Serunai Maut | Henry | 14

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SEAWAL jam 0700 pagi, sebuah helikopter besar tiba di Feri Miranda Gold. Seperti yang diminta Falah semalam, dia mahu membersihkan rumah besar di Pulau Jengka itu dan menghidupkan rumah itu sebagai masjid. Maka kerana itulah Henry tanpa berlengah terus menghubungi pasukannya di sana untuk menghantar segala keperluan bagi gotong royong nanti.

Beberapa orang daripada pasukan Henry juga turut turun padang bagi membantu pembinaan masjid itu, malah Inspektor Halim turut hadir. Bukan sebagai penyiasat tapi hanyalah untuk meringankan beban ketuanya.

Jam 0900 mereka sibuk memuatkan barangan tersebut ke dalam dua bot kecil untuk dibawa ke Pulau Jengka. Beberapa orang kelasi yang dibayar Henry untuk membantu sudah sedia menunggu di sana, malah seperti yang diminta Falah, ada dua orang sedang sibuk mencantas rumput di halaman masjid tersebut. Hendak membersihkan halaman itu sebelum datangnya lebih ramai orang lain.

Falah dan Halim sibuk bertukar tangan memindahkan barangan dari feri ke bot, sedari tadi mereka sibuk dengan kerja mereka. Iman juga turut membantu, sekadar menyusun kotak-kotak itu biar lebih kemas. Sesekali dia menegur Falah agar berlembut dengan mana-mana kotak yang bertanda merah.

Namun tiada siapa dapat menyangkal betapa jelasnya ketegangan wajah Iman dalam melakukan kerjanya apabila sedari tadi Melissa yang sedang berdiri di pelantar feri sibuk bertanya itu dan ini pada Henry yang sedang memerhatikan mereka.

"Kenapa you kena pergi lagi pulau sana? Kan semalam you pergi dah.." Melissa bertanya tidak puas hati.

Henry mengeluh. "I ada kerja dekat sana, you pun tahu kan.."

"Yang tu I tahulah, tapi itu kan kerja Falah. Bukan kerja you. Kenapa you beria sangat tolong dia? Lagipun ramai lagi orang lain tolong dia. You duduk sini jelah."

"Mana boleh, I kena tolong jugak. Kena pantau kerja diorang." Henry garu kening. Rimas. Sejak awal perkenalan lagi wanita itu sibuk menggedik dengan dia, dia sangat rimas!

"Falah kan ada, Iman pun ada. Diorang boleh pantaulah. Lagipun I seram tinggal sini. Feri ni creepy lah." Melissa mencebik. Sedih hatinya bila dia ditinggalkan di sini lagi. Sudahlah semalam ditinggalkan juga.

Iman yang mendengar aduan itu spontan menaikkan mata ke atas, "Kalau penakut baik balik rumah jelah." Dia berbisik seorang diri. Teringat lagi semalam bagaimana terseksanya dia apabila tidur bersama Melissa. Perempuan itu sibuk merungut itu dan ini. Panaslah. Gelaplah. Seramlah.

Sehingga perempuan itu hampir sahaja membuka lampu di tengah malam kerana alasannya dia tidak boleh tidur kalau terlalu gelap. Bila disuruh pasang lilin, katanya panas kerana terpaksa menutup kipas. Iman hendak tidur pun tidak senang. Dia cuma risau jika Melissa betul-betul membuka lampu ketika dia sedang tidur. Dan jika benar itu yang berlaku, dia tidak tahu apakah yang akan terjadi pada dia malam tadi.

Akhirnya selepas dua jam berperang dengan Iman, barulah Melissa dapat tidur. Dan selepas benar-benar memastikan Melissa tidur barulah Iman dapat tidur dengan lena.

"Tapi I tak suka dengan Khalil.." Rengekan Melissa membangunkan Iman dari lamunan.

Terus dia memandang perempuan itu. Kelihatan wajah Melissa sudah merah menahan geram.

"Melissa, please. Kita sedang buat siasatan ini. Behave boleh tak? Jadi lebih matang, I tak suka you bersikap kebudak-budakan macam ni." Henry tidak dapat menahan sabar. Terus memarahi Melissa.

Melissa mengetap bibir.

"You ni kan, bila I nak pergi pulau you tak bagi. I ajak you temankan I pun you tak nak. I cuma tak faham kenapa you kena ikut sekali ke pulau, biarlah diorang buat kerja. Kita selesaikanlah siasatan dekat sini." Melissa tidak mengaku kalah.

Henry menarik nafas dalam-dalam. Fikirnya Melissa akan sakit hati dengan tegurannya tadi, rupanya perempuan ini sangat kebal.

"Abang.."

Tidak semena Falah memanggil.

Henry terus memandang Falah, begitu juga Melissa yang masih tidak berpuas hati. Dahi wanita itu berkerut apabila mendengar panggilan Falah pada Henry.

Abang?

"Semua barang dah siap. Jom gerak." Falah mencekak pinggang. Melepaskan lelah.

Henry mengangguk serius. Kemudian tanpa memandang Melissa dia terus melangkah ke bot kecil meninggalkan perempuan itu.

"Henry!" Melissa hampir sahaja menghentak kaki. Geram.

Henry tidak melayan. Terus memasuki ke hadapan, menuju ke kawasan beratap yang menempatkan tempat pemanduan.

Melissa mendengus. Dia sempat menjeling Iman yang sedari tadi hanya memerhatinya sebelum menaiki tangga menuju ke atas. Hatinya panas. Kenapa dia tidak boleh ikut Henry?

Iman tanpa sedar tersengih lebar melihat wajah tidak puas hati Melissa.

Apabila dia memandang ke sisi, dilihatnya Falah sedang memandangnya.

Sengihannya mati. Dia malu sendiri lantas bergerak mendekati Halim yang sedang menyusun kotak.

Falah tersenyum kecil.

HALAMAN rumah itu sudah bersih. Malah pokok menjalar di dinding rumah tersebut sudah dicabut. Beberapa petugas kelihatan sibuk membersihkan lumut pada dinding luar bangunan yang bakal dijadikan masjid itu. Tampak kemas dari luar.

Tinggal lagi bahagian dalam sahaja yang masih dalam proses. Kelihatan beberapa petugas sedang membaiki wayar lampu dan kipas, dua orang lain sibuk membaiki paip air yang kebanyakannya sudah rosak dan pecah. Iman dan Halim pula sibuk membersihkan lantai yang penuh dengan najis, bangkai kucing juga mereka yang buang. Manakala Henry dan Falah lebih gemar menyiapkan kerja luar, mereka sedang sibuk memaku dinding agar lebih kukuh. Beberapa keping kayu mulai mereput di bahagaian hadapan dan kiri. Mereka terpaksa menukarnya dengan papan kayu baru namun ada juga yang masih elok dan hanya perlu diperkukuhkan sahaja.

Henry menghela nafas penat seraya mengelap keringat yang mula berbintik di dahi. Dia sudah lama tidak buat kerja keras sebegini. Selalunya dia hanya duduk di kerusi pejabat dan mengerah otak memikirkan kes. Hendak bersenam pun tidak sempat. Nasib baik badan masih terjaga, risau juga kalau perut jadi memboyot.

Dia terduduk selepas siap mengetuk paku pada satu ruangan dinding di bahagian hadapan ini, melepaskan lelah di situ. Dilihatnya Falah yang turut memaku dinding masih cergas malah tidak tahu samada dia tersalah nampak atau ianya memang benar - dia dapat melihat bibir Falah terkumat-kamit membaca sesuatu.

Namun dia tidak hairan jika benar Falah sedang membaca AlQuran ketika sedang membuat kerja, ataupun paling kurang adik iparnya itu pasti sedang berzikir - kerana dia memang sudah mengenali Falah. Pemuda itu memang tidak suka membuat kerja dengan mulut diam, pasti dia akan membaca sesuatu juga untuk mengisi masa kerjanya itu.

Apatah lagi tadi ketika sebelum mereka memulakan kerja, Falah memanggil semua orang untuk berkumpul di depan rumah ini.

Falah meminta semua agar memulakan segala kerja dengan basmallah dan selawat nabi, Falah juga berpesan agar apabila masuk ke rumah, masuk dengan kaki kanan kemudian beri salam. Semua yang mendengar hanya mengangguk faham. Kemudian Falah mengakhiri perjumpaan itu dengan bacaan doa yang sangat panjang di dalam bahasa arab yang Henry tak dapat faham namun Henry sangat takjub dengan kefasihan Falah.

Falah yang dia kenali dahulu rupanya sudah berubah.

Ketika itulah Iman keluar dari dalam, wajah wanita itu merah. Penat mungkin.

Dia kemudian mendongakkan kepala pada Falah yang sedang duduk di atas tangga bagi memaku dinding atas.

"Falah," Iman melaung sederhana.

Falah terus menunduk, melihat Iman di bawah.

"I rasa you kena tengok ni.." Iman mengeluh deras.

"Ada apa?" Falah tidak sedap hati.

"Tengok jelah.." Iman malas hendak bercerita. Dia kemudian masuk kembali.

Henry di situ seperti tunggul kayu sahaja diabaikan. Dia terkebil-kebil seorang diri. Apabila Falah sudah turun dan memasuki masjid, Henry dengan segera mengikuti.


SEMUA merenung sahaja objek bulat yang terletak di atas lantai itu. Dari tadi jarum berwarna merah di dalamnya berputar seperti jarum jam yang mengalami kepantasan masa. Sesekali berputar melawan jam dan sesekali berputar mengikut jam. Tidak seimbang.

"You yakin ke Falah, kompas you ni tak rosak?" Iman mencekak pinggang. Dari tadi dia mencuba namun hasilnya tetap begitu.

Falah mengeluh. "Tak rosak, saya baru gunakannya di feri semalam untuk solat zohor."

Iman terdiam terus bila mendengar kata-kata itu.

"Tak mungkin ia sudah rosak hari ini." Falah mencangkung di sisi kompas miliknya itu. Tadi dia meminta Halim untuk mengukur kiblat di masjid ini, lalu diberikan kompas ini sebagai pengukurnya. Namun tidak sangka pula kompasnya akan rosak sebegini.

"Ketuk-ketuk sikit, mungkin dia pening kut." Henry yang turut memerhati menyampuk.

Halim mengikut saranan Henry, diketuk dua kali kompas tersebut. Sekejap ia berhenti beputar dan jeda. Namun selepas itu ia berputar kembali dengan kadar yang lebih laju.

Baru Halim hendak ketuk sekali lagi, Falah sudah menghentikannya. "Tak apa, biar saya periksa dekat feri nanti."

Halim terangguk-angguk.

Falah mengambil kompas miliknya itu, disimpan ke dalam beg yang dibawanya bersama.

Ketika itulah tiba-tiba dua petugas yang tadinya sibuk membersihkan dinding luar tergopoh-gapah masuk dalam keadaan mengaduh sakit.

Semua serta merta memandang mereka.

"Aduh! Auch!" Dua petugas lelaki itu mengaduh-ngaduh sambil kelam kabut membuang sesuatu dari pakaian mereka.

"Korang ni dah kenapa? Tiba-tiba masuk lepas tu aduh aduh?" Henry berkerut dahi.

Salah seorang petugas itu sudah tidak mengaduh lagi, tapi masih tergaru-garu badan.

"Ada budak kampung dekat luar, lempar batu dekat kami. Kami fikir batu biasa, sekali rupanya itu sarang kerengga. Sakit ni.." Lelaki itu kemudian menepis-nepis kerengga yang merayap di bajunya.

"Aduuuhh.." yang seorang lagi masih mengaduh sambil gelabah membuang kerengga yang mungkin sahaja sudah masuk ke dalam bajunya.

"Apa budak-budak tu nak?" Falah pula bertanya.

"Diorang suruh kita pergi dari sini, diorang sibuk kata kita pencuri lah, penyampun lah." Lelaki pertama berkerut-kerut sambil menjawab.

Falah dan Henry berpandangan.

"Tak apalah, budak-budak nakal biasalah. Kita teruskan kerja." Henry kemudian bersuara.

Semua mengangguk manakala dua petugas tadi masih mengaduh-ngaduh apabila terasa ada kerengga menggigit kulit mereka.

Akhirnya Falah yang kasihan melihat mereka segera mengajar mereka membaca doa minta lindung.

'Auzu bikalimatillahi ttammati min syarri ma kholaq.'

Yang bermaksud, aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada apa yang Dia ciptakan.

Selepas itu barulah kerengga tersebut sudah tiada dan keadaan kembali tenang.

SEWAKTU mereka pulang ke feri, mereka dikejutkan dengan sebuah helikopter besar yang terparkir elok di bahagian dek atas feri. Awalnya mereka kehairanan memikirkan siapakah yang datang kerana Henry memberitahu dia tiada memanggil siapa-siapa pun untuk datang ke sini, namun apabila sahaja mereka memanjat tangga dan memasuki perut feri - mereka disambut dengan Dr Khalil yang berwajah tegang dengan postur memeluk tubuh yang sangat angkuh.

Baru Henry hendak bertanyakan soalan Dr Khalil terlebih dahulu menjawab.

"Dato' Hussain tunggu kalian di bilik mesyuarat."

Dan cukuplah berita itu untuk menjadikan petang itu mendung bagi Henry.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro