l b p | 0 5

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SUASANA antara mereka sepi. Raihanah tidak tahu mahu berkata apa, dan Haries yang masih janggal dengan gadis itu. Setelah pulang dari klinik, Haries terus memandu keretanya untuk ke rumah mamanya.

Dalam diam, dia dah bersedia nak tadah telinga sendiri untuk dibebel oleh Naina. Walaupun Haries dah bawa Raihanah ke klinik pun, lelaki itu pasti, wanita kesayangannya itu ada saja modal nak buat topik berleter.

"Hmm... Haries," panggil Raihanah, teragak-agak. Agak lama juga dia mengumpul kekuatan untuk berbual. Dia tahu, dia tak boleh terus diam. Mereka bakal suami isteri yang akan duduk sebumbung. Bukan sehari dua, tapi sepanjang hayat.

"Ya?" Haries menjawab sambil matanya tertumpu pada jalan di hadapan. Sesekali, matanya mengerling pada cermin hadapan dan sisi.

"Awak okey ke kahwin dengan saya?" soal Raihanah, memandang lurus pada sisi wajah Haries. Memang tak dia nafikan, lelaki itu punya rupa paras yang memikat. Tambahan lagi dengan personalitinya yang baik, gadis mana yang tak sudikan? Cuma Raihanah sedar diri.

"Kenapa awak tanya?" Nada suara Haries datar. Dia mengerling sedikit melihat reaksi Raihanah. Mata bundar itu masih galak merenungnya.

"Sebab... sebab... saya ni perempuan yang tiada apa-apa." Kepala itu tertunduk pula, rasa rendah diri.

Benar, Raihanah tak punya apa-apa untuk dibanggakan. Harta? Kerjalah walau sepuluh tahun pun, rumah sebiji pun dia tak mampu beli. Kecantikan rupa paras? Jauh sekali. Dia hanya gadis kampung kolot yang tak faham apa-apa tentang fesyen dan trend. Keluarga? Dalam mimpi! Dia dah lama hilang semua itu.

"Jadi, kalau awak rasa awak tiada apa-apa, awak nak batalkan perkahwinan ni ke?" Dalam diam, Haries berharap. Bukan dia benci dengan Raihanah, cuma dia belum bersedia untuk membina masjid sendiri.

"Tak. Saya dah janji dengan mama, saya akan kahwin dengan awak. Melainkan kalau awak ada jumpa orang lain sebagai ganti, saya tak kisah undur diri." Tenang gadis itu berkata. Matanya bersinar tekad dan penuh keyakinan.

Kadang-kadang, Haries tak mengerti dengan sikap Raihanah. Adakalanya, gadis itu kelihatan sangat lemah, tetapi pada masa yang lain, Raihanah nampak seperti seorang wanita yang kuat.

"Awak pula? Okey ke nak kahwin dengan saya?" soal Haries, sekadar berbasa basi. Bibirnya menguntum senyum nipis.

"Lelaki macam awak ni, Haries... orang kata lelaki cukup pakej," puji Raihanah, perlahan. Dia tak menjawab terus pertanyaan Haries, sekadar berkias.

Haries membisu untuk beberapa saat sebelum mulutnya terbuka ingin membalas. Namun, niatnya terbantut apabila Raihanah tiba-tiba bersuara, "Tapi, saya dapat rasa sesuatu dari awak."

"Sesuatu?" Dahi Haries berkedut selapis. Apa yang dimaksudkan gadis itu? Rasa ingin tahunya menjentik hati.

"Sesuatu yang tak dapat saya jangkakan. Dan awak juga macam orang yang nampak mesra, manja dan happy, tapi ada rahsia yang disimpan." Mata Raihanah kembali merenung sisi Haries. Namun, renungannya kali ini jauh menerawang ke dimensi lain.

Haries tersentak. Dia mengerling Raihanah yang masih memandangnya. Detakan jantungnya bertukar ritma apabila anak mata perang gelap itu seakan-akan sedang meneroka ruang dalam hati Haries dan segala rahsia yang disimpannya selama ini.

Lelaki itu berdehem-dehem. "Mata awak... macam boleh lihat semuanya." Haries ketawa kecil menutup gugup yang melintas di hati.

Mungkin ke ini yang dikatakan mama tentang Raihanah? Bisik hatinya.

Raihanah tersenyum. Dia bermain-main dengan jemarinya sendiri.

"Mesti rahsia awak besarkan? Tapi jangan risau, saya takkan tanya dan saya pun takkan cuba nak ambil tahu," tutur gadis itu.

Haries hanya tersengih-sengih. Tak mengiakan dan tak juga menidakkan kata-kata Raihanah.

Fuh, kalau aku duduk sebumbung dengan dia, memang sekejap saja terbongkar rahsia aku. Gerutu hati kecil Haries. Dari apa yang boleh dia simpulkan, Raihanah punya penilaian yang tajam.

"Jadi, kalau awak boleh tahu saya ada simpan rahsia yang saya tak boleh beritahu pada sesiapa, awak perasan sesuatu ni pula tak?" Kening Haries terjungkit. Dia tersengih kecil. Stereng kereta digenggam kemas.

Raihanah terpinga-pinga. Keningnya bertaut, jelas tak faham dengan sesuatu yang diperkatakan oleh Haries kali ini. Lambat-lambat, Raihanah menggelengkan kepalanya. Tak mengerti dan tak tahu.

Sengihan Haries bertukar menjadi senyuman lebar. Sengaja dia diamkan kerana tidak mahu buat gadis itu bimbang.

Setibanya di lampu isyarat merah, Haries menekan brek. Mereka sekarang sedang melalui lebuh raya empat laluan. Tiga jalan menghala lurus, manakala laluan ke empat khas untuk kenderaan yang ingin membuat pusingan balik atau ke kanan. Haries berhenti di laluan yang menghala lurus.

Beberapa saat sebelum lampu isyarat bertukar hijau, Haries membunyikan hon panjang.
Apabila lampu trafik berubah hijau, tiada satu pun kereta yang bergerak akibat bunyi hon yang ditekan Haries.

Mengambil peluang yang terbuka luas, Haries bergerak laju dari lorong kedua menuju ke lorong keempat untuk membuat pusingan balik.

Kenderaan-kenderaan dari keempat-empat lorong sudah bising, geram dengan tindakan berani mati Haries yang buat kerja gila.

Raihanah di tempat duduk sebelah tercengang. Jantungnya terasa ingin luruh dengan perlakuan Haries. Baru sekejap tadi, Haries seperti seorang pemandu berhemah, namun tiba-tiba lelaki itu berubah seperti mat rempit tak bertauliah.

"Awak tak betul ke, Haries?" Mata itu membulat dengan tangan sudah menggenggam kemas tali pinggang keledar. Jantungnya berdegup sepantas-pantasnya. Dia langsung tak menyangka, Haries akan tiba-tiba berubah laluan secara drastik sebegitu.

Haries tergelak. "Saya baru teringat. Saya nak ambil barang dekat rumah saya. Awak ikut saya, boleh?" pinta Haries, selamba. Selajur itu, pedal minyak ditekan kuat dan dia kembali menumpukan fokusnya pada pemanduan.

Sempat cermin hadapan dan sisi dijeling. Dia tersenyum lega.

Bagus, diaorang dah tak ikut. Tapi siapa? Musuh ke? Kenapa baru hari ni aku perasan? Atau baru hari ini mereka ada? Hatinya berbicara, terfikir-fikir sendiri.

Tak apa, Haries. Benda ni setel dekat basement. Sekarang ni, kau kena pastikan tiada orang luar terlibat! Sekali lagi, hatinya berkata-kata. Matanya melirik pada Raihanah yang sudah beransur-ansur hilang terkejutnya di tempat duduk sebelah.

DAHI Yanny berkedut saat perbualan yang disimpan secara audio itu menerjah gegendang telinganya. Dia mendengar sekali lagi audio yang terakam di dalam MP3 itu.

"Jadi, kalau awak boleh tahu saya ada simpan rahsia yang saya tak boleh beritahu pada sesiapa, awak perasan sesuatu ni pula tak?" Suara yang bernada ceria tetapi mempunyai maksud tersirat itu memancing minat Yanny.

Lelaki itu seperti dapat mengesan ada orang-orangnya yang mengekori mereka berdua. Earphone di sebelah kanan dicabut.

"Clinq," seru Yanny.

"Kau dah dengarkan audio ni?" soal Yanny, memandang lurus pada pembantunya yang ketat memanjang itu.

"Dah, tuan. Lelaki itu dapat kesan kita. Tuan rasa ini kebetulan, atau..." Clinq sengaja tidak menghabiskan ayatnya. Kerana dia tahu, Yanny sudah dapat mengagak, apa yang akan terluncur keluar dari bibirnya nanti.

"Jangan selalu anggap semua perkara kebetulan. Dengar lagi perbualan Raihanah dengan lelaki ni. Aku nak kau siasat latar belakang lelaki ni sekali. Ada apa-apa yang mencurigakan, terus laporkan dekat aku." Di hujung kata, Yanny menghadiahkan senyum kepada Clinq di sebelahnya.

Lelaki berbadan tegap itu hanya mengangguk sekali.

"I don't know who he's, but I know one thing for sure, Clinq. This shit gonna be hectic!" ujar Yanny lalu ketawa. Daripada firasatnya yang sudah lama berkecimpung dalam dunia gelap ini, hatinya kuat memberitahu, lelaki itu adalah sesuatu.

"Raihanah, Raihanah... mungkin kau betul. Rahsia dia mesti besarkan?" duganya seorang sambil rantai emas dilehernya dimain-mainkan dengan jari.

"Tuan." Kali ini, suara Clinq pula yang memanggil majikannya.

"Yup?" Kening itu terangkat, menjawab. Wajah itu juga nampak ceria.

"How's things going with LBP?" soal Clinq, mematikan senyuman Yanny.

Yanny menggosok-gosok kasar rambutnya yang diwarnakan perang. Fikirannya kembali berserabut memikirkan nama itu. Lelaki Bertopeng Putih yang diburunya sejak enam bulan lalu.

Sangkanya, dia akan dapat melihat sekilas lalu tentang identiti lelaki yang sudah banyak menguburkan kumpulan-kumpulan kongsi gelap di Malaysia, tetapi langsung tiada jalan penamatnya. Semuanya tergantung tak bertali.

"Dunno. Tapi nampaknya, dia akan jadi senarai VIP aku dalam masa yang lama," akui Yanny tanpa segan silu. Kepalanya disandarkan ke kepala sofa dengan mata yang dibiarkan terpejam.

"Kau tak nak minta bantuan 426?" soal Clinq, tiba-tiba teringatkan tentang penggodam terkenal itu.

"426 tu perangkap. Kalau aku tak plan betul-betul, senang-senang saja aku terjerat nanti," balas suara garau itu, hampir berbisik. Bukan dia tak tahu, Hacker 426 itu tak memandang pada duit.

Mendengarkan itu, Clinq terdiam. Tahulah dia, dia tak boleh bertanya lebih-lebih. Akhirnya, Clinq hanya diam kerana ingin menjaga ego majikannya.

Manakala, Yanny terus membisu. Sejujurnya, dia tiada dendam dengan Lelaki Bertopeng Putih. Malah, dia berterima kasih kepada lelaki itu kerana berjaya menumpaskan saingannya dengan mudah tanpa perlu dia mengerah tenaga.

Namun, hanya kerana betnya dengan beberapa kumpulan kongsi gelap yang lain, dia mencari juga identiti lelaki yang sudah bertahun-tahun rahsia dari pengetahuan mereka.

Siapa yang paling pantas dalam mencari LBP, maka orang itu bakal mendapat satu per empat kawasan dari setiap kumpulan kongsi gelap yang terlibat.

Tapi, Yanny lebih mementingkan dendamnya dari Lelaki Bertopeng Putih itu. Jika kawasannya diambil kumpulan kongsi gelap lain pun, Yanny yakin dia cukup kuat untuk merampasnya kembali.

"Raihanah, kau patut bersyukur aku utamakan kau dulu berbanding LBP," omel Yanny lalu tergelak kecil. Matanya berubah kelam, sarat dengan dendam dan sakit yang tiada kata akhirnya.

Tarikh - 110521

Masa - Jam 1735

DJ's prescription :

√ Jangan lupa vote dan comment kalau awak enjoy dengan bab ni.

√ Bab ni bosan? Boleh utarakan di komen atau di private message. DJ boleh buat penambahbaikan.

√ Terima kasih kerana sudi membaca, vote atau komen.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro