Bab 22

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

TAN Sri Hazman memegang kemas telefon bimbitnya sambil mata masih melekat pada skrin alat telekomunikasi itu. Sebelah tangannya mencapai tangkai cawan lalu didekatkan ke mulut. Air kopi panas itu dicicip sedikit sebelum tiba-tiba saja Tan Sri Hazman lekas-lekas meletakkan kembali cawan ke atas meja.

"Panas! Panas!" Adu lelaki bekerjaya itu dengan wajah berkerut.

Mulutnya dikipas-kipas, dengan harapan lecur di bibirnya berkurang.

Puan Sri Naina yang berada di ruangan dapur kelam-kabut menerjah ke ruang meja makan. Mukanya cuak semacam saat mendengar jeritan kecil sang suami.

"Hah, kenapa?!" soal Puan Sri Naina bersama senduk di tangan.

"Awaklah, sayang. Buat air panas sangat. Kalau melecur mulut suami awak nikan, dah tak lawa." beritahu Tan Sri Hazman lalu mengelap bibirnya dengan tisu.

Wanita elegan itu mengeluh lega sebelum bercekak pinggang.

"Padanlah muka dengan abang. Lain kali, kalau nak minum tu, minum saja. Tak perlu belek-belek telefon tu. Muka abang bukannya lawa macam dulu, tak payah dah berselfie sangat." Bebel Puan Sri Naina, pedas dan selamba.

Mulut Tan Sri Hazman memuncung, terasa dengan kata-kata si isteri. Tahulah dia zaman muda dulu seorang yang kaki selfie. Pergi tandas pun selfie dekat cermin. Tapi sekarang ini Tan Sri Hazman sudah pun menjadi seorang ayah. Takkan mahu kekalkan perangai lama kut.

"Mana adalah. Abang tengah tengok berita." Balas Tan Sri Hazman, kedengaran jauh hati.

Puan Sri Naina menggeleng perlahan dengan cebikan kecil di bibir tuanya. "Abang tak payah gedik sangat ya!"

Belum sempat Puan Sri Naina ingin berlalu ke dapur, Haries sudah tiba di muka dapur. Bibirnya mengukir segaris senyum manis.

"Wah, sedapnya bau! Mama masak apa, ma?" soal Haries, teruja. Dah lama sangat rasanya tak bersarapan bersama ibu dan ayahnya.

Kerusi ingin ditarik namun tak semena-mena, Puan Sri Naina menyerahkan senduk kepada Haries. Lelaki itu jelas terpinga-pinga apabila senduk itu kini bertukar tangan.

"Pergi masak! Kamu ingat ni macam dalam drama ke? Bangun-bangun terus tarik kerusi dan makan? Tak adanya! Pergi goreng nasi tu!" arah Puan Sri Naina tegas.

Kali ini, mulut Haries pula yang memuncung. Dahinya berkerut tak puas hati tapi tak pula dia membantah. Akhirnya, dia pasrah. Kaki dibawa juga ke dapur.

Tan Sri Hazman tergeleng-geleng sebelum memandang isterinya yang sudah duduk di sebelahnya.

"Hish, Naina ni. Kesian dia! Dua-dua beranak awak bagi muncung pagi-pagi ni." Tegur Tan Sri Hazman, simpati pula melihat riak wajah Haries yang jelas kecewa tadi. Sememangnya, lelaki tua itu amat terkenal dengan perangainya yang sangat suka memanjakan anak-anaknya.

Puan Sri Naina tersenyum nipis. "Saya dah habis gorenglah. Tinggal isi dalam mangkuk saja. Awak jangan manjakan sangat anak-anak. Nanti masing-masing tak boleh hidup susah!" ulas wanita tegas itu.

Memang dari dulu, itulah prinsipnya. Ketegasan akan mendidik anaknya untuk berdikari. Dia tidak mahu zuriatnya menjadi orang yang bodoh sombong dan tidak bertanggungjawab. Biarlah mereka kaya sekalipun, jangan anak-anaknya rosak akhlak hanya kerana kenikmatan yang sedikit ini.

Dia sudah lama hidup dalam kalangan orang berada. Puan Sri Naina sudah faham benar dengan fiil mereka-mereka ini yang adakalanya terlalu mendongak ke langit hingga tak perasan kaki sedang pijak tanah.

Berlainan pula dengan Tan Sri Hazman. Lelaki tua yang masih segak itu pula jenis yang sangat berlemah lembut dengan anak-anaknya, sangat kontra berbanding dengan isterinya.

Tapi itulah yang membuatkan rumah tangga mereka berkekalan hingga ke hari tua. Perbezaan itulah membawa keserasian dalam perhubungan mereka berdua.

Puan Sri Naina senyap seketika. Fikirannya mula menerawang ke tempat lain. Senyuman yang tadi bergantungan di bibirnya kian pudar.

Lebih-lebih lagi tatkala teringatkan tentang perkahwinan Haries. Sekejap saja, runsing hadir di kepala.

Tan Sri Hazman yang perasan akan perubahan reaksi si isteri meletakkan telefon bimbitnya ke meja. Tak jadi hendak meneruskan pembacaannya di laman web berita atas talian itu.

Tangan lembut Puan Sri Naina dipegang kemas. Mata redup seorang suami yang kini bergelar ayah merenung kasih ibu kepada zuriatnya.

"Naina, kenapa ni? Hmm?" soal Tan Sri Hazman, prihatin.

Wanita bekerjaya itu tersentak seketika sebelum memalingkan mukanya pada sang suami. Gusar di hati hilang sedikit apabila tersedar yang dia punya seseorang untuk berkongsi rasa.

Puan Sri Naina membalas renungan kasih suaminya dengan senyuman tawar.

"Abang, saya risau. Dalam hati saya ni, saya takut. Saya tak tenang selagi Haries tak kahwin." Suara pereka fesyen terkenal itu perlahan meluahkan rasa.

Tan Sri Hazman menghembuskan nafasnya seraya menghadiahkan senyum manis buat Puan Sri Naina. Berharap sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebimbangan di hati si isteri tersayang.

"In Syaa Allah, Naina. Tak ada apa yang jadi. Kita minta pada Allah supaya keluarga kita ni sentiasa selamat ya? Lagipunkan, Ries dah setuju nak kahwin. Anak kita tu, kalau dia kata dia akan buat, dia mesti akan buatkan?" pujuk Tan Sri Hazman sambil mengusap-usap sayang tangan isteri yang masih dalam genggaman.

Puan Sri Naina perlahan-lahan mengangguk, mengiakan. Benar, walau tak suka mana pun Haries dengan keputusannya, lelaki itu tak pernah lagi menderhaka dengannya. Senakal-nakal seorang Haries Naim, anaknya tak pernah lagi melukakan hati ibu dan ayahnya.

Tapi, Tuhan... Mengapa hati ini masih terselit keraguan? Mengapa masih ada seperti sesuatu yang tidak kena akan terjadi? Desis wanita berusia hampir separuh abad itu sambil memegang dadanya, berdebar semacam.

Ah, mungkin hanya andaian saja. Semuanya pasti akan baik-baik saja. Walauapapun yang berlaku, Haries perlu berkahwin.

Bukan untuk Puan Sri Naina. Bukan juga untuk sesiapa. Tapi demi keselamatan anaknya itu sendiri.

"Eh, sayang! Bau tak?" sergah Tan Sri Hazman, bernada terkejut. Lelaki tua itu menghidu-hidu bau tidak enak yang datang dari arah dapur masak.

Puan Sri Naina tersentak. Dia turut melakukan hal yang sama sebelum wanita itu terbangun daripada duduknya. Lebih terperanjat daripada suaminya sendiri.

"Haries!! Kamu masak apa sampai hangit ni?!" Menjerit wanita tegas itu seraya berlari ke dapur yang sudah dipenuhi dengan asap.

Sementara itu, Haries pula cepat-cepat menuju ke meja makan apabila mamanya sedang kelam-kabut menguruskan masakannya yang hangus terbakar.

Mangkuk besar yang penuh dengan nasi goreng air tangan Puan Sri Naina diletakkan ke atas meja. Haries menarik kerusi lalu cepat-cepat menyenduk nasi goreng ke atas pinggannya.

Manakala Tan Sri Hazman sudah tergeleng-geleng kepala melihat kenakalan anak lelaki keduanya itu. Tak pernah puas mengenakan mamanya.

"Kamu ni, tak baik tahu? Kamu masak apa kat dapur tu?" Soalan Tan Sri Hazman diselitkan dengan teguran ringkas. Tapi, sama seperti anaknya, dia turut memenuhkan pinggannya dengan nasi goreng.

Haries tersengih-sengih kambing. "Saya masak bawang goreng hangus!" jawab Haries lalu cepat-cepat acara makan paginya dimulakan. Mahu cepat-cepat pergi kerja sebelum Puan Sri Naina selesai dari membasuh kuali dan memiat telinganya pula nanti.

Dia tahu, mamanya seorang yang sangat mementingkan kebersihan. Pasti kuali yang sedang melekat-lekat dengan bawang goreng hangus itu akan disental hingga bersih. Kemudian, barulah wanita itu akan datang ke dapur untuk membebel padanya pula.

Jadi, sementara Puan Sri Naina sedang sibuk, biarlah dia bersarapan dahulu sebelum terlambat.

Elok saja dia selesai meneguk air kopinya, Puan Sri Naina sudah selesai membasuh kualinya. Tapi sayang, tak sempat hendak membebel apa-apa, Haries sudah membuka langkah terlebih dahulu.

"Bye, mama. Saya pergi kerja dulu tau! Sedap mama masak. Muah!" Sempat lelaki itu menghadiahkan kucupan dari jauh sebelum lekas-lekas beredar dari dapur.

"Eh, Haries! Eee... Budak nikan! Nakalnya tak sudah! Asyik nak kenakan kita je," rungut Puan Sri Naina geram. Wajahnya merah-merah dengan bibir diketap.

Tan Sri Hazman hanya ketawa. Geli hati melihat gelagat anaknya yang memang terkenal dengan perangainya yang sangat suka mengusik.

"Gelak je tahu. Dia ikut perangai abanglah ni. Nakal sangat muda-muda dulu! Kan dah turun pada anak sendiri!" bebel Puan Sri Naina pada suaminya pula.

Anak terlepas, biar bapak pula kena.

"Eh, kita pula." Lelaki yang bergelar Tan Sri itu hanya mampu tersenyum.

Kalau dah namanya Haries, nakalnya memang takkan pernah habis!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro