Tenang.

"Kau dah ambil duit aku, selepas itu kau nak aku minta maaf? Memang taklah!" Jerkahnya.

"Kau ada dua pilihan sahaja. Sama ada minta maaf kepada dia atau tunggu surat saman kerana kau buat kecoh di Mall aku? Nak yang mana?" Soal Eva dengan nada sinis. Dia mengangkat sebelah kening memandang lelaki itu.

Bibir mengetap. Tajam renungannya menikam ke arah Eva. Berani sungguh wanita itu merendah-rendahkan dia di hadapan khalayak ramai! Namun dia tiada pilihan lain, lebih baik mengaku salah daripada terus ego.

"Aku minta maaf..." Perlahan bibirnya berkata.

"Tak dengar. Kuat sikit."

Dia merengus kecil. Namun cuba untuk tetap bersabar.

"Aku minta maaf!" Ulangnya lebih kuat.

Eva angguk kepala tanda puas hati. Dia menoleh memandang Ezran di lantai.

"Macam mana? Terima maaf dia?" Soal Eva.

Ezran angguk kepala.

"Bagus. Kalau macam tu bawa mereka keluar daripada Mall ni. Dan panggil cleaner sekali bersihkan darah dekat sini. Nanti pihak media fikir ada orang bunuh diri pula." Ujar Eva, siap memberi arahan kepada pengawalnya. Mereka langsung bergerak menjalankan tugas.
Malah orang awam yang mengelilingi mereka tadi juga disuruh beredar pergi melakukan hal masing-masing.

"Mama... kesian dia. Jomlah kita bawa dia pergi hospital." Cadang Aliya.

Eva menunduk sekilas memandang lelaki itu. Teruk juga dia dibelasah.

"Dia boleh pergi sendiri. Jom, Aliya. Sambung beli buku." Balas Eva, acuh tak acuh. Tangan Aliya ditarik, memaksa budak kecil itu mengikutnya pergi.

Namun, Aliya menepis. Tidak mahu beredar. Dia kembali ke arah lelaki itu.

"Mama cakap kalau ada orang susah kena tolong!"

"Tadikan mama dah tolong dia? Sudahlah, Aliya... jangan buat perangai."

Aliya tetap geleng kepala.

"Mama kena tolong dia. Aliya tak kesah pasal buku tu lagi." Katanya. Degil.

Eva mengatup mata sesaat. Kadang-kadang degil si Aliya ni mencabar imannya juga. Tapi apa dia boleh buat? Kalau dia kata tidak pun, Aliya akan tetap berkeras dengan keputusannya.Tidak mahu tidak, dia terpaksa menuruti permintaan anaknya. Nafas ditarik perlahan lalu dihembus agar kembali tenang.

"Fine. Suruh dia bangun. Kita hantar dia pergi hospital."

















                        SEMASA dalam perjalanan menuju ke hospital, Eva hanya duduk bersandar pada kusyen sambil berpaling melihat ke luar tingkap kereta. Aliya dibiarkan duduk ditengah. Dia di sebelah kiri manakala lelaki itu pula duduk di seat kanan. Rasa janggal pula apabila ada orang tak dikenali tumpang kereta.

Mulut Ezran daripada tadi tak henti berdesis, sakit. Sentuh sikit pun dah rasa pedih. Sesekali dia melihat mukanya dari cermin pandang belakang, teruk juga kesan lebam di muka.

"Kalau mak tahu, pasti balik kejap lagi kena marah..." rungut Ezran, perlahan. Seumur hidupnya dia tidak pernah dapat luka seteruk ini. Haih, ini semua pasal kes lap aiskrim sahaja...

"Mama saya pun akan marah kalau nampak saya luka disebabkan gaduh." Sampuk Aliya. Mengalihkan perhatian Ezran kepadanya.

Eva turut menoleh memandang Aliya. Matanya membulat.

"Aliya. Jangan cakap dengan orang yang tak kenal." Tegas Eva, memberi peringatan kepada anaknya.

Aliya mencebir bibir. Baru ada niat nak berbual tadi. Yalah, daripada tadi sunyi sahaja suasana di dalam kereta ini. Kepala menunduk ke bawah.

"Nama saya Ezran." Setelah sekian lama menyepi, akhirnya Ezran membuka mulut. Memperkenalkan diri. Dia menghulur tangan ingin berjabat.

Kepala Aliya kembali melangut. Ada senyuman teruja dibibirnya. Lantas, tangan lelaki itu disambut.

"Saya Aliya!" Jawab Aliya.

Eva menjeling sekilas melihat mereka berdua. Dah tegur jangan bercakap dengan orang tak dikenali pun masih degil. Kepala Eva menggeleng. Sabar sajalah. Dia kembali menoleh ke luar tingkap kereta.

"Berani betul awak tolong saya tadi. Orang dewasa yang ada dekat sana tadi pun tak tolong saya." Puji Ezran. Kagum.

"Mestilah. Mama saya ajar kita kena berani. Jangan tunjuk lemah pada sesiapa pun, kalau tidak kita akan senang kena buli." Balas Aliya.

Kepala Ezran terangguk-angguk. Faham. Anak mata bergerak sekilas melihat ke arah Eva yang langsung tak bersuara dengannya. Pandang muka pun tidak. Asyik mengamati pemandangan di luar sahaja. Seolah-olah tidak selesa dengan kehadirannya.

Lantas Ezran menundukkan sedikit kepala. Menyamankan ketinggiannya dengan Aliya untuk berbisik.

"Itu ke mama awak?" Tanya Ezran, perlahan. Cukup untuk dia dan Aliya sahaja yang dengar.

Aliya angguk kepala. Mengiyakannya.

"Kenapa dia macam tak suka saya?" Soal Ezran lagi. Takut nak soal kuat-kuat. Nanti ada juga yang kena tendang keluar daripada kereta.

Aliya mendekatkan jarak. Ingin berbisik juga.

"Dia memang tak suka awak pun." Bisik Aliya.

Ezran terdiam. Matanya tak berkelip.

"Mama saya dia tak suka lelaki. Dia kata lelaki semua jahat." Katanya, lagi.

"Mama dengar, Liya..." sampuk Eva tanpa menoleh memandang mereka. Aliya tersentak. Pantas menutup mulutnya dengan kedua-dua belah tangan. Kantoilah tengah mengutuk mak sendiri!

Ezran kembali menegakkan badan. Eva dipandang. Dia tidak mahu Eva beranggapan bahawa dia mempunyai niat yang jahat.

"Err... mak cik janganlah risau. Saya tak jahat." Ujar Ezran.

"Excuse me?" Laju Eva berpaling memandang Ezran dengan riak muka tak percaya. Mak cik?! Umur dia baru 26 tahun! Muka pun masih belum berkedut.

Dengan pantas Aliya menampar paha lelaki itu. Ezran langsung menunduk memandangnya.

"Mama saya muda lagilah. Dia kahwin pun belum!" Tegur Aliya.

Ezran terkedu. Dia kembali memandang Eva dengan bibir tersengih-sengih, kekok. Oh, ya ke?

"So... Sorry. Saya tak tahu." Rayu Ezran, gagap. Risau pula kena marah. Namun Eva sekadar menggeleng kepala. Ada jelingan meluat sebelum dia berpaling ke lain.

Bawah bibir digigit Ezran. Malu. Tapi tak sampai beberapa saat, keningnya berkerut memikirkan kata-kata Aliya tadi. Langsung dia tunduk ingin berbisik bertanya sesuatu.

"Habis macam mana awak wujud kalau mama awak tak kahwin lagi?" Soal Ezran, bingung.

Aliya menjongket bahu. Entah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro