l b p | 0 3

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SEJAK Haries bersetuju untuk berkahwin, Naina mengajak Raihanah untuk duduk serumah dengan mereka. Pada mulanya, gadis itu menolak dengan alasan segan untuk menyusahkan orang.

Tapi bila dia berasalan sebegitu, sekejap saja pinggangnya menjadi mangsa jari ketam Naina. Hidung itu kembang-kempis sebab marahkannya sebab buat ayat seposen macam tu.

"Apa cakap macam tu? Mama ni dah anggap awak ni anak sendiri tau! Buat lagi ayat macam tu, ni tangan ni. Melekat dekat mulut awak tu!"

Itulah sebahagian dari bebelan Naina kepadanya. Membuntang mata itu memberi amaran kepadanya. Tangan yang sudah semakin berusia itu pun dah terawang-awang ke udara, kononnya nak tampar mulut Raihanah.

Raihanah tergelak kecil seraya menggeleng-geleng perlahan kepalanya. Lucu bila ingat kembali kejadian itu. Naina tak pernah gagal buat dia terhibur dengan gelagat wanita itu. Ada saja gaya Naina yang buat Raihanah tak kering gusi.

"Ya Allah, apalah baik yang aku buat sampai dapat jumpa dengan orang sebaik mama," bisik Raihanah, sendirian. Dia tersandar di kepala katil. Betapa dia bersyukur dipertemukan dengan Naina.

Walaupun pada awal perkenalan, Naina kelihatan seperti wanita kaya yang sombong dan tegas, namun ternyata, ada sebuah kelembutan dan sifat penyayang di sebalik wajah tegang itu.

Lamunan Raihanah terganggu apabila seorang kanak-kanak lelaki yang tiba-tiba menjengah masuk ke biliknya.

Bibir Raihanah terlukis senyuman manis melihat Razif di muka pintu. Melihat wajah ceria adiknya, tidak dapat tidak, buat hatinya turut bahagia.

"Ya, Raz. Kenapa?" soal Raihanah seraya tangannya didepangkan, ingin memeluk tubuh kecil yang berusia 12 tahun itu. Melihatkan itu, Razif laju saja berlari ke dalam dakapan si kakak kesayangannya.

'Kakak, betul ke kita akan pindah rumah tok ma dan tok pa?' tanya Razif, nampak teruja menggunakan bahasa isyarat tangannya.

Raihanah yang menjatuhkan kepalanya sebagai jawapan, membuatkan Razif bertambah seronok. Dia bersorak sendiri di atas katil dengan melompat-lompat keriangan.

"Amboi! Suka ya dia?" Pipi Razif dicubit perlahan. Berbunga-bunga hatinya melihat Razif yang gembira.

Razif memang sangat rapat dengan Muhaimin, suami Naina yang selesa dipanggil tok pa. Sepasang suami isteri itu juga tidak kisah dipanggil begitu. Dapatlah merasa macam ada cucu yang dapat mereka jumpa selalu.

"Razif tahu tak kenapa tok ma ajak kita duduk rumah dia?" uji Raihanah sambil rambut lebat Razif diusap kasih. Sedayanya, dia cuba memberikan kasih sayang yang cukup untuk Razif. Dia tak mahu Razif rasa kekurangan kerana keluarga mereka yang hancur.

'Hmm... kenapa?' Razif hanya senyum manis dengan tangannya yang sudah tergawang-gawang.

"Sebab kakak bakal berkahwin dengan anak tok ma." Tangan Razif yang laju membuat bahasa isyarat kini pula digenggam kemas. Dia berdebar menanti reaksi Razif. Gembirakah budak itu? Atau sebaliknya? Dalam diam, Raihanah terlalu takut untuk membayangkan jika Razif tak bersetuju.

Senyuman Razif yang pudar membuatkan jantung Raihanah berdetak kencang. Apakah tandanya itu? Dia tak mahu Razif berfikiran bukan-bukan dengan pemberitahuannya ini.

Mata bundar itu tak semena-mena berubah kelam. Pegangan erat Raihanah di tangannya dileraikan.

'Kakak buat semua ni sebab tak nak hidup susah?' Kening itu bertaut sesama sendiri dengan mata yang merenung tajam si kakak.

"Razif!" Raihanah hampir terjerit, terkejut mendengar andaian yang boleh terlontar keluar dari dua belahan bibir itu.

'Raz tahu tok ma dengan tok pa banyak buat baik dengan kita, tapi kalau kakak buat semua ni sebab nak tengok kita hidup senang, Raz tak nak! Raz tak kisah kalau hidup kita susah pun. Raz tak nak kakak kahwin sebab diaorang baik dengan kakak!' Panjang lebar Razif menyatakan alasannya menolak. Mata bundar itu hampir-hampir ingin jatuh air matanya. Bibir merah itu juga tercebir kecil.

Baginya, walaupun dia hanyalah budak mentah, tapi dia dah cukup besar untuk faham apa yang terjadi. Dia faham hubungan keluarganya yang punah. Dia faham kakaknya sedang berusaha memberikannya bahagia. Dia seorang kanak-kanak, tapi adakah itu alasan untuk menjadi buta dan tuli dengan setiap penat lelah kakaknya?

"Tak, sayang. Tak," nafi Raihanah. Dia tenung anak mata Razif yang berkaca-kaca. Meski sekuat mana pun dia mahu Razif hidup seperti budak-budak lelaki normal sebayanya, Raihanah tahu dia tak boleh lari dari kenyataan yang Razif sudah terlalu faham dengan hal sebegini.

Tak lama lagi, adik yang selalu ingin dilindungi itu akan menginjak ke alam remaja. Pasti sedikit sebanyak, Razif akan peka juga dengan situasi yang mereka alami tika ini.

"Tok ma tak pernah paksa kakak. Tok ma minta tolong dengan kakak. Sebab apa, kakak tak boleh beritahu Raz. Tapi, apa yang penting, kakak buat semua ni ikhlas. Lagipun, yang kakak akan kahwin tu bukan sesiapa. Dia anak tok ma dan tok pa. Kalau ibu ayahnya baik, takkan anaknya tak?" beritahu Raihanah tanpa selindung lebih-lebih.

Dalam hal sebegini, dia mesti jujur. Dia tak mahu Razif pandang serong dengan Muhaimin dan Naina hanya kerana situasi ini nampak seperti pasangan itu mengambil kesempatan ke atasnya.

'Tapi bukan ke kalau nak kahwin kena suka sama suka?' Razif membentuk muncung dengan bibirnya. Jarinya bermain sesama sendiri.

Raihanah tergelak melihat reaksi adiknya yang malu-malu. Hai, siapa yang nak naik pelamin ni?

"Suka tu hal orang besar. Budak kecil diam-diam aje!" usik Raihanah seraya meletakkan jari telunjuknya di bibir.

'Tapi betul ke kakak tak buat semua ni sebab Raz? Raz tak nak kakak kahwin sebab nak balas budi aje. Kakak ingat tau, kalau kakak tak bahagia, Raz pun takkan bahagia!' Usai meluahkan rasa, Razif memeluk erat Raihanah, ingin menyembunyikan wajahnya yang sudah merah dalam dakapan si kakak.

Bila fikir balik, malu pula cakap macam tu, getus hati Razif, termalu sendiri.

Raihanah tersenyum-senyum melihat Razif yang malu-malu. Hish, biarlah usianya meningkat pun, Razif tetap Razif yang manja.

"Ya, Raz. Lagipun, bakal suami kakak tu hensem tau!" Sekejap saja, Raihanah sudah terkekeh-kekeh ketawa.

Razif mencebir sebelum sama-sama tergelak.


HARIES melentokkan kepalanya di bahu mamanya. Mereka sekarang sedang duduk di atas buaian di taman bunga Muhaimin. Angin sepoi-sepoi bahasa dan juga langit senja pada petang yang dingin itu ternyata tak mampu meredakan hati dua beranak yang merusuh.

Biarpun, wajah mereka kelihatan tenang-tenang saja, namun hanya Tuhan yang tahu kecelaruan yang hadir dalam kepala masing-masing. Seorang berperang dengan rasa bersalahnya dan seorang lagi berjuang dengan keraguannya sendiri.

"Ma, saya nak tanyalah." Haries membuka bicara setelah lama berdiam.

"Hmm." Ringkas balasan dari Naina ketika itu.

"Kalau saya kahwin dengan Raihanah, dan saya tak bahagia, macam mana?" soal Haries. Kepalanya diangkat dari bahu mamanya seraya merenung Naina, menginginkan jawapan.

Mengharapkan jawapan yang menyedapkan hati tapi dalam hati, dia menjangka jawapan yang sebaliknya. Haries tak yakin dengan perkahwinan tanpa cinta ini. Ini bukan drama Melayu pukul tujuh. Kahwin paksa rela, tiba-tiba jatuh cinta. Lagi-lagi pula berkahwin dengan lelaki macam dia.

Haries sedar, dirinya sering saja disibukkan dengan kerja. Macam mana nak tanam rasa cinta kalau dia terlalu asyik dengan kerjayanya? Bagaimana bakal isterinya itu nak bahagia kalau...

Terlalu banyak rahsia yang dia simpan?

Tak mungkin dia mahu beritahu tentang kerjanya kepada Raihanah. Dan tak mungkin juga Raihanah akan selalu berdiam bila melihat dia sering pulang lewat atau keluar tengah-tengah malam.

Tiada siapa tahu tentang kerjaya keduanya selain Farhan dan Shafira. Naina, wanita paling rapat dengannya pun dia tak mahu beritahu. Apatah lagi, Raihanah yang dia tak berapa kenal. Sedangkan anak-anak buahnya sendiri pun Haries tak pernah cerita tentang identiti sebenarnya.

"Haries, mama memang nak awak kahwin. Tapi mama tak pilih menantu mama macam pilih ikan dekat pasar tau! Mama kenal Hana tu nak dekat setahun dah. Hubungan kami ni lebih rapat dari hubungan mama dengan adik beradik awak yang lain. Mama tahu, mama tak silap orang. Hana boleh jadi isteri yang baik. Kalau mama boleh jatuh sayang dengan dia, takkanlah awak tak boleh?"

"Tapi mama..."

"Awak kenallah dia dulu. Hana bukan gadis sempurna yang ada segalanya, tapi sayang... there's something about her you can't underestimate," tukas Naina sambil tersenyum penuh makna.

"Apa?" Kening Haries terangkat, tertarik nak tahu. Jarang Naina, seorang wanita cerewet ni nak puji-puji orang.

"You'll see, Haries. Mama kenal awak macam mana. Dan mama tahu jenis perempuan mana yang awak perlukan," balas Naina, mengusap lembut bahu anak lelakinya yang paling nakal itu.

Betapa dia sanggup lakukan apa sahaja demi keselematan keluarganya. Biarpun perbuatannya seakan-akan terlihat seperti mengorbankan hati dan perasaan Haries, tapi biarlah Allah sahaja yang tahu, cinta dan sayangnya tiada noktah.

Haries menghela nafas lemah. Nak berahsia pula mama dia ni.

"Yalah, yalah. Tapi, mama... saya ada satu permintaan," ujar Haries sambil tersengih-sengih. Dalam hati, dia menyimpan gugup. Takut kena pelangkung pula dengan Naina kalau permintaan ini disuarakan. Namun ini semua untuk menjaga identitinya sendiri.

"Apa?" Berkerut dahi Naina melihat wajah nakal Haries. Adalah tu benda-benda pelik dia nak minta.

"Boleh tak selepas kahwin, Hana duduk dengan mama aje? Bolehlah dia duduk sekali dengan adik diakan? Saya pula, duduk dekat rumah saya lagi satu tu. Okey?"

Membuntang mata Naina. Bibir itu terketap sendiri. Terus saja tangan itu menampar belakang badan Haries.

"Eh, awak ni gila ya, Haries Naim? Bila awak dah kahwin, awak berdua tu suami isteri tau! Ini melampau! Biasa orang minta tidur bilik asing, awak ni... rumah pun nak asing juga? Tak baik tau buat anak orang macam tu. Eee..." Kali ini, bahu Haries pula dipukul-pukul. Geram!

Ada ke patut suami isteri duduk rumah berasingan dengan sengaja? Macam pasangan nak tunggu cerai aje gayanya.

"Ala, mama... mama tahukan saya ni selalu sibuk. Nanti dia perasan saya selalu balik lambat, dia ingat saya curang belakang dia!"

"Tapi tu bukan alasan nak rumah asing! Gila betul! Hish, dah jangan sengih-sengih! Menyampah! Kang ada penumbuk ni melayang dekat muka!" Buku lima Naina ditayangkan di depan muka Haries dengan raut muka macam nak telan orang.

Naina bangun dari duduknya di buaian. Dia mengurut pelipis sendiri. Tiba-tiba, pening kepala.

"Hei, Haries... Haries. Belum kahwin pun, mama dah mula kesiankan Hana tu! Dah, mama nak masuk. Setan kat telinga mama ni dari tadi menghasut suruh mama sepak kamu sampai ke dapur," bebel Naina lalu kakinya laju saja melangkah masuk ke rumah.

Haries yang melihat gelagat mamanya, tergelak besar. Geli hati mendengar bebelan selamba Naina.

Tawa lelaki itu perlahan-lahan reda. Haries memandang langit yang kian kelam. Dia memejam mata rapat-rapat.

"Raihanah, tahan ke awak hidup dengan saya?"


Tarikh - 100521

Masa - Jam 2126

DJ's prescription :

√ Jangan lupa vote dan comment kalau awak enjoy dengan bab ni.

√ Bab ni bosan? Boleh utarakan di komen atau di private message. DJ boleh buat penambahbaikan.

√ Terima kasih kerana sudi membaca, vote atau komen.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro