Prolog

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng





DIA terjaga sebaik mendengar suara riuh di luar sana. Menggangu lenanya yang baru terjemput beberapa ketika tadi. Segera dia menepuk belakang tubuh Omar yang masih terlena di sebelah. Tidak mahu anaknya itu terjaga dengan keriuhan itu.

"Apa susahnya? Rawat sahajalah Tok penghulu tanpa cahaya!"

"Tok Deran gila?! Bagaimana saya mahu merawat tanpa cahaya? Bagaimana jika saya melukakan Tok penghulu?!"

Suara suaminya yang sedang bertekak di luar sana buat dia serta-merta bangkit dari tilam lusuh, selajur menukar pakaian yang lebih sopan. Tidak perlu menunggu lebih lama, dia sudah faham pasti ada sesuatu yang terjadi pada Tok penghulu sehingga penduduk kampung terpaksa menghantar lelaki tua itu di sini sedangkan semua sudah maklum, klinik ini hanya beroperasi siang hari.

Dia masih sahaja mendengar suara-suara yang bertindih di luar sana, memekik menegakkan hujjah masing-masing. Dia tidak berlengah, segera keluar dari bilik.

Berbekalkan hanya cahaya lilin yang semakin suram warnanya, dia dapat lihat empat susuk sedang duduk mengelilingi sesusuk tubuh yang terbaring. Di antara yang duduk di lantai rumah itu ialah suaminya yang sedang meraup rambut dengan tingkah yang sangat serabut. Manakala tiga yang berbaki ialah penduduk kampung ini sendiri antaranya ialah Tok Deran, teman baik Tok penghulu. Dan pastinya yang sedang terbaring kesakitan itu ialah Tok penghulu. Peha lelaki tua itu berdarah teruk. Sebagai seorang jujurawat mahir, Zati terus dapat mengecam luka itu ialah luka kerana dipatuk ular hutan.

"Abang," Dia menegur suaminya selajur melabuhkan duduk di situ juga, diabaikan sahaja tiga pasang mata yang sedang merenungnya bagai pesalah besar.

Suaminya, Dr Razak sedikit terkejut bila melihatnya.

"Zati, kenapa keluar? Duduk sahajalah dalam bilik." Dr Razak tidak gemar isterinya masuk campur dalam urusan ini.

"Kenapa dibiarkan sahaja Tok penghulu seperti ini? Bisanya akan merebak abang." Zati tiak mengendahkan teguran suaminya, segera dia bekerja sebagai jururawat professional. Merenung sang pesakit dengan analisis tersendiri.

"Abang ingin merawat tapi Zati sendiri tahu, mereka tak benarkan kita gunakan lampu." Dr Razak mendengus kencang.

"Apa? Kalian mahu buka lampu? Kalian mahu kita semua mati?!" Kali ini Tok Deran menyampuk perbualan suami isteri itu dengan suara keras. Tidak senang sebaik mendengar perkataan lampu. Itu ucapan sial bila di malam hari!

"Masalahnya Tok Deran, untuk merawat Tok penghulu kami perlu gunakan lampu! Bisa yang ada pada Tok penghulu bukan biasa-biasa! Sekarang biar saya tanya Tok. Tok mahu Tok penghulu matikah?"

"Maka rawat sahajalah! Kamu doktor hebat bukan? Sudah merata tempat menjadi sukarelawan, kenapa tidak biasa untuk merawat dalam gelap?!"

Dr Razak meraup wajah mendengarkan itu. Ketika mereka bergaduh ini, dia dapat lihat Zati mengambil kain buruk lalu menukar ikatan kain pada peha Tok penghulu. Keadaan Tok penghulu semakin bahaya jika dibiarkan lama-lama.

"Apa sahaja yang kalian takutkan? Mitos serunai maut itukah?! Apabila kita memasang cahaya maka ia akan bertiup, Dan dengan mendengar serunai itu semua akan mati?! Itukah yang kalian semua takutkan?!" Kali ini Dr Razak tidak dapat bersabar. Terus sahaja diledak amarah itu dengan menyebutkan tentang mitos Serunai Maut yang sangat dipercayai seluruh pulau terpencil ini termasuk penduduk Kampung Jantan Senjan ini.

Serunai Maut? Heh, mendengarkannya sahaja sudah buat Dr Razak tergelak sendiri. Mitos sebegitu masih dipercayai pada zaman kegemilangan ini? Pada zaman Tanah Malayu sendiri mempunyai keluaran kenderaan sendiri masih wujud kepercayaan karut sebegini?

Hanya dengan memunculkan cahaya terang, kata penduduk ini Serunai Maut akan marah lalu akan bertiup, dan demi mendengar tiupan itu semua akan mati serta-merta. Itulah yang Dr Razak dengar sejak dari awal dia menjejak kaki di pulau ini.

Hakikatnya dia dan isterinya diutuskan oleh Kementerian Kesihatan untuk membantu penduduk pulau di sini, awalnya dia fikir Pulau Jengka ini hanyalah seperti pulau lain yang normal. Sebab itu dia sendiri minta agar dipasangkan penjana di rumah sementaranya ini agar dapat dia merawat mana-mana pesakit yang datang malam hari.

Namun sebaik mendengar cerita karut ini, dengan larangan membuka lampu melebihi jam enam petang – begitu sahaja sia-sia penjana itu dipasang. Tiada apa yang hendak dibuat dengan penjana tersebut. Bayangkan selepas jam enam petang semua diwajibkan bergelap tanpa cahaya dan hanya sebatang lilin dibenarkan untuk setiap rumah! Kekarutan apakah itu?

Maka dengan sebab itu klinik yang mereka buka untuk penduduk kampung di sini terpaksa ditutup sebaik sahaja matahari terbenam kerana tiada bekalan cahaya untuk membuat rawatan.

Namun pada malam ini, entah takdir seolah sedang mengejek kepercayaan karut penduduk pulau sehingga datang ular yang mematuk Tok penghulu, lalu dengan itu mereka terpaksa membawa Tok penghulu ke rumah klinik ini. Namun sehingga sekarang hanya satu yang mereka gaduhkan.

Tentang cahaya.

Dan semestinya apabila sahaja Dr Razak menyebut tentang serunai maut dengan bentuk penghinaan sebegitu rupa, Tok Deran serta-merta menyinga malah rakan-rakannya yang lain turut berubah muka garang. Itu ialah pantang larang mereka!

"Jangan sesekali kau sebut tentang Serunai Maut di malam begini dengan sebegitu hina! Penjaganya mendengar setiap perkataan kamu!"

"Apa sehebat itu penjaga serunai maut?! Sehingga Tok Deran sanggup membiarkan Tok Penghulu tidak dirawat hanya kerana mempercayai kisah karut itu?!"

"Itu bukan kisah karut Razak! Ingatlah tika beberapa tahun lalu, saat serunai maut berbunyi kerana ada yang menderhaka, semua mati! Kau mahu ulangi keadaan itu!?" Lelaki tua di sebelah Tok Deram, Orang Tua Naim namanya - bersuara keras.

"Itu hanyalah mitos!" Dr Razak menegaskan.

"Bagaimana kamu tahu itu mitos?!" Tok Deram kembali bertekak.

"Itu ialah kepercayaan karut! Mana mungkin wujud serunai yang akan berbunyi apabila cahaya menjadi terang!" Dr Razak tegakkan hujjahnya. Itu memang tidak logik!

"Tapi itulah hakikatnya Razak! Kamu harus mempercayainya jika kamu mahu hidup! Bukankah sebelum ini kamu juga mempercayainya? Kenapa sekarang kamu seperti mendustakannya?!" Orang Tua Naim berkerut marah.

"Saya hanya berlagak mempercayai kerana menghormati kalian semua, tetapi apabila ada orang yang menghalang saya dari menggunakan lampu dalam merawat pesakit saya, saya tak suka."

"Tapi fikirkanlah betul-betul Razak, membuka lampu samalah seperti kita membunuh diri sendiri!"

"Dan jika tidak membuka lampu samalah seperti membunuh Tok Penghulu!" Dr Razak menjawab keras.

"Kamu patut-"

"Sudahlah!!" Akhirnya Zati mencelah garang. Wanita itu dari tadi berusaha menutup luka Tok penghulu, namun dia tak dapat fokus sebaiknya apabila lelaki-lelaki di sekelilingnya asyik sungguh bergaduh perkara yang sia-sia.

"Jika kalian semua berterusan begini maka Tok penghulu akan mati sia-sia!" Zati menjerit marah, dia masih berusaha menekap peha Tok Penghulu.

Dr Razak sepertinya baru tersedar, lantas itu dia mengambil beg peralatannya dengan kelam kabut. Dalam kegelapan sangat sukar mencari barang.

"Kita guna lampu suluh sahaja abang." Zati sudah kembali bertenang. Apabila dia melihat tiga lelaki tua di hadapan ini sudah senyap, hatinya lebih lapang. Tak perlu bergaduh dan bertekak lagi.

"Lampu suluh dah habis bateri, Zati lupa?" Dr Razak mengeluh lemah. Memang itulah yang membebankannya sedari tadi, dia mahu merawat Tok penghulu tapi semua tidak izinkannya membuka lampu. Lagi parah bila dia mengambil lampu suluh, lampu itu juga sudah habis bateri. Diambah pula dengan tiga lelaki tua di hadapannya ini asyik mendesak, memang otaknya boleh meletup.

"Ohh." Zati juga baru teringat. Sedikit kecewa.

"Jadi apa perlu kita lakukan sekarang? Ruang tamu sangat gelap. Kita tak boleh rawat dalam keadaan macam ini." Zati berbisik pada suaminya. Matanya masih sahaja merenung Tok penghulu. Nampaknya Tok penghulu sudah tidak sakit seperti tadi, Nampak lebih tenang. Mungin kerana tiada lagi orang bergaduh di sekelilingnya.

"Kita pasang sahaja generator. Tapi kita pasang lampu di ruang ini sahaja." Kali ini Dr Razak betul-betul berbisik di telinga isterinya, tidak mahu yang lain mendengar. Mata Zati terbeliak.

"Abang, jangan." Zati menggeleng tidak berani. Dia sedar tiga pasang mata di depan ini masih sahaja merenung.

"Kita terpaksa Zati, kalau tak Tok penghulu boleh sahaja mati dan kita akan dibuang kerja kerana kematian ini. Lagipun cuba Zati fikir apa alasan kita nanti? Kerana tidak boleh buka lampu? Siapa akan terima kepercayaan itu?"

Zati terdiam mendengar hujjah suaminya. Benar, jika dia biarkan semua ini sebegini - macam-macam boleh terjadi dan kemungkinan yang paling besar ialah Tok penghulu akan mati. Dan kerana kematian ini, kerja mereka akan terjejas. Apatah lagi alasan yang akan diberikan nanti sangatlah tidak logik.

Akhirnya Zati bangun dari duduk, hendak ke dapur menghidupkan penjana.

"Hendak ke mana?" Tok Deran yang memerhati menegur pantas.

"Hendak mengambil air." Jawab Zati tidak jujur.

Tok Deran mengangguk mengizinkan. Dia risau jika Zati pergi membuat kerja gila dengan menghidupkan penjana eletrik di belakang rumah.

Zati berbalas pandang dengan suaminya, dalam gelap dia seakan dapat melihat suaminya mengangguk memberi keyakinan. Erangan Tok penghulu mula kedengaran. Seolah hendak berkata sesuatu. Tok penghulu mendengar perbualan suami isteri itu tadi. Dia sedang memberi amaran tapi tiada siapa faham. Dr Razak sendiri pekakkan sahaja telinganya.

Maka perlahan Zati turun ke bawah, menghampiri penjana eletrik yang teguh berada di situ. Separuh hatinya memikirkan tentang kerjanya yang akan terkorban dan separuh lagi memikirkan tentang mitos serunai maut. Tangannya jadi teragak-agak memegang penjana itu.

Akhirnya denga hati yang masih berbelah bahagi dia menarik penjana itu ke bawah lalu serta-merta rumah ini terang-benderang bagai sedang menyambut perayaan.

Yang pasti cahaya ini mengejutkan tiga orang tua yang bersimpuh di ruang tamu itu termasuk juga Tok Penghulu yang tampak pasrah sungguh dengan apa yan terjadi malam ini.

"Apa yang kau lakukan Razak!?" Orang Tua Deran mengherdik tinggi. Mukanya merah padam bagai bila-bila masa sahaja akan bertukar menjadi naga.

"Saya minta maaf, saya terpaksa demi menyelamatkan nyawa Tok penghulu." Dr Razak menjawab dengan professional. Langsung sahaja dia memakai sarung tangan untuk memulakan kerjanya sebagai seorang doktor.

"Apa yang kau lakukan!!? Kau tutup balik lampu!" Kali ini Tok Deran mengamuk, berdiri hendak menyerang Zati yang baru naik dari dapur.

"Jangan sesekali lakukannya!! Ini kerja kami! Hormati kerja kami!" Dr Razak mengherdik kasar. Pantang sungguh dirinya jika ada yang mengacau kerjanya. Dia hendak merawat Tok penghulu pun tak kena.

"Maka kalian perlu hormati peraturan pulau ini!" Orang Tua Naim membalas, tubuh tuanya mula menggeletar.

"Dengan membiarkan Tok penghulu mati tanpa dirawat?! Itu perkara terakhir yang akan saya pilih!"

"Tapi sekarang kamu akan membuatkan kita semua mati!" Tok Deran menjerit dalam berdiri begitu.

"Apa yang akan terjadi!? Tiada apa bukan?! Serunai maut hanyalah mitos yang karut! Jika benar maka mana buktinya!? Kenapa kita masih hidup?!" Dr Razak mencabar biadap.

Zati yang berdiri di depan pintu dapur yang membatu mendengar perbalahan itu, sungguh walaupun seluruh rumah sudah terang dia tetap berasa tidak sedap hati. Bagai ada sesuatu sedang berlegar di rumah ini.

"Jangan sesekali kau mencabar serunai maut Razak!"

"Tolonglah! Itu hanyalah karut!" Dr Razak yang sedang membuang bisa dari peha Tok penghulu membalas kuat, geram bila masih mempercayai semua itu.

Namun, belum pun Dr Razak mahu menjadi lebih angkuh – satu bunyi halus dari jauh mula membedil alam.

Hanya perlahan dan tenang. Sayup-sayup kemudian sedetik ianya menjadi jelas.

Semua terkaku tak terkata sebaik mendengarkannya, hatta Dr Razak sendiri terkelu tidak bergerak.

Bunyi alunan itu bernafas terus ke angkasa, melantun-lantun dalam nada yang mendayu lagi menyayat hati seolah ada hikayat yang menyedihkan di balik hembusan itu. Bagai ada sesuatu yang ingin dia khabarkan dalam setiap alunan itu.

Namu tiada siapa dapat menafikan - kala ini, satu demi satu tubuh di rumah itu mahupun di rumah lain mula rebah tidak bernyawa. Disedut ruhnya hanya demi mendengarkan alunan merdu itu.

Sungguh, serunai maut telah menghembuskan nafas mautnya.

Untuk yang menderhaka, yang percaya dan yang lena.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro