| Linda | 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng



LINDA hanya mampu mengeluh deras. Tidak tahu hendak gembira atau berasa malas apabila mengetahui dia pun perlu ikut sama dalam percutian kali ini.

Tak boleh ke dia ditinggalkan sahaja di rumah? Dia baru sahaja berangan untuk dapat berehat di rumah walau untuk seketika tanpa keluarga tirinya.

Tapi apakan daya, Linda dan rehat mana pernah berkawan. Sejak ayah meninggal rehat memang sangat memusuhi Linda. Sehinggakan dari Linda buka mata pada jam empat pagi sehinggalah tutup mata balik jam dua belas malam, rehat langsung tak nak pandang Linda!

Akhirnya Linda hanya mampu pasrah dengan aturan hidupnya ini. Nak buat macamana, sudahnya dia yang terlebih baik sehingga hanya mengikut segala kata keluarga tirinya. Bukannya dia tak mampu melawan tapi dia malas hendak melawan. Baginya melawan keluarga tirinya ini terutama ibu tirinya dan kakak tirinya hanya membazir air liur dan membazir suara. Baik dia diam dan berangan, itu lagi seronok.

Dan sekarang, entah untuk kali ke berapa Linda dibuli. Semua benda Linda kena buat. Kemas rumah. Bersih singki. Basuh baju. Sapu rumah. Kemas beg Ibu Suraya, beg Kak Wafana dan beg Abang Andika. Akhir sekali barulah dia boleh kemas begnya sendiri. Dia pun tak faham kenapa dia yang kena kemas barang orang lain. Apa orang lain tak pandai kemas barang sendiri ke?

"Linda!!"

Linda yang baru siap mengemas begnya sendiri tersentak mendengar jeritan itu. Kelam-kabut dia menutup pintu almari. Beg galas disangkut ke bahu. Selepas siap semuanya dia terus berlari ke bawah bila mendengar sang ibu sudah membebel-bebel di bawah sana.

"Apa lambat sangat kau ni?! Buat apa? Bersolek? Muka buruk tak payah bersolek! Makin hodoh!"

Linda tunduk bila mendengar makian itu. Hanya membatu di depan sang ibu yang sudah menyinga. Nafasnya masih tersangkut-sangkut.

"Mama, mestilah dia kena bersolek. Dia nak tutup muka dia yang buruk." Kak Wafana yang sedang menggilap kuku bersuara. Bibirnya tercebik.

"Tak payah. Orang gaji macam kau buat apa bersolek, bukan ada orang nakkan pun." Ibu Suraya menjeling sahaja Linda atas bawah.

Dia memang tak sukakan Linda, anak hasil hubungan arwah suaminya dengan isteri dahulu. Dan sekarang tak pasal-pasal dia yang kena jaga. Huh! Tengok muka pun dah panas hati!

"Maafkan Linda ibu." Linda menundukkan wajah. Apa-apa pun dia kena minta maaf walaupun dia sendiri takt ahu apa salahnya.

Ibu Suraya mendengus.

"Mama.. grab dah sampai." Ketika itu muncul dari balik pintu rumah Abang Andika yang sudah siap berpakaian ala-ala Hawaii. Memang keluarga ini semua berpakaian sebegitu. Dengan topi besar dan jubah pantai labuh. Kaca mata hitam jangan dilupakan. Ke mana mereka hendak pergi? Oh tak lain tak bukan ke Jeti Kenanga untuk menaiki Feri Miranda Gold yang terkenal itu!

Linda dapat lihat keluarga tirinya itu sangat gembira, semua tak sabar hendak bertolak.

Memang setiap kali musim panas, keluarga korporat ini akan memilih Feri Miranda Gold sebagai destinasi percutian. Serasa Linda ini sudah kali keenam mereka bercuti di situ sejak ayah meninggal dunia. Kadang Linda pun hairan betapa keluarga ini tidak jemu bercuti di tempat yang sama setiap tahun tapi sebenarnya tak ada apa yang hendak dihairankan. Feri itu bukannya pergi ke destinasi yang sama setiap tahun. Tahun ini Linda dengar mereka akan ke Bali.

"Apa lagi yang kamu menungkan?! Cepat angkat semua barang ini!"

Linda tersedar bila dijerkah Ibu Suraya, dengan cekap dia menarik tiga bagasi sekaligus bersama beg galasnya sendiri. Terkial-kial dia ingin mengangkat semuanya serentak, sedangkan Ibu Suraya dan Kak Wafana sudah keluar awal-awal ke kereta. Bersembang penuh girang dan teruja tentang destinasi-destinasi mereka nanti. Linda ditinggalkan sendirian.

"Sini aku angkat." Ketika itu satu tangan lain menarik bagasi hitam milik Abang Andika dan bagasi merah jambu milik Kak Wafana. Linda spontan angkat muka.

Abang Andika. Satu-satunya keluarga tirinya yang sedikit baik jika dibandingkan dengan dua yang lain. Lelaki ini jarang buli dia, tapi bila lelaki ini membuli bermaksud dia sedang stress atau sedang sibuk sangat dengan kerja. Dan pembulian itu pastinya lebih teruk dari Kak Wafana dan Ibu Suraya.

Linda tersenyum bila abang tirinya sudi menolong. "Terima kasih Abang Andika.."

"Diamlah, aku angkat bukan sebab aku kesian dengan kau tapi sebab aku bimbangkan beg aku. Bukan boleh percaya sangat dengan kau." Abang Andika pun berlalu pergi dari situ menarik bagasinya bersama bagasi adiknya.

Linda senyum sahaja walau dikatakan begitu. Tak apa, Abang Andika sudi tolong pun dia dah sejuk hati!

"Cepatlah, aku nak kunci pintu."

Linda cepat-cepat berlari keluar bila menyedari keadaan itu.




FERI Miranda Gold. Sebuah feri yang sangat besar, mempunyai belasan tingkat dengan kemudahan bilik hotel tujuh bintang bersama kolam renang, restoran mewah, kelab malam, dewan persembahan dan berbagai lagi.

Jika diukur pada kemewahannya tidak hairan lagi jika yang mendaftar feri ini hanyalah dari kalangan korporat dan orang kaya. Segelintir yang miskin itu hanyalah dari kalangan orang gaji atau pembantu rumah yang memang dibawa sekali untuk meringankan kerja majikan mereka.

Dan seperti biasa, Linda akan ditempatkan bersama orang-orang gaji di kubikel bawah. Berkongsi bilik dan bilik air dengan orang lain lagak buruh yang bekerja di dek bawah. Tapi Linda tak pernah kisah dengan keadaan itu. Dia malah lebih gembira kerana dapat berjauh dari keluarga tirinya. Boleh berkenalan dengan rakan-rakan baru yang senasib sepertinya – selalu dibuli dan disuruh berbagai kerja. Lagipun topik hangat bagi mereka untuk dibualkan tak lain tak bukan tentang cara membasuh pinggan paling tangkas dan cara basuh baju paling wangi. Semua itu memang menjadi bualan mereka di aras orang gaji ini.

Ketika feri baru sahaja bergerak menjauh dari daratan, semua penumpang ramainya memilih untuk berada di dek atas, menikmati pemandangan dan juga melambai orang di pelabuhan. Lagipun pemandangan tika ini sangat cantik. Mereka dapat melihat daratan dengan jelas dari atas feri ini jika tiada kabus.

Namun untuk Linda, dia lebih menggunakan peluang ini untuk mengemas pakaian 'majikan-majikannya'. Sewaktu tiadanya mereka dalam bilik, itulah peluang keemasan yang dia tak akan sia-siakan! Maka sebab itu sebelum sekeluarga itu keluar ke dek atas selepas siap meronda-ronda di bilik, Linda dengan cepat meminta kunci bilik agar dia dapat mengakses masuk tanpa mereka nanti.

Syukur sahaja mereka memberi kunci itu, maka Linda pun dapat mengemas pakaian setiap seorang dengan aman. Dimulai dengan Ibu Suraya, kemudian Kak Wafana dan akhir sekali Abang Andika. Sungguh, pakaian mereka semua bagai hendak berpindah terus ke sini. Berpasang-pasang. Sedangkan Linda hanya membawa tiga helai sahaja. Dia tahu mereka akan berada di percutian ini selama seminggu lamanya tapi entah, dia terasa malas hendak membawa baju banyak-banyak.

Ketika Linda mengemas pakaian Abang Andika, dia sedikit aneh bila mendapati sebuah beg bersaiz besar yang dia tak nampak pun sebelum ini berada di sudut bilik. Seingat dia, dia tak ada pun kemas beg ini. Kerana hendak memeriksa, maka dia jatuhkan bagasi itu ke lantai selajur membuka zip dengan berhati-hati. Pelik betul. Beg ini tak berkunci.

Sebaik dia berjaya membuka bagasi itu, dia dapati di dalamnya ialah alat-alat seperti untuk mencerap bintang. Daripada teropong sehinggalah ke peta buruj langit, juga terdapat buku-buku tentang sains, biologi, kimia dan fizik yang begitu banyak bilangannya. Belum diceritakan peta dunia yang lebih kurang enam gulungan di situ.

Linda berkerut. Sejak bila Abang Andika bertukar kerja dari pengarah syarikat kereta kepada ahli astronomi pulak ni?

Bila Linda cuba buka gulungan kertas semacam peta dunia itu, Linda dapati lakaran-lakaran yang sangat banyak pada peta itu. Berkerut-kerut dahi Linda hendak memahami maksud lakaran itu. Aneh. Apa yang Abang Andika lukis ini?

Linda pun cuba tengok pada peta yang lebih kecil. Kali ini peta itu kosong dari sebarang lakran, yang ada yang satu tulisan bersama pangkah kecil di satu sudut tempat.

"Seru.." Linda cuba baca apa yang tertulis itu.

"Serunai.." Linda mengecilkan mata berusaha membacanya. Apa susah sangat nak faham? Dia terpaksa belokkan kertas itu barulah dia dapat baca penuh.

"Serunai Maut?" Terluah dua perkataan itu dari mulutnya. Dia sedikit tercengang dan mulalah bulu roma menegak.

Serunai maut?

Apa tu?

Linda pandang kiri kanan. Tiba-tiba dia rasa seakan sedang diperhatikan. Menakutkan. Dia kemudian kembali membelek barangan Abang Andika. Dia dapat lihat banyak betul barang yang dia tak faham. Macam untuk baiki pendawaian pun ada. Aneh betul. Abang Andika memang nak tukar kerja ke apa?

Selepas begitu lama menyelongkar barang Abang Andika, akhirnya dia buat keputuasan untuk biarkan sahaja. Sebabnya dia tak faham kenapa Abang Andika kena bawa semua barang ini dalam feri. Sebagai pakar pembersih, maka dia kemas semula barang Abang Andika sehingga menjadi seperti sediakala. Macam tak disentuh.

Kemudian dia susun kembali bagasi itu ke tempatnya. Dia sambung kerjanya mengemas pakaian Abang Andika. Sedang dalam kepalanya sarat dengan soalan.

Kenapa Abang Andika bawa semua barang itu?

Aneh.

Dan apa pula Serunai Maut?

Kenapa Abang Andika tanda tempat dengan nama itu?





MALAM itu mereka semua menghadiri sebuah majlis persembahan di dewan besar. Beberapa selebriti dijemput ke majlis ini untuk mengadakan persembahan. Tidak hairan begitu ramai yang membanjiri dewan ini untuk melihat persembahan yang akan dipentaskan.

Sekarang apa Linda dapat lihat ialah seorang lelaki solo sedang menyanyi di hadapan. Linda kenal lelaki ini. Dia ialah penyanyi kegilaan Kak Wafana. dinding bilik tidur Kak Wafana penuh dengan poster lelaki ini sahaja. Dia penyanyi Singapura, mukanya boleh tahanlah. Tapi itu semua tak menjadi minat Linda sebab Linda lebih berminat dengan apa yang dia jumpa di bilik Abang Andika siang tadi.

Linda tak tahu kenapa dia rasa tertarik sangat bila dengar tentang serunai maut. Semacam ada magnet yang buat dia rasa semakin nak tahu. Malah menyebut serangkap nama itu pun dia rasa bagai ada sesuatu yang misteri pada serunai maut itu.

Linda gigit kuku. Matanya fokus pada pementasan tapi tidak fikirannya. Malah dalam kegelapan dek persembahan di hadapan, dia sempat lagi mengerling pada Abang Andika yang segak bertuksedo itu. Lelaki itu fokus sungguh merenung persembahan tapi Linda yakin dalam kepala lelaki itu bermacam perkara ada. Sebab bila orang tepuk tangan, boleh pula Abang Andika buat muka selamba sahaja. Nampak sangat berangan.

Berakhir sudah persembahan penyanyi kegilaan Kak Wafana. Kak Wafana bersungguh-sungguh menepuk tangan sehingga hampir sahaja terlompat-lompat di depan kerusinya. Nasib baik Ibu Suraya sempat tahan, kalau tak memang boleh viral dekat media sosial.

"Mama! Mama! Nanti Wafa nak pergi jumpa dengan Nick boleh? Bolehlah mama!" Wafana merayu sesungguh hati. Matanya dibulatkan konon buat muka comel. Rasaya dari dalam bilik lagi gadis itu meminta untuk berjumpa dengan Nick.

"Yalah yalah. Nanti suruh abang mintak dengan Kevin okay?" Kerana simpati melihat anaknya yang kempunan itu maka akhirnya Ibu Suraya mengalah juga. Apa lagi Wafana terus melompat bagai kanak-kanak yang dapat pergi taman tema. Seronok sangat.

Andika sudah garu kening mendengarkan kata-kata ibunya. Tak faham kenapa tiba-tiba sahaja dia boleh termasuk sekali dalam cerita ini. Tahulah dia kawan baik Kevin, anak Sir Suzuki pemilik feri ini. Tapi ada ke patut jadikan dia perantara?

"Ingat tu abang!" Wafana terlalu teruja. Terus memperingatkan abangnya. Andika buat muka bosan. Menggaru leher rimas. Linda yang menonton hanya tersenyum kecil. Tampak jelas sikap kebudak-budakan Kak Wafana di situ.

Tiba-tiba Linda rasa sakit perut. Alamak, dia nak pergi tandas.

"Ibu.." Dia segera memanggil ibu tirinya. Perutnya dipegang. Waktu inilah dia nak memulas.

Ibu Suraya memandang dingin padanya. Tiada lagi wajah lembut semacam wajah yang dia pamerkan pada Wafana tadi. "Kau nak apa?"

"Mama! Dia nak jumpa Nick jugak lah tu! Hei! Kau jangan sibuk nak jumpa Nick aku okay! Aku seorang je boleh jumpa Nick!"

Linda menggeleng laju bila mendengar kenyataan Kak Wafana. Mukanya cuak. Dah kenapa tiba-tiba tuduh dia nak jumpa Nick?!

"No way! Aku takkan izinkan kau dengan muka berkarat macam ini jumpa Nick!" Kali ini Ibu Suraya juga membentak. Terjegil mata wanita itu.

"Tak.." Linda menggeleng cemas, perutnya sudah semakin sakit.

"Apa tak-tak?!" Wafana membesarkan matanya.

"Linda tak nak jumpa Nick. Linda cuma nak.."

"Nak apa?!"

"Linda cuma nak be.." Linda tak tahu nak cakap ke tidak.

"Nak apa?! Cakap cepat!"

"Nak berak!"

Tersenyap terus dua beranak itu bila mendengar jawapan Linda. Linda sudah termengah-mengah menahan sakit perut. Dia pun tak sangka akan tersasul begitu. Tidak semena terdengar bunyi orang ketawa di hujung sana. Lipat maut dua beranak itu memandang orang itu.

Andika. Sedang tertawa kelucuan.

Linda tidak menunggu lama, dek terlalu malu dan juga tidak tahan hendak ke tandas – terus berlari keluar dari dewan. Kali terakhir dia nampak hanyalah Ibu Suraya dan Kak Wafana kedua-duanya cuba mengawal malu. Dan Abang Andika terus tertawa.






SELESAI menunaikan hajat di tandas, Linda sudah malas hendak ke dewan. Malu. Sudahlah Abang Andika gelakkan dia. Linda pun memilih untuk naik ke geladak atas. Sengaja hendak mengambil angin malam. Sebaik dia keluar dari lift, angin terus meniupkan tudungnya buat dia serta-merta mengemaskan pakaiannya. Sejuknya.

Dia melangkah ke tepi feri, hendak merenung laut yang gelap tanpa sebarang cahaya. Bulan pun tiada malam ini. Nampaknya langit bergelap, namun titisan cahaya bintang masih ada. Linda tersenyum sendiri menatap dada langit.

Pada waktu begini, tak ramai penumpang yang suka duduk di geladak atas kerana lebih memilih untuk menonton persembahan di dewan besar. Tak hairanlah geladak atas ini kosong dari sesiapa.

Ketika itu Linda tiba-tiba teringatkan beg hitam yang dia jumpa dalam bilik Abang Andika. Mulalah dia diserbu rasa hairan amat bila terfikirkan kenapa beg tersebut boleh wujud dalam bilik Abang Andika. Itu bukan beg pakaian. Itu beg peralatan. Apa Abang Andika nak buat dengan beg seperti itu. Dan lebih menghairankan, apa pula serunai maut?

Linda menepuk kepalanya berkali-kali bila dia tidak mampu faham walau sedikit apa tujuan abangnya. Akhirnya dia mengeluh sahaja. Putus asa. Itulah, sibuk sangat ambil tahu pasal orang. Kan lebih mudah kalau dia abaikan sahaja beg itu awal-awal. Tak perlulah dia fikir panjang-panjang tentang serunai maut.

"Sudahlah Linda.. bukan ada kaitan dengan kau pun." Dia bercakap dengan diri sendiri. Cuba menenangkan dirinya yang sibuk sangat nak ambil tahu.

Tidak semena lengannya ditarik ke belakang, hampir dia tergolek kalau dia tak cepat-cepat seimbangkan badan. Baru sahaja dia hendak marahkan orang yang tiba-tiba tarik tangannya itu, dia terlebih dahulu terkedu dengan apa yang terpampang di depan matanya.

Susuk yang sedang memegang lengannya ini ialah seorang nenek tua yang berkelubung hitam, Linda tak dapat lihat wajah nenek ini secara jelas. Hanya bibir kusam nenek ini sahaja yang terlihat. Tapi Linda seolah boleh rasa renungan tajam nenek ini pada wajahnya. Bulu romanya mula menegak.

"Nenek?" Sebagai seorang gadis yang baik hati, Linda tetap berlembut. Walaupun sebenarnya dia mahu sahaja lari tak cukup tanah ketika ini sebab nenek ini sangat menakutkan!

"Ke-kenapa nenek tiba-tiba tarik tangan Linda ni?" Linda takut-takut bertanya. Bertambah seram sejuk bila nenek ini menguatkan cengkaman. Apa kena nenek ini? Kempunan nak cucu ke apa?

"Pabila malam pekat menjelma," Tidak semena nenek tersebut mengalunkan sebuah rangkap seperti syair. Buat Linda terus terkelu sendiri dengan mata terkebil-kebil.

"Saat anak Adam semua alpa, sinar cahaya tetap diwarna, seluruh alam seolah menderhaka.." Nenek itu menggerakkan kepala ke kiri dan kanan.

Linda mula menggigil. Seluruh bulu di tubuhnya hampir sahaja berguguran kerana terlalu takut. Ya Allah nenek kebayan mana kacau aku tengah malam ni?

"Di kala itu dia menghamburkan murka, dengan serunai maut yang mampu membunuh jwa." Nenek itu mengangkat mukanya. Linda tergamam bila mendapati nenek itu merenungnya. Tidak tergerak lidahnya bila membalas renungan wanita tua ini.

Tapi tadi nenek ada sebut serunai kan tadi?

"Ne- nenek ad- ada.." Linda tak mampu bercakap dengan lancar. Lidahnya terlalu kelu. Dan suaranya hilang terus apabila lengannya dicengkam lebih kuat sehingga Linda dapat rasa kuku wanita tua itu tenggelam dalam kulit lengannya.

"Auch!" Linda meringis sakit. Berkerut dahinya menahan sakit.

"Ingat wahai sunti, Saat serunai maut meniup ruhnya, Pejam erat matamu, Pekak tuli telingamu, Bisu kukuh mulutmu, Kunci utuh jiwamu. Biar hanya ruh itu membunuh yang tidak bersedia, biar hanya ruh itu membunuh yang menderhaka."

Linda terkedu. Bibirnya memucat mendengar setiap patah kata nenek ini.

"Ingat baik-baik.." Nenek itu menekan suaranya ke dalam halkum.

"Jika kau mahu terus bernyawa, ingat baik-baik pesan aku." Dan seterusnya Linda tak sedar apa yang berlaku apabila kelibat nenek tua itu lenyap dari pandangannya. Langsung tika itu seluruh dunianya bergelap dan tubuhnya tumbang ke lantai.

Linda pitam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro