BAB 3

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

ZEN masih tidak percaya dengan apa yang baru dia lihat. Dia kini berada di pejabat Marsha untuk menonton sendiri pengakuan Mr. K di kaca televisyen. Marsha urut pelipis. Langsung tidak menyangka bahawa mereka telah ditipu hidup-hidup oleh seorang pelukis baharu, kononnya.

     Mr. K di sidang media sana sendiri mengakui kesalahannya yang telah meniru hasil karya seorang pelajar sekolah yang dimuatnaik di media sosial remaja perempuan itu. Memandangkan pengikut remaja itu tidak banyak, jadi tidak ramailah yang tahu hasil-hasil lukisan remaja itu. Sebab itulah, Mr. K mengambil jalan singkat dengan menirunya dan mengaku bahawa lukisan itu adalah miliknya.

     Serentak, mereka berdua melepaskan keluhan berat. Hari ini saja, dua majlis telah rosak. Mujurlah, Luna tidak merungut apa-apa. Gadis itu malah selamba meminta para wartawan untuk bersurai. Luna juga sempat menetapkan tarikh baru untuk majlis temu mesranya di galeri Marsha.

     "Zen ke bawah sekejap." Pamit Zen setelah berasa cukup mendengar pengakuan Mr. K di televisyen sana.

     Seumur hidupnya, dia tidak pernah menguruskan majlis yang di dalamnya penuh dengan penipuan. Sebagai seseorang yang sudah arif dan biasa dengan pengurusan majlis, dia rasa terhina dengan majlis perasmian Mr. K hari ini. Dia terkilan, kecewa dan marah.

     Zen melabuhkan punggung di sebuah bangku yang disediakan di situ. Dia memandang kiri dan kanan, masih ada beberapa pengunjung yang datang melawat galeri. Memandang ke depan, pandangan mata lelaki itu disapa dengan sebuah lukisan bersaiz besar di dinding tidak jauh darinya.

Fatum lunae -1313-
Luna Adora

     Lukisan yang agak simple dengan hanya menggambarkan seorang gadis yang sedang memanah di bawah cahaya bulan. Sekali pandang, lukisan itu seakan-akan hidup. Sesiapa yang melihat, pasti akan terasa dinginnya suhu malam pada lukisan itu. Dedaun kelihatan benar-benar melambai mesra ditiup angin malam.

     Bukti lukisan milik Luna adalah kebanggaan dan bukan lukisan orang sembarangan, ia lengkap dipagari dengan tali berwarna merah. Langsung tidak membenarkan sesiapa memasuki kawasan gah itu.

     Fokus Zen pada lukisan Luna terganggu tatkala lampu tiba-tiba sahaja dimatikan. Segera Zen membawa keluar telefon lalu membuka lampu. Tidak sampai beberapa minit, lampu dihidupkan kembali.

      Pandangan mata lelaki itu kini disapa dengan kekosongan. Pengunjung yang tadinya ada dalam 10 ke 15 orang, kini tiada bersamanya. Zen berkerut dahi. Sekarang, cuma ada dia dan lukisan-lukisan seni sahaja. Ke mana pula perginya semua orang? Semerta, dia teringatkan kejadian beberapa minit yang lalu. Semasa lampu terpadam, langsung tiada suara jeritan mahupun suara-suara terkejut.

     Adakah semua orang sudah disembunyikan oleh makhluk ghaib? Tapi Zen tidak percaya semua itu.

     Tidak betah berdiri dan berteka-teki di situ, Zen mula mencari jalan keluar. Mungkin saja, semua pengunjung sudah bergerak keluar dalam keadaan dia tidak sedar. Itulah, fokus benar dengan hasil-hasil seni Luna sampai tidak sedar keadaan sekeliling.

     Zen berjalan dan terus berjalan, sehingga akhirnya dia tiba di satu lorong yang akan membawanya ke jalan keluar. Di kiri serta kanan lorong tersebut, terdapat beberapa pameran baju-baju perisai serta alatan berperang pahlawan dulu-dulu. Sempat lagi Zen mengagumi kehebatan perisai orang dulu-dulu. Nampak keras dan tidak boleh dipatahkan.

      Sedang Zen melayani perasaannya, dia dikejutkan dengan kelibat hitam yang laju melintasinya. Zen terdiam. Dia cuba untuk tidak menghasilkan sebarang pergerakan yang bakal menganggu fokusnya. Bunyi besi berlaga antara satu sama lain memasuki halwa telinga. Bunyi tersebut kedengaran agak berat, dan ia datang dari arah belakang Zen.

     Zen teguk liur. Kenapa bunyinya seperti ada ura-ura bahaya sahaja? Akal mengarahkan Zen untuk diam dan jangan sesekali bergerak. Namun, hati pula kuat mengatakan supaya Zen berpaling dan melihat apakah yang sedang berlaku di belakangnya. Bila kata hati lebih kuat berbanding akal, maka Zen turutkan hati yang sememangnya diserang pelbagai rasa tika ini.

     Nafas lega dihembus. Tiada apa-apa pun di belakangnya. Baru sebentar tadi otaknya ligat memperlihatkan beberapa jenis wajah yang menggerunkan dan menyeramkan. Untung Zen kerana tiada apa-apa pun berupa makhluk yang menggerunkan di belakangnya. Zen kembali memusingkan tubuh dan pandangannya kini disapa dengan figura yang memakai perisai besi pameran seni itu.

     Lutut seakan-akan tercabut daripada pangkalnya kerana ia langsung tidak mahu bergerak. Sekuat manapun batin Zen cuba menjerit meminta agar kaki itu bergerak walau setapak, hampa sekali kerana akalnya terlebih dahulu memberikan arahan untuk jangan melakukan sebarang pergerakan.

     Mengejutkan lelaki itu apabila sepasang mata berwarna merah terang muncul di sebalik topeng perisai tersebut. Bunyi-bunyi pelik turut kedengaran datangnya daripada figura seni itu. Awalnya, Zen diserang perasaan takut, namun lama kelamaan tiba-tiba sahaja dia berasa tenang. Tubuhnya yang tegak akibat ketakutan, kini lembik kerana sentuhan ketenangan.

    Sekilap, pandangan mata Zen menjadi disapa dengan wajah seseorang. Sekaligus membawa Zen ke realiti semula. Di hadapannya kini, Luna berdiri merenung anak matanya sambil tangan gadis itu naik menutup kedua belah telinga Zen. Zen terkejut tambah hairan dengan kehadiran Luna di situ.

    "Mata awak cuma nampak saya." Bisik Luna, agak dekat di wajah lelaki itu. Zen mengangguk-angguk seperti dia dikawal oleh Luna.

    "Dalam kiraan tiga, pergi lari selamatkan diri." Arah Luna tanpa memandang Zen yang masih menatap wajah seriusnya. Dalam keadaan bingung, Zen tetap mengangguk akur.

    "Satu..." Perlahan-lahan Luna menarik Zen ke belakangnya.
    "Dua..." Satu isyarat diberikan untuk Zen bersiap sedia.
    "Ti..."

     Zen pantas berlari tanpa sempat Luna menghabiskan kiraannya. Dengan pantas juga, Luna menghapuskan bayangan hitam yang menyelubungi figura seni itu. Sekali libas dengan menggunakan tangan kanannya, bayangan hitam itu lesap menyebabkan figura seni tadi jatuh berhamburan di atas lantai.

     Di sudut lain, Zen yang diserang perasaan bercampur-baur itu langsung tidak dapat berfikir untuk berlari keluar. Dia malah semakin lari masuk ke dalam galeri seni itu. Baru separuh dia memasuki satu lagi kawasan, tubuhnya didorong oleh sesuatu. Zen dihampas kasar ke dinding. Sekali lagi, dia berhadapan dengan figura seni itu.

      Zen berusaha untuk tidak menatap mata yang merah menyala itu. Dia tahu, dari mata itulah dia terkena satu kuasa yang bakal membuatkan tubuhnya kejang. Dan mungkin, dia langsung tidak akan sedar apa yang berlaku selepas itu kerana dirinya sudah dikawal.

     Rontaan Zen terhenti tatkala figura tadi ditarik menjauh olehnya. Giliran Luna pula menghempas kasar figura itu ke dinding sebelah. Sempat lagi Luna memberikan isyarat buat Zen untuk menjauhi mereka. Zen yang takut, hanya mampu akur. Dia hanya menjadi pemerhati dan menanti apakah tindakan Luna selepas ini.

     Figura yang tadinya meronta-ronta minta untuk dilepaskan, tiba-tiba sahaja berdiri dengan statik. Sekali pandang, seperti dalam kem tentera sahaja gayanya. Cucuk sanggul yang berada di kepala, Luna tarik perlahan-lahan sebelum dilibas ala-ala sedang mengerat leher figura tadi. Semerta, satu bayangan terbang keluar sebelum hilang entah ke mana. Figura tadi pun sudah jatuh berkecai menyembah bumi.

     "Aw... Awak?" Zen terkaku. Apa yang dia baru saksikan, bukanlah sesuatu yang dia harus berasa teruja.

     Laju Zen mendapatkan Luna apabila tangan gadis itu terkapai-kapai mencarinya. Tanpa diduga, Zen menggengam erat tangan Luna mengisyaratkan bahawa dia berada dekat dengan gadis itu.

     Keadaan kembali seperti sediakala semula. Senyap, hening dan sunyi sepi. Tiada lagi bunyi lagaan besi yang kedengaran agak berat. Yang ada hanyalah bunyi pernafasan masing-masing.






SEBUAH kerusi ditarik lalu Zen membantu Luna untuk melabuhkan punggung. Mereka kini berada di sebuah kedai serbaneka berdekatan. Selepas kejadian aneh tadi, Luna memberitahu bahawa dia haus dan meminta Zen untuk membelanjanya minum. Zen menoleh ke arah kedai serbaneka yang penuh dengan pelanggan.

     Dia pasti akan mengambil masa yang lama di dalam. Kesian pula biarkan Luna bersendirian di luar ini. Zen seluk poket seluar. Sekeping syiling bernilai 50 sen dibawa keluar lalu diberikan kepada Luna.

     "Apa ni?" tanya Luna. Tangannya mula bermain-main dengan syiling tadi.

     "Sementara saya pergi membeli dekat dalam, awak main-main lah dulu dengan syiling ni. Buang bosan." Jelas Zen. Entah dari mana datangnya idea itu?

     Luna sekadar mengangguk-angguk faham. Lagipun, jari jemarinya sudah sebati dengan bentuk bulat syiling tersebut.

     Sementara menunggu orang depan melakukan pembayaran, Zen memerhati Luna di luar sana. Kejadian aneh tadi kembali menjengah. Bayangan hitam yang keluar daripada figura itu masih jelas bermain-main di mindanya.

     Usai pembayaran, Zen bergegas keluar mendapatkan Luna. Kerusi kosong di hadapan gadis itu menjadi tempatnya merehatkan punggung. Sebotol mineral yang sudah dibukakan penutupnya diserahkan kepada Luna. Mata lelaki itu masih tidak sibuk memerhati pergerakan tenang Luna. Gadis itu nampak biasa, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

     Masing-masing mula terasa kekok. Satu-satunya cara untuk mereka membuang kejanggalan adalah dengan membuat hal masing-masing. Luna dalam diam sibuk memikirkan keadaan Zen. Macam mana dengan kesan tumbukan tadi? Masih berbekas kah? Sakit lagikah? Zen pula masih teringat akan kejadian tadi. Ada apa dengan bayangan hitam itu? Apa akan berlaku jika Luna tidak datang menyelamatkannya?

     “Luna, boleh saya tahu benda apa yang kejar saya tadi?” tanya Zen, akhirnya. Setelah otak berusaha mencari jawapan dengan sendiri.

     “Tak ada apa-apa. Cuma bayangan disebabkan penat sahaja.” Jawapan Luna langsung tidak boleh dianggap sebagai jawapan. Pada Zen, Luna seperti sedang menyembunyikan sesuatu.

     Zen mengeluh ringan. “Baguslah kalau cuma bayangan.” Zen ikutkan sahaja kata-kata Luna. Lambat-laun, dia pasti akan tahu juga.

     Kebetulan pada masa itu, kereta yang dipandu oleh Frida sudah tiba. Frida bergegas keluar lalu mendapatkan Luna. Sempat lagi dia dan Zen berbalas senyum sebelum Frida membawa Luna menuju ke kereta.





BADAN dihempas begitu sahaja ke atas katil. Segala penat lelahnya untuk hari ini dilepaskan dengan membiarkan tubuhnya baring tanpa melakukan apa-apa. Hari ini sahaja, Zen dikejutkan dengan bermacam-macam jenis manusia. Seorang dah lembut macam sushi, seorang pula suka buat kecoh di tempat orang. Ni, seorang lagi, yang suka tiru hasil kerja orang.

     "Mata awak cuma nampak saya."

     Zen bingkas bangun. Dia masih tidak percaya dengan kejadian aneh yang menimpanya hari ini. Dalam banyak-banyak kejadian yang berlaku hari ini, kejadian di mana dia dikejar oleh bayangan hitam yang menyorok di sebalik figura seni adalah kejadian yang tidak akan Zen lupakan.

     Macam mana seorang manusia yang cacat penglihatannya boleh melawan bayangan hitam itu? Zen baring semula. Memikirkannya sahaja boleh buat Zen lapar.

     “Zen!”
     “Woi, Zen! Kau ada kat rumah ke?”

     Tanpa sedar, Zen mengeluh geram. Dengan penuh keterpaksaan, dia mengorak langkah menuju ke pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka seluasnya, pandangan mata disapa dengan kehadiran dua bersepupu itu di luar rumah sewanya berserta sengihan tidak tahu malu.

     “Lapar?” tanya Armel sekadar ingin tahu. Macam dia tidak tahu masa-masa Zen lapar.
     “Masuklah!” pelawa Zen bernada sedikit terpujuk. Mujur mereka datang tidak bertangan kosong.

     “Korang berdua je?”

     Zen ke dapur untuk mengambil pinggan dan air kosong. Hairan bila cuma mereka berdua sahaja yang datang mengganggunya malam-malam ini. Selalunya, Melisa, seorang lagi rakan mereka akan menyibuk bersama.

     “Dia kerja overtime malam ni,” jawab Armel. Zen sekadar mengangguk-angguk faham.

     “Muka kau dah okey?” berita mengenai majlis perasmian lukisan baharu Mr. K yang diganggu oleh seorang lelaki yang tidak dihebohkan identitinya sudah sampai ke pengetahuan mereka berdua.

     Zen sentuh pipinya yang masih merah bekas kena tumbuk siang tadi. Dia kemudiannya bergerak menuju ke ruang tamu bersama tiga buah pinggan, sejug air kosong dan tiga buah cawan.

     “Biasa je ni. Taklah sakit mana pun,” kata Zen bernada agak angkuh. Lelaki kan? Tangan dah patah teruk pun masih dianggap biasa. Tapi, kalau demam? Macam masa itulah masa terakhir mereka hidup di dunia.

     “Memang tak patut orang tu tumbuk kau, Zen! Yang salah tu Mr. K, bukan kau!” rungut Armel tidak puas hati. Orang yang bersalah adalah Mr. K, jadi kenapa Zen pula yang terkena?

     Zen hanya mampu ketawa. Sejujurnya, dia juga marahkan tindakan lelaki itu yang melepaskan amarah kepada orang yang tak bersalah. Tapi, dia sukakan keberanian lelaki itu untuk bersuara demi anaknya yang telah menjadi mangsa si peniru.

     “Air kosong je?” kedengaran suara Damien merungut tidak bersyukur. Zen berdiri daripada duduk.
     “Korang nak air apa?” tanya Zen seraya mencapai dompetnya di atas peti sejuk.

     “Macam biasa!” serentak, dua bersepupu itu bersuara. Zen sekadar mengangguk faham. Sempat lagi dia berpesan kepada mereka berdua untuk menunggunya untuk makan bersama-sama.

     Sepanjang jalan menuju ke kedai serbaneka berdekatan, Zen bersiul-siul riang sambil menikmati langit malam yang indah. Bulan pada malam ini jelas ditemani dengan taburan bintang yang tidak terkira. Tanpa Zen sedari, kepulan-kepulan asap hitam mengekorinya rapat di belakang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro