_B A B_1_

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng



HUJAN turun dengan lebatnya, mencurah membasahi bumi Tuhan. Hati Aira Safiya berdetik penuh kerisauan. Lengan itu dipeluk erat seolah-olah enggan membiarkan pergi.

"Aira pergi masuk dewan. Sekejap lagi periksa nak mula. Ayah pun dah nak balik ni," Pak Omar tak sudah menggesa tapi tetap tak berganjak anak gadisnya itu. Terus terdongak memandang ke langit kelam yang tak henti mencurahkan hujan.

"Aira," Pak Omar memanggil lagi setelah tak mendengar suara sahutan. Dia tahu apa yang menebak sanubari anaknya walau mulut Aira Safiya tertutup tanpa suara.

"Ayah..." kepala gadis itu berkalih lalu wajah ayahnya dipandang.

"Iye..." Pak Omar menyahut bersama bibir yang terkoyak senyuman.

"Ayah... jangan balik lagi, ya. Hujan lebat ni. Bahaya tau. Ayah tunggu sampai hujan berhenti dulu," besar harapan di hati Aira Safiya. Sungguh dia merasa risau. Lagipun kalau ayah bergerak sekarang, memang lencun habis.

"Iye. Ayah akan tunggu sampai hujan reda. Dah. Aira pergi masuk dewan. Nanti lambat nak periksa," suruh Pak Omar lagi.

Wajah mulus anaknya dipandang. Anak yang dikurniakan Ilahi setelah bertahun dia dan isteri berusaha. Kerana itu dia sudah melebihi usia separuh abad sedangkan Aira Safiya baru 19 tahun. Sepuluh tahun selepas itu hadir Afiq Najmi.

Aira Safiya mengeluh perlahan. Hati yang berdetak risau tak mampu dipulihkan dalam sekelip mata. Wajah itu kembali dipandang. Seketika tubuh ayahnya didakap erat.

Pak Omar tetap tersenyum sebelum membalas dakapan anaknya. Sudah besar panjang tak lama lagi nak bersuami pun manja tak pernah berkurang. Mengalahkan si bongsu!

"Dahlah. Tak payah nak berdrama dekat sini. Pergi masuk dewan. Lambat karang, tak boleh nak ambil periksa," suruh Pak Omar lagi sambil meleraikan pelukan mereka. Tersengih-sengih dia kemudiannya membalas pandangan beberapa orang ibu bapa yang turut menumpang berteduh di situ sementara menanti hujan reda.

Anak dia itu memang manja tak bertempat!

Seketika kedua tangan Aira Safiya naik memegang pipi ayahnya sedang bibir terjuih. Sungguh dia merasa sukar untuk melepaskan ayah pergi. Mungkin kerana rasa cemas yang melanda hati memikirkan peperiksaan yang bakal ditempuhi.

Hari itu merupakan hari pertama peperiksaan bertulis STPM dijalankan di seluruh Malaysia.

"Ayah jangan balik lagi tau. Tunggu hujan berhenti dulu. Tak ke mananya ladang sawit ayah tu," Aira Safiya kembali berpesan. Sungguh dia merasa risau.

"Iye. Ayah tahu. Jangan risaukan ayah," angguk Pak Omar bersungguh.

"Ayah doakan Aira, ya. Semoga Aira dapat buat yang terbaik."

"Iye. Ayah selalu doakan Aira. Semoga Aira berjaya di dunia dan akhirat. Semoga Aira dapat capai cita-cita dan impian Aira," sahut Pak Omar tetap dengan senyuman.

Namun Aira Safiya kembali mengeluh. Semakin panjang bunyinya. Saat yang sama mata terpandang dua orang rakan seangkatan yang bergegas mahu masuk ke dewan. Melambai laju padanya.

"Aira masuk dulu. Petang nanti ayah ambil Aira tau," akhirnya dia terpaksa mengalah.

"Iye. Insha-ALLAH. Jangan lupa baca doa, ya," pesan Pak Omar.

Kaki Aira Safiya sudah mahu melangkah namun pegangan enggan terlerai. Mahu tak mahu Pak Omar terpaksa menarik tangannya. Kemudian melambai sambil bibir mengukir senyuman. Dihadiahkan buat anak gadis yang dilihat enggan meninggalkan.

Kepergian itu dihantar dengan pandangan mata sambil doa tak putus dititip mengharapkan kebahagiaan berterusan. Semoga Aira Safiya dapat lakukan yang terbaik demi mencapai apa yang diimpikan dalam meraih cita-cita dan keinginan.

Mata Pak Omar kembali menala ke langit kelam. Hujan rahmat yang turun mencurah masih tiada tanda-tanda akan berhenti.

Sekilas jam pada pergelangan tangan dipandang. Menghampiri lapan pagi. Pak Omar membuat keputusan menunggu beberapa minit lagi. Lagipun benar apa yang dikata anaknya. Tak ke mana ladang sawit yang dimiliki. Buah-buah selagi tak dikait tetap akan berada di atas pokok.

Sepuluh minit berlalu, hujan semakin reda walau tak berhenti sepenuhnya. Pak Omar segera memakai baju hujan. Helmet dikenakan ke kepala. Setelah menghidupkan enjin, motosikal digerakkan meninggalkan perkarangan sekolah.

Kalaulah Rosnah tak menggunakan kereta, tak mungkin dia berhujan sebegitu. Kasihan Aira Safiya.



LANGSIR yang menutupi ruang diselak ke tepi. Sliding dibuka luas membiarkan angin sejuk menerobos masuk. Seketika kepalanya berkalih ke belakang memandang katil yang terletak di tengah-tengah ruang. Dengan satu makhluk tak berbaju yang enak tertiarap ketiduran. Matahari sudah terpacak di atas kepala pun masih nak membuta!

Aryani mendekati sambil kepala tergeleng tak henti. Tangan sempat mencapai bantal-bantal dan pakaian yang berteraburan di atas lantai lalu dibawa ke sofa berdekatan sebelum dia kembali mendekati katil. Seketika bulat biji matanya saat terpandang rambut silver di kepala itu.

"Raf! Bangun!" sambil nama itu diseru, bahu adiknya Aryani pukul kuat.

Sudahlah tidur terbongkang macam tak ingat dunia. Rambut pula entah bila bertukar warna? Ini kalau mama nampak memang jenuh kena bebel siap dengan dia sekali terbabit.

"Raf!" kelepek! Belakang adiknya dipukul lebih kuat. Sampai perit tapak tangan Aryani. Menggeliat tubuh itu sebelum Raef Afham pusingkan kepala.

"Sakitlah!" terdengar rengusan dari mulut adiknya sedangkah Rose Aryani semakin tergamam.

Mana tidaknya? Sudahlah rambut warna silver. Mata pula bercelak tebal mengalahkan pengikut ajaran sesat. Adik dia ni dah kenapa?

"Raf! Ya ALLAH! Apa kena dengan muka... dengan rambut Raf ni? Raf dah hilang akal ke apa nak kaler-kaler macam ni? Tahulah dah lama..."

Bedebuk! Sebiji bantal persegi terhempap ke muka Aryani. Nyaris dia bergolek jatuh dari birai katil.

"Raef!!!" lalu bergema suara nyaringnya di dalam ruang itu.

Mujur tak bersememeh maskara pada bulu mata. Dua jam dia bersiap, hanya sesaat Raef rosakkan.

"Akak! Bisinglah. Blah ah! Orang nak tidur," Raef menolak tubuh kakaknya kuat sambil tubuh dipusingkan terlentang. Namun semakin Aryani tergamam saat mata terpandang corak berlingkar pada perut kempis itu pula.

"Raf! Kau dah gila ke, dik? Apa yang dekat perut ni? Ya ALLAH! Sejak bila kau jadi macam ni? Dekat oversea..."

"Akak!" giliran Raef menjerit kuat. Sudah terbangkit bersila gara-gara kekecohan kakaknya.

"Raef... kita orang melayu ada agama, dik..." hampir berderai air mata Aryani. Sungguh dia tak percaya dengan keadaan adiknya. Satu-satu yang ada.

Sebelum ini tak pula Raef berperangai tak senonoh. Sudah lebih setahun setelah kembali dari UK tak ada meliar sangat. Tapi apa yang dia nampak di depan mata sekarang memang perkara yang tak dijangka. Tak boleh dibuat tak endah. Mustahil untuk dimaafkan semudahnya.

Apa sudah jadi pada adik dia?

"Rose!" Raef memegang kedua bahu kakaknya. Mata yang memberat terpaksa dicelikkan.

"Raef..."

"Ini... orang pakai tampallah. Bukan betul-betul," beritahu Raef sambil mencalitkan air liur pada hujung jari. Kemudian ditenyeh-tenyeh pada corak yang berlingkar pada perut.

Rose Aryani mempamerkan muka jijik. Yuk! Air liur basi.

"Dah kenapa nak bertampal-tampal pulak? Raf tahu tak meniru benda..."

"Semalam Raf kerjalah, akak. Adoi! Bising betul!" kembali Raef merebahkan tubuh ke tilam. Mengantuk yang amat!

"Kerja? Jadi model lagi?"

"Hemm..." suara sahutan di dalam tekak. Tak sampai sesaat kembali terdengar bunyi dengkuran Raef.

Rose Aryani mengeluh lega. Seketika dia merangkak naik ke katil adiknya. Hujung jari menyentuh rambut silver di kepala itu lalu ditarik.

Euw! Bertempek warna yang melekat.

Tak senonoh punya Raef Afham. Tak pasal dia menangis di pagi hari yang indah. Sepatutnya sekejap lagi baru nak berdrama. Aryani ingatkan adik dia sudah terpesong akidah. Takut juga dia rasakan. Enam tahun tinggal di luar negara bermacam-macam perkara boleh berlaku.

"Eh! Raf! Bangunlah nak tidur apa lagi? Subuh comfirm tertinggal kalau macam ini gayanya," Aryani kembali menggoyang tubuh adiknya. Namun tiada reaksi.

"Raf!!! Bangun. Abang Zack sampai pukul sepuluh nanti. Kau jangan, dik. Semalam dah janji nak temankan akak pergi airport. Kau jangan, dik. Mati Raf akak kerjakan. Memang nak kena ni."

"Raef!!!"



(1144 words)

*VOTE & COMMENT ARE VERY APPRECIATED*

_F R O M_M E_W I T H_L O V E_

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro