l b p | 0 7

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SABTU. Haries membuat keputusan untuk melawat mama dan papanya hari itu. Lagipun, dia nak korek maklumat tentang Raihanah daripada Naina sendiri. Memandangkan wanita itu paling rapat dengan Raihanah, pasti Naina tahu serba sedikit tentang kisah gadis itu.

Tapi apa yang merunsingkan pemikirannya ialah...

"Nak ke mama cerita? Tak pasal-pasal, dia suruh aku tanya sendiri," gumam Haries. Dia kenal benar dengan wanita kesayangannya itu. Licik!

Malah, Haries juga dah boleh bayangkan reaksi Naina apabila melihatnya nampak berminat dengan Raihanah.

"Tapi aku nak tahu bukan sebab aku minat. All of these for safety purposes! Argh, tapi kalau betul pun, bukannya aku boleh beritahu mama sebab sebenar," leter Haries lalu meramas-ramas kasar rambutnya.

Dia meletakkan kepala di stereng kereta. Keluh kesahnya yang dari tadi terlontar keluar dari mulut tanpa henti, hilang ditelan sepi. Haries mengeluh lemah.

Cepat sangat seorang Haries gelabah kucing. Sedangkan bila dia menjalankan tugasnya sebagai Lelaki Bertopeng Putih, tahap rasionalnya begitu tinggi. Kalau tidak, pasti semudah itu LBP akan kalah dengan musuh-musuhnya. Kalau bukan dengan musuh, dia akan tewas dengan emosi sendiri yang bercelaru.

"Adakah ini tanda-tanda aku ada split personality?" Haries menyoal diri sendiri. Dia terpana. Lelaki itu benar-benar dah pening sampaikan buat andaian macam-macam.

"Kau cuma ego sajalah, setan! Aku nak luangkan masa dengan Fira, kau sibuk kacau aku. Lepas tu, membebel!" celah suara seseorang dari corong telefon pintar Haries yang disangkut di dashboard kereta.

"Ala, Farhan! No lah! Dengarlah luahan hati adinda kau ni!" rengek Haries, merayu-rayu. Wajahnya berkerut seribu apabila Farhan mula nak memaki kerana mengganggu ketenteraman lelaki itu waktu hujung minggu begini.

Farhan kedengaran cuba melakukan meditasi menenangkan jiwa melalui cara menarik nafas dan hembus beberapa kali. Melayan mengada Haries ni lebih mencabar dari melayan kliennya di alam maya.

Sekurang-kurangnya, dia hanya sakit kepala bila berhadapan dengan klien-kliennya, tapi ketika berurusan dengan Haries, dia dapat sekali pakej sakit hati dan jiwa.

"Haries, kau hanya overthinking. Plus overreacting. And not to forget, over dramatic," kutuk Farhan, bertubi-tubi. Kedengaran ketenangannya kembali setelah melakukan meditasi beberapa saat tadi. Cuma masih terdengar nada bengang di suara Farhan yang tenang dan perlahan itu.

Haries diam. Dalam kebisuannya, dia mengiakan kata-kata Farhan. Bukannya kena bunuh pun kalau korek maklumat pasal Raihanah dari Naina. Paling teruk pun, wanita itu akan memaksanya berhadapan sendiri dengan gadis itu.

Ah, mungkin itulah perkara yang paling dia nak elak. Haries lebih selesa mengetahuinya dari mulut Naina sendiri. Lagipun, dengan penilaian Raihanah yang agak tajam itu buat Haries tak senang hati. Takut tersilap kata, Raihanah mula berfikiran macam-macam dan menyiasatnya pula. 

"Tanya sajalah, Ries. Kepakaran kau ialah menyimpan rahsiakan?" tukas Farhan, mendatar.

Haries tersenyap lagi. Itulah, dia gementar sangat kenapa? Diakan Lelaki Bertopeng Putih. Bertahun-tahun dia menyimpan rahsia terbesar ini dari pengetahuan orang, takkan semudah itu dia membiarkan Raihanah mengetahui segalanyakan?

"Yalah. Thanks Far..." Tak sempat Haries mahu mengucapkan kata penghargaan kepada temannya, talian terus saja dimatikan.

"Sejak kahwin ni, Han makin gelojoh," omel Haries lalu menggeleng-gelengkan kepalanya.

Dia sedar akan perubahan keutamaan lelaki itu. Jika dulu, lelaki itu punya banyak masa dengannya, tapi sekarang, seboleh-bolehnya, masa terluang yang tersisa diluangkan bersama Shafira.

"Sendu betullah orang single ni," keluh Haries.

LELAKI itu menjegulkan kepalanya di muka pintu, mengintai Naina yang sedang membaca buku di dalam bilik tidurnya. Walaupun bekerja sebagai salah seorang tokoh pereka fesyen terkenal, wanita itu ternyata punya minat yang mendalam tentang sains.

Haries yang melihat mamanya khusyuk membaca, tersenyum. Gembira hatinya melihat wanita kesayangannya di hadapan mata sihat-sihat saja.

Dua beradiknya yang lain semua dah merantau jauh ke negara orang kerana mengikut suami mereka. Sebagai satu-satunya anak lelaki, dialah yang perlu bertanggungjawab menjaga orang tuanya di sini.

"Mama!" panggil Haries, terus menerpa ke arah wanita tegas itu. Wajahnya ceria betul! Bagai budak kecil mendapat Iphone, Haries meluru ke arah Naina lalu memeluk wanita itu. Nak lepas rindu walaupun baru beberapa hari tak bersua muka.

Naina mengucap panjang. Terkejut disergah suara garau Haries. Sudahlah anaknya itu menjerit. Mana tak tersentak jantungnya?

"Awak ni kenapa, Haries Naim? Tak boleh masuk elok-elok? Kalau jantung mama melompat keluar tak masuk-masuk balik, siapa nak jawab?" bebel Naina dengan gigi digetap-getap. Tangannya tangkas saja mencari kulit Haries nak dijadikan mangsa cubitan.

Dalam bisa menahan pedih jari ketam Naina, Haries sempat tergelak mendengar ayat hiperbola mamanya.

"Aduh, mama ni. Tengok je baca buku sains setiap hari. Tapi benda asas pasal sains pun tak tahu," kutuk Haries selamba.

Dahi Naina berkerut. Dia tak faham. Haries kemudiannya menyambung kata, "Yalah, mana ada jantung boleh keluar hanya sebab terkejut!" usik Haries lalu ketawa besar, geli hati dengar ayat Naina yang jelas melebih-lebih.

Usai berkata-kata, tangan Naina hinggap di belakang Haries. Kuat wanita itu memukul badan anaknya sendiri sebab geram. Sakit hati dipermainkan.

"Dah, awak datang ni sebab apa?" soal Naina, meletakkan buku yang dibacanya di meja sisi katil. Cermin mata yang tersangkut di hidung ditanggalkan.

Haries senyum gedik. Badannya dah terliuk-lentok macam ulat bulu tak cukup zat.

"Rindulah. Ehek," balas Haries lalu ketawa gedik. Serupa mak cik bawang dah gelaknya. Tak cukup nafas Naina melihat.

"Tak payah nak diva sangat. Geli mama menengoknya. Muntah hijau mama dekat sini." Naina membuat gaya menjolok tekak. Dahinya berkerut seribu.

Haries tersengih-sengih. Dia melabuhkan punggung di birai katil. Lelaki itu menarik nafas dalam-dalam lalu dihembus perlahan. Kini, dia pula melakukan sesi meditasi yang dibuat Farhan.

"Mama, saya nak tanya sesuatu pasal Raihanah." Tanpa selindung, terus Haries memberitahu tujuan utamanya datang berjumpa Naina.

Riak wajah Naina berubah gembira. Bibir tua itu menguntum senyum. Lega sedikit hatinya apabila melihat Haries berusaha nak tahu tentang latar belakang gadis yang bakal dikahwininya. Dia ingatkan Haries langsung tak mahu ambil peduli.

"Raihanah Jazmin binti Muhammad Johaiz. Tu nama panjang dia. Yang tu tahu tak?" Sempat Naina menjeling tajam Haries di hadapannya.

Haries menggeleng sambil tersengih bersalah. Dia lega apabila mamanya hanya menjeling, tidak berleter lebih-lebih.

"Umur 24 tahun. Keluarga dia..." Naina terdiam sejenak. Sebak tiba-tiba menjentik tangkai hati saat terkenang cerita lama dari gadis muda itu.

"Keluarga dia tak stabil sekarang ni. Sebab tu dia duduk berdua je dengan adiknya, Razif tu." Akhirnya, Naina mencipta jawapan selamat. Serba salah nak membuka cerita tentang kisah orang. Biarlah hal-hal yang terperinci itu diberitahu oleh tuan empunya badan sendiri.

"Oh, Razif?" Nampak sangat Haries tak tahu apa-apa tentang Raihanah selain namanya dan juga kenyataan yang gadis itu sudah lama rapat dengan Naina.

"Razif tu adik dia. Baru 12 tahun. Dia tu bisu. Jadi, kalau awak nak senang cakap dengan Razif, pastikan awak belajarlah bahasa isyarat," saran Naina sambil tersenyum lebar.

Wanita itu teringatkan Razif yang berperwatakan ceria dan manja itu. Lain benar dengan Raihanah yang lebih suka berdiam dan hidup berdikari. Kalau Raihanah sudah dia anggap seperti anak, Razif pula dia anggap macam cucu kerana jarak umur yang sangat jauh. Hanya sebab nak berkomunikasi dengan kanak-kanak istimewa itu, Naina dan Muhaimin sanggup mengambil kelas bahasa isyarat.

Haries terpana. Bisu? Adik dia bisu? Hatinya tertanya-tanya, tak percaya.

"Raihanah tu budak pandai, Ries. Tapi sayang, dia berhenti belajar sebab nak cari rezeki." Lemah saja suara Naina memberitahu.

Masakan tidak, gadis itu sebelum ini berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Namun kerana keluarganya yang berantakan, nak tak nak, Raihanah bertindak untuk fokus menyara hidupnya dan keluarga.

"Mak ayah dia tak ada?" soal Haries setelah lama terangguk-angguk sendiri. Timbul rasa simpati dalam dirinya untuk gadis itu.

Naina menghembus nafas panjang. Dia mencapai semula kanta mata dan buku.

"Yang tu, mama tak boleh cerita lebih-lebih. Sebab macam tak sedap pula kalau dengar dari mulut mama. Awak nak tahu, awak tanyalah dia," ujar Naina, ingin menyambung pembacaan yang tergendala.

"Tapi dia nak ke cerita?" Haries ragu-ragu.

"Awak tukan juara mengugut. Bukan mama tak tahu waktu awak nak hantar dia ke klinik, awak paksa dia buka baju dan tudung diakan?" Suara Naina yang lemah tadi berubah keras. Matanya menjegil dengan jari telunjuk melurus pada batang hidung separa mancung Haries.

"Ala, saya bukan gatal, ma. Dia degil. Tapi kalau dia sudi nak buka pun, apa salahnya," ujar Haries lalu tersengih miang di hujung kata.

Terus kepala Haries kena hempuk dengan buku tebal di tangan Naina. "Gatal tu jaga sikit ya!" Haries hanya ketawa. Dia sengaja nak bergurau. Takkanlah dia gila sangat nak buat anak dara orang sebegitu.

"Hana tu memang susah sikit nak terima bantuan orang. Dia dah biasa sangat buat semua sendiri. Jadi, bila dia dah sah milik awak, Haries... awak jagalah dia baik-baik ya?" pesan Naina, perlahan. Dia menggenggam jemari kasar Haries.

Naina rasa bersalah kerana mempertaruhkan masa depan Raihanah untuk kepentingannya. Tapi Naina tahu dan dia yakin sangat... Haries mampu menjaga Raihanah sebaiknya dan begitu juga Raihanah.

Haries serba salah nak membalas. Dia tak tahu adakah dia mampu untuk nemberikan kebahagiaan buat Raihanah. Gadis itu nampak agak sukar difahami dan didekati. Tapi melihat mata Naina yang penuh berharap, Haries tewas.

"Okey, mama. Saya cuba. Bila saya kata saya cuba, saya akan buat yang terbaik!" ikrar Haries, tersenyum nipis.

Walaupun dia dah dapat serba sedikit maklumat tentang Raihanah, Haries masih tak dapat mencari celah dan ruang yang membuat gadis itu diburu.

Tapi apa sebabnya keluarga dia jadi tak stabil? Mak ayah dia dah meninggal ke? Tanpa sedar, Haries mula terpancing untuk tahu dengan lebih dalam. Namun, bukan kerana ingin mencari petunjuk tentang orang yang mengekori mereka tempoh hari. Tapi kerana perasaannya yang mendesak.

"Mama?" Suara lunak itu tiba-tiba muncul, memecahkan lamunan Haries. Mata lelaki itu terkejip seketika sebelum berpaling ke arah empunya suara yang datang dari arah pintu.

Di situ, Raihanah sedang berdiri tegak, memasukkan separuh badannya ke dalam bilik. Gadis itu tersenyum sedikit kepada Haries sebelum menyuarakan tujuannya.

"Mama, saya... saya nak keluar kejap boleh?" soal Raihanah, menyembunyikan resah. Matanya meliar ke serata tempat. Gugup nak beritahu hal sebenar. Dia harap Naina tak bertanya lebih-lebih.

"Nak ke mana? Dah senja ni," balas Naina, kurang bersetuju. Sempat mata wanita itu mengerling jam di dinding bilik. Sudah pukul enam petang.

"Err... nak pergi taman permainan depan ni saja, mama. Kejap saja! 6.30 petang nanti Hana balik!" Tangan Raihanah naik membuat ikrar. Wajahnya kelihatan bersungguh-sungguh.

"Saya teman dia, mama," celah Haries. Tanpa meminta persetujuan Raihanah, Haries pantas saja membuat keputusan.

"Hah, bolehlah kalau..." Baru Naina mahu menyokong, Raihanah menggeleng-gelengkan kepalanya laju-laju. Wajahnya bertukar pucat.

"Tak boleh!"

Suara Raihanah yang tak semena-mena tinggi itu mengejutkan Haries dan Naina. Tak pernah-pernah Raihanah nak naik suara.

"Maksud saya, tak apa. Saya pergi sekejap je, mama. Bye!" Selajur itu, tubuh Raihanah terus hilang di balik pintu. Berlari dia turun dari tingkat atas.

Riak wajah Haries berubah tak puas hati. Nampak sangat Raihanah tak selesa dengannya. Sampai begitu sekali dia ditolak. Eh, sendu betullah!

"Dia tak suka sayalah, ma!" rajuk Haries. Mulutnya dah memuncung. Sangkanya, Naina akan membelanya dengan berkata sebaliknya tetapi Naina mengiakan.

"Yalah agaknya. Tak pernah mama dengar dia menjerit macam tu sekali kalau nak tolak pelawaan mama." Selamba Naina membahan anaknya. Mukanya tenang-tenang saja.

"Mama!" Membulat mata Haries.

Naina meletuskan tawanya. "Tak adalah, Ries. Dia ada hal peribadilah tu. Lagipun dekat tamankan? Ramai orang. Tak ada apalah."

Wanita itu membuka buku sains di tangannya, tidak mahu mengambil peduli akan kekecewaan Haries.

"Hal peribadi?" gumam Haries. Sedang dia berfikir, tiba-tiba dia teringat sesuatu. Bukankah ada orang sedang mengekori Raihanah?

"Shit!" Terus carutan itu terlontar keluar dari mulut Haries. Tak menunggu Naina membebel mendengar dia memaki, Haries berjalan laju untuk keluar dari bilik.

"Eh, bertuah betul budak ni! Dia tahikan aku?" Mata Naina membuntang, geram. Dia baru nak baling bantal ke tubuh Haries namun cepat saja anaknya itu menghilang.

"Huh, apalah nak jadi dua orang ni ya?" Entah kenapa, soalan itu terkeluar dari dua belahan bibir Naina.

Dia hanya mampu berdoa dia tak silap perkiraan.

Tarikh - 150521

Masa - Jam 1846

DJ's prescription :

√ Jangan lupa vote dan comment kalau awak enjoy dengan bab ni.

√ Bab ni bosan? Boleh utarakan di komen atau di private message. DJ boleh buat penambahbaikan.

√ Terima kasih kerana sudi membaca, vote atau komen.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro