| Falah | 51

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SEJAK serangan dari Bunga itu terjadi, dan juga kejadian keislaman seluruh penduduk Mukim Anjana – Falah telah mengemukakan satu cadangan. Yaitu menyiapkan semua lelaki di Anjana ini untuk memerangi Bunga di Teluk Nyai. Maka dalam tiga hari ini, mereka pun membuat persiapan yang sangat gigih. Buluh-buluh di hutan ditumbangkan untuk dibuat busur panah dan lembing yang lebih banyak. Malah begitu banyak besi dicairkan untuk membentur pedang dan mata panah.

Mereka semua tampak sangat bersedia untuk peperangan besar ini. Dan yang lebih menggembirakan semua mereka semua ialah muslimin. Yang mana apabila tiba waktu solat dengan azan yang dilaungkan oleh Falah dari rumah Ketua, semua segera meninggalkan kerja mereka dan berkejaran ke rumah besar itu untuk menunaikan solat berjemaah. Suasana ini sangat menenangkan biarpun mereka sekarang sebenarnya sedang menyiapkan diri untuk berjuang.

Lalu pada hari ini, usai solat Subuh Falah membuat satu pengumuan yang sudah dibuat permuafakatan bersama Ketua. Bahawa hari ini mereka akan bergerak ke Teluk Nyai. Beberapa lelaki dipilih untuk terus tinggal di Anjana bagi menjaga mukin ini dan juga menjaga para wanita dan kanak-kanak yang ditinggalkan. Mendengarkan sahaja seruan jihad itu, mereka semua bersemangat mengangkat tangan menyebut takbir. Bagi mereka inilah jihad yang bakal membawa mereka berjumpa Allah dalam keadaan diredhai-Nya.

Sebaik matahari terbit, mereka semua sudah bersedia untuk bertolak. Seperti yang Ketua katakan, perjalanan dari sini ke Teluk Nyai memakan masa sehari suntuk jika menggunakan jalan pantai. Falah sudah maklum akan hal itu, dia sudah pun berbincang dengan Henry dan mendapati perjalanan itu akan berakhir apabila subuh esok. Itupun dikira dengan waktu solat yang pastinya mereka akan singgah untuk menunaikan kewajipan tersebut.

Dengan segala kelengkapan itu, mereka semua bersiap-sedia. Mengikut bilangan yang ada, kumpulan dibahagikan tiga. Tiga puluh orang kumpulan pemanah yang diketuai Falah, lima puluh kumpulan lembing yang diketuai Henry, lima puluh orang kumpulan pedang yang diketuai Ketua dan selebihnya kumpulan rawatan yang diketuai Hitam. Anggun bersama perwira wanita dan beberapa lelaki lain ditugaskan untuk menjaga Mukim Anjana bersama Iman. Tok penghulu yang masih tidak sihat sepenuhnya ditinggalkan bersama Anggun dan Iman.

"Henry.." Ketika mereka semua sudah bersiap untuk bergerak, Iman datang menghampiri Henry. Wajah wanita itu beku seperti biasa namun Henry sedar Iman seolah sedang menahan perasaan.

"Kenapa?" Namun Henry butakan mata dari melihat wajah itu, dia buat-buat bertanya. Sibuk pula tangannya membetulkan bajunya yang agak melonggar ke bawah. ini bukan bajunya, dia pinjam dengan salah seorang Anjana di sini.

Iman menarik nafas. Dia kemudian membantu Henry membetulkan baju lelaki itu. Henry senyap, membiarkan Iman mengemaskan pakaiannya. Wajah Iman ditatap lama. Tika ini, suara orang lain sudah tenggelam dari pandangan. Hanya ada Iman dan dia.

Dia pun memegang tangan Iman bila terlihat tangan itu menggeletar. Iman terdongak memandangnya. Serta-merta berhenti membetulkan pakaian Henry.

Henry tersenyum hambar. "I janji." Tangan Iman dibawa ke bibirnya lantas dikucup. Iman kejung.

"I janji akan balik." Ujar Henry seraya menatap Iman. Kali ini dengan senyuman yakin.

Iman terdiam. Merenung Henry dalam-dalam.

"Balik dalam keadaan hidup," Iman sambung ayat Henry kemudiannya. Suaranya bergetar. Henry tergelak kecil. Entah kenapa merasakan ayat itu lucu.

"Jangan mati." Iman berpesan serius.

"Jangan mati tanpa I." Walaupun ayat itu kedengaran kasar, namun bagi Henry ayat itu sangat manis. Buat Henry tersenyum sendiri.

"Baik ladyboss." Henry akur sahaja. Tersengih-sengih apabila Iman menjelingnya. Ketika itu Falah mendekati mereka, Iman pantas menarik tangannya dari Henry. Segan sendiri.

"Semua sudah sedia." Falah bersuara dalam senyuman. Bukannya dia tak nampak kejadian tadi. Dia turut gembira untuk abang iparnya.

"Kita kena bergerak sekarang." Falah memberi kenyataan. Henry mengangguk. Sempat bertatapan dengan Iman sebelum dia membawa langkah menuju kumpulannya. Iman menarik nafas sukar, dia tak sedap hati. Falah memegang bahu kakaknya, spontan Iman memandangnya.

"Doa. Doa tu senjata." Falah memberi pesan ringkas namun mendalam sebelum bergerak menuju kumpulannya yang berada di barisan paling hadapan. Iman hanya menghantar dua lelaki itu dengan sejuta perasaan yang dia sendiri tidak faham.

WAKTU zohor menjelang sewaktu mereka berada di separuh perjalanan. Tentera seramai hampir dua ratus orang itu berhenti berehat di bawah pepohon. Pengumuman bahawa solat jemaah akan didirikan sudah dilaung beberapa jenak tadi. Kerana itu mereka semua mula berkejaran mengambil wuduk di pantai. Sedikit terkial-kial apabila mereka masih belum dapat menyesuaikan diri dengan tertib wuduk. Mereka semua masih baru dalam islam. Seperti biasa, solat diimami oleh Falah. Falah sengaja membaca kuat agar dapat dipelajari semua saudara barunya ini. Hatta dalam rukuk dan sujud pun dia lantangkan bacaan tersebut sehingga suaranya terdengar jelas di tengah dataran melandai ini. Saling bersahutan dengan bunyi ombak yang menghempas pantai.

Apabila salam diberi, semua pantas mengikutnya juga memberi salam ke kanan dan ke kiri. Usai itu Falah membaca zikir beberapa petikan sebelum berdoa panjang untuk kebaikan seluruh tentera dan juga pada mereka yang tinggal di Mukim Anjana.

Ketika ini, hati terasa sangat terikat dengan kuasa Allah. Kerana hati ini percaya bahawa tiada zat yang boleh membantu mereka melainkan Zat Yang Mulia, Tuhan sekalian alam, Tuhan pada yang hidup dan yang mati, Tuhan jin dan manusia, Tuhan Iblis dan Ruh Al-Quddus; Allah s.w.t.

Hanya kepada Zat Keagungan itulah pengharapan dibentangkan seluas-luasnya tanpa sempadan. Seluruh jiwa raga hanya diserahkan pada-Nya.

Doa diaminkan beramai-ramai oleh semua jemaah. Kemudian Falah berdiri memandang semua di sini. Wajahnya serius beraura seorang ketua. Sememangnya Ketua Mukim telah mengangkatnya menjadi ketua di dalam peperangan ini dan cadangan itu dipersetujui semua orang tanpa sebarang bantahan.

"Assalamualaikum wahai mujahidin Allah."

Semua menjawab salam dengan penuh semangat. Mendengarkan gemaan salam itu buat Falah tersenyum.

"Perjalanan kita masih jauh. Dijangka subuh esok kita akan tiba di Teluk Nyai. Maka bersabarlah dalam perjalanan ini. Iringkan dengan basmallah dan doa. Kita tidak akan berhenti sehingga asar nanti. Kemudian kita akan teruskan perjalanan hingga matahari terbenam. Apabila matahari terbenam, bersedialah dengan jamung masing-masing. Kita tetap akan teruskan perjalanan walau dalam gelap."

"Tuan Falah!" Seorang Anjana yang duduk di saf hadapan mengangkat tangan. Falah memandangnya.

"Adakah tidak mengapa kita menyalakan cahaya malam nanti?" Soalnya dan soalan itu buat rakannya terus menyikunya. Dia terus beriak bertanya. Tak faham kenapa ditegur sebegitu.

Falah tersenyum sahaja. Kemudian dia memandang semua orang.

"Tak mengapa." Jawabnya dengan yakin. Anjana tadi terus terdiam bersama rakannya.

"Kuncinya ialah percaya." Kali ini Falah serius, matanya jatuh pada Henry yang duduk di saf hadapan. Henry tersenyum padanya.

"Percaya bahawa Allah Maha Berkuasa, dan serunai tidak mampu berbuat apa." Falah meletakkan sepenuh kepercayaan hanya pada-Nya.





SEPERTI yang Falah perintahkan, apabila sahaja matahari terbenam di ufuk barat – semua pantas menghidupkan jamung masing-masing. Serta-merta suasana jadi kembali terang dengan cahaya dari jamung. Tiada siapa dapat menyangkal sebenarnya semua masih sahaja ragu-ragu dengan apa yang mereka lakukan ini. Terasa bagai serunai maut bakal bertiup bila-bila masa sahaja kerana mereka telah pun melanggar pantang-larangnya. Namun seperti yang Falah beritahu, percaya itu kuncinya. Percaya pada Allah.

Kerana itu, kini mereka semua sudah pun membentuk jemaah untuk sembahyang maghrib. Duduk di saf dalam keadaan cuba meneguhkan iman masing-masing agar tidak kecundang rasa takut pada serunai maut.

Falah sudah bersedia di tempat imam sejak matahari terbenam lagi, lelaki itu tampak sedang memikirkan sesuatu dalam menghadap kiblat ini. Seluruh jiwanya tenggelam dalam satu pemikiran yang sangat mendalam. Henry yang memerhati adik iparnya itu sedar keadaan tersebut. Falah seolah sedang merasakan sesuatu yang buruk sedang mendekat, apatah lagi apabila Falah berpesan agar menyimpan senjata dekat dengan tempat solat masing-masing.

"Falah, semua sudah sedia." Henry selaku muqim bersuara. Falah mengangguk isyarat agar Henry laungkan iqamat. Henry pantas melaungkan iqamat sebelum mereka semua pun bangun mendirikan sembahyang.

Usai Falah memberi salam, ketika mereka baru sahaja hendak menadah tangan berdoa – tidak semena mereka merasakan gegaran kecil di tanah. Serta-merta mereka memandang tanah. Seolah merasakan akan ada sesuatu yang bakal keluar dari bumi. Dalam semua masih kekalutan dan kebingungan dengan apa yang terjadi, bunyi tempikan keras lagi asing kedengaran dari timur. Semua spontan memandang ke arah hutan kerana bunyi itu dari arah sana.

Gegaran makin kuat dan bunyi tempikan semakin dekat. Falah tidak menunggu lama, terus berdiri dan melaung dengan suara yang keras,

"Semua bersedia!"

Demi sahaja mendengarkan perintah tersebut, semua pun berdiri memegang senjata masing-masing. Henry dan Ketua juga berdiri bersiaga. Belum pun keadaaan jadi lebih reda dengan persiapan semua tentera, sedetak nafas muncul dari arah hutan satu susuk yang sangat hodoh, bertelanjang bulat dan berambut panjang – ingin menerkam tentera ini. Semua terkejut besar, tidak menyangka musuh mereka berupa sebegini. Tidak sempat makhluk hodoh itu menyerang tentera berdekatan, sebatang anak panah terlebih dahulu meluncur laju ke arahnya dan menebak tepat ke dada makhluk tersebut, makhluk tersebut terseret ke belakang. Terkoyak lehernya. Tahulah mereka serangan itu dari Falah.

"Allahuakbar! Allahuakbar!!" Falah melaung kuat disambut orang lain. Dan ketika itu mucul beratus lagi makhluk serupa dari arah hutan. Mencipta bingit sekaligus menyerang tentera Anjana bagai ingin dilahap hidup-hidup. Tentera Anjana menyambut serangan itu dengan cekap. Dua kumpulan berlainan ciptaan itu bertembung dengan ganas sekali.

Dalam remang senja. peperangan tercetus dengan hebatnya.

FALAH menggunakan sepenuh kepantasannya untuk memanah setiap makhluk yang datang mendekat. Tidak sesekali dia memberi ruang untuk makhluk yang sangat hodoh itu menghampirinya. Ini sudah sepuluh anak panah dia lepaskan, masih beratus ada di belakangnya namun dia perlu berjimat. Gurunya berpesan, jangan membazir walau satu anak panah. Sebab itu jika ada kesempatan maka dia akan cabut kembali anak panah dari tubuh makhluk yang sudah mati. Namun peluang itu sangat jarang didapati. Makhluk itu terlalu rakus untuk menerkamnya. Sudah berpuluh tentera terkorban dibaham makhluk tersebut. Jeritan mereka jelas kedengaran di telinga Falah namun Falah sendiri tersepit.

Ketika itu Falah ternampak Henry sedang ligat membunuh makhluk pelik di sisinya. Lembing abang iparnya itu sudah berdarah teruk. Melihatkan keadaan itu buat Falah tersenyum sedikit kerana merasakan satu keajaiban untuk Henry menggunakan senjata purba sedangkan sebelum ini senjata Henry ialah pistol dan senapang. Ketika itu Falah ternampak ada seekor makhluk yang ingin menyerang hendap Henry, pantas sahaja dia mengarahkan busur panahnya ke arah itu.

"Tuan! Tunduk!" Dia melaung pada Henry. Henry yang mendengarnya terus berguling ke tepi dan duduk dalam keadaaan bersiaga, terus ketika itu anak panah Falah meluncur betul-betul di atas kepalanya dan merobek makhluk yang ingin menyerang curinya tadi.

Falah tiba di sebelahnya, masih sibuk memanah makhluk-makhluk yang hampir sehingga semuanya tumbang. Henry pula bangkit menghunus lembingnya dengan nafas sedikit tercungap.

"Tuan?" Henry tergelak. Berasa lucu dengan panggilan itu.

"Barulah refleks abang akan hidup." Falah menjawab selamba. Henry yang mendengarnya geleng kepala. Adik iparnya sudah sangat kenal dia. Kerana dia di dalam pertempuran memang dipanggil Tuan oleh semua pasukan, maka apabila terdengar panggilan itu dilaung cemas, tindakan refleksnya ialah terus bertindak seperti yang diberitahu.

"Kita perlu cari Bunga." Henry bersuara serius kemudiannya.

"Dia pasti ada dekat sini." Falah masih ligat memanah semua makhluk dari mendekati mereka.

"Perlu bawa beberapa orang untuk temankan Fa—"

"Tak perlu," nafas Falah sedikit mengah apabila melepaskan anak panah berkali-kali. "Dia yang akan datang sendiri nanti." Sambung Falah dengan yakin.

Ketika itu seekor makhluk menerkam, Henry terus merobek leher makhluk itu dengan lembing di tangannya. Makhluk itu serta-merta mati.

"Abang sangat mahir menggunakan lembing."

"Tuan pasukan perlu mahir dalam semua benda." Dengan ayat itu, Henry memutar lembingnya beberapa kali sebelum kembali merempuh makhluk-makhluk aneh itu. Menyerang dengan mengganas.

Falah menggeleng kagum sebelum turut merempuh musuh. Kali ini Falah memilih untuk memanjat pokok berdekatan, mungkin lebih mudah untuk dia memanah dari arah sini. Dan sungguh mengejutkan, binatang ini tidak boleh memanjat pokok. Dengan itu kerja Falah lebih mudah. Dengan posisinya sekarang, dia memanah setiap makhluk hodoh itu. Setiap nafasnya tidak dibazirkan, digunakan sebaiknya hanya untuk melepaskan anak panah.

Beberapa Anjana yang juga bersenjata sepertinya mula menyedari keberadaan Falah apabila Falah membantu mereka dari jauh. Maka mereka pun mengikut Falah, memanjat pokok berdekatan. Dalam beberapa jeda, pokok di tepi pantai ini sudah penuh dengan pasukan pemanah. Mereka pantas menyerang makhluk hodoh itu dari atas, dengan berpandukan pada jamung yang dipegang beberapa tentera mereka dapat menyasarkan musuh dengan tepat. Pada ruang yang gelap mereka tidak mampu membantu.

Serangan berlanjutan sehingga Falah mula menyedari yang makhluk hodoh ini semakin berkurangan, mungkin dengan sebab pasukan pemanah sudah berada di posisi yang betul buat pasukan 'musuh' menjadi lemah apabila diserang dari jauh. Dengan kesempatan itu, Falah memanah semua makhluk yang berbaki tanpa putus asa. Jamung-jamung yang dihidupkan banyak membantunya.

"Falah!" Henry melaung dari bawah. Falah segera turun dari pokok. Memanah makhluk yang menyerang dari jarak dekat. Tanpa sedar tapak tangannya sudah melecet kerana memanah tanpa henti. Hendak mengepal tangan pun tak sempat. Mereka berdua saling bekerjasama menghabiskan makhluk hodoh. Dua-dua sangat cekap. Henry dengan lembingnya yang sering merodok leher musuh, Falah pula dengan panahnya yang tidak henti-henti menembak tepat ke tengkorak makhluk hodoh itu. Aksi mereka berdua buat pemanah di atas dahan terpegun. Sehingga para pemanah itu hanya terlopong di posisi masing-masing.

Apabila melihat Henry melonjakkan tubuh seraya melibas lembingnya menyerang makhluk hodoh itu, lalu tubuh makhluk itu terpisah dua. Kemudian muncul pula makhluk kedua hendak menyerang Henry namun terlebih dahulu anak panah Falah menyasar mata makhluk tersebut sehingga ia tumbang ke tanah. Henry dengan pantas memenggal leher makhluk tersebut biar lebih dipastikan kematiannya – sungguh itu semua buat penonton di atas itu tercetus kagum. Gandingan dua lelaki itu sangat dahsyat.

Ketika Falah dan Henry lincah beraksi melawan semua makhluk yang menyerang bagai hendak ditelan hidup-hidup itu – tidak semena mereka terdengar suara tangisan dari jauh. Sayup-sayup sahaja suara itu kedengarannya namun cukup buat Henry dan Falah hilang tumpuan. Lalu dengan sekelip lalai, seekor makhluk itu berjaya menerkam Falah dan mereka bersama berguling ke tanah. Dengan rakus makhluk itu hendak membaham wajah Falah namun Falah segera menghalang dengan batang panahnya. Henry yang menyedari keadaan itu segera menikam makhluk itu dengan lembingnya. Serta-merta makhluk itu mati. Terkulai begitu sahaja di atas tubuh Falah.

Namun di situ Henry berbuat salah dengan terlalu tertumpu pada Falah sehingga tidak menyedari muncul lagi seekor dari belakangnya, Falah pantas mengangkat busur panah dan menebak panah pada makhluk itu dalam keadaan dia masih sahaja berbaring. Dek kekuatan tebakan itu, tubuh makhluk itu terus tercampak ke belakang. Henry tersenyum sedikit apabila menyedari Falah sudah menyelamatkannya. Dia pantas menghulur tangan pada Falah, Falah menyambut tangan itu.

"Terima kasih abang." Ucap Falah bila selamat berdiri.

"Terima kasih juga." Henry membalas. Mereka sama-sama memandang pada sekeliling yang penuh dengan makhluk hodoh itu. Semuanya sedang berlawan dengan Anjana yang lincah menghunus lembing dan pedang.

"Falah dengar bunyi itu?" Henry bertanya dengan nafas sedikit mengah. Dia masih cuba menstabilkan nafasnya.

"Dengar, itu tangisan budak kecil." Falah cuba mengesan bunyi itu dari arah mana. Dek terlalu bingit dengan bunyi teriakan dan jeritan dari makhluk hodoh itu, bunyi tangisan itu tidak berapa jelas. Namun Falah sudah berjaya mengesan bunyi itu, pantas dia bergerak melangkau semua makhluk hodoh itu. Henry terkejut dengan tingkah adik iparnya, dengan pantas dia mengikut Falah. Menggunakan makhluk-makhluk itu sebagai medium lompatan mereka. Mana-mana yang cuba menyerang mereka segera dibunuh.

"Falah, tunggu! Macamana kalau ini umpan Bunga!?" Henry bertanya apabila mereka berjaya melepasi semua makhluk hodoh yang masih bergelut dengan pasukan Anjana. Ketika ini kegelapan menyelimuti mereka. nampaknya mega merah telah lemyap sepenuhnya dari langit. Buat seluruh Pulau Jengka bergelap tanpa cahaya.

"Jika ini umpannya, maka kita perlu cari dia untuk tamatkan semua ini. Makhluk-makhluk itu sebenarnya punca darinya juga."

Mereka terus memasuki hutan, ketika ini suara tangisan dan jeritan kanak-kanak makin kuat. Malah Falah dan Henry dapat lihat cahaya dari jauh. Ada jamung yang dipasang di satu kawasan di situ.

"Pacik.." Tidak semena terengar suara rintihan itu di celah tangisan tersebut. Membuatkan langkah Falah bertukar perlahan. Bagai jeda dalam gamam. Henry sendiri bagai terkedu dalam langkahnya. Dia kenal suara itu.

"Pakcik.. Nuna shakit.." Dan tangisan kanak-kanak tersebut pecah lagi. Bagai terlampau menderita.

Henry tergamam. Terus memandang Falah. Yang pastinya wajah Falah terus bertukar, nafasnya bergerak sukar demi mendengar suara tersebut.

"Falah.. Itu—" Belum pun Henry menghabiskan ayatnya, Falah lebih pantas memanjat pokok berdekatan lantas bergerak dari satu dahan kepada satu dahan dengan cekap. Henry tak sempat berbuat apa, sedar-sedar Falah sudah hilang dari pandangan. Dengan segera dia mengejar langkah Falah menggunakan jalan bawah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro