Serunai Maut | Henry | 7

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

MALAM itu feri gelap gelita. Hanya beberapa batang lilin dipasang di sekitar feri ini. Memberikan sedikit cahaya sekadar untuk dapat melihat jalan dan melihat orang.

Semua mayat sudah dipindahkan ke Melaka lewat petang tadi menggunakan pesawat besar. Seramai 249 mayat dipindahkan. Masih berbaki satu namun yang satu itulah tiada siapa pun yang bertanya.

Mayat Linda.

Memikirkan hal itu Henry menghela nafas berat. Pandangan didongak ke langit malam. Langit sangat cantik. Dipenuhi bintang-bintang bergemerlapan. Betullah kata orang, bintang akan lebih mudah dicerap apabila suasana sekitar gelap.

Mengikut laporan dari team-nya di daratan, betapa ahli keluarga mangsa menangis meratapi kematian keluarga mereka saat mayat itu sampai dalam bentuk dibungkus plastik hitam. Air mata membanjiri dan tangisan kedengaran di sana sini, dan suasana senja di lapangan terbang itu diakhiri dengan suasana yang terasa sangat menyayatkan hati.

Henry tidak dapat membayangkan jika dia yang melihat semua itu. Pasti dia tidak teragak-agak untuk mengalirkan air mata. Dia menyaksikan bagaimana mayat itu, malah dia juga yang mengkaji kes ini. Masakan tiada langsung rasa simpati dalam dadanya?

Kasihan.

Namun lebih menyedihkan apabila kematian itu tidak tahu berpunca dari mana.

Henry bingung. Bertambah bingung apabila teringatkan Linda yang dikatakan hilang itu. Sampai sekarang masih tiada sebarang berita tentang penemuan mayat gadis kecil itu. Malah sudah ada yang mencari mayat itu di dalam laut sekitar feri kerana membuat spekulasi mayat itu mungkin terjatuh ke dalam air. Namun tetap juga tidak kedapatan apa-apa hasil.

Henry menghembus nafas lemah. Begitu banyak perkara yang berselirat dalam kepala.

"Wah, banyaknya bintang.."

Tidak semena telinganya menangkap satu suara tidak jauh dari tempat berdirinya.

Dia menoleh. Dalam kegelapan matanya yang memang dilatih untuk melihat sesuatu dalam gelap - jelas dapat melihat seorang wanita berkemeja putih sedang memandang langit dengan senyuman lebar.

Iman Nadrah.

"Tenang hati aku.. Tak adalah sesak nak fikir pasal serunai maut tu." Iman bercakap seorang diri. Kelihatan dia menghirup udara malam dalam keadaan mata terpejam.

Henry diam sahaja merenung wanita itu. Tidak tahu apa motif dia. Tapi melihatkan keadaan Iman, dia juga jadi tenang.

Iman membuka mata. Meletakkan dua tangan pada palang feri. Dia tekun memandang langit. Seperti sedang mengira bintang.

Sesaat wanita itu berkerut. Mungkin menyedari dirinya sedang diperhati sedangkan dia yakin yang dia berseorangan di dek atas ini.

Dia menoleh ke kanan, tiada orang. Ke kiri. Tiada ora..

"You!" Iman terundur bertapak-tapak apabila menyedari kewujudan Henry.

"Yes me, kenapa?" Henry selamba. Segera memandang langit.

"Sejak bila you ada dekat situ?" Iman marah. Namun tetap jelas dia sedikit gugup.

"Sejak sejam lalu. Sebelum you datang lagi." Henry menongkat siku. Merenung kegelapan laut yang mencerminkan langit.

Iman terkulat-kulat mendengar jawapan Henry. Dia kemudian membetulkan kedudukannya, turut memandang laut. Angin laut menampar-nampar tubuh mereka berdua.

Seketika mereka berdua terdiam, hanya merenung lautan yang gelap gelita.

"Yang lain duduk mana?" Henry menyoal. Memecah sepi mereka berdua.

Iman mengerling sekilas pada Henry, "Semua di tingkat enam." Jawabnya.

Sememangnya semua ditempatkan di tingkat enam kerana ruang itu sahaja yang tidak terjejas dengan kewujudan lokasi mayat. Sebuah bilik untuk wanita, sebuah bilik lagi untuk lelaki. Bersebelahan. Demi keselamatan.

"Tak takut ke datang sini?" Henry bertanya lagi.

"I pun patut tanya you, you tak takut ke?" Iman sengaja mengembalikan soalan.

"I lelaki." Henry jawab selamba.

Iman mengetap bibir. Tidak berpuas hati. Dia tak suka dibandingkan dengan jantina. Mereka terdiam lagi.

"Mama kirim salam." Iman bersuara selepas lama berfikir.

"I call dia tadi.." Iman tidak tahu apa motif dia bercerita hal itu.

Henry menjawab salam dalam hati.

"Dia tanya.. Bila kita nak balik rumah dia?" Iman tarik nafas dalam-dalam.

Awkward.

"So I jawab yang kita tengah uruskan kes Feri Miranda Gold."

"Dia jawab apa?"

Iman lega mendengar suara Henry. Ingatkan Henry marah tadi.

"Dia okay je. Cuma macam biasa belebering dan mama berpisah tiada." Iman tayang wajah jengkel. Mengingatkan bebelan ibunya dalam talian tadi sudah buat dia bengang. Dia bukan budak kecil lagi!

Henry menyembunyikan senyuman. Seakan dapat membayangkan wajah ibu Iman membebel. Dia pun kadang-kadang dibebeli juga oleh wanita itu.

"Mama ada cerita tentang serunai maut."

Senyuman Henry mati.

Dia terus memandang Iman.

"Mama cakap waktu mama kecil dulu, pernah heboh tentang lagenda Serunai Maut. Awalnya tiada siapa percaya, tapi tiga puluh tahun lalu kejadian tak diduga berlaku."

Henry tekun mendengar.

"Ada yang langgar pantang larang dan serunai maut berbunyi lalu penduduk kampung lesap." Iman seram sejuk.

"Tapi dengan kemodenan dunia sekarang, ramai sudah menafikan hal tersebut.." Iman berhati-hati dalam bercerita.

"Termasuklah kita." Henry menyambung.

Iman mengangguk. "Yes, termasuklah kita."

"Esok kita kena teruskan siasatan." Henry kembali serius dengan cara kapten.

Iman mengangguk.

"Tidur awal."

Untuk pesanan itu Iman tidak tahu hendak mengangguk atau tidak. Kemudian mereka bersama-sama turun ke aras enam dalam keadaan keduanya senyap sunyi tidak bersuara.

JAM sepuluh pagi, semua sibuk ke sana ke mari di dalam feri. Sedari awal pagi lagi keadaan feri seperti tapak kenduri apabila semua membuat kerja, tiada siapa yang bergoyang kaki. Seramai enam ke arah tujuh belas petugas ditetapkan untuk menetap di feri ini, diketuai oleh Kapten Henry yang dibantu oleh Leftenan Iman. Siang hari barulah pasukan forensik datang untuk melengkapkan siasatan mereka semalam.

Tapak mayat sudah ditanda sebaiknya oleh pihak forensik. Malah kawasan yang mana terdapat mayat orang penting ditandakan dengan tanda khas untuk diingati.

Siasatan berlanjutan hingga ke petang. Seluruh tenaga dikerah untuk mencari walau sebutir bukti pembunuhan mereka.

Namun sungguh aneh, tiada sebarang bukti untuk menunjukkan bahawa mereka ini mati dibunuh. Segala laporan yang diberikan oleh pihak petugas penamatnya pasti kekecewaan.

Henry di dek paling atas mundar mandir, dari tadi tangannya menggoncang telefon pintarnya di tangan. Seolah sedang menunggu sesuatu yang mustahak.

Beberapa petugas lain yang sedang membuat kerja di dek ini saling berpandangan apabila melihat keresahan ketua mereka itu.

Telefon berdering!

Henry segera mengangkat panggilan itu.

"Selamat pagi tuan." Henry memberi sapaan hormat.

Di taliannya ketika ini ialah Pesuruhjaya Negara. Tadi dia sudah mendapat email dari pihak berkenaan yang pesuruhjaya ingin menghubunginya. Maka kerana itulah dia menunggu panggilan itu, tidak mahu terlambat mengangkat panggilan itu walau sesaat.

Henry berkerut mendengar apa yang dikatakan pesuruhjaya. Sesekali dia menjelaskan sesuatu.

Namun banyak masa dia hanya mendengar dan mengangguk bersetuju.

Iman dan Inspektor Halim yang baru sahaja keluar dari lift terpandangkan wajah serius Henry yang sedang bercakap di telefon itu.

"Tuan call siapa?" Halim sibuk hendak tahu, bertanya pada beberapa petugas di situ.

Petugas yang ditanya angkat bahu. Manalah dia tahu.

Sebaik sahaja Henry selesai membuat panggilan itu, Halim dan Iman pantas mendekati.

"Tuan bercakap dengan siapa?" Halim bertanya dengan sopan.

Henry mengeluh. "Dato' Husain." Nama pesuruhjaya disebut lelah.

Mata Iman dan Halim membesar.

"Dia nak apa?" Iman berkerut.

"Marah sebab kes kita terlalu lambat."

"Kalau nak cepat sangat dia selesaikan lah. Suka hati nak marah orang, ingat senang ke." Iman mendecit geram. Kemudian dia mengaduh apabila sikunya disondol siku Halim. Sedar yang Halim ingin menegurnya agar menjaga bahasa di hadapan ketua mereka.

"Dia perlu hadap orang yang suka mengutuk, hadap wartawan yang menyibuk, hadap keluarga yang mendesak. Memang patut dia tertekan." Henry cuba memahami tempat Dato' Husain.

Halim terangguk-angguk namun Iman hanya mendengus. Dia selalu tidak berpuas hati dengan orang tua itu. Sibuk mengarah orang itu dan ini, padahal dia tidak buat apa pun. Tup tup bila kes selesai dia yang dapat nama.

"Kamu berdua ni, kenapa jumpa saya?" Henry bertanya.

Halim baru teringat. "Ha tuan.. Kami nak buat laporan."

Henry mengangguk mengizinkan.

"Nothing."

Baru sahaja Halim membuka mulut hendak memberi laporan, Iman terlebih dahulu bersuara.

"It's nothing, Henry. Semuanya kami dah cari dan semuanya.." Iman angkat dua tangan. "..tak ada apa." Dua tangan jatuh menepuk tepi peha. Gaya seseorang yang benar-benar memaksudkan makna tiadanya.

"Cap jari di suis bekalan elektrik utama, tiada. Tanda diusik pada bahan kimia, tiada. Bahan kebakaran lagilah tak ada. Keadaan sekeliling mayat tak ada apa. Penyiasatan kita bertemu titik zero! Nothing!"

Henry diam. Halim pula sudah menunduk mendengar penjelasan penuh emosi dari Iman.

Iman meraup wajah. Rambut pendeknya dikusutkan. Dia tampak stress.

"Andika sebagai suspek pun kita tiada bukti, dan Linda pun masih tidak dijumpai. Sebenarnya apa yang kita sedang siasat sekarang ini?"

Iman memejam mata menahan asakan kepalanya yang serabut.

Halim pula sudah tergaru-garu kepala. Pening.

"Ugh.. Its to complicated." Iman mengurut dahi.

"So, you nak teruskan kepada plan kedua?" Henry tidak semena bersuara.

Iman terkaku. Halim pula terkebil-kebil. Mereka berdua kebingungan.

"You dah putus asa dengan hukum logik?" Henry bertanya lagi.

Iman pandang Henry dengan wajah keliru, "Apa maksud you..?" Iman inginkan kepastian.

"Let's begin the second plan." Henry balas.

Halim pula berkerut. Cuma mengingati plan kedua yang sedang dibicarakan ketika ini.

"Kita siasat secara normal dahulu, jika tiada langsung bukti pembunuhan ini dibuat oleh benda logik. Barulah kita berpindah pada plan kedua, penyiasatan tidak logik."

Suara Henry pada mesyuarat semalam bergema.

Halim tergamam mengingatinya.

Serunai maut.

Itulah plan kedua mereka.



KETIKA waktu petang makin menghampiri, saat matahari makin merunduk ke kaki langit - semua petugas berkumpul di bilik mesyuarat. Kapten Henry yang menyuruh semua berkumpul di bilik mesyuarat. Maka di sinilah mereka termasuk pasukan forensik sekalipun.

Sebaik sahaja semua berkumpul, Henry yang tadinya duduk-duduk di meja bulat itu bangun dan berjalan ke hadapan. Menghadap semua orang.

Pertama-tama kalinya Henry bertanya pada setiap kumpulan penyiasatan yang berada dalam bilik ini tentang hasil siasatan mereka. Mana yang membawa hasil yang berfaedah dicatat sebaiknya, mana yang jawapannya hanyalah gelengan Henry terima dengan hati yang terbuka.

Dia dapat rumuskan yang 97% kes ini sebenarnya bertemu titik mati pada hujungnya, tidak tahu ke mana sebenarnya tujuan kes ini.

Bayangkan sekiranya seorang manusia yang membunuh 250 penumpang feri ini, maka di manakah alat pembunuhannya, bukan itu sahaja malah adalah mustahil untuk meletakkan kemungkinan manusia yang membunuh beribu manusia lain ini.

Ada juga yang memberi pendapat mengatakan mungkin ada satu kumpulan manusia yang memakai alatan lengkap lalu mereka membunuh seorang demi seorang semua dalam feri ini kerana sahaja feri ini menempatkan orang-orang penting dalam syarikat bumiputera.

Namun tetap juga sebarang bukti untuk perkara itu tiada, malah jejak manusia lain pun tidak ada!

Memang buntu!

"Jadi tuan, apa syor tuan untuk kes ini?"

Ketua Kumpulan Forensik bersuara, Taha namanya.

Henry yang sedang mengusap dagu terhenti. Terus memandang Taha.

"Kita tak ada pilihan lain, melainkan kita kaitkan kes kali ini dengan apa yang orang kampung ini percaya."

"Serunai maut?" Yang lain bertanya dengan nada terkejut.

Semua di dalam bilik mesyuarat sedikit kecoh. Tidak sangka mereka akhirnya menyiasat akan hal itu.

"Ya, serunai maut. Ingat, kita bukan percayakan benda khurafat itu. Tapi kita cuma siasat tentang mitos itu. Mungkin kalau kita kaitkan maka kita akan bertemu hasilnya."

Henry memandang semua wajah dalam bilik ini.

"Luaskan pemikiran kita. Jangan sempitkan. Terima sahaja walaupun kedengaran gila dan tak waras. Kita cuma mahu cari punca kematian mereka."

Semua yang mendengar kata-kata Henry jadi serius. Berfikir bermacam perkara.

"Kita perlu segera, pihak berkuasa sudah bising."

"Baik tuan."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro