1 | Henry

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng





Kenderaannya berhenti betul-betul di depan kerumunan orang ramai yang berdiri hampir dengan pita kuning. Seperti kebiasaan orang awam, pastinya pita kuning yang terentang begitu menarik perhatian mereka. Apatah lagi beberapa buah kenderaan polis terlihat di luar flat murah ini menjelaskan lagi bahawa ada kes jenayah baru sahaja berlaku. Bukan kenderaan polis sahaja, jentera bomba juga ada melengkapkan lagi rasa ingin tahu orang kejiranan.

Henry keluar selepas mematikan enjin. Tag nama disangkut ke leher. Sekadar mengambil syarat untuk melepasi pita kuning bertulisan 'dilarang melintas' itu. Seorang polis muda dari jauh ternampak kelibatnya, langsung bergegas menghampirinya.

"Tuan," Polis muda itu mengangkat tabik hormat sebaik berdiri di hadapannya.

"Apa situasi terkini?" Henry mengunci pintu keretanya. Mereka kemudian sama-sama berjalan melepasi kerumunan ramai orang, pita kuning diangkat seorang pegawai polis di situ memudahkan langkah Henry.

"Dinding sudah berjaya dipecahkan sepenuhnya, tuan. Mayat kanak-kanak itu belum dikeluarkan lagi. Forensik sedang ambil bahan bukti." lapor polis muda yang mengiringi Henry itu. Lans Koperal Hazim namanya.

"Tiada cap jari ditemui, tuan. Darah kanak-kanak itu juga tidak ditemui di mana-mana. Menandakan kanak-kanak itu memang ditanam hidup-hidup."

Henry memanjat tangga bersama Hazim yang menyusulnya. Berselisih dengan mana-mana pegawai polis, semua langsung mengangkat tabik hormat.

"Siapa bertugas?"

"Inspektor Wasim, tuan." Beritahu Hazim.

Mereka tiba di aras tiga flat murah ini, tapak jenayah berlaku. Terlihat lebih ramai pegawai polis sedang membuat pemeriksaan di sekitar rumah bernombor 306 yang merupakan tempat ditemui mayat.

Henry menyambut huluran sarung tangan plastik dan kasut plastik dari salah seorang ahli forensik di situ. Ianya penting untuk tidak mencampur-adukkan bahan bukti. Selesai memakainya barulah Henry melangkah masuk ke dalam rumah bernombor 306 itu.

Hazim sudah berpergian ke bawah kembali, tidak mengiringi Henry masuk ke dalam kerana Inspektor Wasim akan mengambil alih kerja itu. Sekejap sahaja Inspektor Wasim muncul dari bilik utama rumah ini, lengkap bersarung tangan, bersarung kaki malah memakai topeng muka.

"Kapten," Inspektor Wasim menegur sang kapten yang kelihatannya baru masuk ke dalam rumah tapak jenayah ini.

"Bau cukup kuat." Henry memberi komen.

"Betul, tuan. Mayat sudah dibiarkan tiga bulan. Tak hairan sudah mereput dan membusuk." Beritahu Inspektor Wasim.

"Siapa yang sedar?"

"Penyewa baharu di rumah sebelah, tuan. Pasangan suami isteri, Encik Malik dan Puan Hajar. Mereka baru pindah ke rumah sebelah minggu lepas, tapi tiap malam mereka mengadu dengar tangisan budak kecil dari rumah ini. Disebabkan terlalu kerap bunyi itu kedengaran, mereka buat laporan polis untuk pecah masuk rumah ini." Inspektor Wasim diam sejenak mengambil nafas. Meremang juga bercerita tentang hal mistik begini.

Henry pula serius menanti cerita dihabiskan.

"Polis tempatan awalnya tidak ambil peduli sebab rumah ini kosong. Tiada hak untuk kita pecah masuk. Tapi semalam, Encik Malik tidak tahan sangat dengan tangisan budak kecil itu... Dia beritahu pemilik bangunan. Mereka masuk menggunakan kunci dan terus mendapati bau sangat busuk."

"Bagaimana tahu ada mayat dalam dinding?" Soal Henry, makin serius mendengar.

"Bila mereka bau busuk itu, mereka buat laporan kedua. Malam semalam unit 190 datang pantau keadaan. Bila bau tu terlalu kuat, mereka cuba cari punca. Mereka perasan, dinding bahagian bilik utama tebal berbanding dinding lain. Lagipula bau busuk itu datang dari situ. Unit 190 terus panggil bomba untuk pecahkan dinding dan... Itulah, ada mayat kanak-kanak di dalamnya." Inspektor Wasim hela nafas.

Henry mengangguk memahami laporan. "Mayat masih ada?"

"Ada, tuan."

Inspektor Wasim mengiringi Henry ke bilik utama rumah ini. Di situlah punca bau busuk yang melatari rumah ini. Biarpun mayat anak kecil itu ditanam di balik simen yang cukup tebal, masih tidak dapat menampung bau busuk yang terhasil daripada pertemuan ammonia dan tanah liat.

Henry memasuki bilik utama ini. Dahinya berkerut sedikit dengan bau yang sangat tengik. Serta-merta Wasim di sebelah menghulurkan mask kepadanya. Henry menyambutnya tanpa banyak kata, disarung ke wajah.

Benar kata Wasim, dinding yang menghadang bahagian bilik dan ruang tamu lebih tebal berbanding dinding lain. Kelihatan begitu ketara perbezaannya. Seperti baru ditambah.

Di dinding itu, satu tebukan besar dibuat dengan cukup kemas. Di dalam tebukan itu kedapatan mayat kecil dalam usia 5 ke 6 tahun yang berbaju tidur koyak rabak. Mayat kecil itu sudah kering bercampur simen, duduk merengkok seperti dipaksa-paksa. Jelas, anak kecil itu ditanam hidup-hidup di dalamnya.

Ahli forensik kelihatan menyelidik dan mengambil bahan bukti daripada celah dinding itu. Cahaya kamera berkelip-kelip terang di sekitar bilik yang meremangkan bulu roma ini.

"Sudah tahu identiti mangsa?" Soal Henry selepas mengamati kondisi mayat.

"Wati binti Wahid, tuan. Berumur 6 tahun 8 bulan. Tetapi masa dia mati umurnya 6 tahun 5 bulan. Tiada laporan kehilangan tentangnya. Bermakna keluarganya sendiri tidak tahu kehilangannya."

"Ada waris?"

"Ayahnya tidak diketahui di mana. Sebelum ini dia bekerja di kilang besi di Klang, tiga bulan lepas dia hilang." Lancar Wasim memberi laporan.

"Jejak terakhir Wati?"

"Kami belum menemuinya, tuan. Saya sudah kerahkan unit 190 untuk periksa jejak terakhir Wati."

Henry mengangguk.

Dia kemudian memandang serata bilik ini. Entah kenapa, ada rasa tidak sedap hati ketika berada di bilik ini. Sudah begitu banyak lokasi pembunuhan yang dia datangi, tetapi untuk ruangan sempit berukuran tak lebih daripada 9 kaki persegi ini - ada satu rasa yang sudah lama dia tidak rasakan.

Rasa mistik.

Kisah daripada Encik Malik sudah cukup menjelaskan ada sesuatu selain pembunuhan anak kecil itu. Pastinya cerita tentang tangisan yang didengari mereka itu bukan kisah yang palsu.

Henry melepas nafas. Selepas kejadian di Pulau Jengka, dia sering juga menemui kes-kes mistik begini tapi dia saja tidak mengambil serius dan tetap mengerahkan anak-anak buahnya mencari bahan bukti sebagai sebuah kes normal.

Namun, kali ini - entah kenapa rasa itu terlalu kuat.

"Saksi ada di mana?" Soal Henry. Dia mahu bertemu sendiri Encik Malik dan isterinya. Mahu bertanya soalan-soalan yang terbuku di kepala.

"Dikuarantin di rumah mereka, tuan. Saya boleh temankan tuan jumpa mereka."

.
.
.

Henry tekun mendengar cerita daripada pasangan itu. Mereka pasangan tiada anak. Sudah enam tahun berkahwin masih belum dikurniakan rezeki yang satu itu. Encik Malik banyak bercerita manakala isterinya di sebelah membisu dengan wajah masih pucat dan lesu. Pasti masih terkejut dengan apa yang ditemui mereka malam tadi.

"Setiap jam 2 pagi kami dengar tangisan budak kecil, tuan. Awal-awal dulu kami anggap itu tangisan daripada anak jiran-jiran kami. Tapi tangisan itu sangat pelik. Seperti merintih. Berpanjangan begitu." Malik bercerita. Seram mengingati bunyi tangisan itu.

"Tangisan itu seperti minta tolong. Isteri saya kasihan sangat dengar." Malik memandang isterinya. Digenggam tangan isterinya itu. Hajar mengangguk dengan wajah masih kusam.

"Pernah dengar tangisan itu bercakap?" Soal Henry.

Malik berfikir sejenak. Dia kemudian menggeleng. "Tak pernah, tuan. Memang suara tu menangis sahaja."

"Ada rakaman?" Henry bertanya lagi.

Malik terdiam. Dia kemudian menggeleng. "Kami tak terfikir pu..."

"Saya ada rakam, tuan." Hajar menyampuk terlebih dahulu.

Serentak Henry dan Malik memandang wanita tersebut. Wasim yang berdiri di tepi sofa turut memandang wanita itu.

"Awak rakam, Hajar?" Malik pun tidak tahu menahu. Dia terkejut.

"Ya, saya rakam sekali tu sebab saya nak tahu juga tangisan tu daripada hantu atau orang. Mungkin kalau hantu, saya tak dapat dengar melalui telefon."  Hajar bercerita dengan suara perlahan.

Malik tak sangka penjelasan isterinya. Terlopong sendiri.

"Jadi, puan dengar suaranya?" Henry bertanya serius.

Hajar mengangguk. "Ya, saya dengar." Dia kemudian keluarkan telefonnya daripada poket bajunya.

Semua menanti dengan penuh debaran. Wasim sudah labuhkan duduk di sebelah Henry. Mahu juga mendengar tangisan tersebut. Sebentar tadi Puan Hajar tidak berikan pun rakaman ini sebagai bahan bukti.

Hajar memasang rakaman suara tangisan tersebut. Dia kuatkan sedikit volume langsung telefon miliknya diletak di atas meja. Semua tekun hendak mendengarnya.

Awal-awal rakaman itu tiada apa yang terdengar. Selepas beberapa lama, mereka semua dapat mendengar suara tangisan halus yang merintih-rintih. Mendayu-dayu seperti meminta dikeluarkan daripada satu tempat sempit. Seperti sangat terseksa berada di ruangan itu.

Wasim tertelan liur. Awal-awal sudah seram sejuk. Henry pula tekun mendengarnya. Malik sepertinya tidak mahu mendengar lagi, duduk sedikit jauh.

"Tuan dengar?" Hajar bertanya.

Henry mengangguk. Suara tangisan itu sangat jelas. Henry tidak terkejut suara mistik itu dapat dirakam. Serunai maut juga pernah dirakam dalam rakaman cctv ketika dia menyiasat kes Pulau Jengka dahulu.

"Hantar rakaman itu sebagai bahan bukti. Saya juga mahu rakaman itu secara peribadi." Henry meminta apabila rakaman itu tamat.

Hajar mengangguk. Telefonnya diambil kembali. Dia lega bukan dia dan suaminya sahaja yang dengar tangisan itu. Semua dapat mendengarnya.

"Tuan," Hajar memanggil.

Henry memandang wanita itu.

"Memang tangisan ini daripada mayat budak itu ke?" Dengan wajah hampir pucat, Hajar bertanya. Dia masih tidak dapat menerima dia akan terlibat dalam hal mistik begini.

Henry terdiam. Dia tiada jawapan untuk itu. Akhirnya dia hanya menghela nafas.

Ketika inilah, dia sangat merindui kehadiran seseorang yang pasti dapat menjawab soalan ini.

Falah.

.
.
.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro