SYT 39

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SYT 39

PEDIHNYA mata tak tertanggung lagi, rasa seakan terpercik air lada. Aku menenyeh kelopak mata bagi mengurangkan kepedihan yang menyinggah. Bantal yang terlorot aku betulkan semula. Tubuhku bergerak mengiring ke kanan, tanganku lemah seperti tiada daya untuk menyentuh telefon di sebelah.

Mataku jatuh menjamah skrin telefon yang tertera wajah Ayyan. Video itu aku tekan butang play, kemudian aku sentuh pula butang pause supaya dapat aku tatap wajah Ayyan itu.

Jari-jemari runcing bermain pada dada skrin. Rindunya pada dia. Sebak datang lagi tanpa aku undang. Teringat malam tadi, air mataku tidak putus melimpah kerana lembaran ingatanku kembali menyingkap kenangan lama zaman sekolah aku dan Ayyan.

Andai aku dapat ulang semula semuanya... tidak akan aku berikan kasih sayang sepenuh hati kepadanya sehinggakan aku terlanjur mencintai dia tanpa aku sendiri tidak tersedar bagaimana perasaan ini mampu teranyam dalam sanubariku.

Laungan azan menyentakkan lamunanku. Tubuh yang terasa lemah, aku biarkan berehat seketika. Aku memangkah video itu, jariku berlari menyentuh skrin, mencari number contact Ayyan. Unblock!

Ini yang terbaik. Aku perlu buang kedegilanku daripada memulau dia. Kasihan dia, bukan salahnya perasaan ini hadir. Biarlah aku tanggung sendiri sakit hati daripada terus-menerus menyeksa perasaan Ayyan. Tak sanggup lagi aku tanamkan kekecewaan dalam hatinya. Aku terlalu kasihkan dia, dan dengan kehadiran Firshad. Mungkin. Ya, mungkin... Lambat atau cepat, rasa ini mampu terbang pergi dalam kesepian kamar dukaku ini.

MANUSKRIP baru untuk kali ini lebih tragis. Kisah percintaan antara dua insan yang saling bermusuhan. Aku letak manuskrip itu bersama keluhan. Bukan pilihan aku kisah begini, tetapi sudah terpaksa dan hendak atau tidak aku perlu menyiapkan kerja mengedit dalam tempoh 2 minggu.

Botol mineral aku capai, dengan lafaz bismillah penutup itu aku buka seraya aku teguk air payau itu. Mataku beralih memandang kehadapan pintu, kelibat Firshad tidak aku ketemui hari ini. Meja Firshad aku toleh sekilas. Kosong. Jam di tangan aku jamah sebentar.

10.00 pagi.

Mana Firshad ni? Takkanlah tak datang? Kalau tak datang sebab apa? Kenapa tak beritahu aku? Persoalan itu terus-terusan berlegar dalam kepala. Botol itu aku letak di tepi bersebelahan rak buku kecil.

Terasa tiada keseronokan. Bercinta dengan Firshad semakin hari semakin hambar menghimpit musim percintaan kami. Salah siapa sebenarnya?

Aku jatuhkan kepala atas meja beralasankan lengan. Mata terpejam rapat. Rasa kantuk datang menyinggah.

Tiba-tiba terasa ada sesuatu mencucuk bahuku. Meskipun aku sedikit tersentak dengan sentuhan mengejut itu, aku diamkan sahaja. Fikirku kemungkinan Kak Atieralah tu ingin mengusik aku.

"Reen... ohh... Reen...kenapa lemau sangat hari ni?" suara lembut Kak Atiera menjentik halwa telinga.

Aku masih berbaring beralasankan lengan. Mataku masih terpejam. Rasa kantuk mengikat diriku.

"Tak tahulah kak... penat aje lately ni... macam-macam berlaku..."
Aku ketap bibir, terlepas cakap pulak. Janganlah Kak Atiera terfikir pasal lain.

"Hmm, nak kata Reen ni letih sebab mengandung akak baru teringat Reen belum kahwin. Akak rasa ada sebab ni kenapa Reen lemau hari ini..."

"Akak ni ada pulak ke situ... tak ada apalah kak, mungkin dah nak start sambung mengedit manuskrip, itu yang aura malas buat serangan bertubi-tubi. Hehe..." Aku gelak nipis untuk menghilang rasa canggung. Tak ada idea nak bercakap, main bedal aja berbicara inilah jadinya.

"Eleh... pandai sangat alasan dia. Akak tahulah Reen rindu Shad, kan? Reen pun sehari aje tak nampak muka Shad dah jadi gila bayang. Cepat-cepatlah kahwin, bercouple tu jangan lama sangat Reen..."

Aku diterpa kegusaran. Argh, sudah... Shad beritahu ke perihal kami? Macam mana Kak Atiera boleh tahu ni? Lekas aku angkat wajah. Mataku sibuk mencari kelibat Kak Atiera. Kelihatan dia sedang mengemas kertas manuskrip di atas meja. Berhelai-helai. Ralit aku memandang tingkah Kak Atiera yang sedang leka dengan kerjanya.

"Jangan terkejutlah Reen. Akak agak aje dari firasat akak sendiri. Shad takde beritahu akak pun." Kak Atiera mengetip satu persatu kertas itu supaya menjadi kemas, kemudian dia menoleh sekilas kepada aku.

Kini, aku mampu menghembus nafas lega kerana simpulan ragu-ragu telah terlerai tatkala mendengar penjelasan dari mulut Kak Atiera.

"Pada akak, Firshad tu okay. Tapi, itulah lelaki sekarang ni kita tak boleh ramal, cuma akak nak ingatkan Reen jangan terlalu cinta atau sayangkan lelaki. Nanti bila kecewa susah hati tu nak terubat lagi. Dah hancur berkecai macam mana nak cantumkan semula, betul tak Reen?"

Nasihat Kak Atiera itu aku dengar dan hadam semuanya. Benar. Aku pun tidak percayakan Firshad sepenuhnya, cumanya aku berharap dia lelaki yang baik mampu terima aku seadanya aku. Itu sudah cukup.

"Betul kak. Reen nak tanya akak pasal something ni, kalau boleh jangan beritahu Shad, boleh?" Tiba-tiba aku menyoal Kak Atiera tentang sesuatu yang selama ini aku pendam. Sampai bila perlu aku simpan, aku perlu juga meminta pandangan orang yang dekat denganku dan lebih berpengalaman seperti Kak Atiera. Dia mungkin dapat memberi pandangan yang bernas tentang apa yang aku rasai dan apa perlu aku bertindak seterusnya. Tidak salah bukan, andai aku buka ruang sedikit untuk menerima nasihat daripada orang yang lebih makan garam daripada aku.

"Boleh... Akak akan simpan sendiri, jangan risau... Apa yang nak ditanya tu?" Tangan Atiera sudah berhenti daripada meneruskan kerjanya itu. Dia menghadap aku lebih dekat dengan menggerakkan kerusi hampir dengan mejaku. Matanya sudah cukup fokus merenung aku. Kak Atiera ni betul-betul memahami, macam tahu-tahu aje perkataan yang bakal aku ungkapkan ini merupakan hal rahsia.

Aku menarik nafas dan mengumpul kekuatan. Susunan ayat sudah ku karang agar nampak samar-samar sahaja bicaraku. Tidak terlalu jelas supaya Kak Atiera tidak menangkap perasaanku yang sebenar.

Matanya aku tenung juga. Lembut redupan mata Kak Atiera seakan memberi semangat kepada aku untuk meneruskan niatku ini.

"Akak pernah jatuh cinta dengan orang yang salah?"

Kak Atiera tersenyum. Entah untuk apa senyuman nipis itu terukir. Mungkin juga dia pernah alami perasaan cinta itu? Sebagaimana yang aku alami?

"Pernah. Akak pernah jatuh cinta dengan bos akak, masa muda-muda dulu sebelum akak kerja sini. Sakit, terlampau sakit bila terkenang semula. Bos akak dah ada isteri, tapi tak tahu kenapa layanan baik dan mesra dia pada akak sampai buatkan akak jatuh cinta yang betul-betul jatuh tu. Jatuh cinta sangat-sangat.

Sampaikan kecewa tu azabnya tak tertanggung. Hari-hari akak angaukan senyuman manis dia, renungan menggoda dia. Memang akak gilalah dulu. Bila fikir balik rasa macam akak perempuan tak tahu malu boleh sukakan suami orang. Hmm," cerita Kak Atiera sedikit beremosi. Terlepas keluhan dari bibir Kak Atiera. Mungkin kenangan lama begitu pahit untuk dikenang dan apabila dibuka kembali tirai kenangan, ia sedikit sebanyak merobek kembali tangkai hati. Aku pegang tangannya. Menitip saluran kesabaran untuk Kak Atiera yang nampak berubah muram. Pasti sakit mencintai suami orang. Argh. Kesakitannya pasti lebih perit berbanding keperitan rasa cinta aku kepada adik angkat sendiri.

"Akak okay tak? Sorry buat akak pula yang sedih," ujarku sedikit serba salah. Bukan niatku untuk melihat dia disimbah riak muram durja. Aku hanya inginkan pandangan daripada dia, untuk insan yang tidak berpengalaman soal hati dan perasaan ditambah dengan insan lemah seperti aku.

"Akak okay ajelah Reen. Biasalah bila teringat balik tipulah tak sakit perasaan tu. Hmm, sekarang ni Alhamdulillah akak dah jumpa cinta hati dunia akhirat akak. Dialah pengubat duka akak. Akak bersyukur sangat berjumpa dengan dia. Walaupun dia tidak sekacak Shah Rukh Khan, cukuplah mata akak sejuk je tenung muka dia," ujar Kak Atiera bersama riak berubah sedikit ceria. Nampaknya, awan mendung telah berarak pergi diganti dengan pelangi yang baru mahu menyinar. Aku turut tersenyum, bahagia juga melihat senyuman indah Kak Atiera.

Dalam diam, terjentik rasa cemburu. Bila agaknya aku akan bertemu lelaki seperti suami Kak Atiera. Boleh menjadi pengubat duka sekaligus melenyapkan perasaan bodoh ini. Adakah insan itu telah aku temui iaitu Firshad ataupun ada insan lain yang belum memunculkan diri dalam hidupku ini?

"So, Reen. How about you? Reen jatuh cinta dengan siapa? Siapa lelaki yang bersalah tu?" soal Kak Atiera sambil membetulkan posisi duduk. Beria mukanya menunjukkan minat, untuk mengetahui kisah hidupku pula.

"Er, Reen sebenarnya tersuka seseorang ni. Reen tak boleh cakap siapa, tapi rasa cinta ni, buat Reen rasa tak berguna. Tak layak ada dalam hati. Reen menyesal cintakan dia... kak..." Rasa sebak yang menyerbu aku tahan daripada merebak ke seluruh jiwa. Aku cuba kawal riak supaya tidak terlalu menonjol rasa kesedihan yang membekam dalam hati. Sakitnya mengungkap perasaan ini... Siapa yang tahu?

"Reen dah lama cintakan dia?" komen Kak Atiera lembut, bahuku diusap lembut juga.

"Tak tahu kak, Reen pun tak tahu bila perasaan ni datang. Reen cuma tersedar dan rasa ni makin mekar bila Reen selalu rindukan dia. Satu hari tak dengar suara pun rasa terseksa sangat, kak. Rindu ni macam mencarik-carik dada Reen. Sakitnya tak tahu nak gambar macam mana bila dia dah dimiliki oleh perempuan lain." Tertunduk wajahku cuba sembunyikan mataku yang sudah berkaca-kaca. Argh, ini kali terakhir aku menangis kerana dia. Selepas ini, aku janji tidak akan sesekali menangis dan cengeng begini lagi.

"Reen... sabar... Reen tak cuba beritahu dia? Mana tahu dia pun cintakan Reen? Shad pula tahu ke perasaan Reen ni?"

"Takkan Reen beritahu. Dia takkan sukakan Reen, cinta lagilah jauh kak. Shad tu Reen tak beritahupun sebab biarlah ini jadi rahsia dalam hati Reen."

"Tak cuba tak tahu lagi, Reen. Dia tu bukan lagi suami orang, kan?"

Aku sekadar menggeleng.

"Reen janganlah pendam, dia belum jadi suami orang maknanya tu Reen masih ada peluang. Cubalah dulu, Reen. Jangan sebab rasa cinta tak terbalas sebab Reen pendam sendiri ni buat Shad pula yang terluka. Reen kena ingat sesunggguhnya rasa cinta tak boleh dipaksa."

Nasihat Kak Atiera menggugat air mataku tumpah jua sekian kalinya. Aku menyeka berkali-kali. Terasa tubuhku didakap erat oleh Kak Atiera. Emosiku terus terburai tatkala ini. Habis lencun baju kurung Kak Atiera gara-garaku.

.....

Writer's comment : Sye sdg dirundung kesedihan dan emosi tak stabil sgt. Ini je mampu tulis. Ada tak kata2 semangat utk sye si budak cengeng. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro