XI - Up, O Dear

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

KATA ibu, aku anugerah yang teristimewa. Aku bukan normal, tetapi aku adalah lebih dari itu -luar biasa, unik.

Hati aku terkadang berasakan itu cuma hiperbola darinya, kerana kali pertama aku mendengar ucapan memuji yang berulang-ulang itu adalah ketika aku berumur 16, sedang aku adalah satu antara sepuluh manusia yang terselamat dalam kemalangan tragis ketika itu, dengan kecederaan yang sangat parah.

Akibatnya, fizikal aku memperlihatkan kecacatannya. Disebabkan itu, aku secara tak langsung sudah terasing dari kawan-kawan yang lain.

Itulah yang membuatkan aku diselubungi rasa rendah diri. Yang membuatkan satu persatu minatku menghilang, termasuklah bermain alat muzik kegemaranku–cello.

Aku tidak banyak bicara di sekolah setelah kejadian itu. Ada yang cuba mendekati aku, tapi akhirnya mereka sendiri berputus asa. Kata mereka, susah benar mahu berinteraksi denganku.

Pulang dari sekolah, aku selalu menangis kerana hal tersebut. Kerana kecacatan kekal yang aku ada.

"Hai, semua. Ini aku. Nama aku, Sara." Kataku sambil menggerakkan tangan ketika berdiri di hadapan cermin itu.

Suasana terus berubah sepi.

Nafas dihela, berat.

Mata aku pejamkan seketika, sebelum aku menoleh dan terpandangkan cello kesayanganku yang sudah lama tidak diusik, malah sudahpun disimpan ke dalam sarungnya dan hanya disandarkan pada sudut bilik itu.

Langkah aku mula hampiri padanya namun tak sampai beberapa tapak, aku terus berhenti.

Melihatkan instrumen itu dari jauh, mataku mula bergenang.

Bagaimana mungkin aku menyentuhmu lagi? Bisik hatiku sendiri.

Nafas aku tarik, menahan sebak dalam hati.

Ketika itu, air mata aku mula mengalir perlahan. Semakin aku tahan, semakin jua ia mengalir pantas.

Di situ, aku akhirnya terus menangis sendiri.

Meluahkan rasa hampa dalam diri.

----------------

HUJUNG minggu ini, seperti biasa, aku hanya menghabiskan masa di taman berdekatan– sebagai tabiat. Juga tak lupa earphone yang sentiasa disumbat dengan tahap bunyi yang maksimum.

Aku rasakan semuanya hanya biasa saja. Aku fikirkan begitu.

Namun, hari ini agak sedikit berbeza dengan kebiasaan hujung minggunya. Apabila tempat aku bersendiri tiba-tiba diduduki seorang lelaki yang langsung aku tak pernah lihat sebelum ini.

Aku terus membuka buku notaku tanpa mempedulikannya lagi. Walaupun dalam hati sebenarnya, aku terasa sedikit kekok dengan situasi ini sebab cuma ada kami berdua di sini. Dan aku tak pernah sekalipun berdua dengan sesiapa.

Jarak aku ambil semakin jauh. Tatkala aku menyelak muka surat baru untuk menulis sesuatu, aku terpandangkan helaian yang berupa barisan not-not akan lagu yang aku cipta sendiri dahulunya, untuk dimainkan bersama celloku.

Dulu, sebelum kemalangan itu, aku gemar mencipta lagu sendiri dan memainkannya bersama celloku.

Melihat not-not muzik dalam buku notaku, terus aku menyanyi kecil perlahan, tanpa membuka mulut. Membiarkan getaran pada kerongkongku menjadi tanda bahawa aku sedang membunyikan not tersebut.

Hujung jari kakiku hentak perlahan. Sebagai tempo kepada not muzik yang aku mainkan dengan bibirku.

Ketika ralit, aku terasa seperti dia curi-curi memandangku.

Terus aku berhenti dari perlakuan tersebut.

Kuat sangatkah? Bisik hati aku sendiri.

Bila aku menjelingnya dengan ekor mata, aku terlihat dia memandang aku tanpa berkalih.

Aku terus menundukkan diri. Terus kemudiannya aku berlalu dengan cepat meninggalkan dirinya yang kelihatan terpinga-pinga.

Sungguh, aku pun tak tahu mengapa aku begitu.

Esoknya, aku berjalan sekali lagi menuju ke taman yang sama, tempat biasa. Dengan lagu yang terpasang di telinga dengan kuatnya.

Di situ, dari jarak itu, aku terlihat dia sekali lagi di tempat yang sama.

Mengenangkan kejadian semalam, aku tiba-tiba diserbu rasa segan. Terus aku memalingkan tubuh dan pantas mahu berlalu.

Namun secepat itu, aku terpandangkan dia yang tersenyum memandangku dan mula melambaikan tangan.

Aku melihat dia sepintas sebelum melihat belakangku. Mana tahu, kalau dia menegur orang lain.

Apabila aku menoleh kepadanya, aku terlihat dia ketawa.

Aku rasa dia gila. Lebih membuatkan aku rasa dia gila adalah apabila dia lantas memanggilku untuk datang kepadanya. Macam dah lama berkenalan.

Tapi, aku lagi gila. Sebab aku mula berjalan kepadanya.

Sepi kian hadir antara kami setelah aku mengambil tempat dan jarak yang agak jauh di sebelahnya.

Begitu berasakan dia tidak mengangguku, aku berasa lega juga. Namun, semua itu tak lama.

Dia mencuit-cuit bahuku kemudian, memaksa aku memandangnya.

Ada yang dia katakan, tapi langsung aku tak mendengarnya. Lalu muka kosong aku pamerkan.

Kelihatan dia tertawa sendiri lagi sebelum mengisyaratkan agar earphone aku dicabut. Mungkin dia mahu berbicara sesuatu denganku.

Aku pantas menggeleng. Dia mengangkat keningnya, tanpa 'mengapa'.

Aku hanya menggeleng lagi.

Dia kemudian mula mengeluarkan sekeping kertas kecil lalu menulis sesuatu di atasnya.

Kertas itu dihulur buatku kemudiannya.

'Zed.'

Aku memandangnya, agak lama.

Ini dikira sebagai sesi perkenalankah?

Tapi, aku tak berkawan.

Tatkala aku menoleh dan diam kemudiannya, dari ekor mata, aku lihat dia menulis lagi sebelum diserahkan kepada aku.

'Lagu awak pasang kuat betul.'

Bila aku pandang wajahnya, aku terlihat dia tersenyum.

Aku melihat skrin telefon bimbitku. Tahap suara yang terpapar aku perhati.

Macam biasa, yang paling maksimum.

Dia menulis. Kali ini, aku lihat dia umpama begitu lambat dengan pergerakannya. Tangannya terketar-ketar, membuatkan aku tak ralit memandangnya.

Akhirnya, dia terus berhenti. Kertas itu disimpan ke dalam poket bajunya. Wajahku dipandang sekilas dengan senyuman.

Dia terus memusing tubuh sepenuhnya menghadap aku.

‘Awak reti bahasa isyarat?’

Melihat dia yang bermain-main dengan jemarinya untuk bertanya itu, aku terus mengangkat kening.

"Awak tahu?" Soalku. Terkejut juga bagaimana dia boleh belajar itu.

Dia mengangguk.

‘Saya sekolah khas dulu. Dan universiti khas sekarang.’

Balasnya dengan isyarat tangan sambil membuka mulutnya juga, persis aku.

Oh, patutlah.

"Tapi, kenapa?" Soal aku.

Dia menggerakkan jari dan bibirnya lagi.

‘Saya cacat.’

Kening aku terangkat.

Tangannya ditadahkan kepada aku, dan aku lihat tangannya yang masih bergetar itu.

Aku memandang wajahnya. "Parkinson?" Soal aku.

Dia berfikir sejenak.

‘Tak seberapa tepat. Tapi, awak boleh anggap begitu. Lebih mudah faham.’

Aku terpempan. Benarkah? Umurnya masih muda, bukan?

"Awak masih boleh menulis? Memegang benda?" Soal aku.

‘Kadang-kadang, perlukan bantuan.’

Aku kemudiannya mengangguk tanda faham.

Kasihan juga melihatnya. Tadinya, aku lihat sendiri bagaimana sukarnya dia mahu menulis dengan tangannya yang tiba-tiba terketar-ketar itu.

Sedang mengelamun, aku terasa bahuku dicuit. Terus aku memandangnya.

‘Awak tak boleh mendengar?’

Mataku menatap dia tanpa kelip.

"Kenapa?" Soalku, kemudian.

Dia tersenyum sebelum wayar earphoneku yang dicabut itu diangkat.

Aku membulatkan mataku. Terus aku lihat telefon bimbitku.

Bila masanya?

Dia mencuit bahuku, mengambil perhatian aku sendiri.

‘Awak guna bahasa isyarat sambil bercakap.’

Aku mencebikkan bibir apabila melihat senyumannya itu.

‘Betul awak tak boleh dengar?’

Soalnya, meminta kepastian.

Aku hanya tertunduk sambil mengangguk kecil.

Apabila aku mengangkat wajahnya, terus aku menatap dia. Bersama senyumannya yang lebar dan kelihatan teruja.

‘Tak apa. Kita masih boleh berbual macam biasa! Awak tahu bahasa isyarat, kan?’

Melihatkan dia dengan tawa kecil yang menyusul, membuatkan aku tak beralih dari memandangnya.

'Macam biasa'. Lama tak dengar perkataan itu.

‘Jom berkenalan? Kita boleh jadi kawan. Nama awak apa?’

Sepi sejenak. Aku menelan liurku.

Dalam berkira-kira sendiri, akhirnya perrlahan-lahan, aku membuka mulut.

"Sara."

Pertama kali aku memperkenalkan diri aku di hadapan seseorang begitu.

Air liur aku telan.

Ketika aku menoleh, aku lihat dia tersenyum yang sangat lebar sambil tangannya dilambai kecil padaku.

‘Hai, kawan.’

Siapa sangka, perkenalan itu akhirnya membawa kepada keakraban kami secara tak langsung.

Hari ini, dia mengajakku ke luar. Katanya, sengaja mahu meluangkan masa berdua denganku. Dia bosan sendirian.

Aku mengekorinya ke satu tempat demi satu tempat yang agak rawak. Dari kedai roti hinggalah ke kedai alat muzik.

‘Saya nak tempah gitar keluaran terbaru untuk kawan saya. Sebagai hadiah.’

Aku hanya mengangguk faham. Ketika dia berurusan dengan pengurus kedai itu, aku memandang sekeliling kedai tersebut sebelum terpandang cello yang bersusun di suatu sudut.

Langkahku atur ke sana. Dengan perlahan-lahan, badan cello itu aku sentuh.

Aku ingin mendengar bunyimu lagi.

Perlahan, aku memejamkan mata.

Mulutku ditutup, membunyikan getaran melalui tekakku, sambil kakiku mula dihentak perlahan.

Agak lama juga aku menyanyi kecil begitu. Ketika aku membuka mata, tiba-tiba aku tersedar dia yang sudah berdiri di sebelah aku.

Terus aku diam. Malu pula.

‘Awak main cello?’

Dia bersoal.

Soalan itu tak berjawab. Aku hanya sepi di situ, sebelum dia menambah lagi.

‘Saya pernah nampak not-not muzik dalam buku awak masa kali pertama kita jumpa.’

Aku terus tersenyum nipis apabila mengetahui itu.

"Dulu."

‘Sekarang?’

Geleng. "Saya tak boleh mendengar apa-apa. Bagaimana mahu bermain?" Soalku. Hampa namun aku berjaya menutupnya dengan senyuman.

Dia hanya diam dengan jawapan aku. Mungkin berasakan ada relevannya jawapanku tadi.

Kami terus berjalan bersama-sama menuju ke luar kedai itu, sebelum tak lama kemudian, aku terasa langkahnya umpama tak teratur seperti biasa.

Apabila dia hampir jatuh, segera aku sambut lalu aku papah ke bangku berdekatan.

"Kaki awak kenapa?" Soal aku.

‘Tak tahan berjalan lama.’

"Saya dah tahan awak dari tadi, tapi masih nak berjalan." Ujar aku. Sememangnya aku lakukan itu, sebab aku terlihat perubahan corak langkahnya dari tadi.

Dia tertawa.

‘Teruja bila dengan awak!’

"Jangan merepek. Kita bukannya tak selalu keluar bersama." Balas aku sambil menjeling manja.

Dia tertawa lagi.

Suasana sepi sejenak sebelum dia mula menggerakkan tangannya.

‘Awak nak tahu satu benda tentang saya?’

"Apa dia?" Soal aku.

‘Kalau awak makin kerap berduaan dengan saya, saya akan lebih banyak susahkan awak.’

"Sebab kaki awak?"

Dia mengangguk.

‘Badan saya selalu kebas tiba-tiba. Jadi, saya terpaksa banyak berhenti.’

Aku diam sejenak sebelum tersenyum.

"Saya boleh tolong temankan awak."

Dia memandang aku agak lama sebelum mengukir senyumannya.

‘Kalau awak rasa terbeban, awak boleh terus-terang saja. Saya tak kisah.’

Aku lantas menggeleng-geleng. "Tak! Tak! Saya serius suka kalau dapat temankan awak. Kalau awak penat, awak boleh minta saya hantar awak balik, ok?"

Dia tertawa kecil sebelum mengangguk-angguk.

Aku sempat meliriknya yang sedari tadi memandang aku.

"Ada apa?" Soalku.

Dia mengukir senyuman.

‘Teringatkan lagu yang awak mainkan tadi.’

"Kenapa?" Soal aku.

‘Nadanya unik. Rasa macam bukan ciptaan yang sememangnya ada.’

Aku jeda seketika sebelum tersenyum nipis.

"Itu rekaan saya sendiri. Dan yang tak saya habiskan." Balas aku.

Suasana sepi seketika sebelum aku terus bertanya.

"Awak bermain muzik juga?"

Dia diam sejenak sebelum membalas.

‘Sebenarnya, ya. Tapi sekarang susah sikit buat saya. Jadi, saya dah tak bermain.’

Aku melihatnya. Tangannya yang berketar itu mula kelihatan.

Senyum aku ukir lemah.

"Saya faham." Balas aku.

Dia tertawa.

‘Tak apalah. Bukan hal besar pun.’

Kami saling berpandangan. Dia kemudian perlahan menepuk-nepuk bahu aku.

‘Masih banyak cara lain untuk belajar. Kita masih manusia juga, kan?’

Wajahnya tersenyum girang mengatakan itu. Seperti biasa.

Seperti biasa. Yang dia takkan pernah berasa berat akan kekurangannya.

Meski beberapa hari kemudian, apabila aku kembali berjumpa dengannya di tempat biasa, aku lihat dia sudah berkerusi roda.

Terus aku mendapatkan dia yang masih menguntumkan senyuman untuk aku hari itu.

"Awak ok?" Soal aku.

Dia mengangguk.

‘Terpaksa berkerusi roda. Saya tak boleh berjalan elok sangat hari ini.’

"Kenapa? Sakit sangat?"

Dia menggeleng.

‘Cuma takut terjatuh nanti, awak tak sempat sambut. Awak tak cukup gagah untuk angkat saya nanti.’

Sempat dia ketawa kecil, bergurau.

Aku hanya mencebik. Main-main pula.

‘Jangan risau. Saya lebih selalu sebenarnya berkerusi roda berbanding jalan kaki.’

Wajahnya aku pandang. Belum sempat aku berkata lanjut, dia terus mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya.

‘Untuk awak.’

Dia menghulurkan kepingan kad itu.

Aku mencapainya perlahan-lahan lalu aku baca.

Undangan ke Persembahan Orkestra Nasional 2017

Wajahnya aku tatap.

"Mana awak dapat undangan ini?" Soalku.

‘Kawan yang saya belikan alat muzik tempoh hari. Dia akan buat persembahan untuk ini.’

Aku mengangguk tanda faham.

‘Boleh awak pergi?’

Wajahnya aku tatap, berfikir.

Apa gunanya aku pergi? Aku takkan mampu dengar apa-apa. Bahkan, keberadaan aku ke sana nanti membuatkan hati aku jadi semakin rawan.

Sebab dulu, aku terlalu ingin menjadi sebahagian daripada mereka.

‘Saya takkan paksa. Tapi di sana ada sesuatu yang khas untuk awak. Saya jamin, awak takkan menyesal.’

Dia mula memberi janji.

"Saya harus berfikir dahulu." Balas aku, kemudiannya.

Dia tersenyum.

‘Saya tunggu awak di sana.’

"Saya tak janji."

Dia tertawa.

‘Saya tahu. Saya takkan desak awak.’

Aku mengalihkan pandangan pada kad jemputan itu.

Suasana sepi seketika sebelum dia mengalihkan perhatianku.

‘Awak tak mahu main muzik lagi?’

Aku menggeleng.

"Tak."

‘Sebab awak tak boleh mendengar melodinya lagi?’

Aku diam sejenak. "Hmm."

Dia mengukir senyumannya.

‘Awak patut tengok persembahan orkestra kali ini.’

Aku mengangkat keningku. "Kenapa?"

‘Dia ajarkan awak untuk mendengar muzik menggunakan hati, bukan telinga.’

Aku hanya menyepi.

‘Saya harapkan awak dapat pergi. Untuk awak raih pengalaman sendiri.’

Itu adalah kata-kata terakhir yang ditujukan buat aku sebelum tiba tarikh persembahan tersebut.

Hari itu, dalam rasa berbelah bahagi antara permintaan dia dan penolakan aku, sedar tak sedar aku sudahpun berada di hadapan dewan yang gah itu.

Jam aku lihat sekilas.

Katanya, sudah ada tempat yang disediakan untuk aku. Dia juga sudah menunggu aku di dalam.

Aku melihat kawasan yang agak bersesak dengan kehadiran ramai penonton. Tapi, itu masih lagi biasa buatku.

Yang berlainannya adalah apabila aku lihat rata-rata yang hadir adalah dalam kalangan yang berkerusi roda, yang bertongkat sebagai arah jalan– yang lain dari yang biasa.

Atau dalam erti kata lain, yang kurang upaya.

Sedangkan apabila mereka berkomunikasi dengan penjaga pintu itu, bahasa isyarat digunakan sebagai perantaraan.

Dalam rasa pelik itu, aku berjalan jua menuju ke arah pekerja tersebut. Kad tersebut aku suakan kepadanya.

‘Kamu pelajar universiti mana? Boleh lihat kad pelajar kamu?’ Soalnya dalam bahasa isyarat tangan. Langsung tidak kekok.

Kening aku angkat seketika.

Oh, ini persembahan antara pelajarkah?

Aku menggeleng.

"Saya bukan pelajar mana-mana. Saya sebenarnya diajak kawan ke sini." Kata aku sambil menunjukkan kad undangan yang aku dapat.

Dia melihat sekilas kad tersebut. Segera dia memanggil beberapa petugas yang lain.

Disebabkan mereka berkomunikasi dalam butir bicara biasa, aku tak dapat mengagak apa yang diperkatakan. Cuma nama Zed ada disebut berdasarkan gerak bibir itu.

‘Selamat datang dan silakan, cik. Sila ikut kami, ya.’

Aku terus diajak masuk tanpa lengah sambil diiringi dua orang pembantu ke dalam dewan itu.

Agak janggal juga kerana aku tak kenal sesiapa di sini, dan layanan para petugas yang sangat bagiku adalah....pelik? Sepertinya aku adalah tetamu VVIP.

Tak mahu ambil pusing, aku lantas mengambil tempat seperti yang disediakan. Antara tempat yang disediakan khas untuk tetamu penting.

Aku adalah tetamu penting? Bagaimana boleh begitu?

Di sebelah aku, adalah seorang gadis yang mungkin sebayaku. Mungkin dia lebih muda, serasaku.

Suasana kini gamat dengan kehadiran para tetamu ke dewan yang bergermelapan dengan temanya yang sangat bersesuaian dengan persembahan orkestra. Nampak megah, dan cukup klasik.

Dan, yang paling buat aku tertarik adalah segala peralatan di dalam ini umpama disusun kerana sebab tertentu, termasuklah keadaan pembesar suara yang diletakkan di atas lantai, berdekatan dengan aku yang pastinya.

Aku melihat sebelahku yang kosong. Mungkin sepatutnya dia yang duduk di situ. Tapi dia tak pula kelihatan di mana-mana.

Mungkin dia sendiri tak menyangka aku akan ada di sini.

Senyuman aku ukirkan sendiri, sebelum aku terasa seisi dewan mula memberikan perhatian ke tengah pentas.

Aku lihat ada orang yang sedang berucap, sambil tangannya bermain dengan bahasa isyarat.

Sekali lagi aku rasa terpempan, sebelum dia mula menyebut tentang persembahan tersebut sambil beberapa ahli mula menampilkan diri di atas pentas dan mengambil posisi.

Aku ternganga melihat mereka semua. Semua– tak satu pun yang terkecuali– terdiri daripada kanak-kanak yang kurang upaya.

Oh, Tuhan. Apakah?

Ketika aku masih sedang terpempan begitu, aku terasa bahuku disentuh. Terus aku memandang seorang gadis yang duduk di sebelah aku.

‘Hai, kamu pelajar dari mana?’

Aku menggeleng.

"Saya cuma kawan kepada pelajar di sini."

‘Oh, awak tuli seperti sayakah?’

Soalnya, tanpa ragu.

Aku dengan teragak-agak, mengangguk.

‘Awak pernah datang persembahan khas macam ni?’

Aku menggeleng.

"Kali pertama." Balas aku.

‘Oh! Jadi awak patut ikut kami bersama! Tanggalkan kasut awak.’

Aku melihat dia melakukan itu. Orang lain juga aku lihat melakukan yang sama.

Perlahan-lahan, aku melakukan yang sama. Sebelum aku terasa ada getaran pada bawah tapak kakiku. Yang aku dapat rasakan, bunyi itu datangnya dari pembesar suara itu.

Gadis tersebut memandang aku dengan senyuman girangnya.

‘Ini cara bagaimana kita, awak dan saya, "mendengar" muzik.’

Dia aku lihat terus memejamkan matanya. Menghayati lagu yang sedang dimainkan para pemuzik di atas pentas.

Aku terus rasakan getaran pada tapak kakiku, sebelum aku memandang sebilangan mereka di atas pentas yang bermain alat muzik dengan bersungguh-sungguh.

Mereka adalah persis aku. Tak kurang, tak lebih. Kami adalah sama.

Aku pejamkan mata aku. Dan, entah kenapa, aku juga bagai tiba-tiba mendalami bunyi itu. Ada melodi yang entah dari mana, bermain dalam mindaku.

Apakah semuanya ini?

Tanpa sedar, aku begitu "menghayati" lagu yang dimainkan sehingga tamat.

Apabila aku membuka mata dan menoleh ke arah gadis tadi yang sudahpun tersenyum memandangku.

‘Melodinya sedap, bukan?’

Gayanya bercakap, umpama dia betul-betul mendengarkan itu dengan deria pendengaran yang sebenar. Tapi, hakikatnya tidak.

Aku sepi sejenak. Sebelum aku mengukir senyumannya dan mengangguk.

"Hmm." Akuiku.

Dia tertawa kecil.

‘Itu baru permulaan. Awak tak harus lepaskan persembahan lepas ini.’

"Kenapa?" Soal aku.

‘Em, di samping barisan lelaki-lelaki yang kacak, lagu yang mereka persembahkan setiap tahun adalah ciptaan sendiri. Kali ni, awak mesti terharu mendengarnya.’

Dia tertawa kecil.

Aku juga, entah kenapa, terikut dengan tawanya. Mungkin melihatkan gurauan di sebalik kekurangannya telah membuatkan aku berasa sangat tenang.

Dia senasib dengan aku, bukan? Tapi dia masih mampu tertawa.

Persembahan seterusnya berlangsung. Kali ini, deretan remaja-remaja pula yang mengisi ruang dewan. Kali ini juga, aku lebih menumpukan perhatian yang lebih, kerana ada sesuatu yang sangat menarik minatku.

Ada cello yang digunakan untuk persembahan itu.

Aku tak ralit memandang lelaki kurang upaya yang memegang cello itu. Dia yang sangat segak berkot hitam mula menyelesakan tempat duduknya.

Tangan sebelahnya kudung. Dan, sepenuh kudratnya dia bergantung pada sebelah lagi untuk menyentuh cello itu.

Apakah dia mampu bermain dalam keadaan begitu?

Bahu aku dicuit.

‘Awak akan lebih kagumi lelaki yang mencipta lagu yang mereka mainkan.’

Kata gadis tersebut yang mungkin menyedari aku yang masih tidak berganjak dari memandang pemain cello tersebut.

"Kenapa?"

‘Dia sangat serba boleh. Idola semua orang, meskipun dia mengalami kesukaran luar biasa dari kita semua.’

"Oh?"

Belum sempat mahu bertanya lanjut, muzik mula bermain.

Aku hanya terpandangkan cello yang dimainkan itu, sambil merasakan getaran melodi yang bersatu dengan semua instrumen pada bawah kaki aku.

Tapi kini, aku umpama dapat menangkap not yang dimainkan remaja itu. Melihat jarinya dipetikkan, aku sudah mengagak akan bunyi tali tersebut.

Ia sangat sebati. Dalam hati aku.

Dia ajarkan awak untuk mendengar muzik menggunakan hati, bukan telinga.

Aku tak perlukan pendengaran fizikal untuk mendengar setiap not.

Ya. Aku tak perlukan itu.
Kerana aku sendiri dapat rasai melodinya.

Lagu ini, keindahannya sangat dirasai dalam hatiku sendiri.

Aku lihat wajah sekelilingku. Mereka begitu asyik, hinggakan ada yang menitiskan air matanya.

Mata aku bergenang tiba-tiba.

Apabila lagu tersebut habis dimainkan, aku terlihat pengacara tadi mula berkata-kata sesuatu. Yang mula membuatkan aku tertangkap sesuatu akan ucapannya tentang lagu tadi.

Tentang suatu nama itu. Dan yang terkandung dalam ayat itu.

‘...nukilan Zed Ethan ...’

Jantung aku berdegup lagu.

Zed?

Bahu aku dicuit.

‘Awak nak tahu sesuatu tentang Zed, penulis lagu ni?’

"Apa dia?" Soalku.

‘Dia katakan pada tahun ni, lagu orkestra keduanya adalah sebenarnya lagu yang paling utama. Lagu yang paling bermakna buatnya. Dia sanggup habis mengarang lagu tersebut dalam keadaan dia semakin teruk.’

"Teruk?"

Gadis itu mengangguk.

‘Dulu dia bermain piano. Tapi, sejak pergerakannya semakin terbatas, dia cuma membuat lagu. Baru-baru ini, separuh tubuhnya sudah lumpuh. Dia semakin tak mampu bergerak hari ke hari.’

Kelihatan sayu gadis itu berkata demikian.

Aku tergamam seketika. Benarkah?

Ingin aku tanyakan lanjut, tetapi mata aku terarah pula pada pengacara majlis itu.

Dan lebih mengejutkan aku adalah apabila mendengar kata-kata seterusnya daripadanya

‘....ditujukan khas buat seseorang istimewa, lagu ciptaan Zed Ethan malam ini adalah 'Head Up, O Dear Sara'....’

Aku cukup terpempan.

Akukah? Lagu itu buatku?

Mata aku kembali bergenang, kini lebih hebat.

Apabila lagu itu dimainkan, aku mula dirundung sebak yang menggunung tinggi.

Aku seumpama jelas akan muzik yang dimainkan. Aku tak mampu mendengar, tapi seolahnya setiap ritma itu dapat aku tangkap, dengan sempurna.

Ini kali pertama aku begitu memahami muzik sebegini. Kali pertama.

Mata aku pejamkan, perlahan-lahan. Membiarkan rentak itu menari-nari pada tapak kakiku.

Begitu aku membuka mataku, apabila aku halakan pandangan ke atas pentas, dia sudah berada di sana, memandangku.

Dengan senyuman yang acapkali diukir olehnya.

Apabila lagu sudah dihabiskan, dia mula memberi ucapannya. Bersama penterjemah bahasa isyarat di sisi.

Ucapannya hanyalah formal dan biasa, sehinggalah dia menyebut tentang lagu yang direkanya tadi.

‘Kita adalah manusia yang terbatas fizikal, tapi tidak pada kreativiti. Tidak pada usaha.’

‘....dan kita istimewa, adalah kerana kita mampu mengubah perkara biasa yang ramai lakukan, kepada sesuatu di luar kemampuan manusia normal...’

‘....dan, Sara, awak tak terkecuali. Awak sebahagian dari kami, dan awak layak dapatkan bahagia yang awak mahukan.’

‘.....so head up, Sara. We're with you. I'm with you, always.’

Rasa sebak yang menggunung semakin terasa apabila dia mula turun dari pentas dan menghampiriku.

Ada sekuntum bunga mawar yang diribanya diserahkan kepada aku, berserta ucapan yang ditulis tangan itu.

'Awak akan main muzik lagi, kan? :)'

Bersama tulisan yang sangat, dan tersangat tak tersusun. Umpama dia mengerah seluruh tenaganya untuk menulis itu.

Aku mengetap bibir, menahan segenap perasaan apabila melihat tulisan tangannya sendiri.

Wajahnya aku tatap. Dengan genang mata aku, aku mula membalas.

"Saya nak cuba."

Dan, itu pula menjadi tangis aku di situ, tanpa tertahan lagi. Di hadapan umum yang memerhatikan kami.

Aku melihat yang lain mula bersorak kemudiannya. Semakin menambahkan esak tangisan terharu aku.

Bersama para tetamu dan rakan-rakan yang ada, aku turut berdiri, mengangkat tangan kami ke udara dan menggoncang-goncangkannya, sebagai tanda bertepuk tangan bagi kalangan warga kurang upaya seperti kami semua.

Dia, dengan tangan kanannya yang masih berupaya, membalas dengan cara yang sama.

Ketika aku memandangnya, dia tersenyum lebar melihat aku.

"Terima kasih." Ucap aku padanya. Air mata aku seka pantas sambil tertawa kecil.

Dia turut ketawa, sebelum tangannya diangkat lebih tinggi ke atas.

Dan, itu adalah kali terakhir tangannya mampu diangkat sebegitu.

Segalanya berubah beberapa bulan selepas itu. Selepas penyakitnya semakin menjalar dan mengakibatkan dia lumpuh seluruh badan. Hanya beberapa anggota yang masih berfungsi buatnya ketika itu.

‘Awak tahu sakit sebenar saya?’ Soalnya melalui gerak mulut yang perlahan-lahan digerakkan agar aku mudah menangkapnya.

Aku mengangguk. "Hmm."

Muscular Dystrophy ; kegagalan otot untuk berfungsi seperti biasa. Bukan sekadar lumpuh, malah telah jua mengehadkan jangka hayat seseorang untuk hidup lebih lama.

Ibu bapanya pernah memberitahu aku sejak kali pertama aku melawatnya di rumahnya dahulu.

Dia mengukir senyuman luhurnya.

‘Awak tahu, saya dah dikenali terlalu lama. Kegemilangan saya dah tercapai.’

Wajahku terus ditatap sebelum dia mengukir senyumannya dan menyambung.

‘Sekarang adalah masa rehat saya, dan awak harus mula melangkah.’

Mata kami saling bertatapan. Begitu tenang dia mengucap perkataan demi perkataan itu.

"Mungkinkah awak sempat melihat saya bermain di khalayak ramai, nanti?" Soal aku, perlahan.

Kerana aku pernah suarakan kepadanya yang aku ingin kembali bermain muzik seperti dahulu.

Dia tersenyum, lembut.

‘Saya selalu tengok awak. Selalu.’

Mata aku bergenang, terharu.

Perlahan, aku meletakkan kepala ke bahunya. Dan sebagai membalas, dia merapatkan kepalanya pada aku.

Itu yang aku lakukan setiap hari, hanya untuk merasakan dia hampir denganku, dan membiarkan dia tahu aku ada dengannya.

Walaupun aku tahu ia mungkin takkan selamanya begitu— mungkin yang akhirnya menjadi satu perkara yang pasti.

‘Kita selalu boleh pergi jauh. Ketidakupayaan fizikal takkan mampu menghalang kita untuk sentiasa bermain, belajar, dan mencipta sejarah.’

---------------

DEWAN kini semakin dibanjiri orang ramai yang berpusu-pusu mencari tempat duduk yang sesuai.

Gemersik bunyian dari cello itu kedengaran apabila dipetik sekilas di belakang pentas sebelum mula dibawa ke hadapan.

Di hadapan dewan itu, terpampang besar paparan yang mempamerkan suatu kejayaan yang telahpun dicapai.

"Malam Kita"
Persembahan khas oleh pemuzik negara,
Sara Zean

Persembahan aku kini semakin dikenali. Antara pemain muzik yang unik dalam kalangan yang lain. Dan, hari ini adalah sejulung-julungnya persembahan  aku yang paling besar sebagai seorang pemain muzik yang diiktiraf dalam bidang muzik orkestra dan instrumental.

Siapa sangka akan lahir seorang pemain cello yang terkemuka, yang langsung tak mampu mendengar persembahannya sendiri secara fizikal seperti manusia lain?

Tapi, aku berjaya. Aku buktikan semuanya yang aku mampu lakukan.

Tepukan diberikan buat aku yang merendahkan tubuhku, tanda hormat.

Kedudukan aku selesakan. Dengan mata yang terpejam, aku mengumpulkan kekuatan mempersiapkan diri.

Kaki aku mula tapakkan ke atas lantai.

Tali cello kemudian dipetik perlahan-lahan.

Semua ini adalah persembahan yang ditunggu-tunggu para penggemar instrumental. Setelah rakaman albumku semakin mendapat sambutan hangat, dan jelas mereka terlalu mengagumi kekurangan yang aku tolakkan menjadi satu kelebihan.

Maka hari ini, akan aku persembahkan lagu khas buat mereka.

Up There, Oh Dear Zed

Juga buat si dia yang sudahpun damai di alam "sana", beberapa tahun selepas bertarung dengan kegagalan fungsi sarafnya. Sebagai tanda terima kasih kerana membawa aku hingga ke tahap ini, memberi sepenuh harapan hingga ke hari ini.

Kerana juga sudi menerima kekurangan aku, sepenuh hati.

Meski aku tak pernah meluahkan ini padanya, aku harap dia tahu.

Selain muzik dan dunia tuli aku, aku juga begitu sayangkannya.

Dan aku akan tetap rindukan kekuatan dan semangat yang dia selalu ada.

‘Kalau awak dah terkenal, jangan lupa buat lagu untuk saya.’

‘Dan jangan lupakan saya juga.’

.

Greater Manchester, England
-Home For Imperceptible Love [11] Tamat-

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro