l b p | 0 6

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

MALAM itu, Haries menyimpan rakaman video dari kamera belakang keretanya. Kamera itu mempunyai rakaman berdefinisi tinggi, memandangkan kerjanya memerlukan dia sentiasa peka dengan segala situasi. Sesuailah tu dengan harganya yang mencecah sampai beratus-ratus tu.

Komputer riba dibuka. Dia memuat turun video yang terakam di dalam kamera kecil itu bermula dari seminggu lepas. Mahu memastikan masa sebenar orang-orang itu mengikutinya.

Dia meneliti video itu satu per satu. Telahannya benar.

Selama ini, tiada orang pun yang mengekorinya sehinggalah hari ini. Dia melepaskan keluhan lemah.

Waktu Raihanah ada, tiba-tiba orang mencurigakan datang.

"Tapi kenapa? Jarang ada orang ikut aku waktu aku jadi Haries. Kalau LBP, yalah, mata-mata diaorang merata!" sungut Haries, menggaru-garu pelipisnya.

Dalam hati, dia berdebar sendiri mengenangkan kemungkinan identitinya sudah terbongkar.

Namun, beberapa saat kemudian, Haries menolak teori itu. Kalau benar identitinya sudah diketahui, mereka pasti takkan tunggu lama untuk menyerangnya, bukan? Kenapa mengada-ada nak ikut bontot kereta orang pula? Gerutu hati kecil Haries, keliru.

"Jadi apa sebabnya?" soal Haries. Dia membesarkan rakaman video itu. Kereta itu berjenama Honda Accord berwarna hitam. Bila dilihat menerusi rakaman itu, mereka kelihatan seperti orang biasa. Hanya mengenakan kemeja kerja dengan tali leher.

Haries cuba melihat plat nombor kereta itu. Namun hampa, pemandunya begitu bijak bersembunyi. Mungkin mereka sudah mengambil kira risiko bahawa keretanya mempunyai kamera belakang.

Tapi level diaorang ni macam bukan gangster biasa. Sekali lalu, langsung tak nampak mencurigakan. Siap tergelak-gelak lagi. Tapi aku memang tak silap. Kereta ni mengekor kereta aku sejak...

Dahi Haries berkerut seribu. Sejak? Jarinya kembali pantas mengulang tayang rakaman berdefinisi tinggi itu. Matanya dipicingkan, ingin melihat dengan lebih jelas.

"Sejak Raihanah masuk dalam kereta aku," bisiknya perlahan. Video itu terhenti apabila kereta Haries berhenti di bahu jalan, ingin membawa Raihanah ke klinik.

"Jadi, sasaran mereka Raihanah ke? Tapi dah kenapa?" Haries menyandarkan badannya di kepala sofa. Mata dipejam rapat-rapat. Memikirkan segala sebab dan kemungkinan.

"Haries, masih terlalu awal untuk kau simpulkan," bisik Haries lalu mengangguk setuju dengan kata-katanya sendiri. Ya, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan yang kukuh. Dia perlukan lebih banyak pemboleh ubah untuk mencipta satu hipotesis yang utuh.

"Tapi kalau betul sasaran mereka Raihanah, kenapa?" Persoalan itu terus bermain-main di fikirannya. Dia jadi tak tenang mengenangkan orang terdekat menjadi target buruan entah samseng mana.

Haries meletakkan komputer ribanya di atas meja. Dia meramas-ramas lembut rambutnya yang lebat sebelum dia biarkan tubuhnya terlentang di atas sofa jenis katil itu.

"Bila fikir balik, aku tak banyak tahu pun pasal Raihanah." Haries menghembus nafas lemah seraya meletakkan lengannya di matanya. Membiarkan gelap menutup pandangannya yang keletihan.

PEMBACAAN Naina terhenti apabila telefonnya tiba-tiba saja berdering. Buku diletakkan di meja sebelah katil seraya telefon pintar dicapai. Naina membetulkan duduk sebelum matanya menatap skrin telefon.

Nombor tak dikenali. Mungkin kliennya. Tapi kenapalah telefon malam-malam macam ini? Naina akhirnya membuat keputusan untuk menjawab, tak mahu biar orang di sana terus tertunggu-tunggu.

"Helo," sapa Naina, mesra. Bibirnya turut menguntum senyum, mahu suaranya kedengaran manis berbunga.

Manusia di hujung talian senyap. Naina pelik. Dia melihat skrin. Panggilan masih berjalan.

"Helo?" sapa Naina lagi.

Tiba-tiba suara di sebelah sana kedengaran tertawa. Suara garaunya kasar.

Mendengarkan suara yang Naina kenali itu, wajah Naina berubah tegang dan pucat. Pegangan di telefon pintarnya dikemaskan.

Telapak tangannya sekejap saja dah berpeluh walaupun manusia di hujung talian itu masih belum berkata apa-apa.

"Uncle nak apa?" Naina menyoal garang. Nafasnya berderu kasar, menahan rasa marah apabila dia mendengar suara yang menjijikkan itu.

Suara itu sahaja berupaya membuatkan tembok kesabarannya runtuh. Betapa dia bencikan manusia itu.

"Nampak sangat kau tak save number akukan, Naina?" duga Tuan Besar Marzuki, masih dengan sisa tawanya. Lelaki tua itu dah dapat mengagak, cuma dia tak sangka, suara wanita yang selalu kedengaran kasar itu boleh berubah lembut bila dengan orang lain.

Jelas sekali wanita itu begitu membencikannya. Amarah itu sangat dahsyat, masih lagi marak bernyala meskipun dah bertahun-tahun masa berlalu. Amarah itu perlahan-lahan berubah menjadi dendam yang tiada taranya.

Namun, itulah yang disukai oleh Tuan Besar Marzuki tentang Naina. Keras dan kuat melawan.

"Saya layak untuk tak simpan nombor orang tua bodoh macam uncle," bidas Naina, pedas.

Tuan Besar Marzuki ketawa besar. Seronok dengan ayat-ayat tajam Naina. Meskipun hatinya sakit, tapi dia tak pernah simpan dalam hati. Jika Naina itu keras kepala, dia seratus kali lebih keras mengalahkan Naina.

"Buat apa uncle call saya? Nak gelak-gelak? Tak payahlah. Saya ni jijik dengar suara uncle!" Kata-kata nista itu terus dilontarkan keluar dari mulut Naina.

"Okey, okey. Baik. Aku cuma nak tanya kau pasal wasiat tu," ujar Tuan Besar Marzuki, memberitahu tujuannya menelefon anak saudaranya malam-malam begini.

Naina terdiam. Wajah putih itu semakin pucat disimbah ketakutan. Dadanya berdebar hebat. Naina pegang dadanya, memujuk hati agar tidak kalah dengan perasaan dan emosi yang ingin mengambil alih.

"Kau sengaja kahwinkan Haries kan? Licik betul kau ni." Tuan Besar Marzuki tersenyum sinis di hujung talian. Kepalanya sudah menggeleng-geleng perlahan.

"Tapi agaknya apa alasan kau untuk buat Haries kahwin?" uji lelaki tua itu lalu ketawa kecil. Melayan Naina 'bermain' menghiburkan hatinya.

"Uncle tak payah sibuk nak tahu! Apa yang pasti, Haries akan kahwin sebelum tempoh tu tamat dan uncle... takkan dapat apa yang uncle nak! Orang tua hati busuk!" Sempat Naina mencemuh ayah saudaranya sendiri di hujung kata. Sengaja dia mahu menyakitkan hati orang tua itu.

Lelaki itu bergelar abang kepada arwah ayahnya tapi bagi Naina, gelaran itu langsung tak layak dipegang oleh Tuan Besar Marzuki. Lelaki itu punca segala derita Tuan Besar Malik dahulu. Lelaki jahat dan kejam sehingga Naina bertekad membenci orang tua itu sehingga nafasnya yang terakhir.

"Kau ni, Naina. Keras kepala sangatkan? Tak apa. Kalau kau masih dengan rancangan kau, aku pun ada rancangan sendiri. Kita sama-sama merancang dan lihat saja, siapa yang bergelar juara di hujung nanti," balas suara garau itu dengan nada mengugut.

"Pergi matilah dengan rancangan uncle! Walau apa yang jadi sekalipun, uncle takkan dapat apa yang uncle nak! Saya pastikan dengan nyawa dan darah saya sendiri." Selajur itu, panggilan terus dimatikan tanpa membiarkan orang di sebelah sana menutup katanya.

Naina mencampak jauh telefon pintarnya di atas katil. Bibir diketap, sakit hati. Matanya merenung tepat dinding bilik. Tajam mata itu seolah-olah hingga boleh menembus ke belakang dinding bilik itu.

"Aku takkan benarkan kau menang, Marzuki! Takkan!" Suara wanita itu menderam.

FARIEL menolak kerusi roda yang didudukinya menuju ke taman di halaman rumah agam itu. Dia merenung suasana hijau di taman yang dijaga oleh pembantu rumahnya.

Angin dingin di waktu senja langsung tak mampu memberi rasa tenang kepada lelaki itu.

Jiwanya bercelaru hebat namun riak wajahnya langsung tidak tergugah. Dalam ketenangan yang terpamer di raut itu, hanya Fariel saja yang tahu pertarungan dalam minda dan juga hatinya.

"Bahagia ke aku?" gumam Fariel lalu matanya teralih pada sepasang kakinya. Kaki yang ada hanya sebagai perhiasan. Jika dulu, dia boleh bawa dirinya ke mana saja dia suka, namun kini nikmat itu direntap kejam darinya.

Fariel mengetap bibir. Dia menggenggam rambutnya lalu menarik-nariknya kasar. Decitan halusnya kedengaran, ingin menahan tangisan yang ingin terluah kerana hati yang sakit.

"Fariel, kau memang tak guna! Kau patut mati dari dulu lagi! Kenapa kau hidup, sial?" marahnya pada diri sendiri. Pemegang kerusi roda itu ditumbuk-tumbuk melepaskan rasa pedih dan kecewa yang menjerat sanubari.

Air matanya setitik demi setitik, mula menitis jatuh dari lekuk pipi. Ketenangan di wajahnya itu tadi terus hilang dibawa kenangan lalu yang menyeksa diri.

"Kau bodoh, Fariel! Kau bodoh!" kutuknya lagi bersama tangisan keperitan. 

Dia mahu lari! Dia mahu kecewa ini terpadam dalam diri. Tapi dia tak kuat. Dia tak pernah tahu dia selemah ini sedangkan sebelum ini, Fariel sering menyangka, dialah manusia yang paling hebat di antara semua.

Namun selepas kemalangan itu berlaku dan dia hilang semuanya, Fariel mula sedar. Dia tak punya apa-apa nak dibanggakan. Kekuatannya hilang. Perasaannya hancur dilumat kejam hanya kerana kekurangan diri dan sebuah kisah hitam.

Hanya satu cara saja untuk dia kembali menerima dirinya yang sekarang.

Dia perlu keluar dari rasa yang menyakitkan ini dengan cara itu. Dia mahu buktikan, dia mampu berdiri meskipun hanya dengan semangat sendiri. 

Fariel tersenyum pahit. Matanya yang berair kini penuh tekad yang bulat.

Untuk bahagia, cintanya mesti kau miliki, bisik hatinya.

Tarikh - 130521

Masa - Jam 0036

DJ's prescription :

√ Jangan lupa vote dan comment kalau awak enjoy dengan bab ni.

√ Bab ni bosan? Boleh utarakan di komen atau di private message. DJ boleh buat penambahbaikan.

√ Terima kasih kerana sudi membaca, vote atau komen.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro