Prolog

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


Salam Ramadan!

.
.
.

"Mama,"

Malam itu, hujan renyai-renyai. Falah terjaga apabila dia terdengar bunyi kuat dari bawah. Apabila dia menatap jam, pukul 1 pagi. Dan sekarang, apabila dia sudah turun, dia dapat lihat ibunya dalam keadaan terhuyung-hayang memasuki rumah. Ada tas tangan baru tercampak ke lantai.

Falah berkerut melihat tingkah ibunya itu. Rasa tidak senang dan rasa sesak bercampur baur. Dia menuruni tangga dengan mata tidak lepas merenung batang tubuh sang ibu.

Mama mabuk?

Kelihatan mama sedang berusaha menutup pintu, namun kerana fikiran separa sedar - mama tidak menjumpai gagang pintu. Meraba-raba pintu hendak ditutup.

Falah sudah berdiri di hujung tangga. Bau alkohol menyengat hidungnya. Nafasnya jadi turun naik. Tangan dikepal kuat.

Mama akhirnya berjaya menutup pintu. Terhuyung-hayang hendak mengutip begnya. Namun sekilas dia tersedar kewujudan Falah. Dia tidak jadi mengambil begnya. Memandang Falah dengan mata kuyu.

"Oh.. Falah." Mama ketawa kecil.

Falah mengetap rahang. "Apa mama buat ni? Mama minum arak?" Falah tidak menunggu lama, terus menyerang mamanya dengan soalan itu.

Mama berubah wajah. Merenung Falah cukup lama. Mata berkedip layu.

"Ohh.." Mama seperti baru teringat sesuatu. "Kaulah yang berlagak macam penghuni syurga tu.." Mama terangguk-angguk kemudiannya.

Falah mengerutkan wajah.

"Mama tahu kan, arak itu haram?" Falah berkata tegas.

Mama tergelak sinis. Dia mengutip tas tangan di lantai. Terhuyung-hayang hampir jatuh.

"Aaa.. Bla bla bla. Haram, halal, syurga, neraka.. Itu jelah yang kau tahu. Annoying tahu tak." Mama sudah berdiri selepas mengutip tas tangannya, dia memusingkan jari di tepi kepala. Tanda bingit.

Mata Falah membesar.

"Apa mama cakap ni?" Dia panas hati mendengar bicara mamanya.

"Yalah.. Kau tu.. Berlagak macam penghuni syurga sangat. Suruh aku solat. Suruh aku baca quran. Lepas tu macamlah aku tak tahu, kau canang dekat kawan-kawan kau yang mak kau ni tak pandai solat. Kau nak kata kau baik sangatlah.. Pandai solat, pandai baca quran.. Padahal.. Dulu kau pun jahil sama. Heh." Mama tergelak sinis, dia sudah mula menapak hendak ke tangga.

Falah mengepal tangan. Sakit hatinya mendengar cemuhan ibunya itu. Salahkah dia menegur ibunya selama ini? Dia cuma mahu ibunya berubah jadi lebih baik! Dia sudah berusaha menegur secara lembut, tapi tiada satu pun yang berkesan. Pastinya dia akan cuba menegur dengan cara tegas pula.

"Mama yang tak berusaha jadi lebih baik. Bila Falah tegur mama awal-awal dulu, ada mama dengar?" Falah rasa tercabar bila mama pertikaikan caranya mengislah keluarga ini.

Mama berhenti berjalan bila mendengar kata-kata Falah. Dia kemudian menatap Falah. Tertawa sinis.

"Hei.." Dia mendekati Falah. Jari telunjuknya naik menolak dada anaknya itu. Falah terundur setapak. Bukan kerana ditolak, tapi dia tidak sanggup menghidu bau arak yang sangat kuat.

"Sejak kau jadi penghuni syurga ni.. Kau tak reti hormat aku kan? Aku yang lahirkan kau tau.. Aku yang susukan kau kecik dulu.. Walaupun aku jahil, kau patut hormat je aku.." Mama menolak-nolak dada Falah.

Falah pula berasa jijik bila terhidu bau busuk alkohol. Terus menjauh dari ibunya. Dia kemudian tertawa sinis.

"Buat apa Falah hormati mama? Kalau mama tak pernah hormati tuhan mama? Tengok apa mama buat sekarang, mama langgar perintah Allah lagi.. Mama buat dosa lagi. Mama memang tak nak bertaubat ke? Mama nak sangat masuk neraka?!" Falah begitu marah, sehingga terus menjerkah mamanya begitu.

"Aarghhhh!!!" Mama terus menjerit sekuat hati dan menekup telinganya.

Falah terundur bila mendengar jeritan nyaring itu. Terkejut.

Dek jeritan itu, Iman dan Henry muncul dari atas. Mereka terjaga bila terdengar kekecohan dari bawah. Dan terus keluar sebaik mendengar jeritan mama.

"Mama!" Iman terkejut melihat keadaan ibunya. Henry juga terkejut sama. Bukan kerana apa, kerana ini kali pertama mereka melihat mama mabuk.

"Kau!!" Mama menunding jari ke arah Falah. Menjerkah sakit hati.

Falah terdiam tidak terkata apa. Hanya nafasnya turun naik.

"Kau bukan anak aku. Aku benci kau. Aku.. Benci kau. Kau keluar dari rumah ni!! Keluar!! Aku tak nak tengok muka kau!!" Mama menjerit-jerit bagai orang gila. Menolak-nolak Falah sekuat hati.

Falah tergamam sendiri bila dihalau begitu.

Iman dan Henry sama-sama jeda. Iman kemudian menerpa mama. Merasakan bahaya jika dibiarkan mama sebegitu rupa.

"Mama.. Jom masuk bilik. Mama kena berehat." Iman berusaha menarik mama dari Falah.

"Lepaskan aku!" Mama menjerkah seraya leraikan pegangan Iman. Iman terundur ke belakang. Terkejut dengan kekuatan mamanya.

"Kau selalu berlagak macam kau malaikat. Kau berlagak macam kau dah yakin untuk masuk syurga. Okay! Kalau begitu, keluar dari rumah ni! Sebab rumah ni hanya untuk penghuni neraka macam aku dan anak-anak aku! Bukan untuk penghuni syurga macam kau! Keluar! Get out!!" Mama menengking sekuat hati. Sehingga Iman sendiri terpejam mata mendengar.

Ketika itulah terlihat Fitri, si bongsu baru muncul dari bilik. Terkejut melihat apa yang terjadi.

"Mama.." Falah masih terkedu dengan apa yang terjadi. Dia cuma mahu membetulkan keluarganya. Adakah salah apa dia lakukan ini?

"Aku cakap keluar!!! Kau bukan anak aku!! Aku tak mengaku kau anak aku! Dasar munafik!!"

Falah tidak sedar bilakah matanya menjernih. Apabila dia menatap Abang Henry, abang iparnya itu hanya memandang ke arah lain. Tidak memandangnya langsung. Jelas air wajah abang iparnya itu keruh.

Apabila dia menatap Iman, kakaknya itu pun sama. Mengelak dari menatapnya.

Kini dia faham.. Semua orang di dalam rumah ini tidak menyukai kewujudannya. Kerana dia sering menegur kesalahan orang lain, juga memperingatkan pada mereka tentang syurga dan neraka. Semua jadi membencinya. Sekarang, semua tidak mahu melihat wajahnya. Menyokong untuk dia keluar dari rumah ini.

Falah terundur beberapa tapak. Sebelum dia menuju ke pintu rumah. Hatinya terluka apabila tiada siapa memanggilnya. Malah ketika dia membuka pintu rumah, tiada siapa menahannya dari pergi.

Falah diam agak lama di depan pintu. Matanya makin menjernih. Dia sangat berharap agar mama kembali memanggilnya.

Namun, yang kedengaran di telinganya hanyalah..

"Pergilah.. Munafik."

.
.
.




Matanya tercelik perlahan. Nafas tertarik dalam sebelum terhembus berat dari dada. Suasana suram sepertiga malam menyapa pandangannya.

Bunyi cengkerik dari belakang rumah guru kedengaran kuat. Dia merenung lama atap kayu yang meneduh rumah ini.

Ini.. Sudah termasuk kali ketiga dia bermimpikan mama.

Setiap kali mimpi itu hadir, ia sangat jelas bagai baru berlaku. Dan sebaik terjaga, pastinya itu pada sepertiga malam.

Falah menghela nafas berat. Perlahan mendudukkan tubuh seraya membaca beberapa rangkap doa seperti yang diajar Rasulullah.

Sejenak dia terdengar suara munajat dari ruang langgar rumah. Mendengarkan suara itu sudah cukup buat dia kenal, itu suara gurunya Imam Suhaib. Pasti guru sudah jaga.

Falah bangkit, mengemas tempat tidurnya. Langsung bergerak keluar dari bilik. Terus dia dapat melihat guru sedang duduk di tikar sejadah. Kelihatan khusyuk mewiridkan zikir yang melahirkan kecintaan Allah.

Falah bergerak ke bawah, membersihkan diri dan berwuduk di telaga. Sejurus itu dia naik ke atas, hendak menyertai gurunya. Namun kali ini kelihatan gurunya sudah berbaring mengiring di atas sejadah; cara guru untuk lelap sekejap sementara menunggu waktu subuh. Itu ialah sunnah Rasulullah setiap kali baginda selesai tahajjud.

"Guru," Falah menyapa, melabuhkan sebelah lutut di tepi guru.

Imam Suhaib tersedar, memandang pelajarnya itu.

"Sudah hampir subuh kah?" soal Falah. Dia sedikit risau melihat gurunya mengiring begitu, pastinya subuh sudah hampir sedangkan dia belum tahajjud.

Imam Suhaib tersenyum, "Belum lagi. Tahajjud lah dahulu. Aku cuma mahu berehat."

Falah mengangguk faham. Juga mengulas senyum.

Falah kemudian mula bertahajjud. Menunaikan solat dua rakaat dua rakaat. Sedang Imam Suhaib masih berehat di tempat solatnya.

Selesai solat lapan rakaat, Falah bertafakur sejenak di tempat solatnya. Wajahnya tertunduk.

"Dasar munafik!!"

Suara mama jelas kedengaran di telinganya. Buat dia memejam mata rapat.

Hakikatnya, bukanlah kerana luka yang menyekatnya dari pulang. Namun hanyalah kerana malu hendak bersemuka ibunya itu - menahannya dari pulang.

Memang mama patut memarahinya malam itu. Dia yang salah dalam menegur mama dan keluarganya yang lain.

Dahulu, dia sangat keras untuk membetulkan keluarganya. Apabila melihat salah seorang ahli keluarganya berbuat salah, dia pantas menegur. Dan tegurannya sangatlah keras.

Dia tidak sedar kesalahannya itu sehinggalah dia dihalau dari rumah, bermalam di rumah abang angkatnya, Tengku Hairi dan saat itulah Hairi menegur caranya berdakwah pada keluarganya. Mengatakan caranya itu salah. Benar dia mahu mengislah keluarganya, namun tegurannya keras sehingga tidak dapat melembutkan hati orang-orang yang ingin berubah.

Saat itu baru Falah sedar kesalahannya. Dan dia jadi malu untuk pulang ke rumah. Lalu memilih untuk berhijrah jauh, ingin mempelajari ilmu dengan lebih mendalam. Merasakan hakikatnya, ilmu dalam dada sangat cetek.

Lima tahun berlalu, hati mula merindui rumahnya. Merasakan seolah-olah ada yang memanggilnya untuk pulang.

"Jika Allah berikan petunjuk untuk kamu pulang, maka pulanglah, Falah."

Falah tersedar sebaik mendengar suara guru. Terus memandang tubuh guru yang sedang mengiring membelakanginya.

Falah terdiam bila mendengar kata-kata itu.

"Lima tahun, waktu yang cukup lama untuk kamu jauhkan diri daripada keluarga kamu." Imam Suhaib menyambung.

Falah tertunduk. Wajahnya keruh.

"Tapi.. Saya malu, guru." balasnya. "Saya pernah merendahkan mereka dan menegur mereka dengan kasar. Saya malu pada diri sendiri." Akui Falah rendah diri.

"Maka pulanglah untuk perbaiki kesalahan kamu itu." Balas Imam Suhaib.

Falah terdiam. Matanya menjernih.

"Jika kamu berterusan memilih untuk menjauhi keluarga kamu, apatah lagi ibu kamu.. Janganlah kamu nanti menyesal kerana tidak dapat meraih syurga melalui ibu kamu sendiri."

Falah tertunduk mendengar teguran itu.

"Pulanglah, Falah.. Syurga kamu, masih ada di sisi ibu kamu."

.
.
.

Haii, akhirnya saya terbuka hati untuk terbitkan buku yang dah lama terperam dalam draft ini. Banyak kali saya fikir nak terbitkan di wattpad atau tidak. Saya risau kalau tak dapat sempurnakannya di wattpad dan buat kalian tertunggu-tunggu di tengah jalan.

Tapi tak apalah, kita cuba dulu. Lain-lain tu kita tawakkal ilallah sahaja haha.

Doakan penulisan saya mencoret Falah dan Fathi!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro