l b p | 0 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


KEPALA itu tersandar tenang di badan sofa empuknya. Di tangannya, sebuah MP3 berwarna merah disambungkan dengan earphone yang disangkut ke kedua-dua telinganya. Setelah audio yang terakam dalam alat kecil itu tamat, bibir itu melukis senyuman lebar.

Earphone dicabut lalu diletakkan di atas meja ruang tamu.

"Kahwin ya?" bisik lelaki itu lalu tergelak kecil. Lelaki itu mencapai sekeping gambar di atas meja. Dalam gambar itu, seorang gadis muda bertudung hitam sedang membeli barang di kedai runcit.

"Alahai, sayang... kahwin? Seems like a perfect plan for a perfect life," bicara lelaki itu seorang diri. Foto di tangan dijentik-jentik lembut.

"Clinq," seru lelaki itu.

"Ya, tuan." Seorang lelaki berbadan sasa yang hanya berkerudung hitam mendekat.

"Panggil dia," arah lelaki itu, lalu membetulkan duduknya di sofa.

"Baik, tuan." Clinq akur. Kakinya membuka langkah besar untuk mendaki anak tangga rumah agam mewah itu.

"Oh ya, Clinq!" Panggilan dari lelaki itu membejatkan langkah Clinq yang agak laju. Kepala itu menoleh memandang majikannya.

"Hati-hati," pesan lelaki itu sambil tersenyum menampakkan sedikit barisan gigi hadapannya. Lelaki itu kemudiannya bermain dengan cincin perak yang tersarung di jarinya.

Clinq hanya mengangguk. Sebentar kemudian, seseorang yang dipanggil tiba di hadapan lelaki yang berada di sofa. Lelaki itu dibiarkan duduk di atas sofa yang bertentangan. Riak muka lelaki itu nampak kosong dan tak bernyawa. Tak ubah seperti patung yang tidak berperasaan. Yang terbias hanyalah kecewa dan benci yang bersatu.

"Ayee, siapa aku?" soal lelaki yang berada di sofa. Jari telunjuknya melurus pada hidung sendiri sambil kening terjungkit, menyoal.

Ayee mengunci mulut buat seketika. Hanya matanya bergerak-gerak memandang lelaki yang tersenyum manis kepadanya.

"Yanny..." Lelaki dipanggil Ayee itu menjawab lemah. Dia jeda seketika. Matanya terkejip.

"Yanny The Surrogate."

"Penatkan, Ayee?" duga Yanny tiba-tiba.

Ayee tersenyum tanpa rasa. Kadang-kadang, dia tak tahu sama ada Yanny sedang kasihankannya atau mengejek. Mungkin dua-dua.

"Penat?"

"Penatlah jadi babi buta," balas Yanny, menopang dagu.

Senyuman Ayee mati. Jadi babi buta ya? Babi buta yang hanya berlari lurus dan akhirnya malang sendiri dengan 'kelurusannya'.

"Daripada jadi babi, baik jadi anjingkan? At least, dog knows how to please."

Ayee tak bersuara walau sepatah. Dia hanya membiarkan mulut Yanny terus berkata-kata. Biar telinganya yang menadah biarpun perit nak menahan.

Beberapa lama, suasana antara mereka sepi. Tiba-tiba, Ayee bersuara, "Tapi bukan untuk seekor anjing yang tersepit."

Yanny ketawa. Suka apabila Ayee mulai menghadam maksud kata-katanya. Mungkin juga, Ayee sudah pun dapat menangkap tujuannya memanggil lelaki itu ke mari.

"Sebab anjing tersepit ni mudah nak raih simpati, kan?" uji Yanny, sambil kepalanya sengaja dijatuhkan ke kanan. Bibir itu jelas sedang menahan senyum teruja.

"Tapi kalau dia tahu anjing tu akan gigit dia balik?" duga Ayee pula, merenung jauh ke masa lalu. Bayangan seorang gadis manis berselendang putih menjengah minda. Matanya berubah kelam. Kelam dengan sakit hati dan dendam.

Yanny meregang-regangkan badannya. Lelaki itu bangun dari sofa. Belahan bibir itu menggaris senyum sinis.

"Kalau dia tahu," tukas Yanny.

Ayee kemudiannya turut tersenyum sebelum mengangguk.

"Ya, kalau dia tahu."

KEPALA yang tersarung selendang digaru-garu. Bukan kepalanya gatal, tapi Raihanah keliru sendiri untuk buat apa ketika ini. Dia mengeluh lemah. Dalam hati, dia mengutuk diri sendiri kerana dah lama tak pergi servis kenderaannya yang satu ini.

Motor yang tersadai di tepi jalan, ditenung dengan terik mentari yang memancarkan bahangnya. Reneh peluk menitik-nitik di dahi Raihanah. Badannya juga terasa basah bermandi garam yang keluar dari badan sendiri.

Dengan dahi yang berkerut-kerut, Raihanah kibas-kibaskan tudung sendiri. Lega sedikit saat merasa ada angin kecil yang menyejukkan lehernya yang basah.

"Nak buat apa eh?" soal Raihanah, seorang. Dia bercekak pinggang seraya kepala terteleng ke kiri dan kanan, melihat motor dan kereta yang lalu lalang di laluan dua hala ini.

Raihanah bercangkung seketika, berfikir. Rumah Naina jika menaiki motor tak sampai lima minit pun lagi memandangkan jaraknya dari sini hanya tinggal sekilometer.

Tapi, kalau nak jalan kaki dengan menolak motor sampai ke rumah wanita itu, agaknya... 20 minit juga nak sampai. Raihanah bangun. Dia tak mahu mengharapkan bantuan orang lain. Segan.

Lagipun, dia dah biasa sendiri. Melakukan semuanya secara berdikari. Walau sesukar mana pun situasi itu, dan keadaan nampak tidak menyebelahi Raihanah, gadis itu akan pastikan, dia akan jumpa penyelesaiannya. Meskipun, jalan penyelesaian yang difikirkannya memerlukan pengorbanan.

Raihanah perlahan-lahan menyusung motor yang sudah berjasa kepadanya hampir lima tahun itu. Matanya terkejip, menahan silauan mentari yang memedihkan mata.

Lima minit menolak motor yang sudah pancit tayarnya itu, Raihanah tak semena-mena rasa tidak kena. Dia merasakan macam ada seseorang mengekorinya daripada tadi. Keningnya bertaut. Perasaan gerun, cemas dan curiga bersatu. Kepalanya ligat berfikir, sama ada rasa tidak sedap hati itu hanyalah sebuah paranoia atau benar-benar terjadi.

Raihanah melihat ke belakang melalui cermin sisi motor. Jelas sekali, ada seorang lelaki bertopi keledar merah dengan motornya sedang mengekorinya dengan jarak lebih kurang sepuluh meter. Motor itu ditunggang perlahan.

Gadis itu menunggu juga lelaki berbadan sedikit gempal itu melepasi dirinya, tapi setelah beberapa minit, lelaki itu masih juga di belakang, tak mahu memotong.

Air liur diteguk. Bermacam andaian buruk bermain di kepala. Tetapi, Raihanah tepiskan semua fikiran negatif itu. Lagipun, kalau benar lelaki itu berniat jahat, lelaki itu takkan dapat melakukan apa-apa kepadanya. Mereka di atas jalan yang sering saja dilalui kenderaan.

Tapi patut ke aku telefon mama? Tak sedap hatilah, getus hati kecil Raihanah. Lelaki bertopi keledar merah itu nampak mencurigakan betul. Mana tahu, tiba-tiba dia diragut. Dia juga yang terasa ralatnya.

Raihanah berura-ura untuk berhenti dan menelefon Naina, namun niatnya dibatalkan saja. Takut-takut kalau dia berhenti, dia baru saja memberi peluang kepada lelaki siapa-siapa itu berbuat bukan-bukan.

Sudah hampir sepuluh minit Raihanah mengusung motornya yang rosak. Benarlah, lelaki itu sedang mengekorinya. Raihanah melajukan langkah walaupun berat. Pula tu, dengan tayar belakang yang dah pancit teruk.

Perkara yang palinh ditakuti gadis malang itu terjadi apabila tiba-tiba saja lelaki itu menyainginya. Razor di topi keledar dibuka, menampakkan wajah si lelaki.

"Cik, nak saya tolong?" soal lelaki itu, tersenyum penuh makna. Dia melirik pada Raihanah yang sudah kebasahan dengan peluk. Anak matanya tanpa sedar dibiarkan lari di setiap inci dan lekuk wajah itu. Sehinggalah bebola mata itu terkunci di bibir mungil Raihanah.

Raihanah terkebil-kebil. Bukan dia tak perasan mata nakal yang memerhatinya.

"Tak apa, encik. Saya dah nak sampai rumah," tolak Raihanah, sopan. Bibirnya tersenyum ala kadar. Semakin laju tubuhnya dibawa menjauhi lelaki pelik itu. Tetapi lelaki itu sentiasa berjaya menyainginya memandangkan dia menunggang motor.

"Ala... jangan malu-malu. Meh, abang tolong." Lelaki itu langsung tak menyembunyikan sifat miangnya. Lelaki itu berhentikan motornya di tepi jalan sebelum dia berlari hingga tiba di sebelah Raihanah.

Jantung Raihanah berdegup kencang. Dadanya berdebar hebat apabila lelaki yang tak dikenalinya cuba menyentuh tangannya. Laju saja Raihanah alihkan tangannya. Dia serta-merta berhenti berjalan. Motor ditongkatkan.

Dia tak boleh berdiam. Dia perlu melawan!

"Tak apa, encik. Lagipun, motor encik tu takkan nak tinggal. Tak apa ya? Saya boleh seorang-seorang." Dahi Raihanah berkerut kerana panas yang mencucuk mata dan kulit. Tapi sebahagiannya juga kerana ingin menunjukkan rasa tak sukanya dengan tindakan lelaki itu.

"Mana boleh. Abang tolong. Dah nak sampai rumahkan?" Lelaki itu tersengih gatal. Dia semakin berani dengan menyentuh bahu Raihanah.

Pantas Raihanah beralih tempat, meleraikan sentuhan di bahunya. Bulu romanya dah meremang.

"Encik, jangan sentuh saya. Saya tak perlukan pertolongan siapa-siapa," tukas Raihanah, bernada perlahan tapi tegas. Pandangannya ditundukkan memandang tar jalan.

"Jangan sombong sangat, awak. Abang dah baik ni nak tolong." Dia merapati Raihanah. Badannya ditundukkan, ingin melihat raut Raihanah yang tak mahu memandangnya. Tanpa segan silu, lelaki itu menyentuh kulit muka Raihanah.

Kerana terlalu terkejut, Raihanah menepis kasar tangan lelaki itu. Tangannya juga bertindak mengikut refleks dengan menampar pipi lelaki yang berani-berani menyentuhnya.

"Ka... kalau encik sentuh saya lagi, saya call polis!" Suara yang dari tadi hanya perlahan kini terjerit kecil. Mata itu dah mula berair. Raihanah takut. Tangannya menggigil kecil tapi dia tak mahu tunjukkan ketakutan itu.

Lelaki itu memegang pipinya yang pijar. Dia terkejut seketika apabila ditampar tiba-tiba. Lelaki itu berdecit kasar. Dia melihat kawasan sekelilingnya. Lengang.

Dia tersenyum sinis. "Berani kau tampar aku ya? Niat aku baik nak tolong kau... kau tampar muka aku?" Lelaki itu berang.

Kedua-dua bahu Raihanah dicengkam kuat. Kemudian, kepala gadis itu yang bertudung dipegang kemas sebelum tangannya laju saja menghentak kepala Raihanah ke bahu jalan. Tubuh genit itu ditolak hingga jatuh tergolek dengan motornya.

Raihanah mengetap bibir menahan sakit. Kepalanya terasa berdengung. Badannya bisa-bisa. Menyesal dia tak telefon Naina awal-awal. Jika tidak, pasti wanita itu sudah pun tiba saat ini.

"Kau ingat kau cantik sangat? Dasar sombong! Apa? Sebab aku buruk, kau tak nak aku tolong kau?" jerkah lelaki itu, mula naik gila. Dia menarik kuat selendang Raihanah, ingin mencabut kain yang menutup aurat Raihanah selama ini.

Namun, Raihanah menahan. Matanya merenung tajam lelaki di hadapannya. Serta-merta, bayangan figura seorang lelaki menerpa di mindanya. Lelaki yang dibencinya. Lelaki yang menjadi punca kepada semua penderitaan ini berlaku.

"Kau ingat aku takut? Jangan pandang aku macam tulah, betina!" tengking lelaki itu, ingin menampar pipi Raihanah tetapi tangan gadis itu pantas saja menahan.

Pergelangan tangan lelaki yang tak dikenali itu dicengkam dengan kudrat yang ada.

Aku perlu tunjukkan aku takkan berdiam kali ni! Aku takkan berdiam buat kali kedua! Hati Raihanah tekad sendiri. Sebelah tangannya mencapai beg tangan di sisi. Selajur itu, dia memukul wajah lelaki itu dengan beg tangannya yang sudah lusuh.

Namun, pukulan dengan menggunakan beg saja tak cukup untuk menumbangkan lelaki itu. Raihanah bangun meskipun kakinya menggeletar. Topi keledar yang sudah tergolek diambil lalu dihentakkan ke wajah lelaki itu sekuat tenaganya.

Tak tahu tindakan apa lagi yang harus dibuatnya, Raihanah menyelongkar beg sendiri. Dia menjumpai sebotol kecil sabun sanitasi yang sering dibawanya. Tak menunggu lelaki itu untuk bangun, Raihanah menyembur mata lelaki itu sehingga lelaki itu meronta-ronta kepedihan.

Tanpa sedar, Raihanah tersengih. Biar bersih sikit mata tu pun okey juga, bisik hatinya.

"Err... Raihanah?" Suara garau yang tiba-tiba menegur membuatkan perbuatan gadis itu terkaku. Macam dia kenal suara itu.

"Haries." Suara Raihanah antara dengar dan tidak. Dia terkejut bercampur lega. Dari jarak beberapa meter, dia melihat kereta Haries terparkir di tepi jalan.

"Argh, tolong aku! Perempuan ni serang aku sebab nak tolong dia!" adu lelaki itu, mengambil kesempatan dengan ketibaan lelaki itu pada waktu yang salah.

Raihanah terdiam. Sabun sanitasi yang sudah tinggal separuh, dimasukkan kembali dalam beg tangannya. Gadis itu kembali tertunduk, mengenangkan dia dah beri impresi yang tak baik kepada Haries.

Lelaki itu yang masih kepedihan, menarik-narik baju Haries meminta bantuan, namun Haries hanya tercegat di situ sambil mengeluh perlahan. Pelik apabila Raihanah hanya mengunci mulut dan tak menerangkan apa yang terjadi.

"Bro, tolong aku! Perempuan ni gila!" Baju kemeja Haries semakin dicengkam kuat. Haries mengusap belakang lehernya. Dia hanya membiarkan lelaki itu merungut sendiri.

Haries menapak mendekati Raihanah dan memerhati gadis itu dari atas sehingga bawah.

"Pandang saya," arah Haries, datar. Tiada nada marah ataupun pelik di situ.

Raihanah perlahan-lahan mendongakkan kepalanya. Selajur itu, tangan Haries menyelak sedikit owning selendang Raihanah yang dah rosak seribu itu. Kemudian, tanpa kata, Haries menarik pula lengan Raihanah. Baju yang menutup lengan itu diselak juga. Perbuatannya diulang untuk lengan di sebelah kiri pula.

"Kalau awak tak bersalah, cakap je. Takkan saya sendiri nak cari bukti macam ni. Nak saya selak baju awak pula?" Dalam Haries berpesan, sempat lagi lelaki itu berseloroh. Dia tersengih nakal di hujung ayat namun cepat-cepat Haries berdehem-dehem apabila melihat Raihanah yang terkebil-kebil pandang dia.

"Woi, kau kenapa? Kau tak nampak ke perempuan tu cuba nak butakan aku tadi?" Akibat geram, lelaki itu menjerkah sakit hati.

"Maaf, encik. Perempuan yang encik cakap ni bakal isteri saya. Saya dah cek tadi. Kepala dan lengan dia semua luka. Motor tu siap tergolek lagi. Encik ingat saya buta?"

Lelaki yang asyik menyalak tadi pula membisu. Tak tahu nak balas apa.

"Saya akan bawa dia pergi klinik. Kalau saya dapat tahu luka dia lebih teruk dari apa yang saya nampak..." Haries jeda. Kepalanya didekatkan dengan lelaki yang sudah terduduk di tar jalan itu.

"Mata tu aku butakan betul-betul," bisik Haries, sengaja mengugut. Mata dipicingkan, nak menakut-nakutkan lelaki itu.

Haries menarik Raihanah masuk ke dalam keretanya. Sebelum itu, sempat dia menelefon mekanik terdekat untuk membawa motor itu ke bengkel untuk dibaiki.

"Maaf susahkan," ucap Raihanah, perlahan. Dia menggigit bibir, mengenangkan perlakuan gilanya tadi. Agaknya, mesti Haries nampak dia tersengih suka sebab dapat sembur muka lelaki miang itu tadi.

Ah, mestilah dia tak nak kahwin dengan perempuan gilakan? Gerutu hati Raihanah, kesal sendiri.

Haries mendengus lembut. Dia memandang Raihanah yang hanya tertunduk tadi. Soket tulang leher itu dah tercabut agaknya sampai tak boleh nak pandang dia.

Ikutkan hati, dia nak marah gadis itu kerana tak berterus-terang. Kalau Raihanah bercerita apa yang terjadi sebenarnya, pasti dia akan percaya. Tetapi gadis itu hanya diam, seolah-olah mengiakan segalanya.

Namun saat melihat Raihanah yang hanya terkebil-kebil tu, terus dia tak jadi nak marah. Pula tu, apabila dia perasan ada luka-luka di kepala itu.

"Tak payah minta maaf. Saya hantar pergi klinik." Haries dah bersedia nak tarik gear, nak bergerak. Namun suara Raihanah membejatkan pergerakannya.

"Tak apa. Saya tak nak susahkan. Motor tu pun awak yang uruskan. Nanti saya bayar balik. Lepas tu, luka ni sikit aje," tolak Raihanah sambil tersenyum nipis.

Sesungguhnya, dia tak terbiasa menerima bantuan dari orang lain setelah bertahun-tahun berdikari tanpa sesiapa. Hanya Naina yang dia tak mampu nak menolak setiap pemberian dan pertolongan kerana wanita itu berdegil.

Tapi melihat pada anaknya, Haries, lelaki itu mesti takkan berdegil sangat macam mamanya. Fikir Raihanah. Pada sekali pandang, Haries bukan lelaki yang suka memaksa.

Haries menjeling Raihanah di sebelahnya. Gadis itu yang hanya tersenyum macam tiada apa-apa buat dia pelik.

"Okey, tak payah pergi klinik," putus Haries setelah beberapa saat mengunci mulut.

"Jadi, biar saya sendiri rawat awak."

"Hah?" Raihanah jelas terpinga-pinga. Dia hanya melihat apabila Haries mengambil kotak perubatan kecemasan dari tempat duduk belakang.

Kotak itu dibuka lalu Raihanah dipandang selamba.

"Buka tudung dan baju tu."

"Eh?" Tanpa sedar, Raihanah terkebelakang sedikit, menjauh dari Haries.

"Saya nak rawat awak, memandangkan awak tak nak pergi klinik di mana di klinik tu ada seorang doktor perempuan yang boleh rawat awak. Tapi awak tak nak, saya boleh rawatkan. Buka tudung dan baju tu!" Selamba Haries membebel.

Tangannya dah membuka penutup botol iodin. Tangannya dah berura-ura nak tolong tarikkan selendang Raihanah.

"Tak apa, tak payah rawat! Tak teruk pun!" Suara Raihanah meninggi sedikit. Dia semakin menjauh sambil selendangnya dipegang kemas.

"Nanti mama tanya kenapa awak balik luka-luka macam ni kalau saya tak bawa pergi klinik," ujar Haries, beralasan. Tangannya kini memegang hujung tudung Raihanah.

Dia sengaja mengacah nak menarik selendang itu biar terlerai namun tiba-tiba saja tangan Raihanah hinggap di dahinya.

Suasana antara mereka bertukar sunyi.

"Saya... saya minta... maaf," pinta Raihanah, tergagap-gagap. Makin kecut dirinya apabila dahi putih Haries dah merah kena tampar.

Haries melepaskan nafas lemah. Percuma saja dapat blusher dekat dahi.

"Jadi awak nak pergi klinik ke tak?" soal Haries, keningnya terangkat bersama senyuman.

Raihanah mengangguk-angguk laju. Dah takut nak melawan. Takut tindakan refleksnya akan menendang Haries pula.

Tarikh - 100521

Masa - Jam 2140

DJ's prescription :

√ Jangan lupa vote dan comment kalau awak enjoy dengan bab ni.

√ Bab ni bosan? Boleh utarakan di komen atau di private message. DJ boleh buat penambahbaikan.

√ Terima kasih kerana sudi membaca, vote atau komen.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro