MANUVER

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Komander, kita dah jumpa kapal yang dicari. Tapi kapal tu bukan KELANA. Namanya KASTURI."

Pegawai staf dan pegawai awasan yang berada di anjungan menanti arahan selanjutnya dari Komander Eizlan. Dia menjadikan Seri Pahang sebagai kapal pemerintah armada, sebuah kapal penjajap era kolonial yang berusia seabad, tetapi cukup menggerunkan penghuni Sistem Suria. Ada yang menggelar Seri Pahang sebagai "penyembelih", kerana setiap kali ada pemberontakan koloni lingkaran luar, Seri Pahang antara kapal penjajap yang terlibat mematahkan pemberontakan.

Kalangan staf dan pegawai masih meneliti data mengenai KELANA. Mereka menemukan KASTURI tetapi masih belum dapat memastikan samada ia adalah kapal saudagar yang sama.

Rupa bentuk kapal yang dicari memang saling tak tumpah, tapi jenis tugasan dan namanya berbeza. Boleh jadi ia kapal yang sama kelas dan dibina oleh syarikat galangan yang sama.

"Dah hubungi kapal tu?" Komander Eizlan mula mundar-mandir mencari akal. Dia memandang kembali paparan digital yang terletak ditengah-tengah anjungan.

"Belum lagi Komander. Tapi kita dah berhubung dengan Stesen Ricardo. Jejakan dari radar dan lidar juga menunjukkan KASTURI baru berlepas."

"Tanya KASTURI, apa dia buat dekat Ricardo. Minta permit perlombongan sekali, kalau betullah dia buat kerja-kerja melombong asteroid." Seraya para pegawai yang ada melaksanakan arahan yang diberi.

Komander Eizlan yakin, KASTURI adalah KELANA. Cuma dia mahukan kepastian.

"Arahkan juga Awang Alak, Merong dan K.Thana untuk bidik dan kunci sasaran keatas Stesen Ricardo dengan torpedo dan peluru berpandu. Kalau betul kapal tu KELANA, letupkan stesen tu!"

Kalangan pegawai dan staf saling berpandangan antara satu sama lain bilamana mendengar arahan tersebut. Wujud rasa sangsi dan ragu-ragu dikalangan mereka.

Melihat tiada tindakan diambil, Komander Eizlan menjadi geram. Amarahnya membuak-buak. Dia menerpa kearah salah seorang staf yang mengendali sistem komunikasi, lantas mengeluarkan pistol dan mengacu kepala staf tersebut. Dua orang komisar yang ada dianjungan tersentak.

"Kalau komisar tak tembak kau sebab tak patuh pada arahan, aku sendiri akan tembak."

Staf tersebut akur. Tubuhnya menggigil ketakutan dek amarah Komander Eizlan. Nyawanya dihujung tanduk. Matanya masih terpejam tapi tangannya pantas menghubungi tiga kapal penjajap yang disebut Komander Eizlan tadi.

"Komander!"

Komander Eizlan berpaling kearah tetingkap gadang anjungan dan melihat kelibat KASTURI yang sedang meluru kearah kapalnya dengan kelajuan maksimum.

"Kita dah panggil kapal tu tapi dia tak jawab. Semua sistem penderia dan persenjataan dah siaga."

Dilema menerpa. KASTURI belum disahkan sebagai KELANA, tetapi tindakan drastik kapal angkasa tersebut mengundang bahaya yang tersendiri. Jika kapal tersebut ditembak, kebarangkalian besar kontena kargo 4929 yang dibawa akan turut musnah sama sekali.

"Lumpuhkan kapal tu!" teriak Komander Eizlan.

Selajur KASTURI melepaskan tembakan, memuntahkan ribuan peluru tungsten karbida dari senjata AKR. Tembakannya mengenai perisai komposit tetapi tidak tembus.

Kapal-kapal perang Armada Persekutuan menyerang balas, cuba mengunci KASTURI tetapi kapal saudagar itu terlalu pantas. Bidikan demi bidikan terlepas begitu sahaja. KASTURI ternyata lebih lincah dan sukar ditangani.

Mahalela dan rentaka pada geladak senjata kapal-kapal penjajap Armada Persekutuan tidak henti memuntahkan peluru. Percikan cas elektrik dari laras-laras elektromagnetik mahalela meluncurkan puluhan projektil yang disasarkan pada KASTURI tapi satu pun tidak mengena.

Keadaan menjadi kucar-kacir. Kedudukan antara kapal-kapal penjajap yang terlalu dekat menyukarkan lagi usaha melumpuhkan KASTURI. Risiko saling tertembak sesama sendiri juga tinggi. Tetapi itulah peluang yang KASTURI gunakan sebaik mungkin. Asyraf mengemudi dengan lincah sekali.

Selajur KASTURI melintasi anjungan Seri Pahang, dan sebaik sahaja melepasi jujukan enjin ion elektrik Seri Pahang, KASTURI melancarkan empat peluru berpandu dan memusnahkan sistem pendorongan Seri Pahang dengan sekali jurus.

Letupan dari peluru berpandu tersebut memusnahkan enjin ion elektrik Seri Pahang.

Kapal penjajap tersebut lumpuh serta-merta. Reaktor pendorongan meraung kerana kuasa yang dihasilkan tidak dapat disalurkan ke tempat yang sepatutnya. Penggera amaran tidak henti berbunyi dan sedetik selepas itu seluruh kapal bergelap sehinggalah janakuasa kecemasan mengambil alih dan membekalkan kuasa sementara

Komander Eizlan melaungkan kemarahan yang tidak terhingga. Meja panduarah ditumbuk sekuat hati. Amarahnya tidak terbendung. Dia meluru kearah jendela anjungan, mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan bertalu-talu pada jendela anjungan. Kalangan staf dan pegawai kaget dengan tindakan meluku Komander Eizlan tetapi tidak berani menenangkannya kerana takut jadi mayat.

KASTURI masih belum terlepas dari cengkaman Armada Persekutuan. Kapal penjajap yang masih berfungsi, mengubah haluan dan cuba untuk mengejar KASTURI. K.Thana dan Merong Mahawangsa melepaskan tembakan bertalu-talu.

Diwaktu itu, KASTURI mengeluarkan buah pemukul terakhir - empat butir torpedo  dilancarkan kearah armada tersebut.

Kontena yang berisi torpedo dibuka pintunya, kemudian roket motor pendorongan meluncurkan torpedo dari simpanan dan meluru keluar kearah kapal penjajap Armada Persekutuan.

Fazrul menetapkan sasaran. Empat buah kapal penjajap. Merong Mahawangsa, Awang Alak Betatar, K.Thana dan Raja Haji Fisabilillah.

Keempat-empat kapal penjajap tersebut menukar haluan sambil senjata pertahanan jarak dekat cuba untuk menembak dan memusnahkan torpedo yang dilancarkan Fazrul.

Tetapi usaha menangkis serangan tersebut sia-sia.

Kesemua torpedo tersebut meledak, menghasilkan letusan besar yang terkandung denyar elektromagnetik dimana ia langsung melumpuhkan kesemua saki-baki kapal perang Armada Persekutuan. Ledakan dengan cas elektromagnetik dan elektrik statik menerangi ruang angkasa berhampiran Stesen Ricardo. Cahaya biru terang mewarnai dada angkasaraya.

Sementara itu Komander Eizlan menjadi lebih jengkel dengan keadaan yang dihadapi. Kemarahannya membuak-buak. Dia melepaskan beberapa lagi das tembakan sehingga habis peluru didalam kelopak.

"Bangsat!"

Selajur KASTURI memecut pantas meninggalkan ruang angkasa Stesen Ricardo tanpa perlu rasa ragu dan risau dikejar Armada Persekutuan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro