| Falah | 37

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

KETIKA Falah pulang dari berseronok di sungai seorang diri, Henry dan Iman masih sahaja ketiduran. Awalnya Falah ingin biarkan sahaja kerana berasa kasihan namun apabila memikirkan tentang perjalanan yang masih jauh buat Falah terpaksa juga mengejutkan sepasang suami isteri itu agar bersiap.

Perjalanan mereka bukan untuk berehat dan disia-siakan masanya. Perjalanan ini ialah untuk sebuah usaha keimanan.

Beberapa kali cubaan mengejutkan dua orang itu akhirnya berjaya juga usaha Falah, dengan mamai mereka bangun. Dengan muka mengantuk, mata merah dan bibir pucat - mereka tak ubah seperti zombie tak cukup vitamin.

"Kita perlu bergerak sebelum matahari naik lebih tinggi." Falah bangkit dari duduknya selesai mengejutkan mereka berdua.

Henry menggosok mata mengantuk. Manakala Iman sudah berdiri dengan tapak yang goyah seakan boleh tumbang bila-bila masa sahaja. Dengan langkah tempang begitulah wanita itu berjalan memasuki rumah untuk ke bilik air di belakang.

Henry pula sudah termangu di tempat tidurnya tadi, terduduk semacam orang melangut memikirkan berbagai perkara.

Falah biarkan dahulu Henry menenangkan diri, dia sibukkan diri dengan kerjanya. Mengemas barangannya yang semalam digunakan.

Sekilas dia memandang Mona yang masih sahaja lena di hujung sana. Tiada tanda-tanda yang gadis itu akan jaga dalam masa terdekat. Malah gadis itu tampak semakin lena.
Mungkin kejutan yang dia alami semalam begitu membebankan mentalnya sehingga gadis itu hanya mampu melarutkan diri dalan tidur untuk berehat.

Memikirkan itu Falah jadi teringat, apa yang dia perlu buat dalam urusan gadis ini?

Adakah dia perlu tinggalkan gadis ini begitu sahaja?

Atau dia perlu bawa juga bersama dalam pengembaraan ini?

Falah berkerut sendirian memikirkannya.

Sedang dia memikirkan tentang perkara tersebut, hujung matanya ternampak kelibat Iman yang baru keluar dari rumah Nyai.

Falah memandang kakaknya itu, awalnya dia mahu abaikan namun apabila terlihat Iman seakan kebingungan dengan wajah berkerut - dia jadi tertarik untuk memandang lebih lama. Ada sesuatu yang tak kena dengan kakaknya itu.

Iman kelihatan masuk semula ke dalam rumah. Kemudian tidak lama selepas itu dia keluar kembali. Mukanya yang basah kerana membasuh muka tadi masih sahaja berkerut semacam fikirkan masalah negara.

"Kak okay?" Akhirnya Falah menegur apabila melihat Iman semacam hendak masuk kembali ke dalam rumah.

Iman tersentak bila ditegur begitu. Terus memandang Falah.

Mukanya pucat.

"Falah ada alih mayat Nyai tu ke mana-mana ke?" Soal Iman dengan dahi berkerut.

Falah berubah muka. Hati mula rasa tak sedap.

"Kenapa akak tanya macam tu?"

Iman masih sahaja beriak keliru.

"Aku tak tahulah samada aku salah nampak ke apa, tapi mayat Nyai dah tak ada dalam bilik."

Falah spontan berkerut. "Huh?"

Tanpa berlengah dia terus berlari masuk ke dalam rumah tersebut diikuti Iman yang masih dilanda keliru.

Henry yang tadinya mamai turut bangun dek mendengar perbualan dua beradik tersebut. Langkahnya dibawa masuk ke dalam rumah.

Falah menggeleng kepala dengan dahi berkerut saat melihat bilik yang sebelum ini terdapat mayat Nyai.

"Macamana boleh jadi macam ni?"

Mereka hanya mampu menghela nafas panjang-panjang.

Mayat itu sudah tiada.

HENRY mencampakkan ranting di kakinya ke dalam semak samun. Hening menyambut ranting tersebut. Dia bosan. Dijelingnya pada Iman yang sedari tadi menongkat dagu di sebelahnya. Wanita itu kelihatan mengelamun sambil merenung Mona yang masih sahaja lena di hujung sana.

"Apa Falah buat dalam bilik tu lama sangat? Dahlah tak nak bagi I masuk." Henry bersuara dengan nada tak berpuas hati. Matanya mengerling pada pintu rumah.

Apa agaknya yang Falah ingin buat di dalam bilik itu? Sehinggakan selepas sahaja mendapati mayat rentung Nyai hilang dari radar, adik iparnya itu terus menyuruh dia dan Iman tunggu di luar.

Sudah setengah jam Falah 'bertapa' di dalamnya, dan sekarang masih tiada tanda yang Falah sudah selesai dengan 'pertapaan'nya itu. Mereka pula dari tadi melangut di pangkin ini dengan penuh kebosanan.

"Henry." Iman tiba-tiba memanggil.

Henry yang tadinya bosan terus hilang bosannya. Matanya mengerling Iman.

"Apa?"

Iman mengeluh panjang. "You tak rasa tertanya, ke mana Falah sebelum ini? Ke mana Falah pergi selama tiga tahun ini?"

Henry terdiam.

"I awal-awal malas nak ambil tahu semua tu, bagi I kepulangan dia hanyalah untuk penyiasatan ini bukan untuk keluarga I pun jadi sebab tu I malas nak layan dia. Tapi bila kita dah pun mulakan perjalanan dengan dia.. I tak tahu lah, tapi I rasa ada sesuatu yang kita tak tahu pada Falah. Ada sesuatu yang dia simpan dari kita."

Iman pandang Henry.

"You tengoklah gaya dia sekarang. Dia bukan lagi Falah yang kita kenal. Waktu dia berubah dengan Tengku Hairi tu I boleh jugak terima yang dia adik I. Tapi bila dah tiga tahun dia hilangkan diri dengan keadaan dia yang dah lain, kadang-kadang I rasa dia macam bukan adik I. Kadang-kadang I rasa segan dengan Falah. I rasa dia lelaki asing yang sangat soleh. Sehingga kalau I ini masih bujang.." Iman tergelak pahit. "..boleh jadi I crush dekat dia."

Mata Henry jegil sesaat. Kemudian matanya kembali normal apabila menyedari bahawa kalau dia perempuan pun mungkin dia pun akan crush pada Falah.

Falah punya tarikannya sendiri.

Dan itulah yang buat kadang-kadang mereka payah hendak menerima bahawa Falah yang ini ialah Falah yang mereka kenal tiga tahun lepas.

"You rasa Falah ada sorok something dari kita?" Henry bertanya.

Iman tersengih kelat. "Bukan something tapi manything.. TIGA TAHUN. Tiga tahun kita tak tahu dia di mana dan apa dia buat, Henry." Iman betul-betul menekankan perkataan tiga tahun.

"Kita sebenarnya belum kenal sepenuhnya Falah versi baru ni." Iman mengeluh terkilan.

Manakala Henry hanya diam. Menyetujui kenyataan Iman.

Ya, memang sebenarnya mereka belum mengenali Falah.

SEJAK beberapa jeda lepas, dia berdiri di bilik ini. Sesekali nafasnya terhela lemah. Sesekali matanya terpejam dengan nafas yang disedut dalam-dalam sehingga menyentuh dasar perut.

Mayat rentung itu hilang. Hilang sehilang-hilangnya. Samada kesan atau jejak atau habuk apa sekalipun semua tiada.

Seolah tiada langsung kesan mayat di situ sebelum ini. Seolah bilik ini hanyalah sebuah bilik seorang nenek tua yang tinggal dengan cucunya dalam keadaan baik-baik sahaja.

Bersih.

Falah memeluk tubuh seraya menghela nafas.

Mengikut cerita Henry beginilah yang terjadi pada mangsa Feri Miranda Gold, hilang sepenuh-penuhnya tanpa meninggalkan kesan walau sedikit.

Namun hilangnya mayat mereka ialah selepas dua hari. Dan itu juga yang Tok penghulu katakan pada mereka mengikut pengalaman lelaki tua itu.

Dan sekarang, mayat ini hilang kurang dari sehari. Malah hanya dalam semalaman.

Kenapa jadi begitu? Pasti ada sebabnya yang membuatkan mayat ini hilang dengan lebih cepat.

Falah menghampiri lokasi mayat. Kemudian bertinggung di situ, menatap lama-lama kawasan tersebut.

Jika kematian ini berlaku di bandar, pastinya ketika ini lokasi mayat sudah dilukis dan ditanda sebaik mungkin. Malah segala barang dalam bilik ini akan dibelek dan diperiksa cap jarinya, dibungkus apa-apa sahaja yang mencurigakan untuk dimasukkan ke dalam makmal, disoal siapa-siapa sahaja yang menjadi saksi kematian ini.

Namun itu hanya di bandar, bandar yang ada segala teknologi. Yang mana sebelum ini begitulah siasatan yang hampir setiap hari Falah perlu hadap.

Dan sekarang, apa yang dia lihat hanyalah sebuah bilik yang langsung tidak mencurigakan. Hanya kosong dan bersih. Dengan sebuah katil bujang yang sangat uzur di sudut bilik dan rak yang tersusun beberapa barang milik Nyai seperti peralatan menjahit, kain baju wanita tua itu, sikat rambut, raga yang berisi rumput kering yang wangi dan pelita yang sudah habis minyak tanahnya.

Falah memejam mata.

Mungkin sudah tiba masanya dia perlu gunakan 'ilmu' itu, apabila ilmu zahir tidak mendapati apa-apa maka dia tiada pilihan lain melainkan menggunakan ilmu batiniah. Mahu menggali apakah sebenarnya yang telah berlaku di bilik ini melalui mata rohani bukan lagi mata jasmani.

Falah mula membaca ayat al-quran, seperti yang gurunya telah ajarkan padanya.

Bermula daripada surah Alfatihah yang dibaca dalam keadaan mim dan lam Alif alhamdu disambung satu nafas kemudian disusuli dengan ayat Munjiyat.

Surah At-taubah ayat 51.

"Qul lan yusibana illa ma kataba Allahu lana huwa maulana wa'ala Llahi falyatawakkalil mukminun."

Kemudian disusuli surah Yunus ayat 107.

"Wa in yamsaska Allahu bidhurrin fala kashifa lahu illa hu wa in yuridka bikharin fala raadda lifadhlih yusibu bihi man yasha'u min ibadih wahual ghafuru rrahim."

Surah Hud ayat 6 dan 56.

Ankabut ayat 60.

Fatir ayat 2.

Az-zumar ayat 38.

Setiap ayat itu dia pisahkan dengan kalimah basmalah dan juga tahlil bersama tasbih. Selesai yang itu dia sambungkan dengan ayat ruqyah.

Ruqyah terbahagi kepada empat bahagian, bermula daripada bahagian yang menceritakan kebesaran Allah.

Yang terdiri daripada ayat kursi bersama dua ayat selepasnya, tiga ayat terakhir surah albaqarah, surah al-ikhlas dan alfatihah.

Kemudian pada bahagian kedua yaitu berkenaan kisah Nabi Musa dan tukang sihir.

Terdiri daripada surah yunus ayat 80 dan 81, Al-a'raf 117-121, Taha 67-70 dan terakhir ialah Al-anbiya ayat 70.

Dan bahagian ketiga ialah ayat yang berkisar tentang inzar (ancaman) dan ayat ru'b (menggerunkan), mempunyai 24 bentuk ayat yang perlu dibaca. Dan semuanya berbentuk ancaman kepada orang kafir dan juga kepada orang fasiq. Tidak tinggal juga kepada jin kafir dan jin fasiq.

Bermula daripada surah al-furqan ayat 32, An-nur ayat 39, Al-isra ayat 81, Fussilat ayat 42, Fatir ayat 10, Al-anbiya ayat 18, Al-a'raf ayat 18, Al-kahfi ayat 81 dan lagi enam belas ayat yang semuanya daripada surah-surah dan tempat yang berbeza.

Dan semua itu dibaca Falah tanpa tersekat walau sedikit seolah lidahnya sudah terlalu biasa dengan semua ini. Seolah bacaan ini menjadi ruji hariannya.

Sehinggalah ayat ke-24 daripada bahagian ini dibaca, iaitu surah Al-A'la - Falah berhenti seketika mengambil nafas.

Membaca 24 bentuk ayat tanpa henti sebenarnya sangat meletihkan jika bukan daripada muka surat yang sama. Malah daripada surah yang berbeza.

Bahagian keempat dalan ruqyah ini ialah Ayat Pelindung, terdiri daripada 11 bentuk ayat yang semuanya memberi makna meminta perlindungan pada Allah daripada jin, sihir, ilmu hitam dan yang seangkatan dengannya. Falah membaca semuanya tanpa ngaleh.

Bermula daripada dua surah terakhir daripada AlQuran; Al-nas dan Al-alaq, kemudian disusuli surah Al-a'raf 117-122, Yunus 81-82, Taha 69, Yusuf 64, Al-hijr 9, Ar-ra'd 11, Al-Infitar 9-12, Al-buruj 17-22 dan terakhir Tariq ayat 4.

Dan sebaik sahaja lidah bertemu dengan lafaz 'hafizh' di hujung ayat keempat surah Tariq, Falah diam beberapa jeda.

Mengambil nafas yang sedikit sesak. Dan cuba memusatkan tumpuan untuk kerohanian ini. Diri ditenangkan. Jiwa diluaskan.

Kalimah Allah bagai berdengung di telinga.

Allah.

Allah.

Allah.

Falah fokus.

"Apabila sudah selesai membaca semua ayat ini, pusatkan tumpuan hanya pada Allah. Jangan yang lain. Letakkan kepercayaan hanya padaNya bukan pada ayat yang kamu telah baca. Kerna ayat-ayat itu tiada apa-apa kesan tanpa kuasaNya Yang Maha Bijaksana. Ayat-ayat ini juga makhluk jika kamu sandarkan padanya sahaja tidak pada Pemiliknya."

Suara Guru sekilas terbayang. Mengingatkan diri tentang perkara tersebut.

Sehinggalah diri ini benar-benar jatuh dalam ketumpuan hanya pada Allah, hati menjadi sangat-sangat lapang dan nafas menjadi tenang.

Keadaan sekeliling semerta menjadi berdengung dalam kiraan beberapa detik. Falah dapat mendengar nafasnya dan degupan jantungnya dengan sangat kuat.

Sepi dan hening. Seolah semua makhluk membisu untuknya. Dengan izin Allah semua membisu untuknya.

Matanya yang sedari tadi terpejam perlahan terbuka. Bersedia dengan segala perkara yang bakal terhurai melalui pandangan batiniah.

Dan sebaik mata ini terbuka, perkara pertama yang dia nampak ialah seorang nenek tua yang sedang merenungnya tajam bagai hendak menerkamnya hidup-hidup.

MONA tersentak. Terus terjaga dari lenanya yang terasa sangat panjang.

Matanya terkebil-kebil merenung langit yang membiru. Nafasnya kencang. Jantungnya berdegup pantas.

Tidak tahu kenapa, tadi dalam mimpi dia ada ternampak seorang lelaki dan dua orang wanita sedang memandangnya.

Dia tak kenal mereka. Tapi mereka memandang dia seolah-olah sangat mengenalinya. Dan sekejap waktu, tiga susuk yang dia tidak kenali itu hilang dibawa angin.

Belum sempat dia menghadam apakah yang sebenarnya berlaku, tiba-tiba entah dari mana muncul suara-suara yang bertindih sedang menyebut-nyebut sesuatu yang dia tidak dapat fahami.

Semua itu berdengung dalam kepalanya, mencipta tekanan yang maha hebat sehinggalah dia terjaga dalam keadaan nafas tercungap-cungap begini.

Dia memandang ke sisi, terlihat Iman dan Henry sedang melangut penuh kebosanan di atas pangkin. Dan sebaik sahaja mata Iman terpandang dia terus badan wanita itu tegak.

"Eh Mona!" Iman terus bangkit menghampiri Mona yang sudah pun duduk.

"Selamat pagi Mona..!" Iman tersengih-sengih selajur terduduk di sebelah Mona.

Mona mencebik bila menyedari yang Iman memerlinya. Dua kakinya ditarik rapat ke perut.

"Apa kakak dan abang Henry buat di situ?" Mona berkerut. Pelik apabila melihat Henry dan Iman duduk di pangkin.

Dan lagi pelik apabila kelibat Falah tiada di mana-mana.

"Mana abang Falah?" Soalan itu terus meluncur keluar dari Mona.

"Abang Falah awak tu entah buat apa dalam bilik Nyai. Biarlah dia. Nanti dia keluar." Iman sudah bosan menunggu Falah, sudah hampir 45 minit mereka menunggu di luar ini dan Falah tetap sahaja tidak keluar. Mahu sahaja mereka masuk ke dalam jika tidak memikirkan pesanan Falah tadi.

"Abang Falah buat apa?" Mona rasa ingin tahu.

Iman mencebik seraya mengangkat bahu tidak tahu. Mona terdiam. Tiba-tiba kelihatan seperti mengelamun. Iman yang tersedar akan lamunan Mona itu terus menegur,

"Oit Mona."

"Huh?" Mona menoleh pantas.

"Fikir apa?" Iman tergelak bila melihat muka terkejut Mona.

Mona menunduk. Nampak resah.

Tawa Iman mati. "Kenapa ni?" Iman berkerut.

Mona mengeluh. "Tadi Mona mimpi."

"Mimpi apa?" Iman tertarik untuk tahu.

"Mona mimpi ada seorang lelaki dan dua perempuan sedang memandang pada Mona. Mona tak mengerti kenapa dengan mimpi itu."

"Mona kenal mereka?"

Mona menggeleng. "Tidak. Mona tak kenal walaupun Mona nampak muka mereka."

"Macamana muka mereka? Boleh Mona cerita?" Iman pantas bertanya.

Mona menggaru kepala. "Lelaki itu kacak. Tinggi. Salah seorang perempuan itu nampak sedikit berumur, cantik orangnya.." Mona tersenyum sedikit. "Dan seorang lagi perempuan nampak muda, dia pun cantik. Semua di dalam mimpi Mona itu perawan. Mona suka lihat mereka. Tapi.." Senyuman Mona mati.

"Tapi?"

"Tapi selepas itu mereka hilang ditiup angin. Dan Mona tidak tahu kenapa Mona jadi sangat sedih kerana mereka hilang." Mona berwajah sugul.

Iman hanya diam.

"Dan selepas itu Mona terdengar suara-suara yang Mona tidak dapat ngerti elok-elok apakah ia. Suara itu berdengung dan menyakitkan telinga Mona." Mona berkerut bila teringat kesakitan dek mendengar suara-suara yang bertindih itu.

"Selepas itu Mona terjaga?"

Mona mengangguk.

Iman terdiam. Turut berfikir.

"Kakak rasa kenapa tiba-tiba Mona bermimpi begitu? Sebelum ini Mona tak pernah bermimpi begitu."

Iman mengurut dagu. "Kakak pun tak pandai tafsir mimpi."

Wajah Mona bertukar monyok.

"Kita anggap sahajalah itu mainan tidur. Mungkin Mona terlalu terkejut dengan apa yang terjadi semalam sampai mimpi benda pelik-pelik."

"Tapi Mona rasa semacam dekat sangat dengan mereka. Siapa mereka? Kenapa mereka masuk dalam mimpi Mona?" Mona masih berfikir tentang mimpi itu.

Baru sahaja Iman hendak membalas soalan tersebut, suara Henry di belakang terlebih dahulu memintas.

"Haa.. Keluar pun!" Henry yang tadinya menulis siasatan di atas bukunya terus terlompat turun dari pangkin. Buku siasatan yang menggantikan tabletnya itu ditinggalkan.

Serentak Iman dan Mona menoleh ke muka pintu.

Kelihatan Falah baru sahaja keluar dari rumah. Langkah Falah perlahan.

"Falah buat apa dalam rumah tadi? Baik cerita dekat abang." Henry memeluk tubuh. Geram bila ditinggalkan begitu lama seperti budak kecil di luar.

Jika Falah berada di dalam adalah untuk penyiasatan maka sepatutnya dia turut ada di situ bukannya tunggu di luar!

Falah memandang Henry dengan riak kosong. Bahu Henry ditepuk sekilas. Henry blur sekejap bila dibuat begitu.

Iman dan Mona sudah pun bangkit menghampiri Falah.

"Falah buat apa? Ada jumpa apa-apa ke?" Iman bertanya.

Falah mengeluh panjang. "Mayat itu bukan Nyai." balasnya yakin.

Semua tersentak.

"Hah?" Mona paling terkejut.

"Macamana Falah tahu?" Iman berkerut.

Henry diam sahaja.

Falah menggeleng kepala. Nafas ditarik dan dihela lagi. "Kita perlu segera memulakan perjalanan. Perlu segera tinggalkan tempat ini." Falah mengelak dari menjawab. Kakinya menapak menghampiri begnya. Meninggalkan tiga orang itu dengan terpinga-pinga.

"Masalahnya macamana kau tahu mayat tu bukan mayat Nyai? Kau tak boleh sesuka hati kata macam tu kalau tak ada bukti." Iman naikkan suara. Geram apabila dibiarkan sesak dengan persoalan begini.

Falah memandang Iman. Kemudian pada Henry. "Bila Falah tidak mahu beritahu, maka Falah tak akan beritahu."

Iman dan Henry terdiam bila mendengar ayat itu. Sedikit tersentak.

"Bagaimana Falah tahu itu tidak penting," wajah Falah serius mengemas barangannya. "Yang penting sekarang kita perlu bergerak keluar dari rumah ini dengan segera." Beg digalas ke belakang.

"Bagaimana dengan saya?" Tidak semena Mona mencelah. Dari tadi dia hanya memerhati.

Pergerakan Falah terhenti. Matanya menatap Mona sekilas.

"Saya nak ikut juga." Mona berterus-terang.

"Jika awak nak, ikutlah." Falah menjawab tanpa memandang Mona.

Mona tersenyum lebar. Gembira bila dirinya diterima.

"Tapi dengan syarat." Ayat Falah seterusnya itu mematikan senyuman Mona.

"Tukar nama menjadi Linda dan kamu akan diterima masuk ke dalam kumpulan kami."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro