Bab 15

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DIA menangis semahunya sewaktu perjalanan menuju ke hospital. Darah merah yang langsung tak ada tanda untuk berhenti membuatkan pandangannya makin berpinar.

Ya Tuhan... Kenapa benda sekejam ni jadi depan mata dia?

Apa yang dah jadi pada Black? Apa salah abang pada Black?

Menggigil tubuhnya melihat Firdaus yang terbaring mengerang kesakitan. Tempat duduk belakang kini penuh dengan darah membuatkan dia mula mual sendiri.

"Cepat! Tolonglah cepat sikit!" Sempat dia menjerit kuat kepada pemandu Firdaus yang bertungkus lumus ingin keluar dari kesesakan lalu lintas.

Tak ada pilihan, sepanjang perjalanan lampu kecemasan dipasang dan hon dibunyikan tanpa henti.

Fatiya meraung sendiri. Terketar-ketar tangannya cuba menahan darah yang keluar dari rusuk kanan abangnya. Hatinya makin hancur bila memikirkan siapa yang menyebabkan semua ni jadi.

Black.

Sampai hati dia!

"Ti... ya..." Firdaus cuba bersuara.

Fatiya yang masih menangis langsung tak mampu berhenti.

"Tiya..." panggil dia lagi. Tangan Fatiya digenggam kemas.

Dengan tangisan yang masih bersisa, Fatiya mendekatkan telinga pada mulut abangnya.

"Jangan percaya sesiapa pun..." Suaranya terhenti seketika, menahan sakit yang menyerang.

"Jangan percayakan orang lain kecuali Black."

Laju Fatiya menggeleng.

Air matanya masih tak mahu berhenti dan suaranya bagai tersekat di kerongkong.

"No, abang!" Itu saja yang mampu diluahkan sebelum dia kembali meraung. Bila sekali lagi Firdaus menggenggam tangannya, Fatiya sekadar menggeleng kepala.

Kenapa kena percayakan Black?

Kenapa?

Abang ni tahu tak Black yang buat abang macam ni?

Firdaus tiba-tiba mengerang kuat. Fatiya mula hilang arah. Bahu pemandu abangnya dicengkam kuat, minta untuk ditambahkan kelajuan.

Kereta mula memecut lebih laju ke hospital.

Dari melihat abangnya ditarik masuk ke bahagian kecemasan sehinggalah sewaktu pembedahan dijalankan, Fatiya langsung tak berhenti menangis.

Buntu.

Dia sendiri tak tahu nak luahkan kepada siapa.

Berkali-kali dia pandang skrin telefon sendiri. Hatinya mula berbelah bahagi. Nak telefon Kamal?

Tan Sri Razak?

Pak su?

Hany?

Black?

Urgh!

Damn you, Black!

Tak betah duduk di kerusi, dia mula berjalan ke hulu dan ke lihir sambil memandang ke arah pintu yang memisahkan dia dan bilik pembedahan.

Dipandang pula dua orang pengawal peribadi yang bersama Firdaus tadi. Kedua-duanya seakan tenang berborak sesama sendiri. Langsung tak peka yang dia di situ dah hampir gila dibuatnya.

Kalau kedua-dua pengawal peribadi abang itu buat kerja betul, abang takkan dalam bahaya macam ni!

Fatiya meraup muka kasar.

Kaki yang berjalan tadi mula terasa lenguh bila lama berdiri.

Perlahan-lahan kakinya melangkah ke penghujung laluan sebelum berdiri tegak di depan mesin air automatik.

Setiap jenis air yang ada di situ dipandang dengan rasa kosong. Dan tanpa dia sedar, seseorang di sebelahnya tiba-tiba memasukkan beberapa keping syiling ke dalam perut mesin sebelum menekan jenis air yang diingini.

Fatiya memandang tangan di sebelahnya. Tak berani untuk bertentang mata. Dengan keadaannya sekarang yang tak terurus penuh dengan kesan darah, mata bengkak dek tangisan, dia tak ada hati untuk memandang sesiapa.

Keluhan terkeluar tanpa sedar sebelum dia mencangkung tiba-tiba.

Kepala diletakkan ke atas kedua-dua tangan yang memeluk lutut sendiri.

Sekali lagi dia menangis tanpa henti. Macam mana dia ada selera nak minum sedangkan abang masih bertarung nyawa di dalam bilik pembedahan?

Bahunya disentuh perlahan dari tepi. Sebaik saja dia angkat kepala, tin Nescafe tiba-tiba diletakkan di sebelahnya.

Belum sempat dia melihat wajah tuan punya badan yang memberi, kelibat di sebelahnya tadi cepat-cepat turun dengan menggunakan tangga kecemasan yang ada di belakangnya.

Fatiya memandang tin Nescafe di sebelahnya tanpa tujuan. Lambat-lambat dia mencapai tin Nescafe itu sebelum berdiri tegak. Entah orang tu bagi siapa pun dia tak tahu.

Lantaklah.

Dia memang perlukan tenaga sekarang.

Langkah kembali dibawa ke pintu bilik pembedahan tadi.

Please, abang. Tolong jangan tinggalkan Tiya sorang-sorang dalam dunia ni.

FATIYA masih diam di kerusi menunggu. Badan sendiri mula terasa sejuk bila blouse nipis yang dipakainya itu langsung tidak menghalang sejuk pendingin hawa.

Dia bungkam. Langsung tak tahu apa yang perlu dilakukan. Sejak dari tadi, pintu yang memisahkan dia dan Firdaus itu dipandang kosong.

Bila terbayangkan darah merah yang membuak keluar dari badan abangnya, sekali lagi Fatiya hampir pitam!

"Saya nak cakap dengan keluarga pesakit."

Sebaris ayat itu membuatkan dia terus berdiri tegak. Cepat-cepat dia mendekati doktor lelaki yang baru keluar dari bilik pembedahan.

"Macam mana dengan abang saya, doktor?"

"Semuanya selamat, alhamdulillah." Doktor tadi berbisik perlahan.

Fatiya pantas meraup muka. Lega!

"Sebelum mula pembedahan, pesakit minta saya hanya maklumkan pada cik tentang keadaan dia. Dia seakan boleh agak yang luka tembakan tak akan memudaratkan dia."

Keningnya terangkat tinggi bila dengar penjelasan doktor.

"Kami akan pindahkan dia ke wad VIP. Setakat ni, keadaan pesakit stabil."

Dia mengangguk faham. Entah kenapa kuat hati dia rasakan yang ini ada kaitan dengan pesanan Firdaus dalam kereta tadi.

Jangan percayakan sesiapa.

"Doktor, boleh ke kalau saya nak minta tolong?"

Doktor itu mengangguk sedikit. Sempat Fatiya menoleh sekilas ke arah Joe dan Kay yang dari tadi memerhati.

"Buat masa ni, saya nak minta doktor rahsiakan bilik abang saya. Boleh?"

Doktor yang berusia 40-an itu mengangguk dengan senyuman.

"Selain pihak polis, memang kami akan rahsiakan dari pengetahuan orang lain, cik. Jangan risau."

Fatiya tarik nafas lega.

Ya, dia tahu yang kes abang akan sampai juga di tangan pihak polis.

Sebaik saja doktor tadi melangkah pergi, dia terduduk di atas kerusi menunggu. Bila kedua-dua pengawal peribadi abangnya datang mendekat, spontan dia tunduk memandang kaki sendiri.

"Bos macam mana, cik?" Soalan daripada Joe membuatkan dia menarik nafas panjang.

"Okey... I don't know." Dia melepas nafas berat.

"Kalau kau orang nak balik dulu, baliklah. I rasa okey kut abang dekat sini."

Kedua-duanya berbalas pandang.

"Kau orang boleh balik," ulang dia lagi. Entah kenapa dia lebih selesa bersendirian dari ditemani dua orang lelaki ini.

Dengan apa yang baru jadi hari ni, dia dah mula curiga dengan semua orang. Sedangkan Black pun sanggup belot, apatah lagi orang yang dia langsung tak kenal.

Joe dan Kay tak ada pilihan. Terus saja mereka mengangguk sekali sebelum kedua-duanya beredar dari situ.

Fatiya menghela nafas panjang. Anak matanya dibawa ke hujung koridor yang sedikit sunyi dari manusia. Beberapa orang jururawat dan doktor yang lalu-lalang di hadapannya langsung tak dihiraukan.

Air mata yang mula kering di pipi kembali mengalir.

Sungguh, dia tak tahu apa yang patut dia buat sekarang. Kenapa mesti Black yang tembak abang?

Kenapa bukan orang lain?

"Cik..."

Lamunannya terhenti bila ditegur tiba-tiba. Cepat saja kepala diangkat, menjamah kelibat yang berdiri di depannya. Jantung yang hampir tercabut saat panggilan itu disebut kembali menjadi normal.

Dua orang lelaki tegap yang kemas berpakaian kasual itu mencipta senyum segaris.

Bukan Black.

"Kami polis, bahagian jenayah berat. Boleh ke kalau kami nak tanya soalan sekarang?" Salah seorang daripada mereka bersuara perlahan.

Dengar saja perkataan polis, liur yang ditelan terasa pahit di kerongkong.

"Cik ada di tempat kejadian tadi?"

Perlahan dia mengangguk.

Pandangan salah seorang pegawai polis itu jatuh pada baju dan seluar Fatiya yang bertompok darah sebelum kembali pada wajah gadis itu.

"Kami bersimpati atas apa yang menimpa cik dan Encik Firdaus."

Sekali lagi Fatiya mengangguk.

"Kalau boleh, kami nak tahu apa yang jadi dan ada tak cik nampak sesiapa yang mencurigakan?"

Fatiya tarik nafas panjang. Lama dia merenung kedua-duanya sebelum membuka satu per satu kisah yang terjadi pagi tadi.

Semua diluahkan kecuali satu.

SEGALANYA berjalan lancar. Melihatkan Firdaus rebah berdarah, dia tarik nafas lega. Segalanya masih teratur seperti yang dirancang.

Tanpa menunggu lama, dia bergegas meleraikan kembali senapang sniper yang diguna sebelum dimasukkan ke dalam beg hitam yang sama. Cepat-cepat dia melangkah turun dari bumbung bangunan sebelum ada sesiapa yang tahu kewujudan dia di situ.

Dada yang masih berdebar sejak dia bertentang mata dengan Fatiya tadi masih kuat terasa.

Sekarang ini, perasaan Fatiya terpaksa ditolak tepi.

Tiba di kereta yang diletakkan sedikit jauh dari bangunan itu, dia terus menyembunyikan beg hitam yang dibimbit tadi. Hati masih bercampur dengan pelbagai perasaan.

Sempat dia membuka jaket berhud yang dipakai sebelum dibakar hangus di situ juga. Kasut dan seluar juga pantas ditukar baru, menghilangkan bau percikan tembakan.

Bila yakin tiada siapa yang sedar dia di situ, kereta dibawa terus ke hadapan hotel. Nasib dia baik bila kereta yang membawa Firdaus masih tak jauh di depan. Keadaan jalan raya yang sibuk dengan kereta sedikit sebanyak menyukarkan.

Sampai di hospital, dia turut menunggu keputusan pembedahan dari jauh. Wajah Fatiya yang sugul hanya mampu dipandang dari jauh. Langsung dia tak berani nak dekat.

Elok saja dia tahu keadaan Firdaus selepas pembedahan, dia terus bergegas ke kereta yang diparkir di luar hospital bagai tiada apa pun yang jadi. Beberapa orang wartawan yang mula sesak di hospital langsung tak dihiraukan.

Ahli perniagaan ditembak di depan hotel terkemuka.

Cepat betul dia orang dapat berita.

Langkah diatur kemas dan yakin.

Kereta dibawa terus ke pejabat Tan Sri Razak yang dah menunggu sejak dari dia selesai melunaskan kerja tadi. Sepanjang perjalanan, peluh tak berhenti memercik di dahi.

Wajah Fatiya di hospital tadi masih tak hilang dari fikiran. Keadaan yang tak terurus dengan baju yang dipenuhi darah membuatkan hati dia makin sakit.

Segala rasa yang ada sedaya upaya dikawal saat kakinya melangkah naik ke pejabat Tan Sri Razak.

Bangunan yang tersergam indah dengan hiasan mewah itu dipandang tanpa perasaan.

Pintu bilik Tan Sri Razak diketuk sekali sebelum dipanggil masuk. Senyuman lebar lelaki separuh abad itu menyambutnya.

"Bagus, Black. Selama ni aku ingatkan kau akan belot pada aku." Tan Sri Razak ketawa kuat.

Kamal yang turut ada di dalam bilik itu tersenyum sinis.

"Tak sia-sia aku upah kau untuk bunuh Firdaus," sambung Tan Sri Razak lagi.

Black sempat menangkap jelingan daripada beberapa orang kanan Tan Sri Razak. Jelingan tak puas hati. Dia tahu semua yang ada di situ tak senang dengan kehadiran dia.

Dia tahu yang beberapa orang kanan Tan Sri Razak turut ada di tempat kejadian untuk memastikan dia betul-betul pegang pada janji.

"Aku dah buat kerja aku. Kau jangan kacau adik aku lagi."

"Belum, Black. Kerja kau baru separuh settle. Firdaus tak mati pun." Kamal menyampuk sinis.

"Aku dah tembak dia, apa lagi kau orang nak?"

"Aku nak dia mati." Tan Sri Razak senyum kejam. "Aku dengar, dia dah tenat di hospital. Aku harap itu cukup buat dia sedar, jangan main-main dengan aku." Tan Sri Razak masih ketawa, puas hati.

Black senyum pahit. Terbayang-bayang tangisan Fatiya di sebelah Firdaus. Terbayang-bayang darah yang keluar dari tubuh badan Firdaus.

Dia tahu yang rahsianya dah terbongkar pada Fatiya.

Kalaulah gadis itu buka mulut, saat itu juga polis akan cari dia.

"Kau buat salah sikit aje sebab tembakan kau tak kena kepala. Kali ni, aku nak kau dekat dengan Firdaus. Kalau ada peluang, kau tamatkan riwayat dia di hospital!"

"Sekarang ni bilik dia di hospital dikawal ketat. Aku pun susah nak masuk." Black menjawab tenang.

"Kau orang kepercayaan dia, takkan kau sendiri susah nak masuk?" Kening Tan Sri Razak terangkat sebelah, menghidu sesuatu.

"Hanya keluarga saja yang dibenarkan," sambung dia lagi, yakin.

"So, apa susah? Kau masuklah dengan Fatiya. Bukan ke Fatiya pun anggap kau bodyguard dia?"

Black sudah kehabisan alasan.

Dia tak nak Tan Sri Razak tahu kebenarannya. Kalaulah orang tua tu tahu yang Fatiya nampak dia tembak Firdaus, nyawa Fatiya juga dalam bahaya.

Dia mengangguk sedikit.

Nafas terasa sesak bila mendengar arahan terbaru Tan Sri Razak.

"Pa, kalau dia susah sangat nak buat, biar Kamal aje yang settlekan." Kamal yang tersenyum sinis dari tadi mula menyampuk tiba-tiba.

Semua yang ada di situ tertumpu kepada dia yang masih tersenyum penuh makna.

"Fatiya masih percayakan Kamal, pa. See this..." Skrin Samsung di tangannya dihala ke arah Tan Sri Razak.

Abang kena tembak. What should I do, Kamal? Help me!

Selesai membaca baris yang dihantar, Tan Sri Razak ketawa kuat.

"Naif betul budak ni."

Black menggenggam penumbuk kemas. Bibir diketap kuat. Naik turun nafasnya memikirkan tindakan Fatiya.

"Good. Kalau kamu boleh masuk, settlekan terus. Tapi ingat, keep clean. Papa tak nak kamu dalam masalah nanti."

Kamal mengangguk dengan senyuman sebelum menjeling ke arah Black yang dah mula membara. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro