BAB 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

MASA KINI



MENAPAK masuk ke dalam bilik bacaan Luna, Frida diserang tanda tanya. Dahinya berkerut seribu. Pintu kembali ditutup rapat. Ke mana pula perginya Luna? Selalunya, gadis itu akan menghabiskan masa dengan berdiri di hadapan jendela.

     Seketika, dia mula terfikirkan satu tempat. Taman bunga. Satu lagi tempat wajib Luna untuk menghabiskan masanya. Dulang air kembali digenggam erat lalu Frida membuka langkah menuju ke taman bunga yang berada di belakang rumah.

     Benar tekaan Frida. Luna kini berdiri di hadapan sebatang pokok dengan gaya kedua belah tangan disilangkan di belakang. Pokok tersebut kelihatan sudah terlalu tua. Buktinya, pokok itu sudah tidak ditumbuhi dedaun hijau. Gelarlah Luna gila kerana dalam banyak-banyak pokok di situ, pokok tua tersebut yang menjadi tatapan mata. Hanya Luna sahaja yang tahu alasannya.

     "Lady Luna."

     Luna menoleh sekilas. Kembali menatap pokok tua tersebut, Luna melepaskan satu keluhan.

     "Sampai sekarang, saya masih tertanya-tanya. Kenapa Nenek Marta mengikat saya dengan pokok tua ni?" Luna mula meluahkan apa yang terbuku di hati. Frida di meja sana, setia mendengar. Dia yakin, luahan Luna belum sampai ke penghujungnya.

      "Dan kenapa Nenek Marta seksa awak dengan mengikat awak pada saya?" bukan Luna tidak sukakan hukuman yang Nenek Marta berikan, iaitu mengikat Frida bersama dengannya.
      
     Tidak sama sekali. Luna cuma risaukan keadaan Frida yang mungkin terseksa dengan hukuman ini. Luna yang buat kesalahan, Luna lah pencetusnya, jadi seharusnya cuma Luna sahajalah yang perlu dihukum.

      "Dan, kalau bukan disebabkan saya, lady tak akan menjalani hukuman ni. Orang yang terseksa bukan saya, tapi lady. Puncanya pula bukan lady, tapi saya. Saya terlalu ikutkan dendam sehingga menarik lady sampai ke tahap ini."

      Luna berpaling tubuh menghadap Frida di meja sana. Mereka berbalas pandang. Masing-masing sedang menghantar mesej melalui tatapan mata. Luna tahu, sehingga kini Frida masih dihurung rasa bersalah. Frida pula sudah sedia maklum bahawa Luna tidak peduli semua itu.

      Air muka Frida berubah. Dia tiba-tiba sahaja teringatkan sesuatu. Jam randik yang sentiasa di bawa bersama, diangkat sedikit.

    "Lady, kita sudah terlewat!" Luna sekadar mengangguk. Dia sendiri sudah sedia maklum bahawa mereka sudah terlewat untuk ke majlis temu mesra.

     Luna melabuhkan punggung dengan selesa. "Saya yakin Marsha belum selesai dengan persediaannya." Tebak Luna. Sudah masak dengan sikap penjaminnya, Marsha. Lagipun, hari ini bukan majlis temu mesranya sahaja yang diadakan di galeri seni Marsha. Ada satu lagi majlis yang penting untuk Marsha fokuskan.




TEKAAN Luna benar belaka. Wanita berusia awal 40an itu ke hulur ke hilir memantau hasil kerja tenaga-tenaga kerja yang diupahnya. Sekejap-sekejap, Marsha ke ruangan temu mesra Luna. Belum habis di situ, dia dipanggil pula untuk memeriksa ruangan perasmian lukisan terbaru daripada pelukis baharu.

Kedua-dua majlis ini amat penting dan untuk mengadakannya secara ala kadar, bukanlah apa yang Marsha fikirkan. Majlis temu mesra Luna, si pelukis lama dan perasmian lukisan baharu oleh si pelukis baharu. Kedua-duanya adalah lubuk rezeki Marsha.

     "Aunty Marsha!"

      Marsha tersenyum lega. Tidak perlulah dia melihat wajah gerangan yang memanggilnya. Mendengar suaranya sahaja pun sudah melegakan kegusaran Marsha.

     "Deby, bagi tentatif tu!" arah Marsha kepada pembantunya, Deby.

     Deby yang sedang membantu memegang hujung banner, bergegas mendapatkan Zen dengan melepaskan banner begitu sahaja.

     "Ni dia, Encik Zen. Tentatif majlis perasmian Mr. K." Sehelai kertas plain bertukar tangan. Zen berkerut bingung. Wajah Deby dan Marsha dipandang silih berganti.

     "Aunty, I thought you called me untuk halau tikus!" Zen mula merungut. Marsha dihampiri dengan wajah tidak puas hati.

     Mana dia tak puas hati kalau pagi tadi Marsha menghubunginya dalam nada cemas kononnya banyak tikus berkeliaran di pejabat. Zen yang pada ketika itu baru sahaja melelapkan mata setelah berjam-jam duduk di dalam kapal, bergegas bersiap-siap. Patutlah Marsha ada memintanya untuk memakai pakaian formal.

     "Inilah tikusnya, Zen! Alaa, macam Zen tak biasa urus event-event macam ni! Kat sana pun, Zen buat benda macam ni juga kan? Eventnya lagi besar daripada event aunty!"

     Marsha tunjuk muka selamba. Tangan sebelah naik mendarat di bahu lelaki itu sebelum ditepuk-tepuk bagi memberikan semangat. Semangat untuk Zen memulakan kerja pertamanya di sini!

     "Sushi akan tolong Zen," ujar Marsha. Zen berkerut. Sushi? Siapa pula Sushi ni?

     "Sushi!" jeritan Marsha bergema menyebabkan seseorang melatah dari kejauhan. Seketika, gerangan yang melatah tadi berlari-lari anak mendapatkan Marsha dan Zen.

     Zen hampir-hampir ternganga melihat pembantunya untuk hari ini. Zen benar-benar tidak percaya. Mula-mula, dia ditipu oleh Marsha. Sekarang, dia perlu bekerjasama dengan lelaki tapi macam perempuan ini?

     "Hi, handsome! Nama I Sushi! Like, you know? Sushi, kita tahu is mentah right? Macam tulah juga dengan I. I masih mentah bab-bab urus galeri and event. So, you boleh ajar I! But...."

     Belum apa-apa, Sushi sudah membuka mulut dan berceloteh itu dan ini. Langsung tidak memberi peluang buat Zen merungut lagi kepada Marsha.a

     "I tak mentah bab-bab bercinta tau? So, I boleh ajar you!" sambung Sushi lalu dengan gediknya menggigit bawah bibirnya sendiri. Sempat lagi lelaki itu mengenyitkan mata. Lagi membuatkan Zen terpaksa menyusun ayat-ayat untuk diluahkan kepada Marsha malam nanti.

     "Woi, Sushi! Yang kau bawa ribbon tu kenapa?" jeritan seorang lelaki di bahagian pintu masuk sana mengakibatkan Sushi terkejut lantas melatah panjang.

     "Oh my! Sorry, handsome! Tak terkawal pula I hari ni," ucap Sushi sebelum berlari gedik menuju ke pintu masuk.

      Zen tepuk dahi. Mahu merungut, Marsha sudah hilang entah ke mana. Yang tinggal sekarang cuma dia dan beberapa pekerja di bawah pengendaliannya untuk mengurus majlis perasmian.

     "Encik Zen, Mr. K dah gerak!" bagitahu Sushi selepas sahaja dia mendapat mesej daripada pemandu galeri yang menjemput Mr. K.

     Terpaksalah, Zen membantu Marsha mengurus majlis yang satu ini memandangkan wanita itu perlu menguruskan satu lagi majlis di ruang sana. Zen membetulkan penampilannya sebelum bergerak melakukan kerja pemantauan.

     "Sushi, teruskan update pasal Mr. K!" pinta Zen sambil mata tidak lepas daripada memerhati kerja-kerja memasang belon di gerbang masuk.

     Tepat pada masa persediaan sudah selesai, kereta yang membawa Mr. K sudah berparkir di hadapan galeri. Cepat-cepat mereka membawa lari bahan-bahan persiapan, takut termasuk ke dalam media pula nanti. Zen pula, terus bergegas menuju ke pintu utama untuk menjemput kedatangan Mr. K.

     Seperti yang telah dijadualkan, Mr. K datang tepat pada waktunya. Para wartawan berebut-rebut mengambil tempat untuk merakam dan mengambil gambar Mr. K melakukan perasmian lukisan terbaharunya. Mr. K kini berdiri di hadapan sebuah lukisan bersaiz besar tergantung di atas dinding yang masih ditutup dengan kain merah.

     "Penipu! Hentikan majlis ni!" jeritan seseorang di gerbang masuk menarik perhatian mereka semua. Zen berpaling dan mula memberikan arahan kepada pengawal melalui earpod yang mereka gunakan untuk berhubung.

     "Teruskan, Mr. K." Arah Zen memberi jaminan kepada pelukis baharu itu supaya jangan bimbang. Mungkin juga, lelaki yang membuat kekacauan itu merupakan salah seorang haters lukisan Mr. K.

     "Lepaskan akulah! Biar aku ajar si penipu itu!" jeritan lelaki itu benar-benar telah menganggu majlis Mr. K. Mr. K yang sememangnya sejak awal lagi rasa terganggu, jadi tidak selesa untuk meneruskan majlisnya.

     "Pengawal, buat kerja kamu!" arah Zen lagi tegas kepada para pengawal melalui earpod.

     Kekacauan itu telah menarik perhatian media daripada Mr. K ke arah lelaki itu. Semua berebut-rebut mahu merakam tindakan lelaki itu yang seterusnya. Mr. K pula sudah diarahkan oleh Zen untuk dibawakan ke pejabat di atas sana dengan ditemani dua orang pengawal.

     Terlebih dahulu, Zen mengambil nafas sebelum bergerak ke arah kekecohan. Dia kini tenang berhadapan dengan lelaki yang penuh dengan amarah yang entah disebabkan apa. Tapi, apa yang Zen tahu, lelaki ini ada menyebut-nyebut tentang 'penipu'.

     "Zen, kenapa tu?" tanya Marsha melalui earpod. Zen melepaskan keluhan berat.
     "Tak ada apa-apa. Zen akan uruskan." Earpod dimatikan lalu disimpan ke dalam poket.

     "Encik, saya tak tahu apa yang buatkan encik marah tapi tolong jangan ganggu majlis kami. Benda boleh bincang, kita naik dan bincang di pejabat saya." Pujuk Zen bernada sedikit lembut.

     Lelaki itu menepis kasar tangan-tangan yang memegangnya. Zen tahu lelaki itu ingin mengatakan sesuatu, lantas dia mengarahkan pengawal-pengawal itu untuk tidak memegangnya lagi. Bebas sahaja, lelaki itu segera mara menghampiri Zen.

     "Bincang? Heh, tak payah! Lebih baik kau bawa si penipu tu turun ke sini dan biar semua orang dengar pengakuan dia!" jerit si lelaki tepat di wajah Zen.

     Zen pejam mata. Geram rasanya apabila dia yang menjadi tempat lelaki itu melepaskan marah. Zen melakarkan senyuman kecil. Masih mengawal riak wajah.

     "Encik, tolong jangan malukan diri encik depan kamera macam ni. Saya..."

     "Heh, aku malu? Yang sepatutnya malu si penipu tu sebab dah tiru lukisan anak aku!"

     Lelaki itu memandang sekeliling. Satu persatu lensa kamera dipandang sebelum dia menghampiri sebuah kamera wartawan yang datang daripada pusat berita dan radio yang amat terkenal.

     "Hoi, penipu! Oh, tahu takut? Masa kau tiru lukisan anak aku, ada kau takut menggeletar macam ni? Sebelum aku yang bongkarkan penipuan kau, baik kau turun sekarang!"

     Dia tahu, televisyen sekarang sedang menyiarkan berita perasmian ini. Sebab itulah, dia datang untuk membongkarkan kerja jahat pelukis acah-acah itu. Biar satu Malaysia dengar dan tahu. Biar semua tahu yang si pelukis baharu kononnya ini telah meniru hasil karya orang lain semata-mata untuk dapatkan nama!

     "Encik, kita ke pejabat saya. Kita bincang dekat sana." Zen masih memujuk lelaki itu untuk naik ke pejabatnya. Walaupun dia tentang habis-habisan soal meniru karya orang, tapi hal ini tidak akan selesai dengan mengamuk di depan media.

     "Bincang kepala otak kau!"

     BUK!

     Tanpa diduga, lelaki itu melepaskan tumbukan tepat di muka Zen menyebabkan Zen jatuh terduduk. Lelaki itu kembali ditahan oleh para pengawal. Namun, dia tetap meronta-ronta dengan menendang angin seakan ingin menendang Zen.

     "Jangan halang aku! Orang yang menyokong si penipu tu perlu diajar!" ronta lelaki itu. Masih mahu melepaskan beberapa tumbukan di muka Zen.

     "Kau patut minta maaf!"






LUNA meletakkan mikrofon setelah selesai menjawab pertanyaan salah seorang wartawan di kerusi sana. Kini, tiba giliran Frida pula untuk menjelaskan maksud di sebalik lukisan yang dilukis sendiri oleh Luna di pentas kecil sana. Luna di meja sekadar mendengar dengan senyuman bangga.

     "Penipu! Hentikan majlis ni!"

     Frida terhenti. Dia mula mencari-cari gerangan yang memandai memintanya untuk menghentikan majlis Luna. Namun, tiada seorang pun yang menunjukkan tanda-tanda dialah gerangan yang berteriak tadi.

     "Maaf, kita teruskan."

     Luna di meja sana sempat dijeling untuk memeriksa keadaan gadis itu. Luna masih diam. Dia masih duduk dengan tegak, seolah-olah tidak terganggu dengan jeritan tadi.

     "Lepaskan akulah! Biar aku ajar si penipu itu!"

     Suara itu datang lagi. Bukan perhatian Frida sahaja yang terganggu, malah para wartawan juga. Mereka saling berbagi pandangan hairan. Suara siapa pula itu? Takkanlah ada kekacauan di bawah sana?

     "Maafkan saya, Luna. Pembantu saya akan uruskannya. Majlis ni kita boleh teruskan." Bisik Marsha tepat di tepi Luna. Luna diam tidak berkutik. Dia masih menunjukkan reaksi tidak terganggu.

     "Zen, kenapa tu?" kedengaran suara Marsha berbisik kepada seseorang. Langsung menimbulkan kerutan di dahi Luna.

     Sayup-sayup kedengaran pula suara seorang lelaki seperti sedang memujuk gerangan yang membuat kekacauan di bawah sana. Suara tenang itu bersilih ganti dengan suara penuh amarah seseorang. Kekecohan itu sekaligus telah menarik perhatian wartawan. Mereka yang datang ke situ semata-mata untuk Luna, kini bergegas ke bawah untuk mendapatkan berita lagi sensasi.

     Frida segera menghampiri Luna. Dibantu gadis itu untuk berdiri tatkala Luna masih terkial-kial mencari bantuan. Riak wajah Luna mula menunjukkan bahawa dia tidak sukakan suasana itu. Hari ini adalah harinya. Jadi, kenapa pihak media sibuk ingin tahu keadaan di bawah sana sedangkan di bawah sana juga ada wartawan tersedia?

     "Frida, saya dengar nama dia." Frida terkejut kecil. Dia yang dimaksudkan oleh Luna adalah kanak-kanak lelaki itukah?

     "Mustahil, lady..."

     Tanpa mendengar penafian Frida, tongkat dicapai lalu Luna segera mencari tangga eskalator. Melihat Luna yang sudah jauh di hadapan sana, dengan segera Frida mengejar.

     Sepanjang Luna menanti dengan sabar tangga eskalator membawanya ke bawah, Luna memasang telinga dengan tajam untuk mendengar suara-suara mereka. Namun, apabila suara nyaring lelaki itu bergema memenuhi ruang, Luna berdecit geram.

     "Encik, kita ke pejabat saya. Kita bincang dekat sana."

     Tiba di bawah, Luna disapa sekali lagi dengan suara itu. Langkah diambil dalam lima langkah sebelum Luna berhenti buat seketika. Dia perasan, Frida di belakang turut memberhentikan langkah.

     "Perlu ke saya tolong dia?" tanya Luna kepada Frida.
     "Tak per..."

     "Bincang kepala otak kau!"

     BUK!

     Mereka berdua jelas dikejutkan dengan bunyi tumbukan itu. Memandang Luna, Frida sekali lagi diserang kejutan. Dia tidak pernah melihat reaksi Luna yang sekarang. Reaksi Luna pada ketika ini amat sukar dimengerti. Entah apa yang Luna fikirkan?

     "Jangan halang aku! Orang yang menyokong si penipu tu perlu diajar!"

     Langkah Luna pada mulanya agak perlahan. Namun, lama kelamaan, Luna semakin melajukan langkah. Frida di belakang kembali mengejarnya.

     "Kau patut minta maaf!"

     Semua mata kian tertumpu kepada Luna yang kini tenang memasuki kawasan pergaduhan. Berdiri di perantaraan lelaki itu dan juga Zen, Luna berpaling tubuh menghadap lelaki itu. Senyuman kecil dihadiahkan.

     "Kau patut minta maaf." Ujar Luna lagi jelas-jelas ditujukan kepada lelaki itu.
     "Heh, perempuan buta! Kau tak dengar ke siapa yang salah sekarang ni?" marah lelaki itu.

     "Dengar. Sebab tu, kau patut minta maaf." Luna masih merenung lelaki itu seolah-olah lelaki itulah yang bersalah.

     Lelaki itu tertawa sinis. Agak kurang percaya dengan pandangan Luna yang jelas-jelas menuduhnya bersalah.

     "Aku minta maaf? Mereka ini yang patut minta maaf kepada aku!" teriak lelaki itu dengan jari yang menunding-nunding wajah-wajah yang patut meminta maaf kepadanya.

     "Bukan. Minta maaf pada Zen." Luna sempat mengesan keberadaan Zen. Entah kenapa? Adakah dia sedang berkhayal, Zen kini sedang merenungnya tidak mahu lepas. Lelaki itu seakan-akan terharu dengan kehadirannya.

     "Kenapa pula aku..."
     "Kau dah ganggu majlis aku." Cantas Luna seraya membuka langkah menghampiri lelaki itu.

     "Kau alihkan perhatian media daripada aku kepada kau." Sambung Luna lagi. Kini nadanya kedengaran sangat geram.

     Lelaki itu berundur beberapa tapak ke belakang. Walaupun Luna cacat penglihatan, tapi renungan Luna seakan-akan dia tidak buta langsung.

     "Kau berani naik tangan pada orang yang tak bersalah? Jadi, siapa yang patut minta maaf sekarang?" Luna memberhentikan langkah. Keluhan berat dilepaskan. Sejujurnya, dia benci apa yang dia buat.

     "Siapa tiru siapa? Mr. K, bukan? Jadi, kenapa bazirkan tenaga kau pada orang yang salah? Kau tahu Mr. K ada di mana. Kenapa tak kejar dia sampai ke sana?"

     Luna bersuara memprovokasi lelaki itu langsung membuatkan Zen menghampiri Luna. Tindakan Luna salah! Luna seperti memberi sokongan kepada lelaki itu untuk menyerang Mr. K.

     "Jumpa Mr. K, cakap dekat dia." Luna jeda. Sempat lagi tangannya naik membetulkan kolar baju lelaki itu.
     "Luna Adora, si peniru ni ingin berkenalan dengan rakan peniru dia." Setelah itu, Luna bergerak meninggalkan kawasan itu.

      Keadaan kembali riuh apabila mendengar Luna menggelar dirinya juga peniru. Beberapa orang wartawan mula mengejar Luna dan bertanyakan soalan-soalan mereka. Rata-rata ingin memastikan adakah selama ini Luna juga meniru hasil lukisan orang lain. Bila difikirkan balik, mustahil seseorang yang buta mampu melukis lukisan yang agak realistik.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro