Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PROLOG

Alunan lagu Bersamamu nyanyian Sarah Raisuddin begitu meruntun jiwaku ketika ini. Bait liriknya bagaikan gambaran hidupku yang merindu. Sudah beberapa kali hari ini lagu itu berkumandang di radio dan setiap kali lagu itu berkumandang, seolah-olah membawa aku kembali kepada kisah semalamku. Sesekali dadaku sebak, terkadang pula air mata pasti mengalir bila aku ingat semula peristiwa yang berlaku sepanjang hidup ini. Penuh dengan cerita suka dan tidak kurang juga cerita air mata. Aku sedar, aku perlu kuat untuk lalui hari-hari mendatang namun aku hanyalah wanita biasa yang ditimbuni dengan pelbagai sifat perempuan yang lemah.

Aku memerhatikan umi yang keluar masuk bilik membantuku berkemas sekali gus menamatkan lamunanku. Pantang punya kesempatan, umi sibuk berkemas. Apalah sangat yang ada dalam apartmen ini kerana kebanyakannya milik Kak Safi. Aku cuma menumpang di sini, namun aku bersyukur kerana di rumah inilah aku lalui hari-hari bahagiaku dengan Najah. Di rumah ini kami ketawa, di rumah ini kami bergurau senda dan di rumah ini juga kami menangis. Sesungguhnya aku juga berat untuk berpisah dengan rumah ini, sama seperti saat aku berpisah dengan Najah. Aku ingin tinggal di sini kerana di sinilah kehidupanku bermula. Namun aku harus menurut keputusan keluarga, demi kebaikan diriku dan anak-anak. Di mana-mana sekalipun aku berada, rasa rindu pada Najah tidak mungkin akan terpadam dan rindu itu akan sentiasa hadir dalam hati aku. Ahhh... Rindunya aku pada Najah!

Beberapa kotak mengandungi barang-barang peribadi milik aku, Naufal dan Najwa telah disusun kemas. Esok atau lusa pekerja papa akan membantu aku memindahkannya ke rumah baru kami. Sebenarnya kalau boleh aku tidak mahu berpindah dari apartmen ini. Banyak kenangan indah, memori suka duka yang terakam di segenap ruang. Air mataku pasti mengalir setiap hari jika aku dibiarkan bersendirian. Nasib baik ada umi yang setia menemani aku, Naufal dan Najwa. Jika tidak, aku sendiri tidak tahu apa akan jadi pada kami bertiga.

Aku lebih banyak berangan dan bersendirian di dalam bilik daripada meladeni anak kembarku yang masih kecil. Mujur juga sejak 40 hari yang lalu, mama dan papa sering berkunjung ke mari. Dapatlah si kembar itu menjenguk dunia luar selain dari apartmen ini. Kalau harapkan aku, memang tidak ke mana-manalah anak-anakku kerana aku hanya mahu duduk diam di rumah dan mengimbas semula segala yang indah tentang Najah dan semua kenangan yang kami cipta dalam rumah ini.

Ya Allah, rindunya!

Sudah lebih sebulan dia pergi namun bayangan Najah sentiasa hadir di mataku. Kelibatnya ke sana dan ke mari menjadi mainan di ekor mata. Bau badannya juga sentiasa menghambat hidungku. Malah haruman yang selalu dipakainya masih berbaki di botol. Tiada satu pun barang milik Najah beralih dari tempatnya. Mungkin barang-barang itu akan menjadi barang terakhir yang akan aku masukkan ke dalam kotak atau mungkin sahaja aku tinggalkan semuanya di sini lantas menjadikan rumah ini muzium cinta kami.

Kadang-kadang dia seperti ada di dalam rumah ini dan aku juga selalu tersasul memanggil abang, panggilan yang aku biasa gunakan untuknya. Aku sering kali lupa bahawa dia tidak lagi menjadi penghuni rumah ini dan atas alasan itu jugalah papa, mama dan umi mahu aku berpindah ke rumah baru secepat yang mungkin.

"Tasha perlu suasana baru," kata papa dan dipersetujui oleh ahli keluargaku yang lain. Mereka sepakat mahu aku segera berpindah. Mama begitu bimbangkan aku. Kata mama, aku sering mengelamun dan memencilkan diri. Ya Allah, aku tidak sedar akan semua itu.

Kotak kecil warna biru lembut yang terletak di atas meja konsol itu menarik perhatianku setiap kali aku memandangnya. Aku tidak lagi menyentuhnya sejak kali pertama kotak itu diserahkan kepadaku. Kotak itu umpama sebuah arkib yang menyimpan kesemua kisah hidupku dengan seorang lelaki bernama Syahrun Najah. Hari ini aku gagahkan diri untuk membukanya. Dengan perlahan aku selak kemas kertas pembalut warna putih yang menyelimuti buku itu sebelum aku mengeluarkannya. Aku tabahkan hati lalu aku baca jurnal itu untuk sekali lagi. Aku usap perlahan kulit buku itu, seperti aku membelai Najah dahulu.

20 Ogos 1999

Hari ini aku berkenalan dengan seorang gadis dari daerah yang sama di negeri kelahiranku tetapi di bumi penjajah ini jua tempat kami bertemu. Nur Natasha Ameera, nama yang indah, seindah raut wajahnya. Matanya bundar, kulitnya kuning langsat, rambutnya lurus panjang melepasi bahu. Bila ditiup angin, aku boleh cium bau wangi rambutnya. Entah syampu apa dia pakai agaknya? Wangi sungguh!

Dan yang paling menarik antara semua yang aku sebutkan tadi adalah suaranya sungguh manja. Bila dia bercakap, aduh aku bagai dibuai-buai. Kalau boleh aku tak mahu dia berhenti bercakap tapi lidah aku pula yang kelu untuk mengajak dia berbual panjang. Nur Natasha Ameera, kalaulah Tasha ada nombor telefon yang boleh Abang Najah hubungi.

Argh! Itu tidak menjadi masalah, aku boleh mendapatkannya dengan mudah. Esok, aku akan ajak Frank menjelajah flat demi flat!

Nur Natasha Ameera, hadirlah dalam mimpiku nanti.

Mama, Najah dah jatuh cinta!

Aku tersenyum dalam pilu sambil mengingati semula detik pertemuan kami lewat petang itu. Aku tercegat di hadapan pintu masuk stadium, terpinga-pinga mencari seorang teman yang menghilang dalam ribuan manusia di situ. Aku pejam mataku rapat-rapat sambil aku dakap erat jurnal peribadi Najah. Aku imbas kembali saat mula perkenalan kami. Saat terindah dalam hidupku.

"Tasha, I nak pergi gents sekejap. You jangan pergi mana-mana okey? Just wait for me here, right here. I will be back within few minutes," pesan Irfan sungguh-sungguh sebelum menghilang dalam puluhan ribu manusia di Old Trafford. Katanya sekejap sahaja namun setelah minit demi minit berlalu, Irfan tidak juga muncul.

Aku semakin tenggelam dalam ramai manusia yang mula menyerbu masuk ke dalam stadium gagah yang dipanggil The Theathre of Dreams ini. Aku seperti mahu menangis. Baru seminggu aku jejakkan kaki ke tanah asing itu dan aku tidak kenal siapa-siapa lagi kecuali Irfan. Tapi Irfan, sampai hati dia tinggalkan aku seorang diri dalam lautan manusia di luar stadium gergasi.

Lebih 60 ribu manusia telah memenuhi ruang dalam stadium, aku pula masih tercegat di pintu masuk menunggu Irfan. Sudahlah aku pakai jersi pasukan lawan, hatiku mula bimbang jika ada samseng bola sepak yang bertindak di luar jangkauan akalku. Tahu sahajalah peminat fanatik bola sepak Liga Inggeris ini, sudah masyhur serata alam dengan perangai samseng mereka.

"Mana Irfan ni?!"

Aku lihat jam Guess di tangan kiriku. Hampir sejam berlalu, kelibat Irfan tidak kunjung tiba. Mulutku mula terkumat-kamit membaca doa memohon perlindungan Allah.

"Umi doakan Tasha selamat, mi. Tasha takut sorang-sorang kat sini," ucapku sendiri sambil mataku meliar mencari Irfan di celah-celah manusia yang ramai ini.

"Kalau aku jumpa Irfan nanti, aku nak cuci telinga dia bersih-bersih. Sampai hati dia tinggalkan aku macam ni aje. Irfan! Aku sumpah tak mahu keluar lagi dengan kau. Aku serik, serik ekor, serik kepala!"

"Hello, I saw you standing here for quite some time. Are you lost or waiting for someone?" tegur seorang lelaki dari belakangku.

Aku menoleh ke arahnya. Dari loghatnya dapat aku pastikan dia juga orang Melayu seperti aku. Aku melihat lelaki yang menegurku. Dia memakai topi Nike warna putih, matanya redup, hidungnya mancung dan kulitnya putih kemerahan tapi aku tetap yakin dia orang Melayu!

"Saya tunggu kawan," kataku dalam bahasa ibunda. Aduh, serba tak kena dibuatnya. Lelaki yang menegurku ini, masya-Allah handsome macam David Beckham! Tapi sebenarnya dia lagi macho dari Beckham yang posternya tergantung di bilik asramaku. Ya Tuhan! Macam nak gugur jantungku!

"Orang Malaysia ke?" tanya lelaki itu padaku. Pantas aku mengangguk. Aku jadi gamam, tak tahu apa nak jawab lagi selain dari mengangguk. Kalau umi tahu aku terlebih excited lihat lelaki Melayu yang sungguh menawan rupa parasnya ini, tentu aku dah kena ketil dengan umi. Teringatkan umi, terus aku menjaga tingkah lakuku.

"Asal mana?" Dia bertanya lagi.

"JB..."

"Oh! Samalah kita, saya pun orang JB juga. Awak JB kat mana?"

"Pasir Gudang sebenarnya tapi kira JB la juga, kan?"

"I see, Pasir Gudang ekkk, kira JB jugalah tu. Saya duduk dekat dengan Kampung Mohd. Amin," beritahu lelaki itu dengan ramah. Sukanya dia bila dapat tahu kami dari negeri yang sama. Senyumnya sampai ke telinga. Malah aku juga turut rasa lapang hati bila jumpa 'teman sekampung'. Hilang kisah Irfan yang sesat entah ke mana.

"Oh, arwah ayah saya juga berasal dari sana, Kampung Mohd. Amin dekat dengan Maktab Sultan Abu Bakar, kan?" soalku pula.

"Ya... English College, EC sekolah saya tu," jawabnya dengan lancar. Dia mempelawa aku duduk bersama temannya, seorang lelaki kulit putih. Melihat daripada keramahannya, aku yakin dia tidak bermaksud jahat ke atas diriku. Memandangkan aku juga tidak berteman di sini, Irfan pula entah ke mana menghilang, aku setuju untuk duduk bersama-sama dengannya. Aku cuba hendak hubungi Irfan tetapi telefonku kehabisan bateri.

"Saya, Syahrun Najah Hanafi..."

"Nur Natasha Ameera..."

Kami bersalaman tanda berkenalan. Lelaki berambut panjang ini sangat ramah dan baik hati. Ekor rambutnya terjuntai keluar dari topi Nike yang dipakainya.

"Nak panggil apa?"

"Tasha aje. Awak pula saya nak panggil apa? Nama awak panjang sangat... Yang mana satu nama awak sebenarnya?"

"Syahrun Najah bin Hanafi."

"Ohhh..."

"Panggil aje Najah, yang lain-lain tu tak perlu disebut sekali. Macam Natasha juga," terangnya dengan ramah. Bibirnya rajin menguntum senyum, menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Jantungku makin pantas berdegup. Natasha, mata jangan melingas tengok lelaki! pesan hatiku berkali-kali.

"Najah, games about to start. Let's go," kata lelaki kulit putih di sebelah Najah.

"Mari Tasha, kita masuk sekali. Mana tahu nanti kita terjumpa kawan awak kat dalam?"

"Tiket saya pada kawan, dia pula entah ke mana menghilang," keluhku. Aku ni mana pernah jejakkan kaki ke stadium bola sepak. Tiket perlawanan pun aku tak pernah tengok. Aku ke mari semata-mata memenuhi pelawaan Irfan sempena meraikan ketibaan aku ke bumi Inggeris ini. Kebetulan petang ini dewa pujaan hatiku David Beckham turut diturunkan dalam kesebelasan utama, Irfan beria-ia mengajak aku untuk menonton. Sebenarnya, aku suka Beckham sebab dia handsome. Kalau pasal bola sepak ni, sepatah haram aku tak tahu!

"Frankie, do you mind if I..."

"Yeahhh, I don't mind. You may keep her company as I just don't wanna miss this match. Chelsea! Chelsea!" seloroh lelaki kulit putih itu, memotong kata-kata Najah.

Aku sapu air hangat yang mengalir ke pipi. Sesungguhnya biarpun sudah bertahun-tahun lamanya episod perkenalan itu berlalu namun masih kekal dalam memori seorang kekasih sepertiku. Aku menyambung semula membaca jurnal Najah dengan rasa sebak memenuhi dada.

23 Ogos 1999

Aku dah tahu kat mana Natasha tinggal, tak sia-sia hari ini aku jadi detektif. Bukan setakat dapat alamat, nombor telefon pun aku dapat sekali. Gambar yang aku ambil kelmarin telah pun siap dicuci. Ada alasan untuk aku bertemu dengan Natasha sekali lagi!

24 Ogos 1999

Aku betul-betul jatuh cinta. Natasha buat aku gila bayang. Petang tadi aku berjumpa dengannya di hadapan flatnya. Berseluar jean dan sweat shirt lengan panjang warna putih, Natasha sangat cantik! Suaranya begitu manja, aku jadi leka mendengar suaranya. Tiba-tiba aku menjadi sasau dan gabra di hadapan perempuan. Aura Natasha buat aku jadi tak betul, Natasha tidak seperti gadis-gadis lain yang pernah aku kenali, jauh sekali seperti Farah yang mama cadangkan untuk ditunangkan denganku. Wajah Melayu Natasha yang lembut dan tuturnya yang sopan sungguh menambat hatiku. Orangnya pemalu, bila bercakap denganku dia sentiasa menundukkan wajahnya sekali gus menyembunyikan seraut wajah ayunya dari dicuri pandang.

Aku benar-benar jatuh cinta dalam erti kata yang sebenar. Tiap kali teringatkan wajah ayunya, jantungku berdegup pantas. Seolah-olah Tuhan telah memberikan aku satu nyawa lagi, satu lagi peluang untuk terus bernafas. Seperti bait-bait lirik lagu My Baby You nyanyian Marc Anthony. Rasa macam nak nyanyi pula.

Tiba-tiba dalam hati aku rasa sarat dengan perasaan untuk mencintai seorang perempuan yang bernama Nur Natasha Ameera. Aku ingin mengasihinya dan memberikan seluruh rasa cintaku ini kepadanya. Tuhan, aku bersyukur kerana Kau telah mempertemukan aku dengan bidadari ini. Berikanlah peluang kepadaku untuk membahagiakannya sehingga ke akhir nafasku.

Tasha, abang nak sehidup dan semati dengan Tasha.

Air mataku mengalir lagi. Aku tahu Najah ikhlas dengan pujiannya. Rasa rinduku padanya datang bertamu lagi dalam hati. Aku selak lagi helaian-helaian seterusnya. Aku tidak mampu membaca jurnal ini dalam masa sehari. Terasa bagaikan Najah ada di sisiku saat ini, aku bagaikan sedang bercakap dengannya ketika aku membaca baris-baris ayat yang ditulisnya.

Abang, Tasha rindu.

1 Januari 2000

Orang lain sibuk ke kota London, sibuk ke pinggir Sungai Thames untuk menaiki Ferris wheel yang besar itu termasuklah Frankie dan buah hatinya Kak Mil. Beria-ia Kak Mil mengajak aku menaiki London Eye tu, disuruhnya aku ajak Tasha sekali. Mujur Tasha kata dia gayat, kalau aku kata aku yang gayat nanti Kak Mil kata aku pondan! Sudahnya hanya mereka berdua sahaja yang ke sana. Aku dan Tasha meronda sekitar kota yang sarat dengan manusia ini.

Saat dunia meraikan ketibaan abad baru, aku juga menyimpan hasrat yang telah aku pendam sejak aku bertemu dengan Nur Natasha Ameera. Setelah aku yakin dengan diriku bahawa dialah cahaya hatiku, aku bulatkan tekad untuk memilikinya. Aku yakin Tasha juga kasih padaku sebagaimana aku mengasihinya.

Malam millenium ini aku melamar Tasha. Ya Allah, gementarnya hati tapi bila dah diluahkan, rasa lega sangat. Aku dan Tasha 'bertunang' dengan bersaksikan langit Tuhan yang terang dan Tasik Serpentine yang dingin airnya.

Mama tentu marah dengan tindakan aku ini, tapi aku tak boleh tunggu lebih lama lagi.

Mama, maafkan Najah...

"Tasha... Buat apa tu?" tegur umi yang sedang menggendong Naufal.

"Tasha baca diari Najah, mi." Pantas aku mengesat air mataku sebelum umi mendekati aku. Aku dakap jurnal itu rapat ke dadaku.

"Tadi Safi telefon, katanya lepas maghrib karang dia nak ke mari. Papa dan mama pun datang sekali," beritahu umi.

"Bila kakak telefon?"

"Masa Tasha tidur tadi, sengaja umi tak kejut tapi lupa pula umi nak cakap dengan Tasha bila Tasha bangun tadi."

"Kita nak masak apa ya, mi? Kalau buat mi kari boleh, kan? Najah suka makan mi kari."

"Tasha..." Suara umi berlagu sendu apabila memanggil namaku, aku tahu umi sebenarnya tidak mahu aku bersedih lagi.

"Umi, Tasha call mama dululah." Aku meletakkan kembali jurnal itu ke dalam kotak dan berlari ke bilik. Aku duduk di birai katil dan menangis. Aku masih belum mampu melupakannya dan tidak mungkin akan melupakannya seumur hidupku. Aku mengambil telefon bimbitku di meja sisi dan mendail nombor telefon mama. Bercakap dengan mama sedikit meredakan kerinduanku kepada Najah.

BAB 1

KURANG sejam sahaja lagi penerbangan MH7 dari Heathrow, London akan mendarat di KLIA. Para penumpang telah diarahkan memasang tali pinggang keselamatan dan bersedia untuk mendarat. Sayup-sayup dari atas kelihatan ladang kelapa sawit dan sungai yang warnanya kelihatan seperti air teh tarik. Sepang dan kawasan sekitar yang dulunya hutan kelapa sawit kini telah bertukar menjadi bandar baharu dan lapangan terbang moden kebanggaan negara.

Dari tadi aku hanya memandang tingkap kecil biarpun tidak banyak benda yang boleh aku lihat. Merenung jauh bagaikan dapat menembusi lapisan langit biru. Fikiranku tidak tenteram. Ikutkan hatiku mahu sahaja terus menetap di UK, tidak perlu lagi pulang ke tanah air. Tapi aku tidak boleh lari dari hakikat bahawa di sini tanah air aku, tempat tumpah darahku, tempat umi melahirkan aku. Aku harus pulang, bukannya lari dari kenyataan yang bakal aku hadapi.

"Tasha, are you okay, dear? Abang tengok Tasha dari tadi asyik termenung aje. Kenapa, sayang? Is there something bothering you?" tanya Najah. Dia tahu apa yang bermain dalam fikiranku. Persoalan yang telah kami debatkan berbulan-bulan lamanya sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air.

"I'm okay, abang. Just wondering how I'm going to live separated from you after this," sahutku perlahan.

"I'll always be by your side, my dear. Abang tak akan tinggalkan Tasha sendirian. Itu janji abang pada Tasha. Abang akan tunaikan, sayang. Percayalah." Najah mengusap jari-jemariku. Sentuhan kasihnya menyerap keseluruh urat sarafku.

Lelaki ini sering kali memberikan aku kekuatan. Sewaktu dia menikahi aku, awal-awal lagi dia sudah beritahu bahawa pernikahan ini terpaksa dirahsiakan untuk sementara waktu kerana Najah bimbangkan mamanya membantah. Kata Najah lagi, kalau sudah nikah, mama tidak boleh paksa dia ceraikan aku... Tapi kalau tak nikah lagi, Najah tiada pilihan lain selain daripada menurut kehendak mamanya yang mahu dia berkahwin dengan anak sahabat baiknya.

Sungguh pun sudah bernikah namun aku tahu perjalanan hidupku nanti tidak semudah yang disangka. Hubungan ini pasti akan mendapat tentangan apatah lagi dengan tindakan nekad kami yang membelakangkan keluarga. Pasti keluarga Najah marah dan berkecil hati dengan tindakan kami ini. Bila difikirkan semua ini, aku jadi lemah untuk menghadapi hari-hari seterusnya biarpun Najah sentiasa memberikan aku kekuatan. Aku lihat Najah sentiasa tenang, seperti tiada apa yang akan berlaku sedangkan aku pula yang kelam-kabut bagai dipaksa ke medan perang.

Bagaimanalah aku tidak kalut jika masih segar dalam ingatanku peristiwa yang berlaku ketika aku diperkenalkan dengan kedua-dua orang tua Najah sewaktu jamuan hari raya di apartmen Najah hampir tiga tahun lalu? Tiada seri gembira yang terpancar dari muka Tunku Helena. Menyambut salamku juga seakan-akan tidak ikhlas. Mahu sahaja aku menangis ketika itu juga. Mujur aku mampu mengawal perasaanku ketika itu. Aku dapat menangkap kata-kata Tunku Helena, biarpun berbisik namun cukup jelas kedengaran di corong telingaku.

"Mama hantar Najah ke mari bukan untuk bercinta. Bukan sikit duit mama dan papa tau laburkan untuk Najah. Kami mahu Najah berjaya. Kami tak mahu tengok Najah gagal semata-mata mabuk cinta dengan budak perempuan ini. Entah siapa mak ayahnya, entah dari mana asal usulnya?"

Najah berikan aku semangat. Cintanya yang tulus memberikan aku kekuatan untuk terus menemaninya sehingga maut memisahkan kami. Itulah kata-kata yang sering diungkapkan kepadaku.

"Tasha sayang, janganlah mengelamun macam ni aje. Tasha buat abang risau."

"Siapa jemput abang kat airport nanti?" Aku sengaja memotong kata-katanya. Entah kenapa sebak dalam dadaku ini semakin bertambah. Tulang belulang ini bagaikan hampir remuk menahan sebak yang tidak pernah aku rasakan selama ini. Oh, Tuhan! Perasaan apakah yang Kau hadirkan untukku ketika ini?

"Mama dan papalah kut, mungkin abang dan kakak. Abang tak pasti pula. Kenapa sayang tanya?"

"Kita berpisah di airport nanti ke, bang?"

"Kenapa Tasha cakap macam tu?"

"Tentunya abang akan naik kereta dengan famili abang dan Tasha tentu akan pulang sendiri kalau umi tak sempat jemput."

"Tasha, abang dah aturkan semuanya untuk Tasha. Pak Karim, driver papa akan hantar Tasha terus sampai ke depan pintu rumah. Jangan risau, abang buat ini semua tanpa pengetahuan papa dan mama."

"Kalau umi Tasha datang macam mana?"

"Abang dah call umi. Umi datang dengan Pak Karim. Abang janji sampai aje kat rumah, abang terus masuk dalam bilik dan abang akan call Tasha. Don't worry, dear and don't even think about such things. I love you so much."

PESAWAT yang membawa kami telah selamat mendarat. Para penumpang telah bersiap sedia untuk keluar dari perut pesawat. Ada yang sudah berdiri tidak sabar untuk melihat dunia di luar sana. Aku dan Syahrun Najah masih duduk di atas kerusi masing-masing, menunggu laluan sedikit lengang barulah kami beransur keluar.

Di ruang tuntutan bagasi, kami mengambil troli yang berasingan. Aku genggam erat jari-jemarinya ketika kami sedang berdiri menunggu bagasi. Rasa takut menerpa sehinggakan aku rasa seram sejuk dan kalau boleh aku mahu ikut sahaja dia pulang ke rumah keluarganya. No, Tasha... Because that will ruin his hapinness plan with you. Najah menarik aku ke dalam dakapannya, membalas sentuhan jari-jemariku. Mungkin dia tidak tahu aku sedang tidak keruan atau sebenarnya kurang yakin dengan rancangannya. Mampukah apa yang dia rancang itu berlangsung seperti apa yang kami mahu?

Najah membantuku mengangkat bagasi dari conveyor. Air mata seakan-akan mahu menitis. Aku perhatikan lelaki yang sedang menyusun bagasiku dengan pandangan pilu. Aku tidak tahu selama mana hubungan ini mampu bertahan biarpun kami saling mencintai. Cabaran yang menantiku amat besar.

"Abang, Tasha nak pergi ke tandas kejap."

Tanpa menanti jawapan atau reaksi dari Najah, aku berlari menuju ke bilik air. Najah aku biar termangu melihat aku pergi. Tidak peduli dengan orang ramai yang ada di dalam bilik air, aku biarkan sahaja air mataku mengalir deras. Tidak seorang pun antara mereka yang aku kenal.Biarlah, bukan mereka kesah pun kalau aku menjerit melolong sekalipun. Diluahkan segala gundah dan pilu yang bertaut dalam hati. Aku menangis semahunya.

"Umi tak larang Tasha nak nikah dengan Najah tapi umi tak mahu hati anak umi dilukai nanti. Siapalah kita kalau nak bergandingan dengan keluarga Tan Sri Hanafi tu? Tasha kena ingat siapa kita. Tasha, kita ni pipit. Mereka tu enggang."

Itulah jawapan umiku sewaktu aku meminta izin dan restu untuk bernikah dengan Syahrun Najah. Aku tahu umi berat hati untuk melepaskan aku. Umi sudah tahu dugaan apa yang sedang menantiku. Tapi aku yang berdegil turutkan hati yang sedang dilanda cinta lantas tidak kesah dengan apa pun jua dugaan yang menanti. Nah, baru kini aku rasa bahangnya.

"Tasha, kau fikirlah masak-masak sebelum kau kahwin dengan Najah. Mak dia tu bukan suka dengan kau pun. Cuba kau ingat semula masa gathering raya dulu. Hmmm, anak-anak Datuk dengan Tan Sri aje yang dia layan. Ini pula kau nikah secara senyap. Kalaulah mak dia tahu, mahu perang dunia meletus nanti."

Bersilih ganti kata-kata nasihat umi dan Emily bermain di telinga. Puas aku memohon petunjuk dari Tuhan, beristikharah dan berdoa kepada-Nya sehingga aku yakin dengan keputusan yang ingin aku ambil. Mungkin sedikit sukar bagi kami namun aku yakin, kesukaran ini nanti akan diakhiri dengan kebahagiaan yang berkekalan.

Najah menelefonku beberapa kali. Aku tahu dia risaukan diriku apatah lagi aku sudah terlalu lama di bilik air. Namun aku biarkan sahaja telefon bimbitku berbunyi tanpa berjawab. Seorang wanita Melayu yang sedang mengelap cermin muka di bilik air itu bertanya kepadaku.

"Kenapa tak dijawab telefon tu, nak?"

Aku menggelengkan kepala tanda tiada apa yang berlaku. Telefon pemberian Najah sebagai hadiah hari jadiku tahun lalu berbunyi lagi. Kali ini aku terpaksa menjawabnya

"Helo, sayang. Buat apa lama sangat dalam tu? Lama dah abang tunggu Tasha kat luar ni."

"Abang, kejap lagi Tasha keluar. Just gimme a minutes."

Aku simpan kembali telefonku ke dalam poket seluar jean. Lalu aku belek wajah sembab di cermin. Berkali-kali aku basuh muka sambil berselawat dan beristighfar dalam hati. Aku lekapkan kaca mata hitam ke wajah agar dapat aku sembunyikan sepasang mataku yang memerah ini.

Bila aku melangkah keluar dari bilik air, Najah telah pun sedia menanti di luar. Dia bersandar di dinding sambil merenungku dengan wajah sayu. Dia tahu apa yang aku buat di dalam sebentar tadi. Semenjak bergelar isterinya aku diberikan kelebihan luar biasa, iaitu dapat membaca isi hatinya. Sesungguhnya kalimah Tuhan yang mengikat kami sebagai suami isteri telah menjadikan kami berkebolehan membaca tingkah dan perlakuan masing-masing.

"Papa dan mama abang dah sampai. Farah pun ada, mak ayah dia Uncle Badri dengan Auntie Kalsom pun datang..." beritahu Najah. Dia tidak mahu berselindung denganku kerana kami berdua telah berjanji tiada lagi rahsia antara aku dan Najah. Farah yang dimaksudkan Najah ialah calon isteri pilihan Tunku Helena. Anak sahabat baiknya, Datin Kalsom.

"Abang call mama ke tadi?" soalku ingin tahu. Tentunya keluarga Najah sudah sedia menunggu di lapangan terbang ini.

"Tak call sesiapa pun cuma papa yang call abang tadi. Mama yang sibuk bertanya kenapa tak keluar-keluar lagi, flight dah lama touch down."

"Habis tu, abang cakap apa?"

"Bohong sunatlah, abang kata abang sakit perut. Tasha, nanti bila nampak Farah, Tasha jangan fikir yang bukan-bukan, ya? Ingat selalu yang kekosongan dalam hidup abang telah pun diisi dan tiada tempat untuk wanita lain dalam hati abang selain Nur Natasha Ameera, isteri abang," pesan Najah. Dia mahu memberi semangat dan perangsang kepada isterinya untuk membuang segala gelisah dan gusarnya biarpun tidak banyak mana.

"Siapa tolong abang tolak troli ni?" Aku cuba mengalih topik perbualan.

Abang, banyak mana pun abang cuba ingatkan Tasha namun fobia itu tetap akan hadir. Tasha terima jika suatu hari nanti abang terpaksa akur dengan kehendak mama abang. Tasha pasrah, bang. Aku berikan senyuman yang aku rasa paling manis untuk Najah biarpun amat perit bagiku ketika itu.

"Abang upah seorang budak lelaki tadi. I gave him 20 bucks. Takkan abang nak tolak dua-dua sekali? Tak cukup tangan, sayang," jawab Najah dengan mesra.

Kami beriringan menuju keluar. Derap langkah sengaja diayun dengan perlahan biar dapat memanjangkan masa untuk kami berduaan biarpun titik perpisahan sudah di hadapan mata.

Sebelum sampai di pintu keluar kami berhenti seketika. Empat mata saling berpandangan. Sepi dan sayu. Butiran jernih mula bergenang di kelopak mataku, menunggu masa untuk gugur. Aku tidak pernah menangis begini, tidak sekali merasa sayu begini sewaktu meninggalkan umi sendirian ketika aku melanjutkan pelajaran ke UK beberapa tahun lalu.

Najah memelukku dengan erat sekali tanpa mempedulikan orang sekeliling. Najah pasti tahu aku diulit kebimbangan dan berada dalam dakapan Najah biarpun hanya sekejap seolah-olah memberi jaminan hari-hari yang mendatang akan baik-baik sahaja, insya-Allah. Aku dengar degupan jantungnya, damai sahaja rentaknya dan aku lihat wajahnya yang redup, semakin menggunung rasa rindu yang sedang mula bercambah dalam hatiku. Bagaimana aku bisa tenang kalau dia jauh?

"Abang janji, Tasha. Abang tidak akan mempersiakan hidup Tasha. Percayalah, sayang. Abang akan teguh dengan apa yang abang lafazkan sewaktu menikahi Tasha dulu. Kita tetap akan melalui kehidupan sebagai suami isteri sepertimana orang lain."

"Tasha perlu kuat dan berikan abang masa untuk berhadapan dengan keluarga, okey? Tak lama sayang, abang janji," sambung Najah. Dia mahu mendamaikan hati isterinya. Aku juga tidak mahu kehilangan orang yang aku cintai.

Semakin kuat dakapan Najah, esakanku juga semakin kedengaran. Betapa payah pun hidup kami nanti akan tetap ditempuhi bersama. Harapan aku cuma satu, menjadi isteri Syahrun Najah Hanafi sehingga ke akhir waktu.

"Jangan menangis, sayang. Tasha buat abang rasa berat hati nak tinggalkan Tasha sehari dua ini," sebut Najah.

"Abang, Tasha tak ada orang lain di dunia ini selain umi dan abang. Tasha harap abang akan terus teguh dengan pendirian abang. Jangan tewas sebelum berjuang, bang."

"Ya sayang, abang janji. Tasha akan sentiasa di mata dan dalam hati abang. Lepas ni kita berpisah untuk seketika. Abang akan call Tasha, abang akan cuba usahakan untuk jumpa Tasha tiap-tiap hari. Abang janji akan adakan masa untuk kita berdua. Kalau abang sibuk dengan tugas-tugas di pejabat, kita boleh chatting macam selalu. Don't worry, sayang..."

Najah mula meleraikan dakapannya perlahan-lahan. Digenggam erat jemariku. Diserapkan suatu semangat agar aku cekal dan tabah mengharungi hari mendatang.

"I love you so much, abang. Gonna miss you," lafazku.

"Love you too, sayang. I will always miss you too. Take a good care of yourself and be good, honey," pesan Najah padaku.

"You too, abang..."

DARI jauh umi melambaikan tangannya ke arahku. Rindu benar aku pada umi. Sejak lima tahun dulu, aku tidak pernah pulang ke tanah air sebaliknya hanya umi sahaja yang beberapa kali menjengahku di sana. Bukannya aku tidak rindu pada tanah airku ini tetapi cinta yang mengikatku agar tidak pergi jauh daripadanya. Syahrun Najah umpama mesin penyambung hayatku menyebakan kami tidak boleh berjauhan lama-lama.

Umi tidak melepaskan peluang bercuti mengelilingi tanah Ratu ini tiap kali dia melawatku. Dan pastinya Najah akan 'digajikan' umi untuk menjadi pemandu kami. Sekali gus memberi peluang kepada umi dan Najah untuk saling mengenali. Kata umi, sejuk perutnya tiap kali memandang wajah Najah seperti memandang anaknya sendiri. Najah memang pandai menambat hati umiku.

Langkahku semakin laju dan panjang. Tubuh kurus tinggi umi aku dakap dengan erat. Aku peluk dan kucium umiku ini biar terlerai segala rindu.

"Tasha seorang aje ke? Mana Najah?" tanya umi sambil meleraikan pelukan.

"Tu hah umi, dengan famili dia. Kenapa dia yang umi tanya dahulu? Tanyalah Tasha sihat ke tak, dah makan ke belum? Ini menantu dia yang ditanya," gurauku sambil menyusun langkah keluar.

"Umi tahu anak umi sihat sebab tu umi tak tanya," balas umi ringkas. Dia membantuku menolak troli.

"Umi masih kenal Tasha walaupun Tasha pakai macam ni?" soalku pada umi. Topi Nike yang dipakaikan Najah sebelum kami berpisah sebentar tadi menutupi kepalaku kini. Kaca mata Gucci yang kupakai juga melindungi sebahagian wajahku.

"Ibu mana yang tak kenal anaknya? Sekali pandang sahaja umi dah tahu yang mana satu Nur Natasha Ameera. Sepuluh kali dia berselubung litup pun umi masih kenal anak dara umi ni."

"Opsss, umi. Correction, Tasha dah bersuami." Terlerai ketawa dihujung bicara. Masakan umi boleh lupa aku sudah berkahwin, getus hati kecilku.

"Haah, lupa umi. Itulah nak kahwin tak sabar-sabar, tak boleh tunggu sampai balik sini walhal bukan lama lagi pun." Umi mula membebel.

"Umi, Tasha dah terangkan kenapa Tasha nikah dengan Najah di sana. Umi janganlah buat Tasha rasa bersalah kerana tak tunggu sampai kami balik sini baru kami nikah. Bukan niat Tasha kerana tak dengar cakap umi dalam hal ini."

Perbualan terhenti seketika, sebuah BMW warna perak berhenti di hadapan kami. Kami dua beranak menyelinap masuk ke dalam kereta. Dengan pantas pemandu kereta itu memasukkan bagasi milikku ke dalam boot dan kereta terus meluncur laju. Semuanya pantas kerana tidak mahu terserempak dengan Tunku Helena. Aku merasakan diriku seperti pendatang tanpa izin di negara sendiri.

"Tasha, umi restu pernikahan Tasha dengan Najah. Tiap hari umi titipkan doa buat kamu berdua. Cuma umi sedikit terkilan, umi tidak dapat meraikan majlis pernikahan satu-satunya zuriat umi," sambung umi. Sayu nadanya. Aku usap tangan umi perlahan memujuk hatinya yang lara. Maafkan Tasha, umi! jeritku dalam hati

"Maafkan Tasha, umi. Insya-Allah setelah segalanya selesai. Hajat umi akan terlaksana jua. Siapa yang tidak mahu naik pelamin? Pengantin mana yang tidak mahu dirai, umi... Berikanlah kami masa. Jauh sekali niat Tasha untuk mengecewakan umi apatah lagi membiarkan umi terkilan.Maafkan Tasha, umi."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro