Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DUA bulan setelah kembali ke tanah air, aku belum mendapat pekerjaan yang sesuai. Bukan memilih tetapi setiap tawaran yang aku terima sering kali dibantah oleh Najah. Ada sahaja alasannya untuk tidak membenarkan aku bekerja. Sudahnya sepanjang tempoh ini, aku ditugaskan menjadi 'bibik'. Lucu juga bila Najah lebih suka aku menjadi bibik di rumah. Ini semua idea bijak umi! Bibik pun bibiklah, sekurang-kurangnya aku dapat bertemu dengan Najah setiap hari.

Selepas umi keluar ke politeknik, aku melakukan tugas-tugas mengemas dan membersihkan rumah. Rumah umi yang sedia cantik ini bertambah berkilat dek kerajinanku, sampaikan pasu bunga di luar rumah pun turut aku sental dengan berus dawai.

Namun jauh di sudut hati sebenarnya aku sudah mula bosan duduk di rumah. Hari-hari aku merengek dengan Najah minta keizinan darinya untuk bekerja. Kata Najah, dia lebih senang kalau aku duduk di rumah sahaja menjaga makan minumnya tetapi duduk berjauhan lebih 40 kilometer seperti ini, apalah maknanya kalau aku diam di rumah sahaja?

"Abang, dalam laman web Maukerja hari ni ada jawatan kosong untuk eksekutif akaun, dekat aje dengan rumah umi ni. Boleh ya, bang?" ajuku pada Najah.

"No, no, no... Tasha tak boleh jauh dari abang. Abang risau kalau Tasha kerja nanti, ada orang lain mengurat Tasha," ujar Najah dalam telefon.

"Hesy, abang ni, ingat semua orang tak ada kerja macam abang ke? Kalau abang lainlah, ada banyak masa mengurat Tasha. Siap ponteng kelas lagi sebab nak skodeng Tasha kat flat," kataku pula. Najah tertawa.

"Berapa gaji syarikat tu tawar?" tanya Najah. Aku tersenyum, sepertinya ada peluang untuk aku bekerja. Pasti aku tidak lagi kebosanan di rumah andai Najah memberi lampu hijau untukku. Sekurang-kurangnya dapat pelepasan untuk pergi temu duga dahulu jadilah, dapat kerja atau tidak itu belakang cerita.

"Starting dua ribu, okeylah kan?" tanyaku pula.

"Hmmm, sikit sangat. Macam inilah, Tasha kerja aje dengan abang kat sini... Abang tawar Tasha tiga ribu tidak termasuk elaun dan lain-lain lagi. Macam mana, nak tak?" kata Najah pula.

"Yeayyy, bestnya!" sahutku dengan gembira.

"Tapi abang, jauhlah nak ke JB," sambungku pula.

"Nak ke tak nak? Kalau tak nak, jangan berangan nak kerja kat tempat lain. Last offer ni," beritahu Najah. Suaranya kedengaran seperti mengugutku. Aku tidak mahu kalah dengan Najah, jauh pun jauhlah asal aku dapat bekerja!

"Hmmm, nanti Tasha bincang dengan umi. Tasha mana ada kereta nak ke JB?"

"Abang belikanlah nanti. Tasha nak kereta apa? Esok kita pergi showroom tengok kereta mana yang Tasha berkenan," kata Najah sungguh-sungguh.

"Isyyy, tak payahlah... Susahkan abang aje. Tak apa nanti Tasha bincang dengan umi, boleh kut kalau Tasha pinjam kereta umi. Sebelum Tasha ke pejabat, Tasha hantarlah umi ke politeknik dulu," cadangku pada Najah.

"Mana ada menyusahkan, memang dah jadi tanggungjawab abang untuk menyediakan keperluan dan kemudahan untuk Tasha, isteri abang..."

"Jangan membazir dulu, abang. Nanti bila dah duduk serumah, ada dua kereta pula," ujarku. Aku tahu Najah tidak pernah lokek denganku apatah lagi untuk mengabaikan tanggungjawabnya menjaga kebajikanku.

Sejak aku kenal dia, hidupku benar-benar terjaga dan dilindungi. Namun begitu aku tidak pernah sesekali mengambil kesempatan atas kebaikan hatinya. Aku sudah terbiasa hidup sederhana dengan umiku sejak aku kecil lagi. Cukup sekadar senang tetapi tidak perlu bermewah-mewah. Kata umi, kalau mewah sangat bimbang mengundang riak dalam hati.

Akhirnya Najah mengalah, perihal kereta tidak lagi menjadi persoalan utama bagi kami. Yang penting bagi aku pagi ini, Najah telah memberi kebenaran untukku bekerja. Restu Najah sudah lebih daripada cukup.

aku beralih ke dapur untuk menyediakan makanan tengah hari. Sejak Najah mula bekerja seminggu yang lalu, dia tidak pernah gagal untuk datang menjenguk aku di Pasir Gudang. Kalau dia perlu keluar dan tidak dapat datang untuk makan tengah hari bersama, dia pasti muncul pada lewat petang. Kadangkala kami ke restoran makanan laut di Pasir Putih atau paling tidak pun ke mana-mana restoran mamak yang sentiasa beroperasi dua puluh empat jam.

Begitulah rutin hidup kami ketika ini. Hujung minggu, kami luangkan masa bersama menjelajah hotel-hotel di bandaraya ini dan pernah terlajak hingga ke Singapura. Bunyinya kedengaran agak 'gila' namun aku dan Najah gembira dengan kehidupan ala nomad seperti ini. Najah melabelkannya sebagai 'bulan madu hujung minggu'. Seronok juga bila hujung minggu diisi dengan aktiviti jelajah hotel begini.

"Mana ada orang honeymoon tiap minggu, kita aje tau," kata Najah minggu lalu. Aku tersenyum sendiri. Lucu, kelakar dan seronok bila aku ingat semuanya semula. Aku berlagak biasa namun Najah terpaksa menyamar kerana bimbang terserempak dengan kaum kerabatnya yang ramai itu. Najah memang panjang akal, serah sahaja segala masalah padanya pasti akan selesai.

"Assalamualaikum, adik mahu beli karpet? Baju ada, tudung pun ada," sergah suara lelaki Bangladesh dari tingkap dapur. Tersirap darahku bila mendengar suara lelaki itu. Entah dari mana pula dia masuk kerana kawasan kejiranan ini berpagar dan bukan mudah untuk jurujual terlepas masuk.

"Bangladesh ada ke jual karpet? Bukan Pakistan ke?" tanyaku pada diri sendiri. Argh! Gasaklah, Bangladesh ke, Pakistan ke, mereka dari rumpun yang sama!

"Melampau betul lelaki Bangladesh ni sampai berani masuk dalam kawasan rumah orang. Nanti kau, aku cari spray nyamuk dulu," bebelku perlahan.

"Adik manis, mahu beli karpet? Banyak murah punya, boleh bayar bulan-bulan juga," kata lelaki Bangladesh itu lagi.

"Aku enggak mau beli, enggak punya wang. Udah, kamu pulang saja, ya? Nanti kalau ibu nampak, dia telefon polisi," kataku dalam bahasa Indonesia yang aku pelajari dari sinetron di TV.

"Waduh, kapan kamu pandai ngomong jowo, ya? Udahhh, udah cepatan ayuh buka pintunya. Aku capek ni."

Aku jadi hairan, sekejap tadi dia kedengaran seperti orang Bangladesh, sekarang dia meniru loghat Indonesiaku pula. Aku tinggalkan pinggan mangkuk yang sedang aku keringkan, aku capai tin Shieldtox, mungkin berguna padaku nanti.

"Deyyy, tambi mana pigi?" panggilku dengan suara yang garang. Aku dengar ada suara orang menahan ketawa. Perlahan-lahan aku buka pintu dapur, tin Shieldtox masih lagi di tanganku.

"Cakkk!" jerit Najah yang tiba-tiba menghulur kepalanya di muka pintu. Aku menjerit terkejut, tin Shieldtox yang aku pegang turut terlucut dari tangan.

"Abang! Abang buat Tasha terkejut tau, nasib baik Tasha tak spray abang dengan benda ni." Aku tunjuk tin Shieldtox yang aku kutip kepada Najah.

"Eee, ingat abang nyamuk ekkk?"

"Siapa suruh masuk rumah orang tak bagi salam? Kira untung tak kena spray. Macam mana abang masuk tadi? Abang panjat pagar ke ni?" tanyaku pada Najah. Dia mengeluarkan segugus kunci dari poket seluarnya lalu ditunjukkan kepadaku.

"Mana dapat kunci ni?"

"Curi..." jawab Najah nakal.

Aku mempelawanya masuk melalui pintu dapur. Aku cium tangannya dan kemudian Najah mengucup dahiku. Hati jadi lapang setiap kali dahiku dikucup. Rasa sungguh bahagia, rasa seperti melayang-layang di udara.

"Sayang, abang lapar... Dah siap masak belum?"

"Sudah, kita makan kat laman tepi tu nak tak, bang? Berangin sikit," cadangku pada Najah. Tanpa perlu disuruh, Najah ringan tulang membantuku membawa lauk-pauk yang telah aku masak ke wakaf kecil di tepi rumah. Najah terus duduk bersila di situ, lantas membaca doa makan setelah makanan siap dihidang untuknya.

Sebenarnya aku bimbang dengan kehadiran Najah di rumah ini. Bimbang menimbulkan syak warga di kejiranan ini. Biarpun kami suami isteri yang sah, namun perasaan itu tetap terbit dalam hatiku memandangkan jiran-jiranku tidak tahu akan statusku yang sebenar. Namun lagak Najah yang tenang sedikit sebanyak mengurangkan kebimbangan aku. Setiap kali aku bersamanya, seluruh resah dan gelisahku hilang serta-merta!

"Abang, abang tak kesah ke kalau Tasha kerja dengan syarikat papa?"

"Kenapa Tasha tanya macam tu?" soal Najah pula.

"Maksud Tasha, abang tak takut kalau famili abang tahu pasal kita? Kan orang tua-tua ada cakap, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua," kataku sambil memerhatikan Najah mengunyah lauk sotong masak hitam kegemaranku.

"Apa yang nak ditakutkan? Kalau rahsia kita bocor pun orang lain boleh buat apa? Kita dah jadi suami isteri yang sah. Hmmm... Kalau difikir-fikirkan, elok juga rahsia ni bocor, senang sikit kerja kita," gurau Najah. Dia tersenyum. Namun aku tahu apa yang tersembunyi di sebalik senyumannya itu.

"Jangan risau ya, sayang. Tasha kena percaya pada abang. Abang tahu apa yang abang buat," ucap Najah.

Aku pandang wajahnya. Najah tersenyum lagi. Aku yakin dengan setiap keputusan yang Najah buat dan aku yakin kami akan hidup bahagia bersama.

"Lepas makan nanti Tasha ikut abang pergi temu duga. Abang dah tanya dengan FC, dia memang perlukan pembantu. Memang rezeki Tasha, abang gerenti Tasha dapat jawatan tu," ujar Najah dengan yakin.

SIAP makan tengah hari, Najah melelapkan matanya seketika. Aku pula bersiap untuk menghadiri temu duga. Aku pakai jaket putih dan seluar panjang warna hitam. Rambutku yang panjang aku sisir rapi dan aku tarik ke belah kiri lalu aku ikat kemas. Bila aku lihat wajah di cermin, tak ubah macam gadis pingitan tahun 70-an seperti dalam filem lama. Lipstick Revlon warna natural aku oles ke bibir dan aku sembur wangian Pleasures pada jaket yang aku pakai. Hmmm, wanginya!

"Abang, bangunlah. Tasha dah siap ni."

"Cantiknya isteri abang," puji Najah. Dia mengeliat dan berdiri di hadapanku. Aku betulkan kolar baju dan tali lehernya. Dua tangannya pula memaut pinggangku.

"Abang pun, handsome sangat. Tiap hari handsome sampaikan Tasha risau duduk jauh dari abang."

"Abang tak pandang orang lain, Tasha tak perlu susah hati, ya?"

Kami keluar dari rumah umi dan menuju ke JB. Najah sempat pula brief aku mengenai syarikat papanya, Tan Sri Hanafi Al-Bakri. Aku dengar dengan penuh minat. Bekerja di bawah satu bumbung dengannya ada pro dan kontranya, namun aku sematkan dalam hati bahawa tidak sekali-kali aku akan mencampuradukkan masalah peribadi dengan hal-hal pejabat.

Empat puluh minit perjalanan membawa aku ke Menara Ansar. Turun dari kereta sama-sama, namun Najah menyuruh aku jalan dahulu. Sampai di lobi, aku terus ke meja penyambut tetamu dan diberikan pas pelawat dan borang kosong untuk kuisi. Tatkala itu Najah muncul dengan langkah penuh bergaya. Dia berhenti di pintu lif dan disapa oleh penyambut tetamu dan pengawal keselamatan di situ. Najah telah memberitahuku awal-awal yang dia akan masuk ke pejabat terlebih dahulu. Aku faham. Tentu kami tak mahu 'tertangkap' awal-awal kerana sandiwara ini baru sahaja bermula.

Bila borang permohonan sudah siap aku isi, aku disuruh naik ke pejabat pentadbiran di tingkat 10. Pesan gadis penyambut tetamu tadi, dia suruh aku bertemu dengan Encik Zaid, pengurus sumber manusia. Mudah sahaja aku mencari pejabat HR kerana terletak berhampiran dengan pintu masuk utama ke Acropolis Holdings.

Aku ditemu duga oleh Encik Zaid terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada Puan Khalijah, financial controller, Acropolis Holdings. Aku melintas di hadapan beberapa buah bilik sebelum sampai di pejabat Puan Khalijah. Aku bertembung dengan Najah. Dia berpura-pura tidak mengenali aku, namun dia tetap menyapa.

"Hai..." sapanya. Aku sekadar menganggukkan kepala. Lucu sungguh adegan itu tadi. Boleh tahan juga permulaan lakonan kami ini. Moga-moga Allah mempermudahkan segala yang kami rancang ini, insya-Allah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro