VIII - Paras | Rupa | Rupanya

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Mama said, "You're a pretty girl.
What's in your head, it doesn't matter."

"CEPAT! SEMUA CEPAT!"

Bersegera mereka semua menukar pakaian di sebalik pentas itu. Tanpa peduli akan sesiapa yang membantu. Sibuk mengejar masa.

"Siapa lepas ni? Bersedia!"

Empunya suara yang melontar kuat itu dipandang dengan ekor mata sekilas. Tak mampu bersuara mahupun bergerak, kerana seluruh wajahnya sedang dimekap manakala tubuhnya sedang dihias.

"Ok, awak boleh pergi sekarang." Kata jurumekap itu pantas.

Model yang tinggi lampai itu hanya menurut sebelum dia mengangguk pantas dan mula berjalan dengan gaya catwalknya.

"Sekarang, dipersilakan....!"

Maka bersoraklah semua orang yang sedang menjadi penonton di situ apabila melihat si model yang kurus dan tinggi itu mula berjalan dengan penuh keyakinan dengan baju yang digayakan olehnya.

"Cantik! Sempurna! Itulah dia!"

Di belakang pentas, silih berganti semua model terburu-buru dihias tubuhnya dengan rekaan baju berjenama antarabangsa sementara model-model di atas pentas memperagakan baju yang tersarung pada tubuh mereka.

"Cepat! Cepat! Sini!"

"Jaga-jaga! Pinkan elok-elok hiasan pada rambut ni!"

Para model, umpama robot, hanya akur dan menurut segalanya. Apabila tiba giliran mereka, masing-masing mula beratur dan melangkah ke pentas yang gah itu.

Semua orang bersorak buat kesekian kalinya. Cahaya lensa kamera tidak terkira seberapa banyaknya.

Dari jauh, kelihatan seseorang yang hanya memeluk lututnya sambil melihat setiap inci pertunjukan itu.

Mendengarkan suara yang dirasakan semakin riuh, pantas alat kawalan jauh dicapai sebelum dia menutup siaran tersebut.

"Semuanya sama je." Katanya.

Mengenangkan model yang cukup tinggi lampai dengan potongan badan yang menarik itu, dia mula menghela nafasnya.

Perlahan-lahan, dia bangun. Dan menuju ke arah cermin yang menegak, mempamerkan seluruh tubuhnya melalui pantulan tersebut.

"Kenapa ni, gemuk sangat." Katanya, sendiri.

Kakinya ditenung melalui cermin.

"Kaki, kenapa kau pendek sangat?" Soalnya, sendiri.

Dia melihat pula lengannya yang agak besar itu.

"Ini pun, besar sangat." Katanya.

Dia mengeluh sendiri apabila melihat seluruh figura tubuh miliknya.

Berkali-kali dia bertanya pada diri sendiri.

Kenapa dia tak mampu cantik macam model dalam rancangan tu? Kenapa dia tak diberi peluang mendapatkan tubuh yang mampu memikat sesiapa saja yang memandang?

Kenapa genetiknya, bukan dari kalangan yang bertuah? Yang sempurna? Kenapa dia sungguh hodoh dan tidak langsung menarik perhatian?

"Kau buat apa?" Soal si kawan yang menyapa dari pintu apartment itu.

Dia menoleh, melihat si rakan yang sedang menyusun kasut di atas rak yang diletakkan berhampiran pintu utama dalam rumah itu.

"Cuba kau tengok aku. Lapisan ni, makin banyak. Aku dah makan sayur, dah bersenam, tapi semua tak jalan. Buruklah." Keluhnya.

Si kawan itu hanya memandangnya dari atas hingga bawah.

"Buruk sangat-sangat, kan? Malu aku nak keluar rumah macam ni. Baju asyik kena beli baru." Adunya buat kesekian kali.

Si kawan mencekak pinggangnya sekilas sebelum dia menghela nafasnya.

Perbuatan rakan itu dipandang. Sambil juga dia memerhatikan potongan tubuh rakannya yang juga baginya, persis model-model itu tadi.

Tengoklah, dia bercekak pinggang pun nampak seksi. Terlalu cantik.

"Apa yang kau pandang?" Soal si kawan.

"Badan kau. Cantik sangat." Balasnya tanpa ragu.

"Merepeklah kau ni. Dahlah. Aku nak rehat dulu." Katanya sebelum langkah diatur ke bilik.

Di dalam bilik itu, si rakan tadi mula duduk di hadapan cermin meja soleknya.

Wajahnya ditenung agak lama dari pantulan cermin sebelum dia tersenyum sendiri. Lantas, telefon bimbitnya dikeluarkan. Kamera menjadi pilihan.

Tanpa berlengah, dia terus mengambil gambar selfienya.

Klik. Satu. Klik. Dua.

Berpuas hati, dia pantas meletakkan perlahan-lahan telefon bimbit itu di atas meja solek, bersebelahan dengan deretan produk kecantikan yang bervariasi dan berjenama itu.

Tak lupa juga, mekap-mekap yang mahal belaka dari pelbagai jenis dan jenama.

Dia bangun dan mendekatkan wajahnya kepada cermin. Melihat wajahnya yang sangat licin tanpa sebarang pori yang terbuka, malah kulitnya kelihatan sungguh bersinar dari jarak itu. Bibirnya juga merah merekah, tidak langsung menunjukkan tanda-tanda mengalami pengelupasan.

Senyuman diukirkan. Agak lama membelek wajahnya, dia setelah itu mencapai kapas serta sebotol cecair berwarna jernih.

'Brand XXX Make-up Remover'.

Usai menuangkan setitis demi setitis cecair atas kapas itu, dia menyapu kapas tersebut pada sebahagian wajahnya. Bersungguh-sungguh dia mencuci mekap tersebut, dan entah berapa kali kapas tersebut berganti. Mencuci segala mekap yang ada sehingga bersih.

Sehinggalah tiada langsung mekap yang berbaki, dia pantas berhenti seketika.

Wajahnya ditenung dari sudut cermin itu, agak lama. Membandingkan wajah asalnya dengan sebahagian wajah yang masih tidak ditanggalkan mekap itu.

Wajah yang kemerah-merah itu memperlihatkan pori-pori yang sangat besar. Sebagai tanda ada sesuatu yang pernah bertapak di wajahnya.

Hidung itu dilihat. Blackhead yang bercapuk di wajahnya sangat jelas kelihatan dari sudut itu.

Lingkaran gelap bawah matanya lebih jelas kelihatan di samping tompokan jerawat dan ruam-ruam yang memenuhi ruang pipi dan dahinya.

Dia segera menyudahkan cucian ke atas wajahnya sebelum dia lekas menegakkan tubuhnya, memandang keseluruhan wajah itu yang kini tanpa secalitpun mekap.

Kalau dihitung, sudah ada lima jerawat yang baru bertapak di bahagian dagunya. Dua yang besar, tiga yang kecil. Di pipinya ada dua yang baru timbul, dan antara dua kening, masih lagi tak hilang kesan jerawat tersebut.

Dia mengeluh seketika.

Alangkah bagusnya kalau dia ada kulit yang mulus. Yang mudah dijaga, tak rosak, cantik. Sedap mata memandang, seronok juga hati merasainya.

Serta merta dia teringatkan kawan serumahnya tadi.

Wajah miliknya sungguh licin. Cantik dan bersinar tanpa sebarang mekap. Walhal dia tak langsung menggunakan produk yang beratusan ringgit. Bahkan, rakan serumahnya itu acapkali terlupa mencuci wajahnya namun wajah itu masih berseri begitu.

Kalaulah dia, tertinggal sehari tanpa mencuci wajahnya, begitu banyak jerawat nanah mula membuat tapak. Puas dia mencuba ubat dan produk-produk yang kononnya dijamin keberkesanannya namun hasilnya tetap menghampakan.

Dia mengeluh.

Dia mahukan wajah seperti rakan serumahnya. Itu memang idamannya sejak dulu.

Tapi, apalah dayanya.

Si wanita itu terus merebahkan tubuh ke atas katil. Memandang siling agak lama tanpa berkalih. Tak lama kemudian, dia mencapai sebuah majalah yang sedia ada di atas meja tepi katil itu.

Sehelai demi sehelai majalah kecantikan itu dibelek sekilas. Memerhatikan semua model-model yang berkulit halus, cantik dan sangat menyerlah di dalam setiap helaian itu.

Dia melihat satu model lelaki Malaysia yang berpakaian kasual sebagai model dalam salah satu halaman itu.

Wajah model itu ditatap. Segenap tubuh itu direnung sedalam-dalamnya.

Terlalu maskulin. Sixpack itu baginya sangat menarik. Susuk tubuh badan itu, sangat sempurna buatnya.

Dia menghela nafasnya.

Lelaki pun sekarang dah handsome. Muka dah kacak. Licin, halus. Tak macam dia.

Pintu diketuk perlahan.

"Kau sibuk ke malam ni?" Soal empunya suara yang tadinya mengeluh tentang fizikalnya itu.

Dia menoleh sebelum menggeleng. "Kenapa?"

Kelihatan tubuh yang berdiri di muka pintu itu mula menghampirinya. "Aku, em, teringin nak makan pizza pulak. Hehe."

Sekeping kupon dikeluarkan. "Ada diskaun! Nak ikut?" Sambungnya.

Kening itu terus terangkat. "Eh, katanya nak diet?"

"Aku tahu. Tapi ala, rugilah kupon ni kalau tak guna. Jomlah teman. Jom? Jom?" Pinta si montel itu.

Wajah licin si montel itu dipandang. Bagai mengimbas sesuatu. Sedang berfikir sebenarnya, antara mahu atau sebaliknya. Keadaan wajahnya harus dititikberatkan, dia harus berpantang banyak makanan kalau diikutkan.

"Walaupun aku alah pizza sebab keadaan muka aku yang teruk ni, tapi kali ni aku beri peluang sebab kau. Malam ni!"

"Yes! Yes!"

Senyuman diukir lebar melihat rakannya yang bersorak kegirangan itu.

Suka betul ya. Nanti lepas makan, menyesal pula. Apa saja.

-----------------------------------

HAMPIR menginjak malam itu, seusainya membersihkan tubuhnya, langkah terus diatur menuju ke ruang makan.

"Cik Muda, makan." Lembut suara pembantu rumah itu menyambutnya.

"Terima kasih." Ucapnya sebelum melabuhkan punggung di kerusi yang tersedia.

Di hadapannya, terhidang makanan serba mewah yang agak pelbagai untuknya sendiri sebagai santapan malam itu.

Dia memerhatikan setiap makanan itu. Sambil dalam hatinya mula berkira-kira dengan setiap kuantiti makanan itu.

Satu pinggan brown rice, 216 kalori. Dua bahagian daun saderi, 13 kalori. Satu biji tomato, 25 kalori. Satu sajian timun, 40 kalori. Dua bahagian lobak merah, 60 kalori. Spanish Mackerel, 118 kalori.

"Ini semua yang apa yang pelatih sarankan dalam senarai menu hari ni." Kata pembantu itu.

"Ini saja?" Soal perempuan itu.

"Ya. Ini saja."

"Kalau menu tambahan lain? Ini dah bersamaan dengan 500 kalori ke?" Soal perempuan itu lagi.

Gelengan diberikan. " Tapi tak boleh ada pertambahan lagi, cik. Disebabkan cik akan ada pertunjukan peragaan lagi dua minggu, jadi pelatih cik mahu cik menurut dalam setiap menu ni untuk kekalkan berat badan cik."

Dia berfikir sejenak. "Okaylah, kalau macam tu." Mengalah.

"Ini air untuk cik."

Segelas air masak itu diserahkan.

"Terima kasih." Ucapnya buat kesekian kali, berserta senyuman agak pahit yang mengiringi.

Pembantu rumah itu tersenyum dan terus berlalu ke pantri.

Televisyen di ruang makan itu dipasang. Siaran langsung tentang pertunjukan ratu cantik dari negara Asia sedang ditayangkan tatkala itu.

Pembantu rumah itu melihat sekilas skrin televisyen tersebut.

"Cantik juga orang Asia." Katanya.

Si model wanita itu tersenyum dan mengangguk. "Hmm." Tak menafikan hakikat itu.

"Cik pun sangat cantik dalam peragaan tadi. Memang nampak menyerlah sangat." Puji pembantu rumahnya.

"Tak adalah. Biasa-biasa saja." Katanya, merendah diri.

Pembantu rumah itu tergelak kecil. "Biasa apa, cik? Cik idaman semua orang. Cantik luar, cantik dalam." Kata pembantu rumah itu.

"Alah, awak membodek saya."

Pembantu rumah itu tergelak kecil lagi. "Saya kemaskan ruang tamu dulu. Oh ya, cik. Jangan lupa. Esok pagi, di gim. Pelatih cik tunggu cik di sana tepat jam 8 pagi." Kata pembantu rumah itu, mengingatkan.

Si model itu hanya mengangguk seraya melihat empunya tubuh itu berlalu.

Dia duduk tegak menghadap makanannya itu. Diperhatikan setiap butir-butir nasi yang masih tak dijamahnya.

"Sedapnya kalau dapat pizza yang masih hangat waktu sekarang ni." Katanya, sendiri.

Tapi, apakan dayanya. Penjagaan tubuh badan ke atasnya sangat ketat dan tegas. Apa saja yang dia makan akan disoal. Itu belum lagi termasuk dengan cara dia mengekalkan postur badan dan gerak jalannya sebagai seorang model.

Pendek kata, keseluruhan hidupnya sedang diambil kira kini.

Dia menongkatkan dagunya, memandang sepinggan nasi di hadapannya. Sudu diambil lalu dikuis-kuis perlahan.

Lapar, tapi ini bukan makanan kesukaannya.

Dia menghela nafasnya, agak panjang. Mengeluh.

Sejak dulu, dia dimaklumkan oleh pakar nutrisi bahawa kadar metabolisme dalam badannya adalah tidak begitu tinggi, maka cara pemakanan cepat memberi kesan dalam membentuk tubuhnya. Dalam erti mudahnya, cepat gemuk.

Dan, membentuk tubuhnya juga adalah sebahagian dari kerjayanya. Dia terpaksa mengekalkan postur dan berat badan mengikut ukuran standard seorang model. Mahu tak mahu, dia terpaksa akur kerana ini adalah pekerjaan terulungnya.

Sedang termenung, dia terdengar pengacara dari dalam siaran televisyen itu.

"Dipersilakan ratu cantik kita, wakil dari Phillipines!"

Maka berlalulah di atas pentas itu, gaya seorang ratu cantik yang melenggang dengan lambaian kecil kepada penonton dan senyuman bahagianya.

"Sekarang, kita nak ajukan beberapa soalan kepada beliau...."

Dia melihat figura ratu cantik itu. Persis rata-rata model di serantau dunia. Wajahnya juga tak kurang cantiknya berbanding yang lain.

Yang paling penting, senyuman itu. Yang baginya, nampak sangat tulus apabila menjawab semua soalan. Seolah-olahnya dia sememangnya bersedia untuk berada di situ.

Tapi, sememangnya si ratu cantik itu bersedia, bukan? Seperti dirinya yang sememangnya sukakan dunia model sejak kecil lagi.

Ia sememangnya kemahuan. Tapi, untuk mengekalkan pekerjaannya sebagai model antarabangsa dan ternama itu, terasa juga bebanannya. Mengawal makan, mengikat perut daripada pelbagai manisan, terkadang rasanya sangat memeritkan.

Nafas dihela.

"Apakah aspirasi awak dalam hidup?"

Terdengar soalan diajukan kepada peserta ratu cantik itu.

"Saya mahu bahagia dengan apa yang saya ada."

Itu pula jawapan yang diberikan oleh peserta tersebut.

Senyuman nipis terukir di bibir model itu.

Untunglah.

---------------------------

KACA mata hitam yang dipakai ditanggalkannya. Langkah diatur perlahan-lahan menuju ke dalam pekarangan bangunan itu bersama beberapa orang sekuritinya.

"Oh, encik. Sila tunggu dalam lima belas minit, ya. Duduk dulu, encik." Dengan sopan dia dipelawa penyambut itu tanpa harus berjela dia menerangkan asbab dia ke tempat tersebut. Sebab memang acapkali dia ke sana.

"Terima kasih." Ucapnya.

Dia pantas melabuhkan punggungnya di ruang menunggu. Sambil tangannya ligat bermain dengan gajet miliknya.

Sedang membaca sekilas berita-berita terbaru melalui gajet itu, dia terlihat akan satu artikel mengenai seorang pelakon lelaki yang mula mendapat nama di negara kerana bakatnya.

'Menghilangkan Diri Buat Seketika'

Dia memerhatikan tubuh lelaki itu yang sungguh bergaya di hadapan kamera.

Dia tahu, lelaki itu terkenal begitu bukan sekadar lakonannya. Tapi juga kerana rupa parasnya yang menarik perhatian peminat, lebih-lebih lagi para wanita.

Siapa yang mampu menyangkal kesempurnaan tubuh yang pelakon lelaki tersebut punyai? Tubuhnya yang berbentuk itu sentiasa menjadi buah mulut orang ramai. Wajahnya, menurut mereka adalah ciri-ciri idaman dan kesempurnaan semua orang.

Yang lebih membuatkan orang tergoda dengan pelakon tersebut adalah pernyataannya bahawa semua yang dia miliki adalah genetik, tidak pernah melalui prosedur pembedahan atau apa-apa yang seumpama dengannya.

Untunglah. Bisik lelaki itu dalam hati.

Gajet itu ditutup. Dia bersandar seketika pada kerusi itu.

Kalau dia mampu, dia juga mahu menjadi seperti itu. Dilahirkan sedia sempurna. Siapa juga yang akan menolak.

"Encik, silakan masuk."

Dia mematikan lamunannya. Pantas, kaki diatur perlahan-lahan menuju ke dalam bilik yang dimaksudkan.

"Selamat petang!" Ucap lelaki berbaju kot putih itu.

"Hello, doktor!" Balas sang lelaki.

Tangan berjabat. Sudah lama berkenalan, maka tiada sesiapa pun yang berasa janggal antara satu sama lain.

Punggung dilabuhkan ke atas katil yang disediakan.

Seperti yang sudah lama diketahui, dia mula merebahkan tubuhnya. Sempat juga matanya mengerling kepada doktor yang mula menyarungkan sarung tangan getahnya sebelum mencapai sebuah jarum suntikan.

"Tahan, ya."

Dan, satu suntikan jarum itu mula menerobos tepat mengenai lapisan kulit itu.

Sakit, dia tak nafikan itu. Tapi, itulah baginya pengorbanan. Untuk sentiasa berada setaraf dengan para model lelaki yang lain. Yang juga sedang sentiasa menaiktaraf fizikal mereka.

Walaupun sakit. Walaupun kesan buruknya mungkin akan dapat dilihat dalam tempoh terdekat.

Dalam hatinya, hanya mahu berjaya mendapatkan tubuh badan yang diidamkan. Tak kurang juga kerana mahu kalahkan pelakon lelaki yang semakin terkenal itu. Dia mahu dikenali kerana ketampanannya. Kerana tubuh sasanya.

"Setakat ini, ada rasa apa-apa pada bahagian dada?" Soal doktor tersebut.

"Tak. Semuanya okay." Balasnya.

Doktor itu memandang lelaki tersebut dengan senyumannya. "Puas?"

Dia tersenyum. "Lebih sasa." Katanya.

Kerana suntikan untuk membuatkan dadanya lebih menaik supaya kelihatan tegap dan sasa telahpun menunjukkan hasil.

"Harini, saya akan tambah dua suntikan pada wajah awak juga."

"Ok."

Apa saja. Asalkan dia sentiasa mampu menjadi tumpuan, sepertimana sekarang yang tubuhnya sentiasa menjadi model pada laman utama setiap majalah hiburan dan kecantikan.

Meski prosedur yang dialaminya untuk mencapai tahap kesempurnaan itu adalah sangat perit dan tak terperi. Melalui suntikan yang entahkan menjadi atau tidak.

Dia sedia maklum akan kesan-kesan buruk suntikan yang berlebihan. Dan pengalaman-pengalaman orang yang berkongsi dengan buruknya menjalan pembedahan plastik dan suntikan-suntikan.

Tapi, inilah dia.

Dia model. Dan dia mahu sentiasa menjadi model dalam hati semua orang.

Cantik itu satu cinta. Dan cinta sememangnya perlukan pengorbanan, baginya.

-------------------------------------

SEUSAINYA sesi pada hari itu, setiap peserta ratu cantik yang terpilih ke peringkat seterusnya dihantar menuju ke sebuah apartment khas yang disediakan untuk mereka.

"Awak semua berehat dulu. Esok pagi, kita akan berkumpul di sini semula."

Yang lain hanya menurut.

Mereka diiringi beberapa pengawal yang mengikut jejak langkah mereka sehingga ke bilik masing-masing. Lalu mereka kemudian diberi masa privasi untuk merehatkan tubuh dan melepaskan penat seharian.

Malam itu, di dalam bilik tersebut, beberapa mereka mula berdiri di hadapan cermin meja solek, memerhatikan setiap lekuk tubuh mereka melalui pantulan itu. Tak kurang juga membelek-belek wajah mereka.

Masing-masing bercerita itu ini, tentang kecantikan rupa paras dan juga tubuh yang mereka cukup bangga punyai kini.

"Tiptop!"

"Pusing sikit!"

"Aku suka betul gaya jalan kau!"

Salah seorang peserta yang sedang memakai bathrobenya duduk di birai katil. Memandang mereka yang berborak dengan menadah beberapa pil di tangan sebelum menelannya.

Selain pil makanan tambahan, mustahil tak ada yang boleh mengagak satu dalam banyak-banyak botol tersebut adalah pil yang satu itu.

Pil kurus. Yang rata-rata peserta ratu cantik mengambilnya demi menyekat pemakanan mereka.

Begitu banyak wang yang dikeluarkan hanya untuk satu pertandingan ini. Membeli pelbagai suplemen tambahan hanya semata-mata mahu mendapatkan potongan badan yang kekal ideal.

Mereka tahu, dan sedia maklum akan bahayanya pil-pil itu. Tapi, bukan mudah juga untuk menjaga tubuh badan kalau tiada 'pembantu'. Ukuran badan mereka adalah yang tersangat penting bagi mereka untuk memenangi pertandingan ratu cantik ini.

Mereka juga tahu baru-baru ini, ada seorang peserta yang terpaksa menarik diri dari pertandingan ini kerana masalah kesihatan yang berubah kronik, berpunca daripada pil kurus yang diambil secara berlebihan.

Cuma, mereka takkan tahu sampai bila mereka akan begitu. Membiarkan isyarat perut mereka seolah-olahnya penuh dengan ubatan yang ditelan itu. Supaya mereka takkan berlapar sehingga malam. Jadi kuantiti makanan yang diambil akan bertambah kurangnya.

Walaupun makanan yang diambil mereka bukannya yang biasa. Dan hanya sekali sajian dalam sehari.

Makanan ruji? Rata-rata mereka tak langsung menyentuh nasi. Sayur dan buah juga tidak. Bagi mereka, asalkan perut kosong dan tak terisi, mereka mampu menjadi kurus. Air juga diambil dalam kuantiti yang sangat minimum.

Tapi, masih ada cara untuk menikmati segelas minuman manis yang berais dalam pada masih mampu menyekat makanannya. Yang juga diamalkan mereka setiap hari, setiap pagi.

Peserta itu tersenyum sendiri. Sambil bermain-main dengan gelasnya yang agak tinggi berisi jus oren yang sejuk itu.

Dia menarik laci. Sebelum dia mengeluarkan kapas-kapas dari dalam bekasnya.

Kapas-kapas itu kemudian dicelup perlahan-lahan ke dalam segelas jus oren tersebut sehingga basah keseluruhannya.

Dan, dengan perlahan-lahan juga, kapas itu ditelan masuk ke dalam rongga mulutnya. Membiarkan kapas itu 'dihadam' oleh sistem dalam tubuhnya sendiri.

Sebagai memberi isyarat kepada perut mereka untuk sentiasa berasa penuh, supaya mereka takkan berlapar setiap hari.

Kalau ditanya, ini sememangnya adalah rutin mereka. Yang pasti tak boleh ditolak.

Tapi, demi menjadi cantik, dia takkan mampu menolak. Cantik itu adalah 'jiwa raga' mereka. Menjadi cantik mengikut persepi masyarakat itu adalah 'cinta' mereka.

Dia perlahan-lahan bangun menuju ke jendela. Di sana, dia terlihat beberapa pejalan kaki yang lalu lalang bersama teman-teman mereka.

Matanya ralit memerhatikan bungkusan yang dijinjing oleh mereka dari tingkat atas itu. Yang tertera logo Pizza Hut pada plastik itu.

Senyuman nipis diukir.

Lihat saja gaya mereka. Sungguh bahagia dengan beg plastik itu. Bagaikan menang loteri.

Untungnya mereka. Tak punyai apa-apa tujuan, boleh menikmati apa saja yang mereka mahukan.

Untunglah.

------------------------------------------

LUAR jendela ditatap, melihat suasana terang yang mula membuaikan angin yang bertiup lembut.

Dalam pada sedang menikmati ketenangan itu, matanya kemudian kembali tertancap kepada skrin gajetnya.

Kepala artikel itu dibaca sekilas dengan senyumannya.

'Menghilangkan Diri Buat Seketika'

Pasti orang ramai akan bertanyakan lebih tentang kehilangan dirinya yang dikatanya sementara itu.

Dia memandang tubuhnya di dalam artikel itu. Dengan senyumannya buat kesekian kalinya.

Gambar itu adalah sebenarnya gambar lama. Yang sengaja diletakkan bagi mengaburi mata dunia. Atas permintaannya sendiri.

Sekarang, tak ada sesiapapun tahu keberadaannya. Maka, begitu banyak khabar angin yang ditiupkan kepadanya. Banyak pendapat-pendapat yang ada kalanya tak munasabah.

Namun, masih tak ada ada sesiapa yang tahu. Dan dia juga tak mahu menyebarkannya kepada umum.

Sedang dia mengelamun begitu, terdengar suara seseorang yang memanggilnya.

"Encik, makan ubat."

Dia berpaling, memandang jururawat itu dengan senyumannya.

Jururawat itu membantu pergerakan lelaki tersebut menuju ke katil. Dengan menolak kerusi roda yang didudukinya. Dua lagi jururawat yang lainnya mula memapah dirinya untuk berada di atas katil.

Dia memandang kesemua jururawat itu sekilas dengan senyumannya.

Sejak dia mengalami lumpuh separuh badan akibat penyakit misteri yang masih belum dikenalpasti, para jururawat di sinilah yang banyak membantunya. Sehinggalah para doktor dapat menemui penawarnya nanti. Kalau ada.

Tapi, dia yakin, penyakit lumpuhnya itu tiada penawar. Ini umpama satu penyakit keturunan sebelah ibunya. Makciknya, juga moyangnya juga tiba-tiba mengalami lumpuh yang sama. Semuanya secara tiba-tiba.

Dan, tak lama lagi penyakit lumpuh ini akan menular ke seluruh tubuhnya. Menjadikan dia hanya mampu terlantar sepenuhnya di atas katil.

"Encik, baring ya. Kami akan suntik lengan encik."

Dia menurut. Apabila tubuhnya direbahkan, dan tatkala dia mula merasai suntikan itu pada lengannya, dia memejamkan mata perlahan-lahan.

Dia masih lagi tampan. Masih lagi bertubuh sasa. Yang sentiasa menjadi idaman semua orang. Semua peminatnya. Sakit ini, langsung takkan mengubah susuk fizikalnya itu.

Cuma, hidupnya selepas ini akan lebih bergantung kepada manusia. Sepenuhnya.

Dalam pada dia ada kesemua yang manusia idamkan- tentang kecantikan rupa paras, tubuh yang sempurna-, dia mula kehilangan satu anugerah yang sangat berharga antara semuanya itu. Yang takkan pernah mampu dijual beli dengan apa-apa pun.

Daya, dan kudrat untuk berkerja sendiri.

Berbanding fizikal luaran yang sering dipuja-puja, sepatutnya semua manusia menghargai anugerah yang satu itu, bukan?

Dia menguntumkan senyumannya.

Ya. Semua orang sepatutnya hargai nikmat yang satu itu, sebelum terlambat.

Are you happy with yourself?

It's a soul that needs a surgery. -Beyonce, Pretty Hurts

Kuala Lumpur, Malaysia.
-Home For Imperceptible Love [8]
Tamat-

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro