Bab 26

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SAYU menghambat jiwa saat melihat ayahnya kini terbaring kembali. Wajah tua itu kelihatan lesu, barangkali penat kerana baru saja menggila beberapa jam yang lepas.

Semacam rasa pilu makin kuat memalu raganya apabila melihat ikatan di kedua-dua tangan dan kaki Jazlan. Akibat daripada kegilaan ayahnya sendiri yang tak mampu dikawal, pihak staf perubatan terpaksa mengehadkan pergerakan Jazlan dengan mengikatnya.

Suka atau tidak, Raihanah tak mampu menolak. Dia sendiri telah melihat amukan ayahnya yang seperti disampuk jin yang tidak bertuan. Terlalu ganas! Sehinggakan Haries turut menjadi mangsa.

Raihanah terduduk lemah di kerusi. Dia rasa tak berdaya. Dia tak faham. Dia langsung tak faham dengan apa yang sedang terjadi.

Kenapa ayah boleh jadi ganas macam tu sekali? Apa yang aku tak tahu? Soalan itu berlegar di ruang mindanya. Hendak menjawab, dia tidak punya jawapan yang pasti. Yang ada hanyalah tekaan yang datang dari kepalanya.

Melihatkan raut tenang Jazlan, hatinya semerta dihimpit sebak.

Lain! Sangat lain ayahnya yang dulu dan sekarang.

Seolah-olah dua roh berbeza sedang menumpang di jasad yang sama.

"Ya Allah, di saat aku mula rasa semuanya akan kembali, kenapa sekelip mata saja Kau hilangkan rasa ni? Apa yang Kau nak dari aku, Tuhan? Apa?" soal Raihanah, lirih. Ketidakwarasan akalnya mula menolak takdir.

Kerana goyahnya iman di dada buatkan dia mempersoalkan sesuatu yang sudah termaktub di Lauh Mahfuz. Dan kerana terlalu dicengkam kecewa, Raihanah seakan-akan terlupa, dia baru saja menidakkan rukun iman keenam yang sepatutnya dia percaya seikhlas hati.

Tak mampu menahan lembing perit yang menjunam hingga ke hati, air mata gadis itu tumpah jua. Sungguh, Raihanah benci. Benci menangis sebegini. Tapi dia tak kuat. Dia tak mampu nak kuat dengan apa yang terjadi beberapa jam lepas.

Dan pastinya kejadian yang sudah berlalu itu akan berulang kembali. Apabila Jazlan bangun saja, lelaki itu pasti akan mengamuk.

Sehinggakan Raihanah sendiri takut untuk mendekati Jazlan dan mengusap kasih wajah itu. Dia tak berani lebih-lebih lagi apabila melihat cedera yang dialami Haries.

Bukan sedikit luka di tangan lelaki itu. Luka itu sangat dalam hingga menampakkan cebisan-cebisan daging di lengan Haries. Doktor terpaksa memberikan beberapa jahitan untuk menutup luka itu malah Haries juga perlu menjalani transfusi darah kerana kehilangan terlalu banyak darah dari badannya.

Raihanah menarik-narik tudungnya, serabut. Kusut apabila fikirannya kini menyinggah pada wajah Haries. Hatinya diberati dengan rasa serba salah.

Ini semua salah aku! Hatinya memberontak. Apa saja yang bukan salahnya? Memang segala perkara buruk yang terjadi kerana dia!

Raihanah menarik lutut ke dadanya lalu dalam keheningan malam, dia menangis semahunya. Mengongoi sendirian. Mata dia rasa pedih kerana asyik menangis macam perempuan bodoh. Kepalanya bagaikan dicucuk jarum-jarum halus yang menusuk hingga ke kulit yang paling dalam.

Raihanah penat untuk mengalirkan air mata itu.

Tapi dalam setiap saatnya, dia sedar...

Dia tak punya kekuatan itu.

LELAKI itu menyelak selimut hospital yang menyelubungi badannya. Dengan lambat-lambat, Haries menggagahkan dirinya untuk bangun jua. Dia dah lama sedar, tapi dia sengaja buat-buat pengsan bila doktor dan jururawat datang melihat keadaannya.

Lengannya yang dibalut dengan kain anduh dikerling sekilas. Masih terasa bisanya walaupun telah dililit kemas dalam kain putih itu.

"Hmm, tanda nak mati dah ni. Mula-mula, tangan aku saja kena kafan. Lepas ni, dengan badan sekali kena balut." Gumam Haries, seorang. Sengaja bercakap sendiri supaya hilang sedikit rasa bosannya.

Haries melihat jam di dinding hospital. Jarum jam sudah menunjukkan angka dua manakala jarum minit telah pun bergerak ke angka satu. Pukul 2.05 pagi.

Lelaki itu meraup wajahnya sekilas sebelum perlahan-lahan, turun dari katil hospital. Lengan yang terasa sengal kerana dicucuk jarum tidak dipedulikan.

Gelas dicapai lalu air kosong dituang. Air itu diteguk rakus, dahaga yang amat. Bayangkan, berjam-jam rasanya dia berpura-pura pitam tadi. Pabila tiada doktor ataupun jururawat yang datang meronda, barulah dia membuka mata. Itu pun susah nak mencari peluang.

Lelaki itu menhenyakkan punggungnya di katil. Bunyi keriut yang terhasil menambah sunyi dalam bilik wad khas itu.

Haries melepaskan keluhan perlahan sebelum badannya dibaringkan ke katil. Kerana lebar katil yang tidak begitu besar, kepala Haries tergantung di hujung katil.

Dinding hospital yang berlatarkan warna hijau itu dipandang secara terbalik. Tapi tiada beza pun sama ada dipandang secara terbalik ataupun tak. Sama saja.

Dengusan nafas Haries kedengaran. Rambutnya yang hitam lebat itu terjuntai ke lantai. Kalau ada doktor atau jururawat datang meronda waktu ini, pasti diingatnya Haries ni syaitan bergantung dekat katil orang.

"Bosannya," keluh Haries.

Memang bukan namanya Haries kalau hanya tahu duduk diam dan tak buat apa. Jikalau Farhan berada di tempatnya, pasti lelaki itu langsung tak kisah kerana situasi sebegini bagi seorang Farhan adalah syurga duniawi.

Tapi bagi Haries Naim, ia adalah neraka dunia yang nyata!

Dalam beberapa saat dia mengelamun seorang, entah bagaimana wajah lembut Raihanah melintas di kepalanya. Lantas, lelaki itu terduduk dengan riak terkejut.

"Ya Allah, Raihanah!" Suaranya sedikit menjerit. Baru teringat akan gadis kecil molek itu.

Air muka terkejutnya bertukar ganti dengan senyum nakal. Dia pasti gadis itu masih ada di hospital, sedang menemani Jazlan. Dia dapat tahu perkara ini pun melalui perbualan staf-staf kesihatan yang datang memeriksa keadaannya lebih kurang sejam lepas.

Haries menurunkan kakinya lalu selipar disarung. Dia mahu pergi berjumpa dengan gadis itu. Hilanglah sedikit kebosanan di hatinya.

SETIBANYA di hadapan pintu wad yang menempatkan pesakit bernama Jazlan, Haries menolak perlahan pintu berat itu sehinggalah badannya berjaya masuk ke dalam bilik hospital itu.

Baru beberapa tapak melangkah, susuk tubuh seorang gadis sedang tertidur di atas kerusi plastik menjamah pandangan matanya. Kepala si gadis tersengguk-sengguk kerana tiada tempat perbaringan untuk melandaikan kepalanya.

Haries tersenyum. Tapi dalam senyumannya, terselit perasaan gusar. Dia risaukan gadis itu. Ini baru sedikit yang Raihanah tahu.

Atau mungkin, gadis itu masih tak tahu menahu pun punca Jazlan berkelakuan seperti binatang buas petang tadi.

Haries sukar untuk membayangkan keadaan Raihanah jika dia memberitahu segalanya. Ya, segalanya! Bermula dari sebab tindakan gila ayahnya sehinggalah tentang abangnya yang selama ini juga telah lama menghilang seolah-olah jasadnya ditelan bumi.

Sedang Haries termenung, tiba-tiba saja Raihanah mengaduh sakit. Rungutan kecil itu berjaya mematikan menungan lama Haries. Gadis yang masih mamai itu menggosok-gosok kepalanya yang sakit terhantuk kepala kerusi.

Haries tersengih sebelum menggaru-garu kepala. Takkan nak biar saja? Kesianlah. Takkan sampai ke esok nak tidur macam ni?

Akhirnya, Haries mengambil inisiatif untuk meminjamkan belakang badannya untuk Raihanah. Kerusi yang lebih ditarik lalu diletak rapat di belakang kerusi Raihanah.

"Haries? Awak dah bangun?" soal Raihanah dengan suara seraknya. Gadis itu kelihatannya cuba berjaga apabila melihat Haries ada di dalam bilik wad itu. Namun kerana rasa mengantuk yang meguasai, perkataannya hanya keluar sipi-sipi saja.

Lelaki itu meletuskan tawa kecilnya melihatkan gadis itu masih mamai. Haries duduk di kerusi yang telah ditariknya lalu badan disandarkan ke kepala kerusi. Raihanah yang terasa kepalanya memberat, terhuyung-hayang sebelum kepalanya jatuh tersandar ke belakang badan Haries.

"Hana? Tidur dah?" bisik Haries, membiarkan kepala kecil itu menumpang di badannya.

Gadis itu menggumam sesuatu. Perlahan saja. Hinggakan Haries terpaksa menoleh sedikit ke arah Raihanah untuk mendengar suara gadis itu dengan lebih jelas.

"...saya.... tahu..." Suara Raihanah masih lagi berdesis.

Haries ketawa. "Hana, saya tak dengarlah," ujar lelaki itu, mendesak si gadis supaya menguatkan suaranya walaupun terang-terang kantuk sudah pun menguasai diri Raihanah.

"Tapi, saya harap awak tak bencikan saya." Walaupun suara halus itu masih perlahan, namun kali ini ia lebih jelas di pendengaran Haries.

Dahi Haries berkerut. Pelik mendengar ayat Raihanah.

"Maafkan saya. Sebab saya, lengan awak luka. Saya... tak sepatutnya marah awak."

Lelaki itu bungkam mendengar bait bicara Raihanah yang mulai tersedu-sedu sendiri dalam kantuknya. Dia ingin berpaling dan melihat wajah itu namun kepala gadis itu langsung tidak mahu beralih. Nak tak nak, terpaksa Haries mengekalkan posisinya.

Telinga Haries mendengar gadis itu menangis kecil di belakangnya. Hendak memujuk, bukan tempat dia. Dia hanya mampu mendengar gadis itu meluahkan perasaannya.

"Saya minta maaf marah awak. Saya cuma terlalu sayangkan ayah saya,"

Haries terdiam. Tidak tahu ayat apa yang sesuai untuk dilontarkan keluar dari bibirnya tika ini.

"Saya lemah. Saya tahu perempuan lemah macam saya tak sesuai berdiri di sebelah awak. Perempuan yang selalu menangis tak selayaknya jadi isteri awak," Raihanah terus berkata-kata sambil tersedu-sedu menahan tangis.

"Tapi, saya rayu... jangan bencikan saya. Awak boleh layan saya macam hamba awak, tapi jangan bencikan saya," Akhirnya suara halus itu tenggelam dalam tangisannya sendiri.

Bilik sepi itu diisi dengan ngongoian daripada Raihanah yang masih mahu menyalahkan dirinya sendiri.

"Raihanah..." Tak sempat mahu dihabiskan ayatnya, Raihanah memintas laju.

"Haries, ada sesuatu yang awak tak tahu. Sesuatu yang saya tahu dan ada yang kita sama-sama tak tahu. Tapi mama... tahu," Kian lama, Raihanah akhirnya terlena dengan matanya masih basah dengan mutiara jernih itu.

Kening Haries bercantum. Dia ingin bertanya lebih lanjut namun apabila merasakan masa ini tak sesuai, Haries hanya diam. Dia membiarkan badannya menjadi tempat sandaran kepala itu menikmati tidurnya.

"Apa awak buat, Hana? Awak buat saya nak tukar rasa suka ni dengan perasaan lain. Betul ke apa saya buat ni, Raihanah?" soal Haries namun tiada jawapannya. Akhirnya, lelaki itu hanya mampu menghembuskan keluhan lemah.

"Banyaknya aku tak tahu." Bisiknya seorang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro