| Bunga | 50

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

MENJADI seekor hamba untuk seorang jin bukanlah perkara yang mudah. Biarpun dirinya terasa berkuasa dengan segala sihir yang diberi pinjam jin itu, satu saat diri ini akan tetap lemah di dalam jasad sebenar. Apatah lagi apabila tuannya itu sedang murka padanya. Ketika itu dirinya hanyalah dalam bentuk manusia tua yang tiada apa-apa hatta kekuatan untuk bertutur sekalipun.

Saat ini, waktu petang makin berinjak ke senja - dia terbaring di atas pelantar guanya sendiri. Merenung dinding gua yang dipenuhi bongkah batu hitam. Tubuhnya menggeletar kesejukan. Dirinya ialah Bunga yang sebenar. Yang sudah lanjut usia melebihi usia sebenar manusia normal. Dengan rambut yang berguguran dalam warna putih yang semakin memakan setiap helaiannya. Dia kepingkulan.

Sejak pagi tadi - apabila Falah melaungkan azan sehingga membuatkan tenteranya kalah- kekuatannya telah disedut sepenuhnya oleh Jibt sebagai hukuman atas kekalahan ini. Lalu di sinilah dia sehingga ke malam hari, terbaring lemah bagai nenek tua yang tiada harapan lagi untuk hidup.

Masih jelas dalam pandangannya kemarahan Jibt apabila dia pulang, lelaki jin itu serta-merta menampar pipinya kuat sehingga Bunga dapat merasakan tulang pipinya patah. Tidak cukup dengan itu Jibt memijak tubuhnya bagai hendak meremukkan seluruh raganya, Bunga tahu Jibt sangat marah. Kekalahan ini bukan untuk kali pertama. Ini kekalahan yang entah ke berapa kali. Memang sepatutnya Jibt marah. Bunga redha dimarahi sebegitu rupa. Namun dia tak redha apabila kuasanya ditarik sebagai hukuman.

Ketika dalam susuk sebegini lah dia mula terimbau kisah-kisah lama. Merenung kembali kehidupan lalunya sebagai seorang Bunga. Saat dia mempunyai keluarga yang sangat menjaganya dan mendidiknya.

Lalu mengingati semua itu buat air matanya menitis ke pipi. Dia mula teringatkan ibu bapanya, kawan-kawan sekampungnya, saudara maranya dan paling kuat dalam ingatannya pasti lelaki yang pernah bertakhta dalam hatinya, Tuah.

Sungguh, dia tidak pernah meminta kehidupan sebegini. Dia cuma mahu menjadi seorang wanita biasa yang berkahwin dan bahagia. Namun dia tersalah langkah dalam percintaan lalu tertipu oleh seorang lelaki. Dengan itu dia memilih dendam sebagai jalan akhir.

Kalaulah dia boleh memutar kembali masa, akan dia pilih untuk membunuh diri daripada menjadi seorang Bunga ataupun lebih dikenali dengan nama Mona yang sangat digeruni.

Dia mahu bahagia. Jujur dia cuma mahu bahagia tapi kenapa kebahagiaan itu sentiasa menjauh darinya?

Apabila dia mengambil Linda untuk menggantikan tempat anaknya, tetap juga Linda dijauhkan darinya. Walhal dia sudah terasa sangat hampir untuk menangkap Linda kembali ke dalam jagaannya.

Kenapa?

Kenapa dia tidak diizinkan untuk bahagia?

"Dalam setiap apa yang Dia aturkan ada hikmah dan kebijaksanaan yang maha hebat!"

Suara Falah tidak semena melantun dalam fikirannya.

"Yang kita sebagai hamba tidak mengetahuinya walau sedikit! Yang kau sebagai hamba sanggup membunuh jutaan manusia hanya kerana tidak redha atas aturan ini! Sedang tidakkah kau tahu Bunga, betapa sayangnya Allah pada kau kerana masih selamatkan kau dari seksaan Tuah?! Tidakkah kau sedar betapa sayangnya Allah pada kau apabila dia mendatangkan Nyai untuk menjadi perawat kau? Tidakkah kau sedar besarnya sayang Allah apabila Dia berikan kau Mona sebagai penyejuk mata kau?! Maka kenapa kau pilih jalan ini?!"

Bunga mengetap bibir mengingati kata itu. Entah kenapa, berada dalam balutan dirinya yang asal ini membuatkan hatinya mudah tersentuh. Kata-kata Falah buat matanya makin berair.

"Kerana Dia tiada waktu Nyai dan Mona mati di depan mata aku! Dia langsung tak tolong aku waktu aku perlukan Dia. Dia langsung tak tolong aku waktu aku tiada siapa-siapa! Dan sekarang kau suruh aku percayakan Dia?! Berterima kasih pada Dia?! Selepas dia membunuh semua kesayangan aku!? Selepas dia hilangkan semua keluarga aku?!"

"Dia sedang tolong kau sekarang Bunga."

"Dia sedang tolong kau untuk bernafas. Dia sedang tolong kau untuk berjalan. Dia sedang tolong kau untuk bersuara, untuk melihat, untuk mendengar, untuk menggerakkan tangan, menggerakkan kepala. Untuk makan dan minum. Dia sedang tolong kau untuk segalanya yang kau mahu."

"Adakah kau sudah berterima kasih untuk itu?"

Dan Bunga menangis mengingati setiap bicara itu. Menggigil seluruh tubuhnya. Dia teresak-esak apabila tangisannya tidak tertahan lagi. Dia cuba keraskan hati dari apa-apa rasa namun perasaan ini sangat kuat mengoyak hatinya. Hatinya sangat lemah tika ini. Dia rasa rapuh.

Saat ini apa dia rasa hanyalah dia seorang hamba yang sangat lemah. Yang tidak berdaya melakukan apa-apa. Hanya nenek tua yang merindui kenangan lalu. Maka ketika itu ingatannya pada Nyai dan Mona semakin kuat. Buat esakannya semakin jelas.

"Dia beri kau kebahagian waktu kau besarkan Mona, adakah kau sudah berterima kasih untuk itu?"

"Dia berikan kau rasa disayangi oleh Nyai, adakah kau sudah berterima kasih untuk itu?"

Bunga terus menangis. Semakin lama tubuhnya semakin lemah. Hatinya yang selama ini kering terasa sesuatu. Sesuatu yang basah.

Dia tidak tahu apa. Seluruh fikirannya kosong. Hanya kedapatan dialog Falah mengisi senggang itu. Bersama air matanya yang masih mengalir ke pipi tuanya.

"Nenek.." Tidak semena satu suara menyapa. Serta-merta dia berhenti menangis.

"Nenek tak apa-apa?" Suara kecil itu mendekat.

Dia kenal suara itu. Itulah suara yang setia bergaduh dengannya dalam gua ini. Suara budak kecil yang selalu dimaki hamun olehnya. Dia dapat rasa tangan kecil menyentuh tubuhnya. Dia tak terkejut apabila Nuna sudah tidak terikat di batu kerana dia sendiri yang melepaskan kanak-kanak itu dari ikatan. Bukannya budak itu pandai lari pun.

"Nenek..?" Nuna sudah mencangkung di sisi tubuhnya. Pasti Nuna sudah lama memerhatikan dia. Bunga menatap Nuna. Wajah Nuna terkejut namun Nuna tak lari. Terus sahaja mencangkung menatap wajah Bunga yang sangat buruk.

"Ketapa nenek ja-jadi nenek hodoh?" Soalnya tanpa lapik. Nuna tak faham sebab sebelum ni dia nampak Nenek Bunga seorang perempuan yang cantik, dan kalau Nenek Bunga bertukar jadi nenek pun, wanita itu tidaklah buruk macam ni.

Bunga hanya diam. Terus sahaja mengiring begitu.

"Nenek menangish? Nenek shedih aa-shebab Pakcik marah ke?" Soalnya lagi. Pelatnya masih pekat tapi itu tidak menghalang dia untuk bercakap.

Nuna pun bersila bila Nenek Bunga tetap diam. Dia tidak takut pada Nenek Bunga sebab dia selalu nampak Nenek Bunga kena marah Pakcik Kelabu yang menakutkan itu. Jadi dia rasa Nenek Bunga tak jahat pun. Pakcik Kelabu tu yang jahat. Mengingatkan Pakcik Kelabu pukul Nenek Bunga buat Nuna mengerutkan dahi. Dia tak suka tengok orang kena pukul. Dia pun tak suka kena pukul, dia jadi teringatkan Ayah yang pukul dia.

"Nenek shakit? Tadi Nuna nampak Pacik pukul nenek." Nuna terus bertanya walaupun Bunga diam.

Nuna pun dengan teragak-agak menggosok lengan Bunga. Bunga tersentak sedikit.

"Nenek meshti shakit kan?" Dia terus mengusap lengan yang dilapik kain lusuh itu.

Bunga tergamam dengan keadaan itu. Menatap Nuna yang polos itu lama-lama.

"Tak apa nenek, Nuna tahu nenek kuat. Nenek tak shakit pun." Nuna tersenyum kemudiannya.

"Nenek Nuna selalu cakap macham tu kalau Nuna jatuh.. Nenek Nuna kata.. Tak apa Nuna. Nuna meshti kuat." Nuna berkongsi cerita tentang neneknya di kampung. Kemudian dia berfikir sendiri. Mengusap dagu dengan muka berkerut.

"Manyaknya nenek Nuna. Nenek Bunga, Nenek nenek.. Manyaknya!!" Nuna teruja sendirian.

Bunga tersenyum sedikit dengan keletah itu. Entah kenapa hatinya terusik dengan Nuna. Padahal sebelum ini hatinya keras sahaja.

Kemudian Nuna dengan bahagianya berkongsi cerita dengan Bunga macam tiada apa yang hendak ditakuti. Nuna buat Bunga macam neneknya. Habis semua benda dia cerita. Sampai ketawa Bunga dibuatnya. Kemudian Bunga tersedar sendiri yang dia sedang ketawa. Berubah terus mukanya.

Dia ketawa?

"Dulu Nuna tak shuka makan nashik! Tak shedap! Tapi shekarang Nuna nak makan nashik sebab Nu-nuna laparlah nenek." Nuna mencebik. Perutnya digosok.

Bunga mula serba salah. Dia hendak bangun namun dia tak larat. Lantas dia memegang tangan Nuna. Nuna terkejut.

"Nu-nuna lapar?" Soalnya.

Nuna angguk laju.

"Maafkan nenek, nenek tak dapat beri Nuna makan sekarang. Nenek juga tak berdaya tapi.." Bunga terbatuk-batuk. "Nuna tunggu sehingga nenek berdaya boleh?"

Nuna mengangguk dengan soalan itu. "Baik nenek."

Bunga tersenyum. Entah sudah berapa lama dia tak senyum begini. Tapi dia rasa bahagia.




MAKA begitulah yang berlaku, apabila Bunga sudah berdaya untuk bangun maka dia lekas memberikan Nuna makan. Hanya nasi putih yang dicuri oleh kera-keranya dan juga setandan pisang. Sebenarnya Bunga apabila dalam balutan seorang wanita muda - tidak memerlukan makanan. Tetapi apabila berada dalam susuk asalnya ini dia jadi turut perlukan makanan. Maka dia juga makan bersama Nuna.

Aneh sungguh apa yang berlaku pada dirinya, dia menjadi manusia biasa. Seolah menjadi seorang nenek tua yang menjaga cucunya yang kecil dan ceria. Nuna sibuk sungguh bercerita berbagai perkara tanpa rasa takut walau sedikit dengan wajahnya. Kemudian apabila waktu tidur sudah tiba, Nuna dengan berani tidur di sebelahnya. Mengalami situasi itu buat Bunga diselam rasa rindu pada anaknya, Mona.

Dahulu Mona juga begini, berani namun manja. Dia sangat sayangkan Mona. Kerana Mona lah dia sanggup membunuh beribu manusia. Dia bencikan cahaya kerana baginya cahaya penyebab sebenar anaknya dan Nyai mati. Kerana itu dia akan menghalang sesiapa sahaja untuk menyalakan cahaya di malam hari.

Dia menatap Nuna lama. Dalam gelap gua ini, dia hanya dapat melihat samar-samar wajah Nuna yang sedang tidur itu. Ketika itulah dia teringat akan bagaimana saat dia hendak membunuh Nuna.

Sewaktu dia sangat mendendami Falah, lalu memilih untuk membunuh Nuna kerana melihat betapa Falah menyayangi kanak-kanak itu. Apatah lagi dia baru dapat mengetahui yang Nuna telah menjadi seorang yang beriman, maka perasaan untuk membunuh kanak-kanak ini semakin meluap. Namun siapa sangka, saat dia memunculkan diri di hadapan Nuna - sewaktu kedua-dua orang tua Nuna sedang tidur lena - Nuna telah berjaya menolak sihirnya dengan hanya menyebut 'Allah hebat' berkali-kali.

Nuna sedar kedatangannya lalu budak itu sibuk membaca entah kalimah apa sehingga Bunga dapat merasakan ada satu kekuatan menolak sihirnya, dengan sebab itulah dia terpaksa menculik Nuna dengan mendatangkan sekujur bangkai kera yang dirupakan sebagai Nuna. Dia terdesak melenyapkan Nuna namun dia tak mampu. Akhirnya dia hanya menyembunyikan.

Entah kenapa, mengingati 'kuasa' yang ada pada Nuna buat dia rasa gerun. 'Kuasa' itu ialah kuasa yang sama ada pada Falah. Kuasa yang sama kuatnya. Kuasa yang sama tenaganya. Tidak berpenghujung. Tidak terbilang. Sehingga jika sihirnya diasah berjuta kali tetap tidak mampu melawan 'kuasa' itu. Apakah kuasa itu sebenarnya?

Bunga jadi tertanya-tanya.

Ketika itu dia seakan disapa satu nama. Nama yang Falah selalu sebut.

'Allah.'

Bunga terbisu sendiri sebelum terlelap dengan penuh tenang.



PAGI itu sangat cerah untuk Bunga. Apabila sahaja dia buka mata, dia dapati seluruh gua sudah terang-benderang dengan simbahan mentari pagi yang sangat pemurah hari ini. Bunga tak dapati Nuna di sebelah maka dia pun bangkit dari baringnya perlahan-lahan lantas mencari kelibat budak kecil itu.

Dari jauh dia dengar riuh-rendah suara Nuna di luar sana, sebaik dia keluar dia dapati Nuna sedang berkejaran dengan seekor monyet. Ketawa kanak-kanak itu meriuh ke angkasa. Spontan Bunga tersenyum. Dia bergerak dengan cermat menuruni gua, berjalan perlahan menuju pantai. Di situlah Nuna berkejaran dengan monyet tersebut. Entah bagaiamana Nuna boleh berbaik dengan monyet.

"Nenek!" Sebaik Nuna terlihatnya, Nuna terus berlari ke arahnya lantas memegang tangannya untuk dipimpin bersama. Monyet tersebut sudah bergerak pergi dari situ. Kelihatannya dia takut pada Bunga.

"Kenapa nyonyet itu lari?" Nuna tak berpuas hati bila monyet atau dalam bahasanya - nyonyet itu sudah berpergian.

"Nyonyet! Nanti datang lagi!" Ujarnya kemudian seraya melambai pada monyet yang sudah hilang dari pandangan.

Bunga hanya memandang tanpa sebarang suara.

"Nenek, mari duduk." Nuna mengajak kemudiannya. Melabuhkan duduk bersama-sama di pasir pantai. Cantiknya teluk ini. Dengan bentuk bulan sabit begini, Teluk Nyai tampak sangat memukau. Namun sayang, di sebalik keindahan ini tersimpan sesuatu yang menakutkan.

"Nenek.. Langit shantik kan?" Nuna mendongak pada langit. Terkebil-kebil matanya menatap awan-awan di langit.

Bunga turut menatap langit. Dia tak pernah tengok langit lama-lama macam ni. Sampai dia rasa tenang dan bahagia. Dia tak tahu pula bila tengok langit pun boleh tenang.

"Allah yang buat langit.." Nuna terus bercakap. "Meshti Allah lagi cantik." Nuna tersenyum bahagia.

Nenek memandang Nuna. Baginya Nuna sangat percayakan tuhan. Kerana kepercayaan itu sampai sekarang dia tak mampu berbuat apa pada Nuna. Hatta Jibt sekalipun tidak mampu berbuat apa-apa. Entah kenapa, Nuna seolah punya kuasa yang tidak terlihat.

Kuasa itu bernama kepercayaan.

"Nenek tak suka Allah?" Nuna bertanya pada Bunga.

Bunga terdiam mendengarnya. Liur ditelan tanpa sedar.

"Kenapa nenek tak suka Allah? Allah buat apa dekat nenek?" Soal Nuna lagi.

Bunga tak menjawab.

"Haa nenek?" Nuna tak berputus asa.

"Dia tak ada, waktu nenek nak Dia tolong nenek." Akhirnya Bunga menjawab. Itu pun suaranya serak dan perit.

Nuna mendengar dengan penuh perhatian.

"Dia tak tolong pun nenek. Dia biarkan nenek." Bunga mengepal tangan. Menggeletar seluruh tubuhnya.

"Kalau dia ada, kenapa Dia tak tolong pun nenek? Kalau Dia hebat, kenapa Dia biarkan anak nenek mati?" Bunga memberi soalan marah.

"Jadi nenek marah Allah?"

Terus Bunga memandang Nuna. Nuna masih begitu, berwajah penuh soalan.

"Sangat marah." jawab Bunga.

"Oh jadi nenek percaya lah Allah ada." Nuna terangguk-angguk kemudiannya. Tanpa sedar kenyataannya itu buat Bunga tergamam.

"Nenek.." Nuna memanggil kemudiannya. Bunga masih sahaja kelu.

"Cuba nenek pegang dada nenek." Nuna menyentuh dadanya sendiri. Bunga hanya senyap tak bergerak. Nuna yang menyedari terus merengus geram.

"Ish nenek ni.. Nuna kata, pegang dada.." Nuna paksa Bunga untuk pegang dada. Bunga pun sentuh dadanya dengan terpaksa.

"Nenek rasa tak?"

"Rasa apa?"

"Rasa dugupan jantung."

"Nenek dah tak ada jantung." Bunga malas layan. Menjatuhkan tangan.

"Eh mana boleh.. Kita -kita meshtilah kena ada jantung. Shini Nuna dengar!" Nuna geram bila Bunga berkata begitu. Dengan gigihnya dia melekapkan telinganya ke dada Bunga. Bunga sendiri terkejut. Sejenak Nuna khusyuk mendengar bunyi dari dada Bunga.

"Haa itu ada dugupan jantung!" Nuna dengar degupan jantung Bunga. Mukanya ceria bagai sedang merasakan bayi dalam perut menendang.

Bunga terkejut dengan kenyataan itu. Dia masih ada jantung? Bukannya dia sudah patut mati? Maka dengan segera dia rasa jantungnya sendiri. Dia jeda bila dapati degupan jantung di dadanya. Matanya membesar.

"Nenek rasa? Nenek rasa dugupan jantung nenek?" Nuna paling bersemangat.

Bunga masih jeda.

"Nenek, Allah kawal jantung nenek! Allah bagi nenek hidup lagi!"

Dan Bunga terus bungkam dengan rasa terkejut yang sangat dahsyat. Untuk kali pertama dia rasa satu kegerunan yang tak pernah dia rasa sebelum ini.



TIGA hari berada bersama Nuna dalam susuk seorang nenek tua, itulah keadaan mereka. Nuna selalu bersama dengannya, berbual dengannya, bercakap tentang keluarga dan bermacam lagi. Nuna sangat gembira bersamanya. Sehingga Bunga mula merasakan apakah erti kebahagiaan sebenar. Apabila mereka duduk di hadapan pantai merenung ombak yang mencium pepasir pantai, satu ketenangan menyapa hati. Bunga tidak tahu dari mana ketenangan itu muncul namun itu semua sudah buat dia tersenyum sedikit.

Apakah sebenarnya perasaan ini?

"Nenek!"

Bunga menoleh pada suara itu. Muncul Nuna di sebelahnya yang baru sahaja berlari. Di tangannya terdapat dua biji pisang. Senyuman kanak-kanak itu lebar.

"Nah.. Nonyet bagi." Nuna tersengih. Tangannya menghulur pisang pada Bunga.

Bunga lambat-lambat menyambut. Dilihatnya Nuna sudah membuka kulit pisang. Dengan berselera dia menggigit sedikit buah itu kemudian tersengih lebar pada Bunga. Bunga hanya tersenyum.

Sejenak mereka menikmati pisang itu bersama-sama. Dengan angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Ketenangan yang mereka kecapi terasa sangat membahagiakan. Namun ketenangan itu hanya sementara. Apabila tidak semena-semena angin panas bertiup kencang dari arah belakang mereka. Nuna terjerit kecil dek terkejut. Bunga terbeliak mata kerana dapat mengagak sesuatu yang dahsyat bakal berlaku. Dia dengan terketar-ketar bangkit memegang lengan Nuna.

"Nenek! Kenapa ni nenek?!" Nuna kebingungan.

"Nuna segera masuk ke dalam. Cepat." Dengan cemas Bunga bersuara pada Nuna. Ditolak tubuh kecil itu meuju ke gua. Nuna ketakutan.

"Nenek.. kenapa ni?"

"Masuk!! Cepat masuk!"

"Nenek.." Nuna hendak menangis dalam melangkah ke arah gua. Tidak mahu meninggalkan Bunga yang dia sudah dia anggap macam nenek. Bunga terus sahaja menyuruh Nuna pergi.

Sedikit lagi Nuna hendak sampai pada gua, tidak semena tubuhnya terpelanting. Bunga yang menyedari keadaan itu terus terjerit namun semua itu tidak berguna lagi kerana saat ini dia dapat lihat Jibt muncul dengan muka murka dari hadapan Nuna yang sudah tidak sedarkan diri. Dilangkah tubuh kecil itu tanpa perasaan. Bunga menggeletar saat merasakan kemurkaan 'tuhan'nya kini.

"Kau sedang lakukan apa Bunga?!"

Demi sahaja mendengar suara bak petir terus Bunga terduduk dan menjatuhkan dahi ke pasir. Dia ketakutan. Belum pun dia berkata apa-apa kepalanya disepak Jibt lantas dia terguling ke bawah.

"Falah dan tenteranya telah mara ke sini dan kau masih bergembira!!?" Jibt benar-benar marah.

Bunga dengan terketar-ketar cuba bangun. Air matanya mengalir di pipi. Dia bersujud di hadapan Jibt.

"Aku.. aku tidak mampu berbuat apa sekarang Jibt." Bunga berkata-kata dengan menggeletar.

"Maka di manakah pemujaan yang sering kau lakukan untuk meminta kembali kuasa kau?! Kenapa kau boleh lagi berbahagia dengan budak kecil itu!?"

"Aku sudah penat Jibt!" Bunga menjerit. "Aku sudah penat dengan semua ini. Tolonglah aku cuma ingin hidup biasa."

"Lalu kau tidak mahu membalas dendam pada Falah?"

Bunga terdiam.

"Kau mahu mengaku kalah begitu sahaja?"

Bunga menggigil. Tidak mampu menjawab soalan itu.

"Sekarang, bukan aku yang perlu mengikut kehendak kau tapi kau perlu ikut kehendak aku." Jibt melangkah mendekati Bunga.

Bunga terus sahaja tunduk dengan tubuh tua renta itu.

"Kau perlu memerangi Falah. Ini arahan aku." Lantas selepas itu, Bunga dapat merasakan tubuhnya bagai diberi satu tenaga baru yang buat tubuh tuanya bertukar menjadi kembali muda.

"Bunuh Falah, jika tidak kau yang akan aku bunuh bersama Falah."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro