VII - Fahami Dia

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DALAM perjalanan, aku lihat dia mula memandang aku sekilas dua.

Agak lama juga aku perhatikan dia sebelum dia mula bersuara.

"Pakai tali pinggang keledar tu." Arahnya dalam nada tegas.

Aku hanya membuat tak endah. Pandangan aku lemparkan ke arah luar tingkap.

"Pakai." Arahnya lagi.

"Biarlah."

"Saya kata pakai, then pakai."

Aku terus membisu. Buat bodoh.

Tanpa terduga, dia memberhentikan keretanya di tepi jalan. Terkejut aku dengan tindakan drastiknya itu.

Lebih mengejutkan, dia tiba-tiba menarik tali pinggang keledar di bahagian aku dan mengetatkannya tanpa sebarang isyarat.

"Apa awak ni? Benda ni pun nak kecoh ke?" Soal aku, tak puas hati.

Dia hanya memandang aku sekilas sebelum menyambung pemanduannya.

Aku mendengus. Memang aku betul-betul tak faham dengan dia ni. Sungguh!

Mengenangkan perangainya yang sangat lain daripada apa yang aku harapkan, aku tiba-tiba dirundung sebak dengan situasi yang menimpa aku ini.

"Awak sayang saya ke?" Soal aku, perlahan suaraku begitu.

Sepi. Tak berjawab.

"Kenapa awak nak kahwin dengan saya kalau tak sayang?" Soal aku tatkala mata aku mula bergenang.

Dia masih tak menjawab.

"Kalau sayang, kenapa saya tak boleh buat keputusan sendiri? Kenapa awak kongkong hidup saya?" Soal aku buat kesekian kalinya.

Masih begitu. Dia langsung tak menjawab apa-apa.

Air mata aku tahan dari menitis.

Sebelum aku mengenali dia, aku tak sangka perangainya jenis suka mengarah begini. Agak lama berkenalan, sebelum dia katakan bahawa dia mahu melanjutkan hubungan kami ke peringkat seterusnya, aku terus bersetuju. Kerana hati begitu jatuh sayang.

Yang aku sedar tentang perubahan dirinya adalah pada sebelum kami bernikah. Tatkala aku bersoalkan dia tentang persiapan perkahwinan kami.

"Kad yang macam ni, ok tak?"

"Tak. Cari yang murah."

"Tapi ini dikira murah. Kalau yang lain, coraknya tak lawa."

"Cari je yang lagi murah. Banyak je yang lagi cantik."

Disebabkan sayang, aku hanya akur. Walaupun jauh di sudut hati, aku terasa.

"Awak, tengok tu! Baju pengantin tu cantik!"

"Mahal. Ambil yang murah."

"Ini dah antara yang murah. Saya dah tengok yang lain, jauh berganda lebih mahal."

"Ada je yang lagi murah."

"Tapi...."

"Pilih lain."

Sudahnya, kami keluar dengan hanya tangan kosong dari butik itu. Tahu-tahu saja beberapa hari kemudian, dia membawa pulang baju pernikahan yang entah dari mana dikautnya. Bila ditanya, dia tak langsung mahu menjawab. Hanya dia meminta aku memakai baju tersebut tanpa banyak soal.

Disebabkan rasa hormat aku padanya sebagai bakal suami, aku turutkan jua kehendaknya walaupun hati aku bagaikan mula terasa. Tapi, disebabkan hubungan yang akan terbina tak lama lagi, aku lupakan perasaan aku. Takkan baru begini kami sudah mula bertengkar.

Pernikahan kami sangat jauh bezanya dengan orang lain. Sangat ringkas, semuanya atas arahan dan kehendak dia sendiri. Terasa macam lebih kurang sama kalau aku ajak dia kahwin lari di Siam. Seumpama kami dipaksa bernikah atas sebab ditangkap khalwat.

Majlis persandingan masih tak dijalankan. Hanya ada majlis kecil-kecilan yang mengundang sanak saudara yang terdekat. Sama ada belah aku mahupun belah keluarganya.

Jadi, kad murah yang dia pilih mengikut kehendaknya hanyalah diberikan buat sanak saudara tersebut. Tiada majlis yang mengajak kawan-kawanku. Yang ada hanyalah beberapa teman baiknya yang muncul dalam majlis itu.

Dia kata, dia tak mahukan sesuatu yang berlebihan. Itu prinsipnya.

Aku memang setuju dengan niatnya, kerana aku juga mahukan kesederhanaan. Tapi aku juga mahukan kelainan. Itu hari bersejarah aku juga. Aku juga ada perasaan cemburu bila melihat cara pasangan lain menguar-uarkan pernikahan mereka.

Dan, yang lebih bermasalah adalah apabila dia langsung tak membenarkan aku menggunakan duit simpanan aku. Melarang sama sekali. Hanya kerana prinsip hidupnya yang mahukan serba ringkas itu.

Aku pernah mahu mengeluarkan duit simpanan aku demi majlis yang mengundang saudara-mara terdekat itu namun dengan kerasnya dia menolak. Macam nak tempelak aku pun ada. Terus jadi takut aku nak keluarkan duit dari dalam bank.

Sikapnya yang terlalu ringkas ini membuatkan aku sebal. Semuanya nak yang paling murah. Semuanya nak yang banyak tapi murah. Langsung tak kisahkan kualiti.

Sampaikan aku nak berbelanja pun, disekatnya. Nak menghias rumah pun, dilarangnya.

Rumah yang kami duduki kini tersangat kecil bagiku. Dan jujur, aku memang bersyukur kerana sekurang-kurang kami masih mampu mendiami tempat sendiri. Tapi apa salahnya kalau aku hias sedikit? Bukannya pakai duit dia pun.

Sedangkan baru aku bersuara nak cat dinding bilik tidur kami pun, dia dah membangkang. Tak perlu, katanya. Warna tu masih elok lagi.

Aku cuma inginkan seri dalam rumah itu. Tidak mengapalah kalau sekecil apa pun ianya. Aku juga inginkan warna warni. Bukannya putih semata-mata. Bukannya kosong tak berhias apa-apa.

Berkali-kali aku katakan bahawa aku takkan usik sedikitpun duitnya, bahkan aku takkan pun memintanya mengambil cuti untuk membantu aku namun dia bertegas dengan prinsipnya.

Kalau semua orang datang rumah aku, pastinya mereka terkejut. Sebab rumah aku memang kosong. Tak ada apa-apa.

Sungguh, aku tak faham langsung apa yang dia fikir. Berkali-kali aku tanya pada diri sendiri kalau-kalau aku sememangnya tak cukup mengenalinya. Kerana sifatnya ini langsung tak pernah aku tahu selama ini.

Tapi kini yang aku tahu, dia ni kedekut. Semua benda takut nak keluarkan duit. Semua benda dia berkira. Nak makan pun, dia akan cari tempat yang paling murah, selagi boleh. Kalau tak ada, terus dia ajak makan di rumah.

Dasar bakhil!

Tuhan, kenapa aku baru rasa menyesal dengan perangai dia yang satu ni!

----------------------------------

BEGITU lamanya kami diam dan membisu. Suasana bilik menjadi tegang, tubuh saling membelakangi.

Aku menarik nafas aku, dalam.

"Saya nak pergi." Kata aku.

Sepi. Tak ada jawapan.

Aku yang duduk di birai katil, berpaling dan menatap dia perlahan-lahan. Dia masih berdiri memandang tingkap. Seolahnya termenung.

Mata aku dah bengkak teruk sebab menangis lama tadi. Hidung yang kemerahan aku gosok perlahan. Sendu yang kedengaran sudahpun terhenti sendiri.

Dia aku lihat kemudiannya menoleh dah mendapatkan aku.

"Dah habis merepek?" Soalnya, bagai tiada perasaan.

Mata kami bertembung.

"Saya dah tak nak ambil tahu hal awak. Biarkan saya pergi." Kata aku sebelum mahu berlalu.

"Tak ada sesiapa dalam rumah ni akan tinggalkan sesiapa. Awak tak faham ke apa yang saya cakap tadi?" Soalnya.

"Awak nak saya faham awak? Dengan perangai awak macam ni, awak nak saya dengar cakap awak?" Soal aku pula.

"Jangan mulakan." Katanya.

"Kenapa pulak?" Bidas aku, tak puas hati.

"Jangan."

"Kenapa? Tak betul apa saya cakap?"

Dia memandang aku, agak lama. Mungkin terlalu geram, sebab aku nampak bibirnya diketapkan kuat, dia akhirnya berlalu pergi meninggalkan aku.

Aku memandang tubuhnya dengan hati yang sebal.

Tak aku tahu apa masalah dia sebenarnya. Baru beberapa ketika selepas kami melangsungkan pernikahan, dia bertindak menjauhi aku. Umpama memulaukan aku.

Kadang-kadang dia macam robot. Aku tanya, dia hanya angguk atau geleng sekali. Lepastu diam membisu. Nak romantik, memang tak ada. Nak cakap sayang, memang jauh ke laut.

Aku cuba bercakap baik dengannya. Mahu berbincang secara baik akan masalahnya. Apabila dia sedikitpun tak mahu berkongsi masalahnya dengan aku, aku cuba memberi dia ruang. Tapi dia masih begitu.

Malah, layanan dia pada aku semakin dingin. Aku tak lagi dipandang dan diendahkan. Apa aku buat, semuanya dia langsung tak hiraukan.

Aku sungguh, diamkan hati aku semampunya. Aku tak mahu bergaduh kerana itu. Tapi, ruang dan masa yang aku berikan semakin membuatkan aku tersangat seksa.

Stress. Aku memang stress.

Sabar yang mula terkumpul akhirnya menjadi bebanan buat aku. Beberapa minggu, kami sudah bertengkar. Atas alasan aku, aku tak tahu dia sayangkan aku atau tidak.

Mana taknya, semua jalan hidup aku diatur sesuka hati. Aku dipaksa berhenti kerja. Aku dipaksa untuk berkurung dalam rumah, tak boleh keluar. Hatta, untuk berjumpa dengan kawan-kawan aku juga dia sering membantah.

Tak cukup dengan sifat kedekutnya, kini ditambah lagi dengan perangai suka mengawal.

Dia yang bersungguh nak kahwin dengan aku, tapi dia yang buat aku tersisih. Aku yang mengalah, dan aku yang sengsara. Dia aku tengok macam tak ada apa-apa masalah pun.

Selama ni, aku yang terlalu syok sendiri ke? Cuma aku ke yang beriya dengan pernikahan ni?

Suasana dibiarkan sepi. Hanya tinggal aku sendiri.

Tak lama kemudian, aku ternampak dia masuk ke dalam bilik kami. Bersama segelas air masak di tangannya.

Dia meletakkan segelas air itu di atas meja berdekatan aku sebelum dia terus berlalu ke bahagiannya di atas katil dan mula berbaring.

Aku mula mengetap bibir aku.

Tengok tu!

Aku memandang segelas air tersebut. Ikut hati aku, memang aku nak simbah air tu kat muka dia.

Buat apa nak air masak? Aku tak hauslah!

"Saya tetap nak keluar esok." Kata aku.

Dia yang membelakangi aku hanya diam membisu.

Aku terus mengunci mulut aku. Dah tak nak cakap apa-apa. Hanya nak memaklumkan itu, untuk pengetahuannya.

Tapi, aku tak rasa dia nak tahu pun. Dia bukannya peduli aku nak ke mana.

Aku mengesat air mata aku. Menahan sebal dalam hati.

---------------------

BEG pakaian di tangan aku pegang erat. Ketika aku mula mahu melangkah, aku ternampak dia mula mendahului aku.

Aku hanya melihat dirinya yang langsung tidak bereaksi tatkala itu.

Dia langsung tak nak pujuk aku. Langsung tak nak ajak berbincang.

"Duduk dalam rumah." Katanya sebelum terus berlalu. Sehelai sepinggang.

Melihat bayang itu yang mula menjauhi aku, aku mengetap bibir kuat.

Sakit hati makin terasa.

"Awak sayang saya ke tak?!" Jerit aku.

Langkahnya terhenti.

"Kenapa susah sangat nak beritahu awak sayang saya ke tak? Saya memang tak bernilai langsung ke di mata awak? Kenapa awak nak kahwin dengan saya?" Soal aku.

Dia terus membelakangi aku. Aku pula hampir meluahkan esak di situ.

"Awak hampir tak bagi saya buat semua benda yang saya nak. Awak sekat hidup saya. Semua ni kenapa? Sebab saya ni cuma orang suruhan je ke? Jawablah!"

Apabila aku sudah meledak begitu, dia aku lihat masih tak berganjak. Namun dalam sesaat dua kemudian, dia terus berlalu pergi.

Aku mula menangis.

Aku benci. Aku sakit hati dengan dia!

Sampai esok paginya, dia masih tak menampakkan dirinya di dalam rumah.

Aku pula bertekad dengan diri aku. Aku nak keluar. Tak lagi mahu kekal ada dalam rumah ni. Aku mahu mencari ketenangan.

Hati aku terasa makin sakit apabila berada di sini. Pedih. Terluka.

Dalam linangan air mata apabila mengenangkan perangainya, aku berlalu pergi.

Aku mahu ke rumah ibu bapaku. Bagi aku, aku mampu mencari damai di situ.

-------------------------

AKU tak sedar dah berapa lama aku dalam bilik aku, menangis tersedu-sedu sendirian. Sengaja aku katakan pada ibu dan bapaku bahawa aku tak berapa sihat dan mahu berehat di dalam bilik tanpa gangguan.

"Suami kamu mana?" Soal ibu kepada aku tatkala aku bersendirian berkunjung ke rumah itu.

"Kerja, overseas." Balas aku, bernada malas.

Walhal, aku kecewa. Kalau boleh, aku tak mahu berjumpa dia langsung. Sebut nama dia pun aku tak mahu.

Sekarang, aku menangis bagai nak gila di sini. Apabila mengenangkan sikapnya yang selalu mengabaikan aku.

Aku tak tahu salah aku apa. Yang aku tahu, tatkala aku berada bersamanya, aku tak lagi rasa bahagia seperti dulu.

Aku kecewa, yang teramat.

Perkahwinan yang terbina baru beberapa bulan ini bagaikan sudah terlihat akan sengsaranya.

Sedang aku menghabiskan masa di bilikku, tiba-tiba aku terdengar suara garau di hadapan pintu bilik, sedang berkata sesuatu kepada ibuku.

Aku rasa itu bukan suara ayah.

Aku hanya biarkan pintu diketuk sekejap sebelum dibuka.

Melihat susuk tubuh yang berdiri memandang aku itu, aku lantas mengalihkan pandangan. Wajah aku palingkan.

"Kan dah kata jangan keluar rumah." Katanya, mendatar.

Aku hanya diam. Membisu. Macam selalu bila aku lontarkan soalan dan dia hanya diam begitu.

"Cepat balik. Kemas barang."

"Tak nak." Terus aku bersuara.

"Balik sekarang."

Aku memandangnya.

"Saya suka duduk rumah ni. Ini pun rumah saya juga. Jangan halang saya buat apa yang saya nak buat kali ni, boleh? Saya tak gunakan duit awak pun." Balas aku, begitu sarkastik.

Dia hanya menatap wajahku.

"Saya takkan datang banyak kali untuk ajak awak balik rumah." Katanya.

Aku tetap menggeleng.

"Saya takkan balik, selagi awak tak kata awak sayangkan saya." Balas aku.

Dia aku lihat sepintas hanya diam sebelum berkata.

"Suka hati awaklah."

Dia pantas berlalu.

Melihatkan bayang itu, aku dimamah kesedihan buat kesekian kalinya.

Kenapa begitu pedihnya mempunyai hubungan suami isteri seperti ini?

Kenapa begitu sulit dia memahami lelaki itu?

---------------------

"SUAMI kamu dah balik." Kata ibu ketika kami bertembung di dapur.

"Hmm." Hanya itu yang aku balas.

"Kamu tak ikut dia balik? Kesian dia sorang-sorang kat rumah tu. Kan baru balik kerja." Kata ibuku.

"Nantilah, bu. Dia kata dia ada hal sebelum balik rumah terus." Bohong aku.

Kami duduk saling berhadapan di meja makan itu.

"Kamu tak beritahu dia yang kamu ada kat sini, ya?" Soal ibu.

Aku memandang ibu. Nampaknya, ibu dah tahu.

Aku menggeleng, jujur. Tapi jawapanku dibalas dengan penipuan.

"Dia kata lambat lagi nak balik. Tu yang Ena duduk sini dulu. Tiba-tiba je dia datang." Balas aku.

"Patutlah dia masa telefon ibu tadi kemain gelabah. Dah gaya macam kecemasan. Ibu pun jadi gelabah bila dia macam tu." Ujar ibu.

Kening aku terangkat. "Kenapa?"

"Tanyakan kamu kat manalah, apa lagi. Cuak dia tengok rumah tu tak ada orang."

Aku diam sejenak. Macam tu sekali? Mustahil.

Suasana dibiarkan sepi seketika.

"Persiapan kamu macam mana?" Soal ibuku kemudian, tiba-tiba.

"Persiapan?" Soal aku kembali.

"Yelah. Berapa ramai nak datang ke hotel tu?" Soal ibuku.

"Hotel?" Dahi aku berkerut seribu.

"Ish, dia ni. Buat-buat tak tahu pulak. Persiapan persandingan kamulah, anakku. Suami kamu kata, dia dah tempah dewan hotel nak ajak kawan-kawan kamu datang."

Aku terpana.

"D..dewan hotel?" Soal aku, perlahan. Agak gugup.

Kawan-kawan datang?

Ibuku mengangguk. "Dulu kan buat yang ringkas je. Katanya sebab dia masih kumpul duit lagi. Dia taknak kamu guna duit kamu. Sebab tu majlis ringkas tu cuma untuk saudara mara. Ha, sekarang ni dia nak buat kat dewan hotel pula. Kamu suka benda grand, katanya. Kali ni, besar-besaran. Untuk semua kawan kamu datang." Perjelas ibuku.

Semakin terpana aku dibuatnya.
Tak aku tahu semua ni terjadi begini, di belakang aku.

"Kamu tak tahu ke?" Soal ibuku.

Aku menggeleng.

"Hmm, tak beritahu lagi rupanya. Ibu dah terlepas cakaplah ni. Tapi, majlis ni dah nak dekat. Kenapa tak nak diberitahu?"

Aku memandang wajah ibuku agak lama.

"Dia dah lama rancang ke?" Soal aku, perlahan.

"Lama dah. Memang dia rancang nak buat besar-besaran untuk kamu. Tapi dia kalau boleh nak akad dulu, sebab katanya tak nak kamu lari sambil dia tengah kumpul duit. Ada-ada je dia tu."

Mata aku mula berkaca-kaca.

"Ha, dah alang-alang tersasul ni, biar ibu tunjuk sekali kad kahwin. Sekejap, ya." Katanya yang berlalu.

Tak lama kemudian, ibu kembali dengan sekeping kad itu.

"Tengok ni. Lawa, kan? Dia kata kamu suka betul dengan corak ni. Sampai mata tak lepas pandang masa dulu." Katanya sebelum menolak kad itu padaku.

Aku memerhatikan kad itu lalu membeleknya perlahan-lahan.

Kad itu adalah kad yang sama aku mahukan ketika pertama kali kami singgah ke kedai itu.

Kad yang dia tolak kerana dia tak mahukan sesuatu yang mahal.

Tapi, rupa-rupanya itu bukan yang terjadi.

Air mata aku mula bertakung.

"Untung betul kamu dapat dia. Baju nikah dulu pun import dari luar negara. Baju simple, tapi tengok harga, mengalahkan beli rumah ni. Tu katanya bukan kamu yang minta, dia yang nak kamu pakai. Harapnya memang bukan kamu yang mintalah, sebab tengok melayang duit berganda-ganda dari poket dia tu. Ibu pun dua tiga kali fikir nak biarkan dia beli untuk kamu harga macam tu."

Aku terus terpempan apabila mendengar kata-kata ibu itu.

Air mata aku pantas menitis.

Ya Tuhan, apa yang aku buat selama ni? Apa yang aku fikirkan?

Dia bukannya abaikan aku, cuma dia sedang bertungkus-lumus membahagiakan aku.

Tuhan, aku yang meminta berlebih-lebihan sehingga menyusahkan dirinya!

Aku menangis di situ. Tanpa tertahan lagi.

"Ena, kenapa ni?"

Ibuku di sisi yang kelihatan sungguh terkejut dan keliru aku biarkan.

Esak semakin memenuhi ruang.

Aku bersalah. Aku tak langsung faham dirinya.

Tuhanku, aku yang berdosa pada suami aku sendiri!

----------------------

KUNCI aku masukkan ke dalam lubangnya. Sekali pulas, pintu itu sudah ditolak.

Aku hanya mahu mencari suamiku. Hanya itu yang terlintas dalam benak aku sekarang ini.

Dalam rumah itu, sepi. Aku melangkah ke setiap bilik.
Namanya aku panggil berkali-kali namun tiada sahutan.

Di dapur, tempat terakhir aku melangkah, dan tatkala bayangnya masih tiada, aku mula berhenti.

Dia sudah pergikah? Tinggalkan aku?

Tangan aku mula menggigil, sebelum kemudian aku terlihat seseorang yang mula membuka pintu rumah itu.

Tatkala mata kami bertatapan, aku terus menghampirinya.

Apabila melihat si dia, dalam aku tatap wajahnya yang jelas keliru itu.

Namun, itu pula yang mendatangkan sebak aku.

"Awak...sayang saya tak?" Soal aku.

Soalan buat kesekian kalinya.

Dia hanya menatap wajah aku sedalamnya.

Aku mengetap bibir, menahan sebak.

"Awak tak perlu jawab. Saya dah tahu." Katanya.

Aku terus tertunduk. Lalu aku menyambung.

"Semuanya salah saya. Saya yang terlalu nakkan itu ini. Saya langsung tak fikir susah awak nak jaga saya. Saya tak jaga pun perasaan awak. Saya....."

Tak mampu aku habiskan ayat itu, terus aku terduduk lalu menangis tersedu-sedan di hadapannya.

Aku begitu menyesal. Sangat-sangat menyesal. Sangat malu dengan perbuatan sendiri.

Aku sangat malu berhadapan dengannya kini. Terasa seperti aku tak layak menjadi isteri yang terbaik buatnya.

Di situ, aku terus menangis tanpa segan silu dengan esakanku yang begitu kuat kedengaran. Sebelum kemudian aku terasa dia juga merendahkan tubuhnya di hadapan aku.

Sisi lengan aku dipaut sebelum diangkat, meminta aku untuk bangun dan berdiri.

Aku dalam tangisan itu mula memandangnya. Dalam sebak, aku menangis lagi.

"Saya minta maaf.... Sangat-sangat..." Ucap aku. Terhenjut-henjut bahu aku menahan tangis.

Dia tak menjawab, hanya kemudian melekapkan tangannya ke pipiku.

"Saya takkan tinggalkan awak. Banyak kali saya ulang." Katanya.

Aku mengangguk-angguk.

"Jangan pergi kalau saya tak suruh pergi." Katanya lagi.

Aku mengangguk lagi. Semakin kuat sedu aku kedengaran.

"Pakai seatbelt dalam kereta."

Aku angguk.

"Minum air untuk rasa tenang."

Aku angguk lagi.

"Jangan keluar rumah sembarangan."

Aku angguk buat kesekian kali, dalam esak aku yang masih keluar dari sudut bibirku ini.

"Kalau saya tak cakap sayang depan-depan, awak masih boleh faham apa yang saya buat, kan?" Soalnya.

Aku mengangguk laju.

Aku sepatutnya sedar akan perbuatannya, bukan kata-katanya.

Dia terus mengusap air mata aku yang berlinangan. Ditariknya aku dalam pelukannya, rapat.

"Jangn bazirkan duit awak lagi. Saya nak tanggung hidup awak sampai bila-bila."

Aku mengangguk, tanda faham.

Sepatutnya aku beri dia ruang. Kalau memang dia ego, aku harus beralah.

"Jangan tinggalkan saya..." Pinta aku apabila tangisanku mula reda.

Dia merenggangkan pelukan. Wajah aku dipandang sebelum pipi aku diusap.

"Saya takkan tinggalkan awak. Saya dah janji."

Aku hanya mengangguk-angguk, tanda faham. Dalam bengkak mataku akibat menangis, aku menatap wajahnya.

Jujur, aku rindukan dia. Rindu si bakhil yang sebenarnya tak bakhil pun ni.

"Nanti bagi senarai nama kawan awak, eh? Saya dah tempah dewan hotel."

Aku memandang dia, agak lama.

"Untuk majlis persandingan ke?" Soal aku, perlahan.

Dia tersenyum dan mengangguk.

"Saya taknak majlis tu. Saya taknak awak guna duit awak sebab tu. Saya taknak duit awak." Luah aku.

Air mata aku menitis lagi. Esak aku kedengaran buat kesekian kali.

Dia menyeka lembut air mata aku.

"Jangan macam ni. Saya dah bayar dah pun. Semua dah nak siap. Takkan nak batalkan pula? Lagi rugi duit saya."

Aku terus tersedu.

"Tapi, tapi..."

"Syhh. Tak ada apa-apalah. Benda kecil je. Saya pun memang nak buat majlis besar-besaran sebenarnya."

Aku terus diam. Aku kembali dipeluk dengan erat.

"Sorry, lama sikit. Kerja saya sejak belakangan ni tak berapa stabil. Tapi, sekarang dah lancar macam biasa. Tak apa, kan?"

Aku menitiskan air mata.

"Awak tak perlu pun buat semua ni. Kalau cakap awal-awal, saya masih boleh faham keadaan awak. Saya cuma ingatkan awak dah tak sayang saya lagi."

Kedengaran tawa kecil dari bibirnya.

"Banyak fikir betul. Awak ingat senang nak curi hati awak? Lepastu nak tinggalkan macam tu je? Itu bukan saya."

"Awak yang layan saya lain daripada dulu. Siapa yang tak terasa."

"Saya terpaksa fokuskan untuk kerja saya tu. Kalau tak, mana boleh nak buat majlis besar-besaran untuk awak, kan?"

"Sudahlah. Hormon saya tengah tak stabil ni. Jangan buat saya terharu lebih-lebih. Saya menangis lebih teruk nanti."

Dia ketawa lagi. Diusapnya kepala aku lembut.

Aku pula, segera menyudahkan esak aku.

"Esok, jom tengok rumah baru." Ajaknya kemudian.

"Hmm?"

"Rumah ni sebenarnya sewa sekejap je sebab rumah tu tengah diubahsuai. So, dah siap. Esok boleh tengok."

Aku menolak tubuhnya perlahan dan memandangnya, agak lama.

"Awak tak cakap pun?"

"Ingat nak buat kejutan sampai lepas bersanding nanti. Kalau masa tu, sempat dah sediakan perabot semua. Tapi, well, nampak gaya macam awak dah emosi kenapa rumah ni buruk sangat jadi terpaksalah beritahu awal." Katanya bersahaja, namun terselit jua tawa di hujung ayatnya.

Aku terpaku. Dia kemudian menyambung.

"Tapi, rumah tu bukan rumah sangatlah. Villa sebenarnya. Tiga tingkat. Esok kita tengok, eh?"

Sekali lagi, air mata aku menitis.

"Awak..."

"Syhh.. Janganlah sedih lagi. Saya buat ni semua untuk awak."

"Saya minta maaf..."

"Iya. Saya tak kisah pun. Awak tak salah."

Aku membiarkan diri aku reda dalam pelukannya kemudian. Melepaskan rindu selepas beberapa hari tidak berjumpa dengannya.

Jujur, aku terlalu rasa bersalah.

Dia memang perahsia, mungkin egoistik. Tapi setakat tiga kata yang dia tak ungkapkan terang-terangan pada aku, takkan itu sudah menandakan dia tak peduli dengan aku?

Sedangkan setiap hari perbuatannya cukup menggambarkan keprihatinannya pada aku.

Bodohnya aku, selalu berprasangka pada si dia.

----------------------

DETIK demi detik berlalu.

Aku duduk di birai katil sambil memandang sekeliling bilik tidur kami yang cantik didekorasi mengikut citarasa aku sendiri.

Ya. Citarasa aku sendiri. Beriya dia menyuruh aku memberi saranan pada tukang hias yang diupah itu dan tanpa berfikir panjang, terus dia bersetuju.

"Awak sayang saya tak?" Soal aku ketika sedang duduk di birai katil sambil membelek foto persandingan kami yang sangat gah itu.

Dia yang sedang memeriksa barangan dalam bagasi tersebut lantas memandang aku.

Aku membalas pandangan dia dengan senyuman simpul. Kening aku angkat.

"Sayang tak?" Soal aku lagi.

Sebelum dia mendekati aku lalu mengangkat daguku.
Bibir aku dipaut lembut dan sekilas oleh bibir miliknya sebelum dia menarik wajah.

"Masih nak tanya lagi, hmm?" Soalnya.

Aku ketawa kecil.

"Tak sayang, eh?" Sengaja mengusik.

Dia aku pandang sambil mengawal senyum, menggigit bibir.

"Tanya lagi?" Soalnya sambil mula merapatkan dahinya ke dahiku lalu dahiku ditolak.

Aku pantas menarik baju pada bahagian dadanya sebelum memeluk lehernya.

"Sayang awak sangat-sangat!" Ujar aku sebelum menghadiahkan kucupan di pipinya.

Dia tersenyum lebar.

"Mengada. Nasib baik dengan saya je."

Aku terus tertawa sebelum tubuhnya aku tarik seiring merebahkan tubuh aku di atas katil.

Bibirnya aku kucup lantas aku gigit lembut.

"Si Gemuk, jangan goda saya. Tak jadi kita nak bercuti hari ni. Iman saya tak pernah kuat bila awak mulakan, tahu?"

Aku ketawa lebih besar.

"Batalkan flight hari ni!"

"Mana boleh! Kita dah dua kali tangguh sebab 'tu' !"

Aku ketawa kuat, terasa geli hati dengan ayatnya.

Dia bangun dan terus mencapai tanganku.

"Cepat, jom. Nanti lambat." Tanganku terus ditarik dalam pada dia menarik sebuah bagasi besar bersamanya.

Aku terus menurut. Sambil juga mula menarik bagasi kecilku.

Sempat aku memandang wajahnya dan baju biru lembut yang dipakai sedondon dengan aku.

Yang dipilih aku sendiri. Yang dia kononnya tak mahu belikan untuk kami berdua sebab membazir tapi tiba-tiba sepasang baju itu sudah terletak elok di atas katil esoknya.

Bila aku tanya kalau-kalau dia memang belikan untuk aku atau tidak, dengan wajah tanpa reaksi dia suruh aku jangan perasan sendiri.

Tapi, aku tahu, bukan sebab dia sendiri yang nak. Dia tak suka biru cair. Dia tak sukakan warna lembut.

Serta merta aku teringat akan percutian ini. Yang pada asalnya aku hanya bersahaja cakap padanya setelah menonton rancangan realiti di TV yang juga memaparkan tempat-tempat menarik. Tapi, itu pula yang menjadi kesungguhannya selepas itu.

Bukan main lagi aku menolak, sebab jujur aku terasa bersalah. Terlalu banyak wang dihabiskan untuk aku sendiri.

"Eh, awak! Tak usahlah! Tak apa, saya gurau je!"

Tapi, dengan jawapan ego dia, tak ada sesiapa pun mampu melawan.

"Siapa kata sebab awak? Saya nak pergi sebab saya sendiri nak. Awak kalau taknak ikut, saya pergi sendiri."

"Eii, poyonya."

Bila aku ajak dia bersembang ala-ala romantis, gaya dia memang kadang-kadang rasa nak pukul je.

"Saya tahu kenapa awak tak bagi saya jumpa kawan-kawan saya dulu."

"Hmm, kenapa?"

"Sebab awak taknak saya mengungkit hari bersanding kita, kan? Sebab masa tu kita tak buat apa-apa lagi. Kawan-kawan saya pula ramai dah mula tanyakan majlis kita."

"Hmm, baguslah kalau dah tahu. Lepas ni, kalau nak menangis, jangan pergi Beijing pula."

"Dia ni!"

Dan, yang paling tak menahan, kalau aku sengaja tanyakan padanya satu soalan itu.

"Awak sayang saya tak?"

"Kalau awak platipus, baru saya sayang. Haiwan dah pupus kan, namanya."

"Eii!"

Dengan gayanya yang sangat selamba itu, mahu tak rasa macam nak cucuk lubang hidung dia sampai berdarah.

Mujur juga setiap balasan kata aku padanya, dia tak lekang pula menunjukkan tawanya selepas itu.

"Ha, senyum sorang-sorang." Tegur dia apabila kami sudah berada di pintu hadapan kami.

Aku kembali memandangnya. Dengan senyuman, aku peluk pinggang dan merapatkan tubuhku padanya.

"Hey, baby." Usik aku dengan suara lembut yang menggoda sambil mengenyitkan mata. Sebelah tanganku melekap elok ke perutnya dan terus aku usap perlahan-lahan.

Dia terus menunjal dahi aku sebelum melarikan tubuhnya dan keluar menarik dua bagasi kami.

Aku ketawa. "Kenapa lari?"

Dia pantas menoleh.

"Sebab bila awak mula macam tulah, kita terpaksa tangguh bercuti banyak kali!"

Tawa besar aku terburai apabila mendengar katanya itu.

Selepas siap semuanya, terus aku masuk ke dalam kereta.

Dia juga masuk kemudiannya. Baru sahaja memulas kunci, terus dia memandang aku.

Aku mengangkat kening berkali-kali.

"Dah pakai." Kata aku sambil meleretkan senyuman aku.

Dia memandang sekilas tali pinggang keledar yang aku ketatkan sebelum tersenyum memandang aku.

Pipi aku dicubit perlahan.

"Tahu pun."

Aku ketawa, suka diperlakukan begitu.

"Awak sentuh-sentuh macam ni, saya 'ngap' awak baru tahu!" Usik aku.

"No way! Jom gerak sekarang!" Dengan pantas dia memusingkan sterengnya.

Aku ketawa lagi, buat kesekian kalinya. Dengan lapang dan berbesar hatinya.

Dia ego. Dia perahsia. Aku tahu.

Nak suruh dia sebut sayang, memang berjanggut. Macam sebeban pasir dalam mulut dia untuk menyebut kata itu.

Tapi aku tak mahu mempertikaikan perasaannya pada aku.

Sebab aku tahu, kalau aku fahami perbuatannya, aku lebih tahu bahawa dia lebih mencintai aku. Lebih dari aku sendiri pada apa adanya dia.

Dan aku, akan tetap sayangkan dia. Meski tiga kata itu sangat jarang kedengaran dari bibirnya.

.
.
.
.
Kota Bharu, Kelantan.
Home For Imperceptible Love [7] Tamat.

-------------------

Giving something light for today to spread the eternal happiness to everyone. 💓

By the way, regarding the previous chapter, 'Nukilan Dari Siapa?', I'd like to thank you guys so much for the concern. Likewise we've been so close that I feel so touched reading all the comments.

Serius tak tahu nak balas satu-satu macam mana. Totally speechless, somehow. Haha.

Some asked if it's true, and I prefer not to say any further. If I deny, you'd forget the message behind. If I admit, more people would get sympathized on me.
While I'm not here for sympathy, anyhow. Hahaha.

Actually, the point I wanted to highlight there isn't about "history of myself", but the reason why some people choose not to share something to public. Things must be tough for them so, let's just take it slow.

Tapi, macam dah jadi lain. Haha.

About the writing and works, don't worry. Still a long way to go. Wouldn't run out that soon. Masih banyak stok. Hahahaha (tak lawak)

In case if you guys are wondering, I'm doing so good, and totally fine right now. Hehe.

And of course, things are much better with you guys.

Again, thank you for the prayers. I am so relieved, so blessed, delighted to know you guys here.

Don't you know how beautiful you are? *sending virtual hug to everyone*

May the sincerity and pure heart of yours always bloom and widely spread to help this individualistic world.

Thank you, people.

Thank you, my lovely readers.

.
Always feels better,
Always the amateur one,
Hfil.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro