X - Tahun Terakhir Kita

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DISEMBER 2015.

Suhu mencecah paras berkadaran hampir sifar darjah Celcius.
Empingan salji memenuhi bumi beriklim sejuk itu.

Tirai jendela perlahan-lahan diselak. Hanya memancarkan sedikit cahaya yang terang benderang dalam keheningan malam itu.

Dari sudut pandangannya, terdapat beberapa orang yang lalu-lalang di hadapan rumah yang didiaminya. Sedang bergembira menikmati pesta bersempena Hari Krismas yang berlangsung dalam kawasan perumahan itu.

Kot tebal tersarung pada tubuh masing-masing. Pada leher mereka, terdapat skarf merah yang berkait tebal yang dililit kemas. Umpamanya mahu menampung sebeban berat kepala mereka daripada terseliuh.

Dimisalankan andainya tiada skarf itu maka tiadalah mampu kepalanya tegak sendiri.

Senyuman wanita itu terukir. Memang acapkali dia suka berimaginasi begitu. Apabila bersendirian, pelbagai perkara di luar akal menjadi mainan mindanya.

Dan dia selalu sebenarnya terasa bersendirian.

Jam di dinding ditatap sekilas, sebelum dia kembali melemparkan pandangan ke arah luar.

Hari itu, memang merupakan hari berhibur buat mereka. Pesta besar-besaran telah diadakan bagi memeriahkan suasana Hari Krismas tersebut. Kawasan perumahannya akan terang bergermelapan, dan menjadi tradisi buat para penduduk untuk memakai skarf berwarna merah sepanjang malam itu.

Kata penduduk di situ, merah melambangkan cinta. Ada yang berkata simbolik skarf merah itu melambangkan pertalian darah antara mereka yang kukuh dan bersatu.

Dalam leka melihat suasana riuh di luar, senyumannya tiba-tiba termati apabila terpandangkan jam di dinding bilik itu sekilas.

Imaginasi dan perasaan yang terbuai-buai tadi terus terhenti apabila mengingatkan sesuatu, yang mustahak.

Suami masih belum pulang dari kerjanya. Sedari tadi, tanpa langsung membawa apa-apa berita.

Dia menelan liurnya sambil menghitung detik yang berlalu dari masa yang sepatutnya suaminya dikhabarkan pulang.

Adakah ini merupakan satu petanda? Bisiknya dalam hati.

Dia merenung kembali jam yang berdetik itu. Sekejap dua, hatinya mula berasakan sesuatu.

Suaminya tidak akan lambat tanpa sebab. Sedetik pun, suaminya tidak pernah lambat. Baik dari pemikirannya mahupun tingkahlakunya.

Jam ditatap sekilas buat kesekian kalinya.

Adakah dia harus pergi keluar sekarang?

Mata dipejamkan sekejap, sebelum dia mula tekad.

Wanita itu lantas menutup tirai dengan cepat dan mula berpaling. Langkah laju diatur menuju ke almari bilik itu, menyelongkar satu persatu isinya.

Puas berjumpa dengan skarf berwarna merah itu, dia pantas berlalu kemudiannya ke meja solek.

Rambutnya yang agak serabai dirapikan kemas dengan jemarinya. Wajahnya diperhatikan dari pantulan cermin itu. Begitu melihat cela yang agak banyak pada wajahnya, dia lantas mengenakan mekap yang agak tebal dengan cepat. Bibirnya mula dioles dengan gincu yang berwarna agak pekat.

Tanpa membuang masa, skarf merahnya segera dicapai sebelum dia melangkah dengan laju menuju ke pintu rumahnya.

Tombol pintu itu kemudian dicapai sebelum dia terhenti sejenak, dan tatkala itu, mulalah satu persatu perkara kembali bermain-main dalam mindanya.

"Tunggu."

Apabila mendengar sorakan riang sekumpulan kanak-kanak yang sedang melintasi luar rumahnya, dia terus tersedar. Tangannya kembali ditarik.

Gusar, cuak, resah dan perasaan ragu-ragu yang menebal mula bermain-main dalam dirinya.  Bergaul sebati dalam jiwanya.

Dari tingkap di tingkat bawah, dia melihat lagi ke arah luar jendela setelah tirai diselak. Sepasang kekasih yang sedang berbual mesra kini melintasi rumahnya.

"Wait for me to come back."

Seketika teringat kata-kata itu, dia terus menutup jendela dan berlalu ke sofa di ruang tamu itu.

Bibirnya diketapkan agak kuat, dan apabila digigit, hampir hilanglah gincu yang dipakainya tadi.

Dia menghampiri tingkap sekali lagi. Suasana yang tadinya riuh semakin memperlihatkan kerumunan para penduduk yang mula berjalan pantas menuju ke satu arah. Tanpa mempedulikan itu, wanita  tersebut kemudiannya terus bangun dan menuju ke bilik. Gincu yang dipakai mula dibuang, lalu terpaparlah bibir semulajadinya yang memerah itu.

Tatkala itu, dia terdengar ketukan di pintu. Begitu mengejutkan dirinya, sehinggakah membuatkan jantungnya umpama berhenti detaknya seketika.

Suaminya sudah pulangkah?

Dia melihat cermin, dengan mekap yang masih belum ditanggalkan. Segera dia mencapai tisu berdekatan untuk menghilangkan semuanya namun semakin kuat pula ketukan pintu yang berkali-kali tersebut, membuatkan niatnya terus terbatal.

Dia berjalan pantas dengan jantung yang sungguh berdegup-degup laju dan teramat kencang menuju ke anak tangga dan mula menghampiri pintu rumah itu.

Tanpa lengah, pintu itu dibuka. Dan begitu mengejutkan wanita itu adalah apabila melihat dua orang penduduk yang berdiri di hadapannya kini. Mereka kelihatan mengah, seperti baru lepas berlari.

"Mrs. Michael?" Soal salah seorang penduduk tersebut.

Terpapar juga riak yang berbeza dari wajah kedua-kedua penduduk itu yang kemudiannya saling berpandangan antara satu sama lain apabila melihat wanita tersebut.

"Ya." Balas wanita itu.

Mereka kembali berpandangan sebelum salah seorang penduduk itu berkata.

"Suami puan kemalangan di jalan raya besar sana. Mungkin ketika dia dalam perjalanan ke rumah ini."

Tatkala itu, jantung wanita tersebut terus umpama terhenti detaknya.

"A–apa?"

"Ya. Ambulans masih dalam perjalanan, jadi mayatnya masih ada di sana. Baru terjadi tadi, jadi kami terus dapatkan puan di sini. "

Wanita itu masih terpempan.

Serasanya masih terngiang-ngiang kata-kata suaminya tentang kepulangannya hari ini. Namun hari ini, khabar yang didengarinya begitu berbeza.

Suaminya kini masih pulang, namun yang tinggal hanyalah jasadnya.

Apakah benar semua ini?

Oh, apakah benar yang didengarinya sekarang ini?

"K–kalian berdua pastikah?" Soal wanita itu, separa gagap.

"Ya, puan. Mayatnya masih belum dibawa pergi." Balas si penduduk.

Dalam pada mendengar jawapan itu, matanya mula bergenang hebat.

Ini bukan mimpi. Bukan jua imaginasi yang dulu selalu direka sendiri.

Agak lama dia berdiri tanpa berkata sekelumitpun di situ, dengan persoalan-persoalan yang bermain dalam mindanya, penduduk tersebut mula menegurnya sekali lagi.

"Puan?"

Wanita itu memandang kedua-dua penduduk itu dengan liur yang ditelan. Umpama masih sedang menghadam semuanya.

Tatkala itu, air matanya mula gugur. Membasahi pipinya, sebagai tanda tidak terduga akan kejadian yang tidak disangka-sangka itu.

Dalam pada itu, dia mengelap pantas air matanya yang hampir saja merosakkan segenap mekap di bahagian pipinya.

"Puan, kalau mahu, kita boleh bawa puan ke tempat kejadian. Atau mungkin puan..."

"Bawa saya ke sana." Terus wanita itu berkata.

"Puan pasti? Puan ok?"

Nafas ditarik sedalamnya. Liur itu ditelan sekali lagi.

"Tolong bawa saya ke sana." Ujar wanita itu, buat kesekian kali. Tidak mahu berlengah, kerana dia harus memastikan apa yang dilihatnya kini.

"Puan pasti puan ok?"

"Ya, ya. Sekejap."

Air mata dilap buat terakhir kalinya di hadapan mereka. Nafas dibetulkan, dia berdehem sebentar.

Tanpa membuang masa, wanita tersebut terus mencapai kunci rumah dan menutup pintu rumahnya sementelah dia melangkah keluar.

Ketiga-tiga mereka kemudian berjalan pantas menuju ke tempat kemalangan itu.

Dapat perempuan itu lihat suasana sekeliling yang begitu meriah dengan lampu-lampu terang yang menyala dengan warna warni, yang sentiasa menjadi impiannya untuk merasai kemegahan warna-warna berkilauan itu saban hari.

Oh, bukankah dia harusnya menyambut hari ini? Itu yang terlintas dalam fikirannya.

Itu bukankah impiannya selama ini? Jadi mengapa dia harus berasa kalut kali ini?

Tatkala persoalan itu membenam mindanya, suasana yang bergasak itu mula menyedarkan wanita tersebut. Sekelilingnya
kini ditutup dengan ramainya penduduk yang mula berpusu-pusu menuju ke tempat  kemalangan itu.

"Siapa yang kemalangan? Penduduk kitakah?"

"Adakah dia baik-baik saja?"

Pelbagai soalan sempat didengar wanita itu ketika berjalan pantas. Hampir saja dia terlepas dari pandangan dua orang penduduk yang tadinya datang menemuinya.

Dalam pada itu, matanya tertancap pada skarf-skarf merah yang dipakai oleh para penduduk yang padat dan sesak itu. Seolahnya membuatkan dia terbuai-buai dan terikut-ikut dengan arah tujuan mereka.

Tapi tujuan mereka sebenarnya sama, bukan? Mereka mahu melihat noktah kemalangan itu, sepertinya.

Tidak. Tujuan asal mereka yang sebenarnya sama– mahu menyambut hari itu dengan bahagianya. Sangkal sebelah hati wanita tersebut.

Dia sempat melihat skarf merah yang melilit lehernya.

Skarf lusuh itu masih tetap menampakkan warna yang sama merah seperti mereka walaupun sedikit pudar. Bahkan, dia kini sedang berada dalam hingar bingar suasana kecoh itu, bersama mereka.

Bukankah sekarang mereka dikira bersatu dan bersama? Dalam kelompok yang sama?

Juga, bukankah ini niatnya? Mahu turut menyertai mereka bersama-sama pada malam itu? Mahu berhibur bersama hingga usai pesta itu dijalankan?

Ini kan, impiannya?

Suasana yang semakin riuh mula padat dengan para penduduk, membuatkan wanita itu terpaksa lupakan soalan-soalan tersebut. Asakan-asakan manusia semakin membuatnya hilang arah. Pun begitu, skarf merah di yang dililit sama pada leher mereka masih diperhatikan.

Matanya mula melilau sekeliling sebelum dia terdengar namanya dipanggil.

"Sini, Mrs. Michael!"

Dia terasa bahunya ditarik oleh salah seorang penduduk yang tadinya datang ke rumahnya. Tanpa lengah, dia hanya menurut.

Di penghujungnya, umpama terbentang jalan luas untuknya, dia dibawa berjalan sambil orang-orang sekeliling mula memberi laluan.

Sehinggalah akhirnya pandangan wanita itu mula tertancap pada sekujur tubuh yang terbaring di tepi jalan.

Yang sudah terbujur kaku dan tidak lagi berdaya seperti selalunya.

Matanya terkebil-kebil, menyaksikan apa yang dilihat di hadapan matanya. Cuba memastikan kesahihan apa yang dilihatnya.

Itu, suaminyakah?

Itu, benar-benar suaminyakah?

"Mrs. Michael?" Panggil penduduk yang lainnya.

Pandangannya beralih kepada wajah penduduk tersebut.

Menghadirkan riak penduduk itu yang mula berubah, seperti dua penduduk sebelumnya.

"Dia kemalangan ketika melintas jalan tadi. Ini kes langgar lari." Seorang penduduk yang lainnya mula menyampuk.

Wanita itu terus-menerus memandang mayat yang terbujur tersebut.

Benarkah begitu?

Dia sudah "tiada"kah?

Tubuhnya mula terketar-ketar. Tidak mempercayai apa yang dilihatnya.

Dengan perlahan-lahan, satu persatu langkahnya dituju ke arah tubuh tersebut.

Dia melutut perlahan-lahan. Memerhatikan segenap darah yang membasahi wajah lelaki yang juga merangkap suaminya itu.

Tangannya yang sedari tadi menggeletar hebat itu mula menyentuh pipi suaminya.

Sejuk. Dingin. Umpama ais, dan salji yang turun ketika saat itu.

Matanya kembali berkaca-kaca. Bergenang dengan hebat, lebih-lebih lagi apabila melihat kawasan lengang, tempat kejadian kemalangan di hadapannya.

Air matanya mula merembes laju.

Orang lain mula mendapatkan dirinya. Menenangkan dirinya apa adanya.

"Sabarlah. Tuhan lebih sayangkannya." Pujuk mereka yang mula memeluk wanita tersebut.

Tatkala itu, wanita tersebut sudah menangis dengan kuatnya di situ.

"Sabar, sayang. Kamu harus kuat."

Tapi, wanita itu seolahnya tidak mendengar pujukan tersebut. Malah dia mula menangis semahunya di situ, meluahkan segala yang bersarang dalam hatinya.

Yang telah mendatangkan luluhnya hati orang sekeliling yang melihat insiden itu. Mengalirkan air mata warga penduduk yang menjadi saksi kisah memilukan tentang hari terakhir pasangan itu.

Bagaikan jua memahami sedalamnya perasaan wanita yang baru sahaja kehilangan suaminya pada malam Krismas tersebut.

Air mata yang lain semakin berlinangan tatkala mendengar raungan wanita itu. Lebih-lebih lagi apabila mendengar ucapan memanggil Tuhan yang terbit dari bibir merah wanita tersebut.

"Tuhanku! Tuhanku!"

Bibirnya yang semakin memerah disebabkan pecah dan sering berdarah dahulunya itu hanya mengulang-ulang menyebut itu. Tidak mempedulikan pedih apabila bibirnya mengoyak untuk mengucapkan itu.

Dia kembali menatap mayat suaminya itu. Wajah yang masih berlumuran darah itu terpalit bekunya di situ. Dingin, seperti ketulan ais dan kepingan salji yang semakin menghujani mereka semua malam ini.

Sungguh dingin, seperti perbuatan lelaki itu padanya selama ini.

"Tunggu aku balik. Kalau aku balik dan kau tak ada dalam rumah ni, mati kau aku kerjakan. Faham?"

"Selagi kau hamba di bawah aku, jangan harap kau boleh hidup senang lenang."

Air mata kian membasahi pipi, yang kini mula melunturkan mekap pada wajahnya.

"Tuhan! Tuhanku!"

Masih mengulang, dalam pada mekapnya mula menampakkan kesan comotnya.

Memperlihatkan wajah asalnya dengan kesan biru pada hujung matanya dan merah gelap pada pipinya.

Kerana sesungguhnya, di balik tangisannya ini, ada sejuta perasaan baru yang hadir buatnya.

Nafas baru. Buat wanita sepertinya.

Tiada lagi yang akan mendera dirinya, mengurungnya dalam rumah sendirian untuk menyembunyikan kezaliman diri sendiri.

Tiada lagi yang akan mengugut merentap nyawanya dengan cara paling kejam, bahkan tiada lagi yang akan mencacatkan wajah juga badannya dengan kesan-kesan terajang dan hentakan kuat.

Dia tidak perlu lagi bersembunyi. Tidak perlu lagi takut-takut keluar rumah untuk menyapa jiran-jiran sekeliling, dek kehuatiran diri sekiranya perbuatan hina lelaki durjana itu dibongkari.

Dia tidak akan perlu lagi menghitung detik pemergian suaminya ke kotaraya luar negeri, hanya kerana mahu mencuri-curi keluar rumah tanpa izin, demi menyaksikan dunia luar yang sungguh diidaminya.

Tatkala ada yang sedang mententeramkan dirinya dengan kata-kata memujuk kerana menyangkakan dia begitu bersedih dengan kehilangan suaminya, dia terdengar pula akan soalan lain dari orang yang lainnya.

"Muka dia teruk macam tu kenapa?"

Dan kini, dia tidak akan berselindung lagi. Tidak, dia tidak akan sebegitu lagi.

Dari sudut itu, apabila dia menoleh ke tempat kejadian, kelihatan salji-salji memutih yang sudah berubah warnanya menjadi merah yang sangat gelap akibat disimbah darah si mati. Seperti pewarna merah yang sengaja dicurah ke atasnya.

Atau, merah seperti strawberi yang ranum masaknya ketika musim panas tiba.

Itu apa yang difikirkannya tatkala itu.
Itu adalah semanis-manis umpama yang mampu digambarkan ketika itu.

Kali ini, dia masih berimaginasi sendiri, namun imaginasi ini adalah seindah-indah imaginasi yang pernah terlintas dalam mindanya.

Tangisan penuh kesyukuran itu mula menghadirkan sejuta kelegaan dalam dirinya.

Sesungguhnya doanya selama ini untuk bebas dari kerakusan manusia terjawab. Dalam dia mendoakan si pemangsa itu menjauhi, telah datang pertolongan yang hakiki dengan mematikan empunya diri.

Tahun seterusnya, dia tidak perlu membayangkan suaminya tidak akan pernah kembali ke rumah lagi. Berilusi bahawa suaminya tidak mengasari, bahkan tidak perlu lagi dia menebak sama ada suaminya akan pulang untuk memukulnya atau masih berhibur di luar sana dan memabukkan diri.

Kerana tahun ini sesungguhnya, adalah tahun terakhir suaminya berada di sisi.

Dan ini juga tahun terakhir dia menjadi mangsa dera kepada seorang suami.

.
"When everything had lost, the future still remains."
.

United Kingdom, Europe
—Home For Imperceptible Love [10]
Tamat—

----------------------

Cuba mengarang satu cerita daripada lirik lagu yang bermaksud sangat tersendiri, jadi ini ialah
White Winter Hymnal nyanyian Fleet Foxes (yang dinyanyikan semula oleh Birdy dan Pentatonix), sebuah lagu yang mempunyai maksud tersirat yang tak pernah diperjelaskan isinya.

I was following the,
I was following the pack of all swallowed in their coats,
With scarves of red tied on their throats,
To keep their little heads from falling in the snow,
And I turned around and there you go,
And Michael you would fall,
and turn the white snow
red as strawberries in the summertime








Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro