| Andika | 42

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PERJALANAN mereka menuju timur pulau terasa sangat jauh. Langkah terasa sangat melelahkan. Apatah lagi struktur hutan ini sangat mencabar. Boleh sahaja mereka tergolek di curam jika tidak berhati-hati.

Matahari sudah meninggi. Namun tiada lagi tanda bahawa Falah ingin berhenti. Sedangkan berjalan di bawah terik matahari benar-benar menguji keimanan. Apatah lagi mereka tidak berhenti di mana-mana sejak bertolak awal pagi tadi.

Iman sudah berkali meneguk air yang dibawanya untuk menghilangkan dahaga. Tapi entah kenapa, makin diminum makin terasa kering tekaknya. Buat dia terus dan terus meneguk air sehinggalah airnya habis.

Keluhan deras dari Iman menarik perhatian semua. Sedar sedar Iman sudah terduduk dengan muka penat teramat sangat. Badannya terasa melekit. Lututnya sudah rasa kebas.

Semua serta merta berhenti berjalan. Linda yang sedari tadi menahan penat turut melabuhkan duduk di satu batang pokok yang tumbang di situ. Peluhnya yang mula merinik di wajah dikesat dengan belakang tangan.

Henry pula kekal berdiri, hanya sebelah kakinya diletak atas batu rendah di situ. Gaya seorang pemburu memerhati mangsanya.

Falah menghela nafas.

"Semua nampaknya sudah penat." Falah bersuara sekadar basa basi.

"Memang pun." Iman tergelak tak percaya. Terang lagi bersuluh semua orang penat. Rasanya bukan dia seorang sahaja kepenatan menenangkan nafas, tapi daripada pandangannya dia dapat lihat semua orang sibuk perbetulkan nafas sekarang ini. Hatta Falah sekalipun!

"Kita berehat dahulu di sini sementara menunggu matahari tergelincir. Sementara itu Falah pergi cari makanan dahulu."

"Abang teman Falah." Ujar Henry. Yang perlu berehat hanya perempuan. Dan dia tidak termasuk dalam golongan lemah itu.

"Baiklah.. Kita turun ke sungai dahulu." Falah membuat keputusan yang melegakan semua orang.

IMAN mengurut betis yang lenguh. Linda di sebelah tampak mengisi air dalam geriba kulit yang dibawanya. Air sungai mengalir tenang. Kawasan sungai di sini agak dalam berbanding sungai di kawasan rumah Nyai.

"Kakak tak mahu isi juga?" Linda bertanya selepas geribanya penuh. Dia hanya bersimpuh di tebing sungai, tidak berani untuk memasukkan kaki.

Iman pula nampak sudah pun melipat seluar hingga ke betis. Sekejap sahaja dua kakinya sudah selamat masuk ke dalam sungai. Iman tersenyum lega. Hilang segala penatnya.

"Linda tolong isikan boleh?" pintanya dengan sengihan.

Linda tersenyum. "Apa salahnya?" Dia kemudian bergerak menuju longgokan beg.

"Mana botol kakak?" tangannya membelek beg-beg di situ. Beg Henry dan Falah juga ditinggalkan di sini sementara mereka pergi mencari makanan.

"Warna hijau. Kakak letak dekat poket sebelah kiri."

"Beg kakak warna biru ke?"

"Haah."

Sekejap sahaja Linda sudah terjumpa botol air Iman, dia pun segera melangkah menuju tebing sungai dan mengisi air.

Iman pula sudah tenggelam dalam dunianya. Matanya terpejam menikmati keindahan dunia ini. Terasa kelenguhan kakinya sedikit demi sedikit hilang berganti rasa dingin dan lembutnya air.

Tiba-tiba terasa bagai wajahnya dipercik air. Lantas matanya terbuka.

Kelihatan Linda sedang menahan tawa. Gadis itu masih bersimpuh di tebing sungai ala-ala gadis melayu zaman dahulu. Tidak sedikit pun memasukkan kakinya ke dalam sungai. Hanya tangannya tadi yang menyimbah air pada Iman.

Iman kecilkan mata. Serta merta dia menyepak air lalu terkena Linda. Sangat gangster berbanding Linda yang penuh keayuan.

Linda terjerit kecil. Habis basah bajunya. Kuat juga kaki Iman menyepak air. Iman ketawa besar. Seronok bila baju Linda basah. Linda tidak menunggu lama, terus dia menggunakan tangannya untuk menepuk air biar terkena Iman. Iman yang hendak mengelak terus berdiri di atas batu, Linda makin galak mencampakkan air pada Iman.

"Linda!"

Linda ketawa lucu bila melihat Iman tidak dapat mengelak.

Hasilnya Iman tersalah langkah di atas batu itu lalu tergelincir dan jatuh.

Debush! Air terkuak luas. Iman tenggelam ke dalam. Tawa Linda serta merta mati. Dia terus berdiri dengan wajah pucat. Awalnya dia sangka Iman akan keluar selepas itu sahaja namun apabila Iman tidak muncul-muncul dia mula diserang cemas.

"Kakak.." Dia melaung perlahan. Iman masih tidak kelihatan. Jantungnya berdegup kencang.

"Kakak! Jangan berguraulah!" Suaranya mula bergetar. Jika apa-apa jadi pada Iman, maka dia memang akan menanggung rasa bersalah itu sepanjang hidup! Namun untuk terjun menyelamatkan Iman, itu perkara terakhir akan dia lakukan.

Larangan mandi di sungai masih segar dalam ingatannya. Nyai kata, dia tak boleh mandi di sungai. Linda terduduk di tepi sungai. Tangannya yang menggeletar dikepal. Dia masih mengharapkan agar Iman muncul.

"Kakak!! Keluarlah! Jangan buat Linda takut!" Jeritnya.

Belum sempat Linda ditenggelami emosi, Iman muncul di permukaan dengan muka selamba. Malah boleh pula dia tersengih.

"Kakak!!" Linda hampir menangis kelegaan.

"Kenapa muka cuak sangat tu?" Iman berenang menghampiri tebing.

Linda mengurut dada. "Linda takut apa-apa jadi dekat kakak. Jangan buat macam tu lagi!"

"Itulah aniaya kakak lagi!" Iman besarkan mata. Habis basah seluruh pakaiannya. Alang-alang dah basah lebih baik dia mandi terus.

Linda tersengih seraya menggaru kepala. "Maaf kakak."

"Tak adalah.. Kakak lagi suka sebab boleh mandi. Haha!" Iman mendepa tangan. Linda tersengih cuma. Dia hanya memerhati Iman yang sedang bermandi manda.

"Tak nak join ke?" Iman bertanya. Bosan juga dia seorang sahaja mandi.

Linda menggeleng. "Linda tak boleh mandi dalam sungai. Itu pantang larang Linda."

"Pantang larang?" Iman menjongket kening.

"Ya.. Itu pantang larang Linda. Nyai kata Linda tak boleh--"

Ayat Linda terputus begitu sahaja bila menyedari sesuatu. Mukanya berubah. Muka Iman pun berubah. Mereka saling berpandangan.

"Nyai kata??" Iman mula serius.

Linda pula bungkam. Matanya terkebil pantas.

"Nyai kata Linda tak boleh mandi dalam sungai?" Iman bertanya.

Linda perlahan mengangguk.

"Tapi kenapa?" Iman berkerut.

Linda menggeleng pula untuk soalan itu.

Mereka sama-sama senyap. Berfikir. Jika Falah ada, pasti mereka boleh bertanya pada yang arif itu. Tapi masalahnya sekarang Falah dan Henry tak ada.

"Linda tahu kan yang Nyai itu hanyalah jelmaan?"

Linda angguk. "Tahu."

"Linda tak rasa musykil ke? Kenapa Nyai larang Linda mandi di sungai? Aneh." Iman menyatakan keraguannya.

Linda diam sahaja. Memang itu yang menganggu fikirannya sedari tadi. Iman mengurut dagu gaya seorang inspektor berfikir. Matanya dikecilkan. Tidak semena-mena Linda berdiri. Iman tersentak dari ideologinya.

"Eh Linda? Nak buat apa?" Iman gelabah apabila mendapati Linda sudah berjalan di atas batu-batu besar yang berada di tepi sungai.

"Linda nak langgar pantang larang itu." jawabnya selamba. Dia sudah pun memasukkan sebelah kakinya ke dalam sungai.

"Linda, sabar dulu! Kita tunggu Falah!" Iman berenang ke arah Linda, hendak menyekat gadis itu daripada terjun.

"Tapi kenapa Nyai tak bagi Linda mandi? Pasti ada apa-apa berkenaan pantang larang itu bukan? Mungkin ia berkenaan memori Linda? Boleh jadi bukan?" Linda sudah pun memasukkan kedua-dua kakinya ke dalam sungai. Mukanya penuh keliru.

Iman terkedu. Tangannya yang hendak menghalang Linda digenggam.

"Tapi Linda, kita tunggu sehingga Henry dan Falah balik okay? Kita tunggu mereka. Bahaya kalau apa-apa jadi.." Iman mengetap bibir. Aduhai, sebab ini dia tak suka kalau tinggal dengan Linda.

Ada sahaja yang budak ini nak buat di luar akal!

"Tak apa.. Linda dah sedia. Apa-apa pun jadi biarlah. Kalau Linda bertukar jadi pelik kakak pergi je dari sini. Tinggal Linda." Linda sudah memasukkan separuh tubuhnya ke dalam sungai. Dia benar-benar tekad untuk melanggar pantang larang itu. Hatinya terbakar apabila mengingati yang ianya adalah larangan Nyai.

Iman sudah urut dahi. Aduyai.. Pening kepalanya melayan Linda. Dia sudah tidak dapat berbuat apa-apa apabila Linda sudah pun berenang ke tengah sungai.

Waktu inilah Iman rasa panas semacam. Angin tengahari rasa lebih berbahang dari biasa. Bukan angin alam tapi angin lain.

Iman terteguk liur. Bulu romanya meremang. Matanya bergerak ke kiri dan ke kanan. Nafasnya mula kencang.

Dia benci perasaan ini.

Kenapa dia perlu ditinggalkan bersama Linda?!

Arghh!

Baru sahaja Iman lalai sekejap dari memerhati Linda, sedar-sedar Linda sudah pun menenggelamkan dirinya dalam sungai.

Iman tersentak teruk. "Linda!" Eh budak ni biar betul!

Iman pantas berenang ke arah Linda. Hendak mengeluarkan Linda daripada sungai. Dia nak bunuh diri ke?!

"Linda! Jangan buat kerja gilalah!" Iman menarik Linda keluar ke permukaan. Namun Linda segera menolak tubuh Iman menjauh.

"Biarkan Linda kakak!" Linda meraup wajah yang dipenuhi air. Dia tercungap-cungap.

"Linda mahu melihat apa akan jadi apabila Linda melanggar pantang larang itu." Linda bernafas berat. Dadanya turun naik.

Iman terkedu.

"Jadi biarkan Linda." Linda dengan wajah serius begitu terus memasukkan kepalanya ke dalam sungai.

Iman menggenggam tangan. Bibirnya diketap. Cuba menahan rasa ingin menampar muka orang.

Linda sudah sepenuhnya dalam air. Dua saat berlalu. Tiga saat. Lima saat.

Sepuluh saat.

"Linda! Jangan bunuh diri lah!" Iman menarik Linda namun Linda meronta tidak mahu.

Ya Allah budak ini! Iman menggunakan sepenuh tenaganya menarik Linda ke atas.

Linda keluar tercungap-cungap. Mukanya basah hebat. Rambutnya sudah berserabut di depan wajah. Melekat terus ke muka.

"Linda dah kata Linda nak tengok apa akan jadi bila Linda -"

"Linda akan mati!" Iman memintas dengan suara lantang.

"Kalau Linda buat begitu Linda akan mati!" Dia benar-benar emosi.

"Tolong kakak.. Tolong kali ini sahaja. Biarkan Linda. Tolong. Biar sahaja Linda lemas di dalam. Linda cuma mahu lihat. Linda dengar suara tadi.. Linda mahu dengar dengan lebih jelas." Linda merayu sesungguh hati. Menggenggam tangan Iman.

Dia benar-benar telah mendengar suara tadi. Namun suara itu bertindih dan tidak jelas. Dia fikir jika dia berada dalam air lebih lama mungkin suara itu akan jadi lebih jelas.

Iman menggeleng. "Tak boleh. Linda akan mati jika berbuat begitu."

"Tolong kakak. Linda betul-betul dengar suara tadi. Cuma Linda tak dengar dengan jelas. Tolong bagi Linda peluang sekali lagi.. Linda mahu pastikan apa yang Linda dengar. Kakak pantau Linda okay.."

"Linda.." Iman menggeleng.

"Tolonglah." Linda bersungguh merayu.

Iman mengetap bibir.

Ya Allah. Kenapa lama sangat Henry dengan Falah itu cari makanan? Diorang cari makanan ke masak makanan?

Iman akhirnya mengeluh. "Okay.. Kali terakhir. Linda masuk ini untuk kali terakhir. Kalau kakak rasa lama sangat, kakak akan tarik Linda." Dia mengalah.

Linda mengangguk ceria. "Baik kakak. Terima kasih."

Iman seakan tidak percaya yang dia akan mengalah. Lagi dia tak percaya apabila Linda berterima kasih dengannya kerana mendapat keizinan untuk membunuh diri sendiri.

Apakah yang sedang berlaku?

Iman kemudiannya menjauh. Berenang sedikit ke sebelah sana. Kalau dekat-dekat nanti dia akan tarik Linda terlalu awal sebab tak tahan.

Linda tersenyum kecil pada Iman. Dia kemudiannya menarik nafas lalu memasukkan seluruh badannya ke dalam sungai.

Iman terus menggigit kuku. Kakinya yang berada dalam air bergerak menahan debar.

Sepi mengisi senggang. Hanya bunyi hutan dan angin bersatu. Linda masih berada dalam air.

Iman memejam mata. Tangannya dikepal-kepal menahan geram. Nafasnya ditarik. Dihembus. Ditarik. Dihembus.

Dia keresahan tapi dia cuba menahan sabar.

Angin tiba-tiba bertiup kencang. Suasana jadi mendung dan kelat. Iman bertambah resah. Awan hitam menutup suria tengahari. Apabila Iman mendongak ke langit dia dapati langit sudah mendung. Gelap. Dan itu menambah rasa kecut perut. Apabila dia jatuhkan pandangan..

Linda masih dalam air. Iman ketap bibir erat. Perlukah dia bantu Linda sekarang?

Perlukah? Stressnya!

"Argh Linda! Kakak tak boleh tahan!!" Maka dengan ayat itu dia pun berenang mendekati Linda, menarik tubuh kecil itu ke permukaan. Namun entah kenapa tubuh kecil itu terasa teramat berat.

"Eh? Linda?" Iman cuba menarik lebih kuat. Jantungnya berdetak kencang.

"Linda? Kenapa engkau berat sangat?!" Iman dilanda cemas. Dia tak dapat menarik tubuh Linda ke atas. Air sungai seolah mengikat Linda seutuhnya dan itu sangat menakutkan!

"Linda!! Kenapa ni?!" Iman menarik tubuh itu lebih kuat namun tetap juga tidak berhasil. Tubuh itu tetap mengeras dalam air. Malah kali ini keberatan tubuh itu semakin bertambah.

Ya Allah!

"You buat apa tu Iman?"

Iman menoleh pantas. Nafasnya kencang. Matanya serta merta dijamu dua susuk yang sedang memerhatinya dengan riak hairan.

"And kenapa you seorang?" Henry berkerut serius.

"Linda.." Iman tidak tahu hendak terang bagaimana.

Bibirnya bergetar sejuk. Tangannya yang mencengkam lengan baju Linda di bawah air - makin dieratkan.

"Linda lemas tapi I tak dapat tolong dia.. I tak tahu kenapa tapi sungai ini macam tak bagi dia keluar." senafas Iman menjawab. Matanya sudah berkaca.

"Apa?" Henry terbeliak mata.

Falah sudah bergerak ke tebing sungai. "Mana dia kak?" Mata Falah ligat mencari lokasi Linda sambil tangannya melipat seluar di atas batu.

"Ini, kakak tengah pegang. Tapi tak boleh tarik." Iman jawab jujur. Dia kemudian cuba menarik tubuh Linda namun tetap tidak berganjak. Sedar sedar Falah sudah pun sampai di sisi Iman. Kemudian Falah menyelam masuk ke dalam sungai, menolak Linda dari bawah. Iman serta merta melepaskan pegangannya pada Linda. Menyerahkan sepenuhnya pada Falah.

Entah apa yang berlaku di bawah sana, tidak semena Falah muncul di permukaan dalam keadaan mencempung tubuh Linda yang longlai. Iman serta merta mengetap bibir. Dia kemudian menyambut Linda dan membawanya ke tebing sungai. Tubuh kecil ini sudah menjadi ringan. Henry menyambut Linda dari Iman dan membaringkan tubuh itu di atas tanah.

Iman kelam kabut keluar dari sungai, sejurus menerpa Linda dan menekan-nekan dada gadis itu. Muka Linda pucat tak berdarah, dadanya tak bergerak, bibirnya biru. Dan semua itu membuatkan Iman makin dan makin diamuk serba salah.

"Kakak dah kata," Iman bersuara dalam keadaan menekan-nekan dada Linda.

"Kakak dah kata kalau Linda buat macam ini maka Linda akan mati! Kenapa Linda degil sangat hah!?" Iman emosi. Marah pada kedegilan Linda.

Falah yang baru keluar dari sungai hanya memerhati. Habis basah kuyup bajunya.

"Apa jadi kak? Kenapa boleh jadi macam ini?" Falah melabuhkan cangkung di sebelah Iman. Menatap wajah pucat Linda lama.

"Linda kata," dada Linda ditekan. "Nyai larang dia mandi sungai." Ditekan lagi.

Iman bernafas mengah. "Jadi dia nak langgar larangan itu dengan anggapan benda ini ada kaitan dengan memori dia." Nada Iman bergetar. Tampak menggigil tubuhnya.

"Dia harap dia akan ingat sesuatu dengan lemaskan diri! Padahal sebenarnya dia bunuh diri!" Iman menekan kuat tengah dada gadis itu apabila marah.

Falah dan Henry berpandangan.

"Ah! Kenapa Linda? Bangunlah!!" Iman mengamuk. Sakit hati kerana bantuan pernafasan dengan cara menekan dada ini tidak berkesan.

Maka dia tiada pilihan lain selain memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut. Tangannya ligat mencari titik nadi di leher Linda. Dia dapat rasa betapa sejuknya tubuh Linda sekarang.

Titik itu ditekan, mulut Linda dibuka. Baru dia hendak menarik nafas dan mendekatkan muka pada Linda tidak semena Henry menyekat langkahnya. Bahunya disentuh.

"Tunggu sekejap kak." Dan Falah bersuara menghentikannya.

Dia mengangkat kepala. Mukanya merah. "Dia dah nak mati! Korang boleh lagi buat selamba?!" Tubuh Iman menggigil. Berang. Tangan Henry yang memegang bahunya ditepis kasar. Dia tak faham kenapa dua manusia di hadapannya ini boleh jadi sangat selamba.

"Sabar.. Dia sedang berusaha. Kita beri dia sedikit masa." Henry bersuara tenang.

Iman tersedar, terus memandang Linda. Dahinya berkerut. Dia dapat lihat dada Linda bergerak seperti sedang mencari nafas. Ada gelombang yang beralun dari peparu terus ke leher dan..

Linda tersentak. Matanya terbuka luas. Air keluar dari mulutnya dengan banyak. Dia terbatuk-batuk kasar. Iman terus mendudukkan Linda dan membantu gadis itu memuntahkan air dari peparunya.

Iman tak dapat menyembunyikan rasa leganya apabila Linda didapati bernafas kembali. Dia spontan memeluk gadis itu dari sisi, bersyukur.

Henry menghela nafas lega. Falah mengucap hamdalah.

"Linda okay?" Iman mengurut belakang Linda. Menenangkan gadis yang tak ubah seperti orang mati yang diberi nyawa semula.

Nafas Linda tersekat-sekat. Dadanya berombak kasar. Dia kemudian mengangkat wajah memandang semua orang. Masih dengan nafas yang tercungap-cungap.

"Siapa.." Dia menelan liur perit. Matanya yang pedih dimasuki air sesekali dikatup lemah.

"Linda jangan bercakap, Linda kena berehat--"

"Siapa Andika?" Linda memotong lemah. Nafasnya berat.

Iman terkelu terus bila disoal begitu. Henry dan Falah tergamam.

"Siapa Andika? Ke.. kenapa Linda nampak dia tadi?"

Mata Iman membesar. Jantungnya berdegup pantas. Apabila dia memandang pada Falah dan Henry, mereka berdua turut terkedu.

Andika.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro