Bab 21

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

TUBUH kanak-kanak berusia 12 tahun itu diselimutkan hingga ke dada. Raut tenang Raziq yang lena dibuai mimpi ditenung lama dengan perasaan yang bercampur-baur. Pipi mulus itu diusap lembut.

Dia mengeluarkan dompet kain dari poket seluarnya yang disimpan dari pagi tadi. Haries telah mengamanahkannya untuk menjaga dompet itu dan dia bersumpah akan menjaganya walau perlu dibawa sehingga ke liang lahad sekalipun.

Untuk kesekian kalinya, dompet kain lusuh itu didekatkan dengan wajahnya lalu bau daripada dompet itu dicium. Meski busuk dan sudah bercampur dengan bermacam bau yang tidak enak, Raihanah tak pernah rasa terganggu.

Mata dipejam rapat saat bau nostalgia itu membawanya sekali lagi ke kenangan lalu. Kenangan manis yang sudah hampir-hampir dia lupa. Bukan sengaja dilupakan. Tapi kerana sepanjang tiga tahun ini, hampir langsung tiada memori manisnya bersama keluarga.

Raihanah membiarkan suasana kegelapan menguasai dirinya. Kadangkala, ketenangan itu ada dalam gelapnya malam.

Saat itu, raut wajah gembira ayah bermain di mata batinnya dan berganti pula dengan raut kasih si ibu. Mereka berdua kelihatan sedang berbual-bual mesra di anak tangga rumah sambil disuluh dengan cahaya bulan dan bintang yang menghias alam.

Di bibir kedua-dua orang tuanya, terlukis senyuman kebahagiaan sambil mata memandang terangnya bulan. Berharap kepada Tuhan Sang Pencipta bulan yang indah itu untuk kekalkan kebahagiaan yang mereka rasai tika itu.

Namun, serta-merta bayangan memori yang dia lihat beberapa tahun lepas retak seperti kaca yang terhempas ke batu. Pecah berderai menjadi serpihan halus. Serpihan yang tak mampu dicantumkan kembali.

Pilu menghambat jiwa. Sebak usah ditanya. Kerana hanya Yang Mengetahui saja tahu segala. Perasaan dan gelojak dalam jiwanya memalu kuat diri. Raihanah mengetap bibir saat merasakan tangisannya akan pecah bila-bila masa saja lagi.

Matanya pedih kerana asyik menahan air mata yang berlumba-lumba ingin turun dari empangan matanya.

Dia ingin meraung, melepaskan apa yang selama ini dia simpan. Apa yang selama ini dia pendam di lubuk hatinya yang paling dalam. Semuanya demi menjaga adiknya yang satu. Dia tak mahu menjadi perempuan lemah!

Raihanah sangkakan, dia sudah cukup kuat. Raihanah jangkakan dia sudah mampu untuk mengharungi semua ini. Namun tatkala melihat dompet kain buatan tangan ibunya sendiri, diri yang dikatakan kuat akhirnya kalah. Kalah dengan perasaan.

Tiba-tiba, dia merasakan ada jari kecil yang mengusap pipinya yang basah. Pantas dia mencelikkan matanya.

"Ra... Raziq," Tersekat-sekat Raihanah menyebut nama satu-satunya darah dagingnya yang tinggal. Cepat-cepat dia menyeka air jernih di pipinya. Dia tak mahu Raziq terbeban melihatkan air mata itu. Bagi Raihanah, air mata melambangkan kelemahan yang nyata. Dan dia tak mahu Raziq menganggapnya begitu.

Tanpa disangkanya, Raziq mendekatkan bibir merahnya dengan dahi si kakak lalu dahi itu dikucup lembut. Raihanah agak tersentak dengan perlakuan Raziq yang tiba-tiba itu.

Namun Raihanah membiarkan saja. Dia tahu, Raziq sudah tak mampu dibohongi lagi. Setiap kesedihan yang terlakar di wajahnya kini ditunjukkan tanpa mahu disembunyikan lagi.

Raziq kemudiannya membawa kepala Raihanah ke bahunya, seolah-olah memberitahu melalui tindakannya bahawa Raihanah punya tempat bersandar, tempat untuk berkongsi bahu. Badan Raihanah terhenjut-henjut menahan tangis.

Tangan kecil itu mengusap-usap lembut rambut Raihanah, menenangkan si kakak yang selama ini terseksa sendiri. Akhirnya, Raihanah kalah. Suara yang ditahan-tahan selama ini, keluar mengongoi-ngongoi di bahu si adik. Dia mahu melepaskan segala yang selama ini dia rahsiakan.

Raungannya kini memenuhi ruang bilik.

Ya Allah, kenapa masih diri ini lemah walau berkali diingatkan untuk terus kuat? Mengapa hati ini selalu goyah jika aku tahu Kau sentiasa ada?

Mungkin kerana imanku yang masih belum sempurna.

▶️ ▶️ ▶️

KOMPUTER riba itu bertukar tangan. Raihanah cuba bertenang saat melihat rakaman si ayah sedang terduduk lesu di bilik yang sunyi. Tanpa peneman, tanpa penghibur.

Meskipun wajah ayahnya tidak kelihatan dengan jelas, tapi Raihanah yakin wajah tua itu sedang berkerut-kerut, menggambarkan sakit yang dilaluinya selama bertahun-tahun ini.

Jari Raihanah menyentuh skrin komputer riba itu. Hatinya meronta ingin memeluk tubuh tua itu. Suatu masa dulu, sewaktu ayahnya pergi merantau ke bandar, dia tidak sempat untuk mengucapkan kata keramat itu. Tapi kali ini, dia takkan biarkan peluang ini berlalu begitu saja.

Raihanah mahu katakan pada ayahnya bahawa dialah lelaki pertama yang dia cinta. Lelaki pertama yang dia sayang. Lelaki pertama yang sanggup menerima segala buruknya dia. Lelaki pertama yang membahagiakan dirinya selama ini.

Haries hanya memerhati dari sofa sebelah. Dia melihat reaksi Raihanah, namun hanya sebentar cuma. Dia rasa tak sanggup untuk melihat air mata gadis itu. Dia jadi serba salah! Dia rasa serba tak kena!

Mungkin kerana simpatinya pada Raihanah terlalu menggunung. Lebih-lebih lagi saat teringatkan kelakuan kejam yang pernah dia buat kepada Raihanah.

Rakaman video yang berdurasi hanya seminit itu akhirnya berhenti. Suasana sepi di antara mereka. Haries pula berdiam. Takut andai tersilap kata, hati Raihanah akan lebih terluka.

"Saya... Saya percayakan awak," ujar Raihanah memecah sunyi. Dia memandang Haries di sofa sebelah.

"Saya percayakan awak yang awak tak jahat. Tapi, Haries," Suara itu mulai berubah serak.

Raihanah turun daripada sofanya lalu duduk bersimpuh di hadapan kaki Haries. Lelaki itu jelas terkejut. Tak sempat untuk berkata apa-apa, Raihanah bersuara,

"Saya rayu... sungguh-sungguh saya rayu dengan awak," Kepala gadis itu tertunduk menekur lantai sebelum kepalanya terdongak memandang Haries.

Matanya banjir dengan air mata namun ia masih tunak merenung Haries. Bibir Raihanah turut menggeletar saat ingin berbicara. Kedua-dua tangannya tergenggam erat.

"Tolong selamatkan ayah saya. Saya sayangkan dia. Kalau awak nak saya melutut di kaki awak, saya dah buat. Tapi kalau awak nak saya cium kaki awak, saya juga sanggup. Awak ambil apa saja dari saya asalkan awak tolonglah bebaskan dia dari neraka tu. Awak je ikhtiar yang saya ada." Ucap Raihanah, penuh pengharapan.

Setiap malam dia berdoa supaya dia dapat bertemu kembali dengan lelaki yang membesarkannya selama ini tapi sampai bila? Sampai bila dia mahu berdoa jika usaha yang dilakukannya tak setanding dengan apa yang dia mahukan?

Dia juga punya malu. Malu untuk meminta lebih-lebih daripada Dia sedangkan amalannya tidaklah seberapa. Tidaklah sehebat amalan ulama-ulama dan ahli sufi. Kadang dia terleka. Adakalanya terlalai juga.

Hanya Haries saja yang diharapkan sebagai usahanya untuk berjumpa semula dengan si ayah. Mungkin pengorbanannya taklah banyak, namun jika Haries memintanya melakukan lebih daripada ini, dia sanggup.

Haries terdiam sejenak, agak terkejut dengan tindakan gadis itu. Haru hatinya mendengarkan luahan Raihanah. Luahan seorang anak yang sanggup berkorban apa saja termasuk merendahkan maruah dirinya di tempat yang paling rendah semata-mata untuk melihat ayah yang telah lama hilang tanpa jejak.

Melihatkan air mata itu untuk kesekian kalinya, hati dia terdetik bersuara. Suara yang berdesis halus di sudut hati yang paling dalam. Suara yang tidak Haries sedar.

Aku mahu jaga dia.

Aku akan jaga dia!

▶️ ▶️ ▶️

LELAKI itu melihat kembali rakaman video yang dilihatnya semalam bersama Farhan. Rancangannya, dia mahu Raihanah melihat sekali video itu untuk dikenal pasti identiti mangsa misteri itu. Mungkin kenalan rapat atau mungkin juga salah seorang anggota keluarga Raihanah.

Tapi hati lelakinya tak sanggup. Lebih-lebih lagi apabila gadis itu sendiri sanggup melutut kepadanya pagi tadi. Saat itu, dia benar-benar rasa seperti seorang lelaki dayus. Sanggup biarkan seorang perempuan melutut di kakinya seperti seorang hamba.

Taraf Raihanah lebih tinggi daripada itu! Hampir-hampir saja marahnya ingin meletus. Bukanlah marah dengan tindakan Raihanah tapi marah kepada diri sendiri. Peristiwa pada pagi itu melayang kembali di mata batinnya.

"Raihanah, saya boleh tolong ayah awak. Tapi,"

Haries bangun daripada duduknya. Lengan gadis itu yang ditutup dengan baju ditarik lalu tubuh Raihanah didudukkan di atas sofa.

"Please, Raihanah. Jangan sesekali pertaruhkan maruah awak. Maruah awak sangat tinggi. Nilai awak tak terkira harga dia. Awak tak perlu nak melutut. Saya tak suka. Awak buat saya macam lelaki yang tak bertanggungjawab." Bebel Haries panjang.

"Tapi..." Raihanah masih ingin melawan kata namun pantas saja dicantas oleh Haries.

"Tak payah nak bertapi sangat. Daripada awak melutut dan cium kaki saya, baik lagi awak cium pipi saya. Cium kat kaki tak rasa apa." Bidas Haries, membuatkan Raihanah terdiam dengan wajah yang sudah memerah.

Deringan telefon di meja kerjanya mematikan lamunannya yang jauh menerawang. Skrin telefon dilihat.

Farhan Double Poyo.

Panggilan itu dijawab.

"Assalamualaikum, Haries. Aku rasa kau dah boleh bersedia minggu depan."

"Minggu depan? Boleh tak kalau aku nak lusa?" soal Haries, meminta pendapat sekaligus kebenaran daripada sahabatnya.

"Lusa? Awalnya? Yakin kau mampu nak buat?" Suara di hujung talian masih bernada tenang.

"Aku ada rancangan lain untuk bawa ayah Raihanah keluar." Balas Haries, kedengaran yakin.

Farhan membisu sebelum mengeluh perlahan. Dia akhirnya memberi kata putus, "Okeylah. Esok kita bincang dekat kafe aku."

Haries tersenyum senget. Dalam otaknya, pelbagai rancangan sudah dirangka penuh rapi. Dengan izin Tuhan, mereka mungkin boleh berjaya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro