Bab 14

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

LOCENG suite berbunyi tepat jam 8 pagi. Dari katil, dia terus ke pintu suite dan membukanya luas.

"Black!" Dia menjerit kecil sebelum ternganga sendiri. Bukan Black yang ada di depan pintu.

"Sarapan, cik." Staf hotel tersenyum-senyum memandang.

Sedaya upaya dia cuba mengawal riak wajah sekarang, cuba menutup malu. Menyesal betul tak intai dulu siapa yang datang.

Percuma aje dapat malu.

Gadis yang lengkap berpakaian seragam hotel tersenyum manis dengan troli sederhana kecil di hadapan.

"Masuklah."

Lupa pula dia yang minta sarapan terus ke bilik.

Malas nak turun punya pasal.

Staf tadi terus menolak troli yang mengandungi pelbagai jenis makanan untuk sarapan. Cekap betul dia menyusun makanan tadi terus ke atas meja makan.

Teko kopi dan teko yang berisi teh panas diletakkan di sudut meja. Cawan pula diatur kemas di sebelah pinggan makanan.

Tertib. Cermat.

Memang pekerja taraf lima bintang.

"Enjoy your breakfast, cik." Staf kecil molek itu senyum lebar sambil tunduk hormat.

"Thanks." Sebaik saja dia mengangguk, staf tadi terus keluar dari bilik.

Fatiya tarik nafas dalam-dalam. Makanan yang terhidang di atas meja dipandang kosong. Dia menghempaskan punggung ke salah sebuah kerusi dan mula merenung ke luar.

Kedudukan meja makan kecil itu yang berhampiran dengan cermin kaca membuatkan pandangannya jauh ke tengah kota. Sayup-sayup bangunan kelihatan dan jalan raya bersimpang-siur mula membuatkan fikirannya khayal seketika.

Segalanya dah jadi tunggang terbalik.

Sejak balik dari 'date' malam tadi, Black terus diam. Dia sendiri tak tahu betul ke tak Black ada di bilik tingkat bawah. Malas nak ambil tahu.

Dan dari malam tadi juga Firdaus menelefon tak henti-henti. Sengaja dia buat tak tahu dan senyap.

Dia mengeluh lagi, makanan di atas meja dipandang lama sebelum tangannya mencapai teko yang berisi kopi.

Baru separuh cawan yang terisi, pintu dibuka dari luar.

"Abang!"

Kopi hampir tersasar dari cawan. Cepat-cepat dia letakkan kembali teko ke atas meja.

Firdaus yang baru masuk mencipta senyum tawar. Pintu dikunci dari dalam dan cepat saja dia membawa langkah ke meja yang diduduki adiknya.

Kemas pakaiannya hari ini. Lengkap dengan kot hitam dan kemeja biru.

"Lain kali selak pintu tu," ujarnya tanpa memandang.

Fatiya mencebik. Tak aci betul!

Ini mesti Black yang beritahu dia ada dekat sini.

"Abang buat apa kat sini? You know what? I don't think that I can talk to you anymore." Tangan dilipat ke dada dan pandangannya terus dilempar jauh ke luar bangunan.

"Ini suite kita." Firdaus terus mencapai pinggan yang berisi nasi lemak ayam di atas meja.

Fatiya ternganga. Jadi, Black sengaja bawa dia ke sini sebab suite ni abang punya? Argh, tak patut betul!

Sepatutnya dia lari aje tanpa beritahu sesiapa.

Cepat saja dia bangun dari meja sebelum melangkah ke bilik utama.

Protes.

Belum sempat pintu ditutup rapat, suara Firdaus menjamah telinga.

"Sit, if you want me to tell you everything." Abangnya itu bersuara tanpa memandang.

Fatiya mendengus perlahan. Nak tak nak, dia kembali juga ke meja makan.

"Tapi sebelum tu, jom breakfast dulu. Lepas ni ikut abang pergi ofis." Firdaus masih cuba main tarik tali. Dikerling adiknya itu sekilas.

Bila nampak Fatiya duduk di meja makan dan mula menjamah croissant yang disediakan, bibir terus tersenyum nipis.

"Abang tak bagi Tiya balik sini, Tiya nak balik juga." Rendah dia bersuara.

Fatiya menjeling sekilas.

"Tiya tahu atau tak, itu tak menyembunyikan fakta sebenar, abang." Dia menjawab tanpa nada.

"You don't know the fact, princess. Kalau boleh, abang tak nak Tiya tahu apa yang syarikat kita hadapi sekarang." Lembut saja suara Firdaus, cuba memujuknya.

Sekali lagi Fatiya mendengus.

"Why? Sebab abang rasa Tiya budak lagi dan tak penting pun pada syarikat sehinggakan abang boleh suka-suka hati buat perniagaan haram macam tu?" Keras dia membantah.

Sungguhlah, langsung dia tak sangka yang abangnya sendiri sanggup buat macam tu.

Perlu ke dia telefon polis dan buat laporan tentang abang sendiri?

"Abang rasa Tiya patut makan dulu dan lepas ni, ikut abang."

"You know what? Tiya nak balik UK hari ni. Happy?"

Firdaus mengeluh perlahan.

"Dan lepas ni jangan nak hantar duit pada Tiya lagi. I don't want that money." Anak mata abangnya direnung tajam. Membuak-buak rasa marah dia bila teringatkan apa yang dia nampak semalam.

"Tiya kerja dengan pak su pun tak apa asalkan Tiya ada duit sendiri yang halal!" Perkataan halal ditekan kuat.

Firdaus menghabiskan sisa makanan di atas pinggan. Dia melepas nafas perlahan sebelum bersandar pada kerusi. Wajah marah adiknya dipandang lama. Dia tahu yang rahsia yang tersimpan selama ini takkan bertahan lama bila Fatiya berkeras nak balik Malaysia tempoh hari.

Macam dirancang-rancang, kepulangan Fatiya kali ini tepat pada waktu segala masalahnya menjadi satu.

"Dadah tu bukan abang punya." Terpacul juga ayat itu dari mulut. Serta-merta wajah Fatiya mencebik.

Tak percaya.

"Prove it."

"Sebab tu abang ajak Tiya pergi ofis. Dekat sana nanti abang akan terangkan semuanya."

Fatiya ketap bibir. Tak tahu nak percaya atau tidak. Tapi dia ikutkan saja arahan abangnya.

Selesai mandi dan bersiap, dia terus mendapatkan Firdaus yang sibuk dengan panggilan telefon di tepi cermin tembus pandang itu. Bila nampak saja Fatiya yang dah sedia untuk turun, dia cepat-cepat tamatkan panggilan.

"Black ke?" soal Fatiya.

Cepat saja dia menggeleng sebelum terus ke pintu keluar.

Fatiya sempat menyilang beg tangan ke badan dan mengikut langkah Firdaus keluar dari situ.

Sempat dia menangkap dua orang pengawal peribadi Firdaus di luar pintu bilik yang kemas berkemeja dan slek hitam.

Salah seorang daripadanya melemparkan senyum pada Fatiya dan cepat juga dia menjeling.

Tak senang.

Dia dah biasa dengan Black yang 24 jam tayang muka serius. Waktu mula-mula jumpa dulu, usahkan nak senyum pada dia, nak pandang pun jauh sekali.

Ini baru pertama kali jumpa dah boleh pandang mata dan senyum-senyum penuh makna.

Backhand juga karang...

Fatiya meliar ke depan dan ke kiri dan kanan. Mana pula Black hari ni? Takkanlah abang dah pecat sebab hal dua hari lepas?

Tiba di lif, telefonnya berbunyi nyaring. Empat kepala jatuh pada iPhone yang dikeluarkan dari beg silang kecil miliknya. Sempat dia menjeling ke arah kedua-dua pengawal peribadi Firdaus.

Sibuk aje!

Bila nampak nama Black pada skrin, cepat saja bibirnya tersenyum.

"Helo." Sengaja dia tak sebut nama Black. Tak nak yang lain-lain tahu siapa pemanggil tu.

"Cik." Walaupun sepatah, entah kenapa suara Black pagi ni penuh dengan aura beku. Dah tak ada panggilan nama seperti semalam. Semuanya dah kembali seperti biasa.

Pintu lif terbuka luas. Kosong. Cepat saja kakinya melangkah masuk ke dalam dan dia berdiri tegak di sudut lif, jauh dari abang dan pengawal peribadinya.

"Why?" soal dia sepatah. Pelik dengan nada Black pagi ni.

"I... Jadi... Cik... Maafkan..."

Berkerut-kerut dahi dia dengar suara Black yang tersekat-sekat. Bila teringatkan yang dia sekarang ada di dalam lif, cepat saja dia bersuara.

"I dalam lif sekarang, Black. I tak dengar sangat apa yang you cakap."

Dengar aje nama Black, tiga kepala menoleh ke arahnya. Sengaja dia buat-buat tak nampak.

"I... Harap..." Suara Black masih kedengaran putus-putus.

Fatiya tarik nafas dalam-dalam.

"Kejap, I dah nak sampai lobi. Wait..." Mata tak lepas dari nombor yang ditunjukkan di depannya.

9... 8... 7... Lambatnya!

"Cik, maafkan I." Kali ini suara Black jelas di telinganya.

"I tak faham. You cakap apa ni?" Kening Fatiya terangkat seinci. Sebaik saja lif terbuka di lobi hotel, cepat saja kakinya meluru keluar.

"Cik dah boleh dengar suara I dengan jelas?" soal Black tanpa menghiraukan pertanyaan dia.

Langkahnya mengikut Firdaus dari belakang dengan sedikit jarak sengaja mencari privasi.

"Yes. I dah ada di lobi hotel. You kat mana ni?" Mata mula meliar ke setiap pelosok hotel.

"Listen to me." Suara Black di hujung talian masih tanpa nada. Beku.

"I harap apa pun yang jadi lepas ni, cik maafkan I."

"I tak faham."

Dan sebaik saja dia keluar ke kawasan parkir khas depan hotel, sekali lagi dia membawa pandangan ke kiri dan ke kanan. Black masih dia tak menjawab.

Telinganya sempat menangkap bunyi bising dari hujung talian. Dan bunyi bising itu sama seperti apa yang dia dengar sekarang ni.

Bunyi hon kereta, bunyi enjin motosikal...

Black ada dekat-dekat sini. Tapi mana dia?

Fatiya tak putus asa, kebisuan Black membuatkan matanya galak mencari sebelum pandangannya tertancap pada kelibat serba hitam di salah satu bumbung bangunan sederhana tinggi di depan bangunan hotel.

"Black?" Matanya terpaku pada kelibat di atas bangunan dan tepat seperti jangkaan dia, kelibat itu juga sedang memegang telefon pintar di telinga.

Memandang pegun ke arahnya.

Walaupun jauh, dia kenal susuk badan itu.

Sah, kelibat itu memang Black.

Fatiya tergamam. Apa yang Black buat dekat situ? Matanya dipicingkan, cuba melihat apa yang ada di depan Black.

Itu...

Senjata api?

"Tiya? Jom!"

Pandangannya teralih pada Firdaus yang berdiri di sebelah pintu kereta seketika sewaktu telinga menangkap suara Black di telinga.

"I love you."

Bam!!!

Fatiya tergamam.

Lama dia terpaku di tempat duduk sendiri memikirkan apa yang baru dia saksikan. Firdaus dah rebah ke tanah dengan darah pekat membasahi badannya.

Telefon yang dipegangnya tadi pula dah melorot jatuh dari pegangan. Kedua-dua kaki terasa tak berpijak di bumi. Longlai sekali.

Keadaan mula kecoh dengan suasana manusia menjerit dan bertempiaran lari.

Dua orang pengawal peribadi Firdaus mula kalut mengangkat Firdaus ke dalam kereta.

Dia masih tergamam di situ, cuba mencerna apa yang baru jadi.

Black. Tembak. Abang?

Kenapa?

SEAWAL jam lapan pagi dia dah menyusup masuk ke dalam bangunan terbiar itu dan memerhati. Senapang sniper yang diceraikan malam tadi masih kemas di dalam beg hitam yang dibimbit.

Nafas dilepas perlahan. Diangkat hud ke kepala, berselindung dari kamera cctv yang ada di sekitar bangunan itu. Cermin mata hitam yang perlahan melorot ke hidung ditolak kemas ke tempat asal.

Dia tak ada pilihan. Kerja yang diberi ini harus diselesaikan juga.

Satu per satu bahagian dicantum tanpa menghiraukan riuh-rendah kereta yang bertali arus di bawah.

Waktu orang masuk kerja. Jalan kecil di hadapan bangunan ini juga tak terlepas dari sesak.

Selesai pasang, dia mula menunggu dengan sabar.

Saat dia mengelap peluh di dahi, jari terpegang pelekat yang terlekat di dahi. Bila teringatkan Handyplast yang diberi Fatiya bersama peti pertolongan cemas semalam, hatinya mula berbolak-balik.

Apa yang akan jadi pada Fatiya nanti?

Boleh ke gadis itu faham kenapa dia buat semua ni?

Dan tanpa sedar, dia keluarkan telefon pintar dari saku jaket yang dipakai sebelum mencari nama gadis itu.

"Helo?" Suara halus di hujung talian membuatkan dia makin galau.

"Cik."

"Why?"

"Walau apa pun yang jadi lepas ni, I harap cik maafkan I." Senafas dia menuturkan.

Bila suara Fatiya di sana mula tersekat-sekat, dia mula tarik nafas panjang.

"Lif... Tak jelas... Wait..."

Dia menunggu dengan sabar. Antara Fatiya dan kerja yang harus diselesaikan, dia terpaksa pilih satu.

"Cik, maafkan I." Dan dia terpaksa pilih pilihan pertama.

"I tak faham you cakap apa ni?"

Suara Fatiya yang penuh dengan tanda tanya makin jelas kedengaran, sebelah tangan memegang senjata api yang dah dipasang. Dia tahu Firdaus ada bersama Fatiya sekarang ini.

"Cik dah boleh dengar suara I dengan jelas?"

"Yes. I dah ada di lobi hotel. You kat mana ni?"

"Listen to me. I harap apa pun yang jadi lepas ni, cik maafkan I." Matanya mula melihat di sebalik kanta kecil senjata api.

Jelas kelihatan Firdaus yang berjalan keluar diiringi dengan Joe dan Kay. Dah tak jauh dari situ, kelihatan Fatiya yang memandang ke kiri dan kanan bagaikan mencari sesuatu.

Laser senapang sniper di tangannya ditujukan tepat pada badan Firdaus. Bila lelaki itu berdiri tegak di sebelah kereta, telunjuk kanan mula menyentuh picu.

"I tak faham." Suara Fatiya masih menyapa telinga.

Dan entah macam mana, pandangan gadis itu terpaku kepadanya. Lama.

"Black?" Suara di telinga seiring dengan pandangan gadis itu.

Black tergamam.

Langsung dia tak sangka yang Fatiya boleh nampak kehadiran dia di situ. Sesaat masa, dia terpempan dengan telefon di telinga. Mata masih tak beralih dari kanta.

Tak sempat nak bersembunyi, mata Fatiya cepat menangkap.

"I love you." Entah kenapa, itu yang terkeluar dari mulutnya sewaktu telefon pintar diletakkan ke lantai bangunan.

Sekelip mata, dia menarik picu yang sudah lama disasarkan pada mangsanya.

Bam!!!

Suasana mula kecoh. Cepat-cepat dia menyusup keluar dari bangunan itu sebelum kehadirannya di situ disedari ramai.

Black tarik nafas dalam-dalam.

Apa yang nak jadi lepas ni, jadilah. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro